Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO. JA – B53KJ – 1 – 10 /2020 ANTARA HAZIQ HAKIMI BIN HUSSIN … PLAINTIF
JA-B51KJ-1-10/2020
Sessions Court of Malaysia26 Sept 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO. JA – B53KJ – 1 – 10 /2020 ANTARA HAZIQ HAKIMI BIN HUSSIN … PLAINTIF
3
TETO ENGINEERING SDN BHD (No. Syarikat: 263468-V) … DEFENDAN-DEFENDAN DIDENGAR BERSAMA DALAM MAHKAMAH SESYEN DI JOHOR BHARU DALAM NEGERI JOHOR MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO. JA – A71KJ – 12 – 04 / 2022 ANTARA MOHAMED AL QUDAISH BIN ABDUL JABBAR … PLAINTIF
3
BHARU TETO ENGINEERING SDN BHD (No. Syarikat: 263468-V) … DEFENDAN-DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN Pengenalan 1. Pada 11.3.2020 plaintif-plaintif terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di KM 2 Jalan Skudai Pantai Lido.
2
Plaintif Haziq Hakimi bin Hussin (SP8) pada ketika merupakan pemandu motorkar no. pendaftaran BKT 4094 (“motorkar tersebut”) manakala plaintif Mohamed Al Qudaish Bin Abdul Jabbar (SP6) merupakan penumpang hadapan motorkar tersebut.
3
Pada akhir kes, Mahkamah telah menolak tuntutan plaintif-plaintif dengan kos. Mahkamah juga telah membuat taksiran provisional kuantum gantirugi-gantirugi yang dipohon.
4
Plaintif Haziq Hakimi bin Hussin (“plaintif”) tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah dan telah merayu ke Mahkamah Tinggi.
5
Mahkamah kini mengemukakan alasan-alasannya seperti berikut. Versi Plaintif 6. Saksi-saksi yang dipanggil oleh plaintif ialah seperti berikut: i. Sarjan Azim @ AB Azim bin AB Samat (SP1); ii. ASP Mohamad Yusof bin Mohd Ali (SP2); iii. Abdul Hafiz Faizal bin Abdul Rahman (SP3); iv. Husin bin Saniman (SP4); v. Dr Ramnan a/l Jeyasingham (SP5); vi. Mohamed Al Qudaish bin Abdul Jabbar (SP6); vii. Norsuliana binti Zaidon (SP7); viii. Haziq Hakimi bin Hussin (SP8) / plaintif; ix. Muhamad Al Aqraf bin Abdul Jabbar (SP9).
7
Kes yang diplidkan oleh plaintif di dalam Penyata Tuntutan Terpinda adalah seperti berikut: “6. Pada 11/03/2020 jam lebih kurang 1830 hrs, plaintif memandu motorkar nombor BKT 4094 dari Pusat Bandar ke rumah di Bukit Indah. Apabila sampai di KM 2, Jalan Skudai Pantai Lido, plaintif meneruskan perjalanan tiba-tiba Plaintif terlanggar lopak air Plaintif hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan lalu melanggar pembahagi jalan serta melanggar sebatang pokok yang berada di tengah jalan. Plaintif terlanggar lopak air tersebut di atas permukaan jalan raya dan telah tercampak lalu terjatuh.”
8
Laporan polis plaintif berkenaan kejadian ini (eksibit P4) m/s 197 Ikatan C adalah seperti berikut: “Pada 11.3.2020 jam lebih kurang 1830 hrs saya memandu m/kar no. BKT 4094 dari pusat bandar hendak balik ke rumah di Bukit Indah. Semasa sampai di KM 2 Jalan Skudai Pandai Lido pada masa itu, saya jalan terus. Tiba-tiba semasa m/kar sy terlanggar lopak air m/kar saya terus hilang kawalan dan terus terbabas ke kanan jalan dan melanggar pembahagi jalan lalu melanggar sebatang pokok yang berada di tengah jalan.”
