Tindakan Plaintif memfailkan tuntutan ini terhadap Defendan Pertama adalah satu penyalahgunaan kuasa Mahkamah ini; [16] Plaintif membantah permohonan ini dan menghujahkan sebagai pemaju yang telah membangunkan dan membina Pangsapuri Melur dan tempat letak kereta terbabit, Defendan Pertama seharusnya dipertanggungjawabkan ke atas sebarang kecuaian yang berlaku akibat daripada kegagalan Defendan Pertama dalam memastikan pembinaan tersebut adalah selamat. [17] Saya mendapati plaintif tidak mempunyai asas tuntutan yang munasabah terhadap defendan pertama kerana walaupun bangunan telah dibina oleh defendan pertama, ia telah disiapkan dan diserahkan Defendan Ketiga pada tahun 2008. Bangunan itu telah diduduki begitu lama. Ia telah melangkaui tempoh jaminan kecacatan. Perkara ini tidak dipertikaikan. [18] Kemalangan yang menyebabkan kematian berlaku pada tahun 2020 iaitu selepas dua belas tahun bangunan diserahkan. Adalah tidak wajar, untuk meletakkan kecuaian ke atas defendan ketiga bagi kemalangan sendiri yang menyebabkan kematian si mati. ALASAN PERMOHONAN DEFENDAN KEDUA (BINTAI FACILITIES MANAGEMENT SDN. BHD) [19] Defendan Kedua di sini tidak bertanggungan ke atas kemalangan yang berlaku ke atas si mati kerana Defendan Kedua di sini sudah meninggalkan Pangsapuri Melur hampir 12 tahun dan Defendan Kedua tiada kaitan dengan kemalangan yang berlaku tersebut. [20] Asas tuntutan plaintif terhadap Defendan kedua adalah fakta bahawa Defendan Kedua pernah menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di Pangsapuri Melur sehingga Januari 2008), maka Defendan Kedua harus bertanggungan. [21] Pada saya, adalah tidak munasabah untuk mengaitkan Defendan Kedua dengan kemalangan ini selepas 12 tahun defendan kedua tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan dengan Pangsapuri tersebut. Fakta yang tidak dinafikan adalah bahawa kemalangan yang menimpa si mati berlaku pada 20.08.2020. [22] Defendan Kedua telah dengan jelas mengemukakan surat yang menunjukkan bahawa pengurusan Pangsapuri Melur telah diserahkan oleh Defendan Pertama kepada Defendan Ketiga. Oleh kerana Defendan Kedua tidak dilantik oleh Defendan Ketiga untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di Pangsapuri Melur. [23] Oleh itu, saya mendapati bahawa kemalangan yang berlaku pada 20.08.2020 yang menimpa si mati tidak mempunyai sebarang hubungan dan/atau kaitan dengan Defendan Kedua. [24] Maka, Plaintif di dalam tindakan di sini tidak mempunyai sebarang kausa tindakan ke atas Defendan Kedua. Oleh yang demikian, , tuntutan plaintif terhadap Defendan Kedua dibatalkan di bawah Aturan 18 Kaedah 19(1)(a) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 kerana ketiadaan kausa tindakan yang munasabah yang boleh dipertahankan. ALASAN PERMOHONAN PIHAK DEFENDAN KETIGA (MELUR APARTMENT JOINT MANAGEMENT BODY) [25] Untuk permohonan defendan ketiga, saya membenarkan permohonan untuk pembatalan writ dan penyata tuntutan atas seperti berikut: [26] Defendan Ketiga bukanlah pihak yang telah membina kawasan letak kereta tersebut pada setiap masa material dan tiada kena mengena dengan proses membina tempat letak kereta tersebut. [27] Tempat letak kereta bukan di bawah kawalan, seliaan, pengurusan dan/atau kendalian Defendan Ketiga, sebaliknya Defendan Ketiga hanya menyelia hal ehwal penduduk Pangsapuri Melur mengikut peraturan-peraturan “House Rules” yang sedia ada. [28] Si mati telah bersetuju dan mempunyai pengetahuan penuh bahawa semua pengguna termasuk si mati akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kerosakan terhadap harta benda dan/atau orang semasa menggunakan tempat letak kereta tersebut. [29] Si mati telah bersetuju untuk menanggung semua risiko yang berkemungkinan berlaku di tempat letak kereta tersebut dan tidak akan meletakkan Defendan Ketiga untuk bertanggungjawab terhadap apa jua kehilangan dan/atau kerosakan terhadap harta benda, pemandu dan/atau penumpang sepanjang menggunakan tempat letak kereta tersebut. [30] Maka, kemalangan sendiri yang menyebabkan kematian si mati tidak boleh dipersalahkan ke atas defendan ketiga. ALASAN PERMOHONAN DEFENDAN KEEMPAT (DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR) [31] Defendan telah membangkitkan alasan-alasan yang berikut untuk menyokong permohonannya:-