Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, bagi mendapatkan suatu perintah Injunksi ad-interim bagi menghalang Defendan untuk memfailkan Petisyen Penggulungan sehingga permohonan Injunksi Fortuna didengar dan diputuskan. Mahkamah ini telah membenarkan permohonan ini dan seterusnya pendengaran inter parte diadakan. [18] Tuntutan Defendan adalah untuk mendapatkan balik baki bayaran tertunggak apabila Defendan sudah selesai melaksanakan kerja. Tiada penghakiman diperoleh oleh Defendan dan tiada apa-apa tuntutan melalui writ saman difailkan oleh Defendan terhadap Plaintif. Plaintif menggunakan “lacuna” ini untuk mempertikaikan langkah Defendan yang memfailkan Notis Seksyen 465. Siri perbincangan antara Defendan dan Plaintif berlangsung demi memperoleh baki bayaran tertunggak. Namun langkah ini gagal. Sama ada Petisyen Penggulungan Tidak Mempunyai Peluang untuk berjaya? [19] Dalam afidavit-afidavitnya, Plaintif mendakwa Defendan tidak mempunyai peluang untuk berjaya dalam Petisyen Penggulungan yang diniatkan atas alasan jumlah terhutang dan tertunggak. [20] Mahkamah ini telah meneliti afidavit jawapan Defendan yang menyatakan kronologi kepada tuntutan hutang tertunggak terhadap Plaintif di mana Defendan menegaskan bahawa tiada pertikaian bona fide berkenaan jumlah yang perlu dibayar kerana pada setiap masa, jumlah terhutang dan tertunggak yang dituntut oleh Defendan adalah satu jumlah yang telah diperakui dan disahkan oleh Plaintif itu sendiri. [21] Mahkamah ini mendapati walaupun jumlah terhutang dan tertunggak yang dituntut oleh Defendan itu dipertikaikan oleh Plaintif, TETAPI Plaintif tidak menafikan mengenai kerja-kerja yang sudah disiapkan oleh Defendan bagi Projek pembinaan Plaintif. [22] Persoalan yang dibangkitkan oleh Plaintif ialah Defendan tidak pernah dan tidak memfailkan apa-apa tuntutan di Mahkamah bagi mendapat bayaran jumlah tertunggak tersebut daripada Plaintif, SEBALIKNYA Defendan “terus” mengeluarkan Notis Seksyen 465 terhadap Plaintif. Pada kaca mata Plaintif ini ialah suatu penyalahgunaan proses Mahkamah oleh Defendan yang hendak mengancam Plaintif agar membayar jumlah terhutang dan tertunggak yang dituntut oleh Defendan itu. [23] Pemahaman Mahkamah ini mengenai afidavit-afidavit pihak-piah ialah terdapat siri perbincangan/mesyuarat yang diadakan berkenaan dengan tuntutan Defendan. Keupayaan Defendan yang mengemukakan dokumen sokongan dan dokumen tambahan untuk diperiksa dan disemak oleh Plaintif menunjukkan bahawa Defendan telah memulakan tuntutannya di luar Mahkamah tanpa perlu campurtangan Mahkamah. Defendan telah melampirkan surat-surat tuntutan kepada Plaintif yang membawa kepada cadangan Plaintif bagi penyelesaian. [24] Tanpa kerja-kerja yang sudah disiapkan oleh Defendan, Mahkamah ini pasti Plaintif pasti dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak-pihak yang berkepentingan dalam Projek tersebut. Sebagai sub-kontraktor Defendan menuntut bayaran tertunggak yang masih belum dijelaskan bagi kerja berdasarkan Surat Award tersebut dan kerja-kerja variasi. [25] Hujahan peguam cara terpelajar Defendan yang menghujahkan bahawa Plaintif gagal menjelaskan jumlah tertunggak dan terhutang tersebut walaupun telah dituntut secara konsisten oleh Defendan menunjukkan bahawa Plaintif tidak mampu membayar hutangnya. Untuk menyokong hujahan tersebut, peguam cara terpelajar Defendan merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Insolvensi) dalam kes Jacdex Interlogistics Sdn Bhd v Action Apparel Sdn Bhd [2021] MLJU 763, di mana Y.A Mahkamah Nadzarin Wok Nordin J dalam penghakimannya memutuskan bahawa − “[15] After examining the various exhibits at exhibit P8 of Enclosure 1 being the emails dated 23.4.2019, 24.5.2019 and 19.6.2019 as well as the emails dated 28.5.2019, 31.5.2019 and 3.6.2019 in exhibits P11 in enclosure 1 and exhibit P2 in enclosure 7 and the whatsapp communications found at exhibit P4 of enclosure 17, this Court is satisfied that the Respondent had on many occasions seeked from the Petitioner for indulgence and extension of time to settle the Debt. These exhibits are on its own strong evidence that there was a course of business transactions as per the details in the Petition and that the Debt is acknowledged and admitted as being owed by the Respondent as well as evidence of the Respondent seeking indulgence to pay the Debt which is proof of the Respondent being unable to pay the Debt and consequently of the Respondent’s insolvency by their statements that they were facing financial difficulties.”