Sama ada Plaintif tidak dibenar membuat tuntutan terhadap Defendan menurut klausa 9 Perjanjian Peniaga. [34] Melalui afidavit-afidavit yang difailkan, fakta material berkenaan kebocoran paip dan pencemaran kepada tanah tidak dipertikaikan oleh pihak-pihak. Apa yang menjadi pertikaian adalah berkenaan tanggungjawab di bawah Perjanjian Peniaga. Bagi menentukan tanggungjawab di bawah Perjanjian tersebut, perkara fakta dan undang-undang perlu dilihat secara menyeluruh. Mahkamah ini berpandangan bahawa pertikaian fakta-fakta relevan ini perlu diputuskan melalui keterangan saksi-saksi dan keterangan dokumentar dan ini hanya dapat dilaksanakan melalui perbicaraan penuh dan oleh itu peruntukan Aturan 14A KKM 2012 adalah tidak sesuai bagi kes ini. [35] Dalam hal ini, Mahkamah ini merujuk kepada kes Dream Property Sdn Bhd v. Atlas Housing Sdn Bhd (2008) 2 MLJ 812, Mahkamah Rayuan telah dengan jelas menyatakan bahawa: “[7] It is trite law that, for the court to exercise its power to summarily dispose off an action under O 14A of the RHC, there should not be any dispute by the parties as to the relevant facts, or that the court, upon scrutinising the pleadings, concludes that the material facts are not in dispute (see the case of Petroleum Nasional Bhd v. Kerajaan Negeri Terengganu).” (Penekanan ditambah) [36] Jelasnya, persoalan yang dibangkitkan oleh Defendan ini tidak menyelesaikan kes Plaintif terhadap Defendan kerana terdapat isu-isu yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ini. Implikasinya, permohonan ini tidak dapat menjimatkan masa dan kos pihak-pihak termasuk Mahkamah ini yang merupakan objektif pemakaian Aturan 14A KKM 2012. [37] Mahkamah ini merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes Pentadbir Tanah Daerah Pontian & Ors v. Ossons Ventures Sdn Bhd [2009] 6 MLJ 201 di mana Ahmad Maarop HMR (ketika itu) menyatakan seperti berikut: "Salah satu syarat bagi penggunaan A. 14A KKMT ialah untuk 'determine any question of law of construction of any document and such determination will finally determine the entire cause or matter or any claim or issue therein'. Perkataan 'therein' itu penting. Ini bererti bahawa keputusan tentang persoalan undang-undang itu atau pentafsiran sesuatu dokumen itu akan secara muktamadnya memutuskan keseluruhan kausa atau perkara atau tuntutan atau isu di dalamnya (therein), bukan untuk tujuan digunakan di dalam mana-mana prosiding yang lain, termasuk prosiding rujukan tanah." (Penekanan ditambah) [38] Mahkamah ini mendapati bahawa persoalan yang dibangkitkan oleh Defendan dalam permohonan ini tidak dapat memuktamadkan isu-isu, kausa-kausa tindakan dan tuntutan Plaintif. Kesannya juga, ia tidak dapat menjimatkan masa dan kos ke atas pihak-pihak dalam tindakan ini.