9
Keterangan plaintif dan SP6 ialah pada hari kejadian motorkar yang dipandu oleh plaintif telah terlanggar lopak air yang berada di lorong kiri menyebabkan motorkar tersebut hilang kawalan dan terlibat dalam kemalangan. Pada masa kejadian, cuaca hujan, jalan licin dan basah. Plaintif mendakwa memandu dengan kelajuan 50 km/j.
10
SP4 merupakakan bapa ke pada plaintif. SP4 tidak terlibat dengan kemalangan namun mendakwa telah pergi ke tempat kemalangan pada hari kejadian jam lebih kurang 8.30 malam. SP4 juga mengambil gambar-gambar di lokasi kemalangan yang difailkan di dalam prosiding ini.
11
SP4 juga membuat siasatannya sendiri tentang bagaimana kemalangan tersebut berlaku. Menurut SP4 di lokasi kemalangan keadaan jalan raya merekah dan tidak rata menyumbang kepada air bertakung apabila hujan.
12
Pegawai Penyiasat yang memberi keterangan ialah SP1. SP1 merupakan pegawai penyiasat gantian kerana pegawai penyiasat asal Sarjan Shahril Anuar bin Hashim telah meninggal dunia sebelum memberi keterangan.
13
Keterangan SP1 adalah berdasarkan kertas siasatan yang telah dilengkapkan oleh Sarjan Shahril Anuar. Menurut keterangan SP1, kemalangan berlaku apabila motorkar plaintif terlanggar lopak air yang berada di lorong kiri dan terbabas.
14
14.
Preamble
Menurut SP1 lagi keterangan mengenai kewujudan lopak air tersebut adalah berdasarkan rakaman percakapan yang diambil daripada pihak-pihak yang terlibat di dalam kemalangan. SP1 juga mengakui tiada apa-apa siasatan, catatan atau ulasan di dalam kertas siasatan mengenai keadaan jalan raya rosak, berlubang atau merekah pada hari kejadian oleh arwah Sarjan Shahril Anuar.
15
Hujahan plaintif di dalam kes ini ialah kemalangan tersebut berlaku kerana plaintif terlanggar lopak air yang berada di lorong kiri lalu terbabas. Lopak air terbentuk akibat hujan dan keadaan jalan yang rosak dan tidak rata. Oleh itu, kemalangan tersebut berlaku kerana kecuaian dan/atau kelalaian defendan-defendan menjalankan kerja-kerja di jalan tersebut (rujuk perenggan 8 Penyata Tuntutan Plaintif). Versi Defendan 16. Saksi-saksi defendan ialah: i. Adam bin Sazali (SD1); dan ii. IR Mohd Zulkarnain bin Sulaiman (SD2).
17
Pada masa kejadian, SD1 merupakan Inspektor Rutin kepada defendan ketiga (D3) di mana SD1 bertanggungjawab membuat rondaan berkala sepanjang jalan Skudai – Pantai Lido pada masa yang material. Rekod rondaan SD1 dikemukakan sebagai eksibit D29 (m/s 202 – 203 Ikatan C) menunjukkan tiada apa-apa kerosakan pada jalan tersebut semasa hari kejadian.
18
D3 merupakan syarikat konsesi yang dilantik bagi menjalankan ‘Routine Maintenance Work’ seperti menampal dan/atau membaiki lubang di atas jalan, penyelenggaraan bahu jalan, memotong rumput di tepi jalan dan lain-lain serta skop kerja penyelenggaraan dan skop kerja kecemasan.
19
SD2 merupakan defendan kedua iaitu Jurutera Daerah Johor Bahru di bawah Jabatan Kerja Raya (“JKR’). Keterangan SD2 ialah Jalan Skudai-Pantai Lido merupakan jalan negeri dan berada di bawah tanggungjawab dan seliaan Pengarah Kerja Raya Negeri Johor.