. [26] Plaintif sebagai syarikat pembinaan perlu memikirkan bab/hal/perkara pembayaran kepada kontraktor dan/atau sub-kontraktornya, sama ada syarikat atau pemilik tunggal. Apabila kerja kontraktor dan/atau sub-kontraktornya sudah disiapkan isu mengenai kerja variasi, jumlah tuntutan bayaran tidak teratur, dan sebagainya sewajarnyalah Plaintif memfailkan tuntutan terhadap Defendan. Defendan dari semasa ke semasa menanti bayaran daripada Plaintif apabila permintaan Plaintif agar Defendan mengemukakan dokumen sokongan dan dokumen tambahan telah dipatuhi. Selanjutnya, “janji” Plaintif bahawa perkara tuntutan Defendan akan dibawa kepada pihak pengurusan atasan Plaintif juga menjadi faktor untuk Defendan berfikiran bayaran akan diperolehnya. [27] Oleh itu, isu/persoalan “Sama ada Petisyen Penggulungan tidak mempunyai peluang untuk berjaya?” tidak menjadi halangan untuk Defendan memfailkan dan/atau mengemukakan Notis Sekesyen 465 kepada Plaintif. Sama ada Petisyen Penggulungan akan Menyebabkan Kerosakan yang Tidak Boleh Diperbaiki? [28] Hanya selepas pengemukaan Notis Sekesyen 465 kepada Plaintif, isu mengenai kerosakan, keaiban dan menjejaskan reputasi syarikat Plaintif dan lain-lain kesan akan dialami oleh Plaintif dibangkitkan dalam Saman Pemula ini. [29] Peguam cara terpelajar Defendan menghujahkan bahawa tiada kerosakan yang tidak boleh diperbaiki akan dialami oleh Plaintif sekiranya Petisyen Penggulungan dimulakan terhadapnya kerana, Plaintif sememangnya sebuah syarikat yang tidak berkemampuan untuk menjelaskan keberhutangannya. Bagi menyokong hujahan ini, peguam cara terpelajar Defendan menegaskan bahawa − • nilai kerja-kerja variasi telah dituntut secara konsisten oleh Defendan sejak dari tahun 2020 lagi, di mana potongan harga dan/atau diskaun juga telah diberikan, tetapi Plaintif sehingga ke hari ini telah gagal untuk menjelaskannya. • berikutan kegagalan berterusan Plaintif untuk menjelaskan jumlah terhutang dan tertunggak tersebut, ia jelas membuktikan bahawa Plaintif adalah tidak berkemampuan untuk menjelaskan keberhutangannya, di mana Penyelesai adalah wajar dilantik untuk mengumpulkan dan menghasilkan aset syarikat bagi menjelaskan liabilitinya. • dakwaan Plaintif bahawa syarikatnya adalah solven dan berdaya maju kerana mempunyai aset, wang simpanan dan keuntungan adalah disangkal kerana carian syarikat (SSM) tersebut juga menunjukkan Plaintif masih mempunyai 20 cagaran yang masih belum diselesaikan daripada 37 cagaran; Liabiliti semasa Plaintif adalah sebanyak RM145,243,560.00 lebih tinggi berbanding aset semasa berjumlah RM130,876,803.00. Maka, apabila Plaintif tidak dapat menjelaskan hutang semasa yang perlu dibayar, Plaintif dianggap sebagai sebuah syarikat mengalami insolven komersial kerana tidak mempunyai kemampuan mencukupi untuk memenuhi tanggungjawab kewangan semasanya walaupun mendakwa asetnya melebihi liabilitinya. [30] Peguam cara terpelajar Defendan menghujahkan bahawa Plaintif TIDAK seharusnya menyatakan Petisyen Penggulungan yang diniatkan tidak mempunyai peluang untuk berjaya dan akan menyebabkan kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki, apabila Plaintif tidak mempunyai keupayaan untuk membayar hutang tepat pada masanya. Maka, hujahan peguam cara terpelajar Defendan, adalah jelas bahawa Plaintif gagal untuk membuktikan elemen kedua untuk membolehkan Mahkamah ini untuk membenarkan permohonan Injunksi Fortuna yang dipohonnya. Hujahan peguam cara terpelajar Plaintif [31] Mahkamah juga meneliti hujahan peguam cara terpelajar Plaintif yang berulang kali menyatakan pertikaian “Alleged Debt” yang dituntut oleh Defendan dan ini termasuk “Variation Works” yang dkatakan telah dilakukan oleh Defendan dengan jumlah dituntut sebanyak RM477,335.00. [32] Peguam cara terpelajar Plaintif menghujahkan − “WINDING UP COURT IS NOT THE PROPER FORUM