Sebelum menjatuhkan hukuman yang bersesuaian dengan kesalahan yang lakukan oleh perayu, Pesuruhjaya Kehakiman yang bijaksana telah memperhalusi segala nota prosiding dan penghujahan kedua-dua pihak dan mencapai kepada alasan dan keputusan seperti yang berikut dan kami petik: “[9] Mahkamah telah meneliti fakta kes dan segala dokumen yang dikemukakan serta hujahan pihak-pihak dan mahkamah mendapati kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh terhadap simati iaitu isterinya sendiri, tidak dapat dinafikan, adalah kejam. Namun begitu, Mahkamah ini enggan untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan maksima berdasarkan alasan-alasan yang akan saya berikan. [10] Mahkamah mengambil kira bahawa peruntukan seksyen 34 Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) telah meminda seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan memasukkan selepas perkataan "with death" perkataan "or imprisonment for a term of not less than thirty years but not exceeding forty years and if not sentenced to death, shall also be punished with whipping of not less than twelve strokes". Ini bermakna hukuman mati bagi kesalahan bunuh bukan lagi menjadi hukuman mandatori. Parlimen telah menggubal undang-undang dengan memasukkan hukuman alternatif iaitu pemenjaraan tidak kurang daripada tiga puluh tahun tetapi tidak lebih daripada empat puluh tahun dan hendaklah, jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada dua belas sebatan. Justeru Mahkamah ini boleh, menurut budi bicaranya memberikan hukuman alternatif tersebut. [11] Faktor utama yang perlu Mahkamah ini ambil kira adalah kepentingan awam. Namun begitu dalam Mahkamah ini memberikan keutamaan kepada faktor kepentingan awam, saya juga dibimbing oleh prinsip undang-undang bahawa, pertimbangan terhadap kepentingan awam tidak semestinya bermaksud memberikan hukuman pemenjaraan yang panjang. Adalah menjadi undang-undang yang mantap, mengutamakan kepentingan awam juga bermaksud pesalah didorong untuk berpaling dari kehidupan jenayah kepada kehidupan yang jujur. Ini bermaksud hukuman yang diberikan juga mempunyai tujuan pemulihan terhadap pesalah. [12] Bagi menentukan berapa lama hukuman penjara wajar diberikan, terdapat beberapa faktor yang perlu Mahkamah ambil kira sebelum memberikan hukuman pemenjaraan. Perkara utama yang perlu dilakukan adalah dengan melihat kepada fakta sesebuah kes itu sendiri. [13] Di dalam kes ini tertuduh melakukan kesalahan bunuh ini semasa usianya 27 tahun iaitu suatu usia yang boleh dikatakan muda. Dalam usia tersebut, adalah tidak menghairankan untuk tertuduh bersikap cemburu dan terburu-buru dengan membunuh isterinya apabila mempercayai isterinya melakukan hubungan dengan lelaki lain. Saya percaya dalam usia tersebut, tertuduh mempunyai banyak masa untuk insaf dan berpotensi untuk pulih menjadi manusia berguna selepas dia selesai menjalani hukuman pemenjaraan dan kembali kepada keluarganya di Pakistan. Tempoh pemenjaraan yang diberikan diharapkan dapat memberikan pengajaran kepada tertuduh agar tidak melakukan kesalahan ini lagi. [14] Saya juga mengambil kira bahawa tertuduh telah mengaku salah, ia adalah satu faktor mitigasi yang besar kepada hukuman yang bakal dijatuhkan terhadap tertuduh. Saya mengambil kira bahawa tertuduh telah mengaku salah terhadap suatu pertuduhan asal dan serius secepat mungkin sebelum perbicaraan dijalankan. Masa dan kos telah dijimatkan dengan pengakuan salah ini. Justeru tertuduh tidak wajar diberikan hukuman mati atau pemenjaraan maksima. [15] Saya juga mengambil kira bahawa tertuduh adalah pesalah pertama dan tiada rekod kesalahan lampau. Ini adalah juga faktor mitigasi. Walau pun terdapat nyawa yang hilang akibat perbuatan tertuduh, mahkamah tidak akan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati dengan mengambil kira pengakuan salah ini. Mahkamah percaya setiap orang termasuk tertuduh mempunyai potensi untuk kembali ke pangkuan masyarakat dan berubah menjadi manusia yang baik dan berguna. [16] Justeru saya menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh 30 tahun penjara dari tarikh tertuduh ditangkap (1.10.2021) dan 12 kali sebatan iaitu suatu hukuman minima yang diperuntukkan oleh undang-undang dan hukuman alternatif yang menggantikan hukuman mati. Saya percaya hukuman ini adalah memadai dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh bagi membolehkan tertuduh insaf dan kembali ke pangkal jalan. Keberatan hukuman ini juga adalah satu faktor deteren kepada masyarakat di luar sana.”