Berdasarkan siasatan tersebut, OKT dituduh dibawah seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh simati Juli pada masa dan tarikh sepertimana pertuduhan. [5] Mahkamah mendapati fakta kes yang dikemukakan, diterangkan dalam Bahasa Poshto dan diakui oleh tertuduh membuktikan kesalahan bunuh yang dilakukan oleh tertuduh. Justeru, tiada keperluan untuk pihak pendakwaan membuktikan kesnya lagi. Saya merujuk kepada kes Eng Song Hai v PP [1954] 1 MLJ 38 dimana Bellamy J memutuskan: The appellant had pleaded guilty to the charge as amended, and no question then arose of the prosecution proving their case. It only remained for the President to convict. Although the report and articles found in the possession of the appellant were produced at the trial and marked as exhibits, they were not "given in evidence": they were merely produced to the Court to assist the Court in reaching a proper decision as to sentence. This ground of appeal, therefore, fails. [6] Kesimpulannya, sepanjang prosiding ini, Mahkamah mendapati tiada indikasi yang menunjukkan tertuduh tidak faham pertuduhan atau fakta kes yang dibacakan kepadanya, tetapi melalui terjemahan oleh seorang jurubahasa Pashto jelas menunjukkan bahawa tertuduh faham pertuduhan yang dihadapi dan memilih untuk mengaku salah. Tertuduh juga faham akibat dari pengakuan salahnya dan tetap juga memilih untuk mengaku salah. Tertuduh juga telah dibacakan fakta kes yang membuktikan kesalahan yang dilakukannya dalam Bahasa Pashto dan telah mengakui fakta kes tersebut. Justeru Mahkamah menerima pengakuan salah tertuduh dan mensabitkan tertuduh atas pertuduhan yang dihadapinya. Rayuan Tertuduh [7] Rayuan bagi peringanan hukuman telah dikemukakan oleh peguam Tertuduh Encik Alfred Engin. Beliau telah memohon satu hukuman ringan diberikan kepada tertuduh memandangkan semasa kejadian tertuduh berumur 27 tahun dan kini berumur 30 tahun. Tertuduh adalah warganegara Pakistan yang masuk ke Malaysia secara sah untuk bekerja di ladang. Beliau mengatakan bahawa pertengkaran antara tertuduh dan simati sering berlaku yang diakibatkan bahawa simati mempunyai hubungan dengan lelaki lain walaupun telah berkahwin dengan tertuduh. Oleh kerana tidak dapat menahan amarahnya, tertuduh telah mengelar simati di lehernya. Peguam mengatakan tertuduh benar-benar menyesal dan memohon agar diberikan satu peluang kerana dia mengaku dan mahu bertanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukannya. Tertuduh juga berazam untuk menjadi manusia yang lebih baik pada masa hadapan. Tertuduh memohon suatu hukuman minima diberikan. Hujahan Pihak Pendakwaan [8] Timbalan Pendakwaraya terpelajar memohon suatu hukuman gantung diberikan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan yang dipertuduhkan terhadap tertuduh adalah kesalahan paling serius iaitu kesalahan membunuh yang menyebabkan kematian. Beliau telah menekankan faktor kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh yang perlu Mahkamah pertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman. Perbuatan tertuduh yang telah membunuh simati bukan sahaja telah menyebabkan kematian kepada simati tetapi juga telah memberikan kesan kepada keluarga simati. Pihak pendakwaan memohon Mahkamah melihat cara simati dibunuh iaitu dikelar dilehernya yang menyebabkan pendarahan yang banyak dan tentulah amat menyeksakan. Timbalan Pendakwaraya memohon agar Mahkamah ini mengabaikan motif tertuduh membunuh simati, kerana apa yang penting adalah simati telah mati akibat perbuatannya. Beliau menggesa Mahkamah agar memberikan hukuman yang menggambarkan seriusnya jenayah yang dilakukan. Keputusan Mahkamah [9] Mahkamah telah meneliti fakta kes dan segala dokumen yang dikemukakan serta hujahan pihak-pihak dan mahkamah mendapati kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh terhadap simati iaitu isterinya sendiri, tidak dapat dinafikan, adalah kejam. Namun begitu, Mahkamah ini enggan untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan maksima berdasarkan alasan-alasan yang akan saya berikan. [10] Mahkamah mengambil kira bahawa peruntukan seksyen 34 Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) telah meminda seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan memasukkan selepas perkataan "with death" perkataan "or imprisonment for a term of not less than thirty years but not exceeding forty years and if not sentenced to death, shall also be punished with whipping of not less than twelve strokes". Ini bermakna hukuman mati bagi kesalahan bunuh bukan lagi menjadi hukuman mandatori. Parlimen telah menggubal undang-undang dengan memasukkan hukuman alternatif iaitu pemenjaraan tidak