20
Walaupun jalan tersebut merupakan jalan negeri, namun JKR Negeri Johor telah melantik D3 untuk menyelia dan menyelenggara jalan tersebut melalui Concession Agreement (in relation to the maintenance of Johor State Roads) bertarikh 4 September 2016 dan Perjanjian Konsesi Tambahan bertarikh 23.6.2020 dan Perjanjian Konsesi Tambahan Kedua yang melanjutkan tempoh perjanjian daripada 27.10.2020 hingga 26.10.2022.
21
Oleh itu menurut Artikel 28.1 Perjanjian Konsesi tersebut, D3 bertanggungan untuk menanggung rugi D1 untuk apa jua dapatan liability, tuntutan atau prosiding berbangkit daripada kecederaan diri, kematian dan kerosakan harta benda yang berlaku akibat kecuaian, ketinggalan atau pelanggaran Perjanjian Konsesi tersebut.
22
22.
Preamble
Menurut SD2 lagi JKR ada menerima laporan bulanan daripada D3 mengenai keadaan Jalan Skudai – Pantai Lido bagi bulan Disemberi 2019 sehingga Mac 2020 namun tiada kerosakan ‘pothole’ dilaporkan di kawasan kemalangan pada tarikh 11.3.2020 tersebut.
23
Kedua-dua SD1 dan SD2 memaklumkan tiada apa-apa aduan dibuat kepada pihak mereka mengenai kemalangan tersebut dan punca kemalangan yang dikatakan berlaku kerana lopak air di atas jalan raya.
24
Hujahan defenda-defendan ialah plaintif gagal membuktikan kewujudan lopak air dan kemalangan berlaku akibat kecuaian plaintif sepenuhnya yang gagal mengawal motorkar tersebut pada masa yang material. Dapatan Mahkamah 25. Undang-undang matan memperuntukkan mana-mana kes kemalangan jalan raya yang bersandarkan kepada kecuaian sebagai kausa tindakan, beban pembuktian kecuaian adalah ke atas plaintif. Prinsip ini dinyatakan dengan jelas di dalam locus classicus Wong Thin Yit v. Mohamed Ali [1971] 1 LNS 151; [1971] 2 MLJ 175 di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan: “In a negligence action the onus of proof rests wholly on the plaintiff, whether or not the defendant gives evidence. The plaintiff cannot succeed without proof of the defendant’s negligence. Evidence is the foundation of proof, with which it must not be confounded. Proof is that which leads to a conclusion as to the truth or falsity of alleged facts which are the subject of inquiry. Evidence, if accepted and believed, may result in proof, but it is not necessarily proof of itself.”; see 15 Halsbury (3rd Edn.) p. 260.”
26
Beban pembuktian ke atas plaintif untuk membuktian kesnya adalah selari dengan peruntukan seksyen-seksyen 101 dan 102 Akta Keterangan 1950 (rujuk MGI Securities Sdn Bhd v. Teong Teck Leng & Ors [2000] 5 CLJ 163; [2000] 1 MLJ 354).
27
Kes yang diplidkan oleh plaintif seperti yang telah dinyatakan di atas adalah kemalangan berlaku kerana plaintif terlanggar lopak air, hilang kawalan lalu terbabas dan cedera.
28
Oleh itu adalah penting untuk plaintif membuktikan kewujudan lopak air di tempat kejadian pada masa yang material.
29
Gambar-gambar yang diambil semasa siasatan eksibit P3(a) –
d
(m/s 199 – 200 Ikatan C) tidak menunjukkan kehadiran lopak air di jalan Skudai – Pantai Lido tersebut.
30
Mahkamah juga merujuk kepada Rajah Kasar yang dikemukakan dalam kes ini iaitu eksibit P2 (m/s 1 Ikatan D) yang juga tiada apa-apa tandaan tentang lopak air yang dikatakan oleh plaintif. Rajah kasar tersebut juga tidak mencatatkan apa-apa kerosakan pada jalan raya tersebut.