kurang daripada tiga puluh tahun tetapi tidak lebih daripada empat puluh tahun dan hendaklah, jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada dua belas sebatan. Justeru Mahkamah ini boleh, menurut budi bicaranya memberikan hukuman alternatif tersebut. [11] Faktor utama yang perlu Mahkamah ini ambil kira adalah kepentingan awam. Namun begitu dalam Mahkamah ini memberikan keutamaan kepada faktor kepentingan awam, saya juga dibimbing oleh prinsip undang-undang bahawa, pertimbangan terhadap kepentingan awam tidak semestinya bermaksud memberikan hukuman pemenjaraan yang panjang. Adalah menjadi undang-undang yang mantap, mengutamakan kepentingan awam juga bermaksud pesalah didorong untuk berpaling dari kehidupan jenayah kepada kehidupan yang jujur. Ini bermaksud hukuman yang diberikan juga mempunyai tujuan pemulihan terhadap pesalah. (Rujuk kes New Tuck Shen v. PP [1982] CLJ Rep 606 ;1982] CLJ 38B) [12] Bagi menentukan berapa lama hukuman penjara wajar diberikan, saya merujuk kepada kes Mahkamah Agung Mohd Abdullah Ang Swee Kang v. Public Prosecutor [1987] CLJ Rep 209 [1987] 2 CLJ 405 yang memutuskan bahawa terdapat beberapa faktor yang perlu Mahkamah ambil kira sebelum memberikan hukuman pemenjaraan. Perkara utama yang perlu dilakukan adalah dengan melihat kepada fakta sesebuah kes itu sendiri. Mahkamah Agung memutuskan seperti berikut: [2] In assessing the length of custodial sentence, the Court must look at the overall picture in perspective by considering firstly, the gravity of the type of offence committed; secondly, the facts in the commission of the offence; thirdly, the presence or absence of mitigating factors, and fourthly, the sentence that have been imposed in the past for similar offences to determine the trend of sentencing policy, if any. The fact that a sentence of imprisonment is imposed as a deterrence does not justify the sentencer in passing a sentence of greater length than the facts of the offence warrant. The gravity of the type of offence involved must be considered in the light of the particular facts of the offence. [13] Di dalam kes ini tertuduh melakukan kesalahan bunuh ini semasa usianya 27 tahun iaitu suatu usia yang boleh dikatakan muda. Dalam usia tersebut, adalah tidak menghairankan untuk tertuduh bersikap cemburu dan terburu-buru dengan membunuh isterinya apabila mempercayai isterinya melakukan hubungan dengan lelaki lain. Saya percaya dalam usia tersebut, tertuduh mempunyai banyak masa untuk insaf dan berpotensi untuk pulih menjadi manusia berguna selepas dia selesai menjalani hukuman pemenjaraan dan kembali kepada keluarganya di Pakistan. Tempoh pemenjaraan yang diberikan diharapkan dapat memberikan pengajaran kepada tertuduh agar tidak melakukan kesalahan ini lagi. [14] Saya juga mengambil kira bahawa tertuduh telah mengaku salah, ia adalah satu faktor mitigasi yang besar kepada hukuman yang bakal dijatuhkan terhadap tertuduh. Saya mengambil kira bahawa tertuduh telah mengaku salah terhadap suatu pertuduhan asal dan serius secepat mungkin sebelum perbicaraan dijalankan. Masa dan kos telah dijimatkan dengan pengakuan salah ini. Justeru tertuduh tidak wajar diberikan hukuman mati atau pemenjaraan maksima. (Rujuk kes Bachik Abdul Rahman v Public Prosecutor [2004] 2 MLJ 534 ) [15] Saya juga mengambil kira bahawa tertuduh adalah pesalah pertama dan tiada rekod kesalahan lampau. Ini adalah juga faktor mitigasi. Walau pun terdapat nyawa yang hilang akibat perbuatan tertuduh, mahkamah tidak akan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati dengan mengambil kira pengakuan salah ini. Mahkamah percaya setiap orang termasuk tertuduh mempunyai potensi untuk kembali ke pangkuan masyarakat dan berubah menjadi manusia yang baik dan berguna. [16] Justeru saya menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh 30 tahun penjara dari tarikh tertuduh ditangkap (1.10.2021) dan 12 kali sebatan iaitu suatu hukuman minima yang diperuntukkan oleh undang-undang dan hukuman alternatif yang menggantikan hukuman mati. Saya percaya hukuman ini adalah memadai dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh bagi membolehkan tertuduh insaf dan kembali ke pangkal jalan. Keberatan hukuman ini juga adalah satu faktor deteren kepada masyarakat diluar sana. Bertarikh pada 20 Februari 2024 ROSZIANAYATI AHMAD Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya Shah Alam, Selangor Perayu Hashmat Khan Pengarah Penjara Penjara Kajang 43000 Kajang Selangor. Responden / Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Muhamad Amin Timbalan Pendakwa Raya Kamar Peguam Negara Aras 5, No 45,Lot 4G7, Presint 4, Persiaran Perdana 62100 Putrajaya