31
Keterangan SP1 juga yang mengesahkan bahawa kesimpulan pegawai penyiasat asal bahawa kemalangan berlaku akibat lopak air hanyalah adalah berdasarkan rakaman percakapan yang diperolehi oleh mangsa-mangsa yang terlibat dalam kemalangan i.e. plaintif dan SP6 dan tiada keterangan bebas menyokong keterangan tersebut.
32
Keterangan SP1 semasa di soal balas: Sarjan berdasarkan kepada hasil siasatan Sarjan Sahril, berdasarkan hasil siasatan beliau, ada tak apa apa penyataan perihal bahawa beliau ada melihat lopak ar dilokasi tersebut? Ada Puan. Dinyatakan ada? Ada lihat lah? Ya. Bila dia katakan itu? Dalam ulasan dia ada menceritakan pemandu terlanggar lopak air. Ok tetapi dia tak kata yang dia nampak kan? Hanya ulasan pegawai penyiasat… Dia kata pemandu katalah? Hasil siasatan. Tapi tadi Sarjan bila baca kata ikut kata pemandu? Tidak, ulasan daripada pegawai penyiasat … hasil siasatan menyatakan berpunca daripada pemandu memasuki selekoh telah terlanggar lopak air dan menyebabkan hilang kawalan. Jadi soalan saya … tapi dia tak kata dia nampak lopak air itu kan? Nampak, tiada … Itulah soalan saya Sarjan, dia ulas itu …setuju dengan saya, saya faham Sarjan kena baca kandungan IP lah ... ulasan tersebut berkenaan dakwaan lopak air tersebut itu diperolehi daripada dakwaan pemandu motokar, betul kan? Ya.
33
SP2 iaitu Penolong Penyiasat Kanan Trafik IPD Johor Bahru Selatan yang merupakan pegawai atasan arwah Sarjan Shahril Anuar, yang memberi arahan siasatan dan mempunyai akses kepada kertas siasatan, juga mengesahkan tiada apa-apa keterangan bebas yang mendapati kewujudan lopak air pada masa kejadian.
34
Keterangan SP2: ASP juga ada menyatakan bahawa berdasrkan siasatan SM Sahril melainkan daripada lihat aspek pemandu, beliau juga ada menyatakan perihal berkenaan lopak air, betul? Betul. Perihal lopak air ini merupakan satu yang dibangkitkan oleh pemandu motokar tersebut, betul? Betul. ASP setuju pada malam berdasarkan kertas siasatanlah, SM Sahril tidak pernah menyatakan penyataan bahawa beliau nampak kewujudan lopak air dekat jalan tersebut pada masa kemalangan itu berlaku, betul? Tiada,Yang Arif. Jadi kalau kita hendak katakan berkenaan bukti bebas untuk menunjukkan kewujudan lopak air itu didalam kes ini tidak ada, betul? Tiada.
35
Selanjutnya ialah keterangan SP4. Walaupun SP4 sendiri ada hadir ke tempat kejadian selepas kemalangan dan mengambil gambar-gambar lokasi, tiada apa-apa gambar membuktikan kewujudan lopak air seperti yang didakwa oleh plaintif. SP4 seterusnya mendakwa ada mengambil video kewujudan lopak air di tempat kejadian selepas hujan beberapa bulan selepas kemalangan, namun video tersebut tidak dikemukakan di Mahkamah. Ringkasnya, keterangan SP4 juga tidak membuktikan kewujudan lopak air pada hari kemalangan kemalangan di tempat kejadian tersebut.
36
Mahkamah juga meneliti keterangan SP6 penumpang bahagian hadapan motorkar tersebut semasa kemalangan. Mahkamah juga meneliti tingkah-laku SP6 semasa memberi keterangan. Pada hemat Mahkamah, SP6 bukanlah saksi menyakinkan, mengambil masa untuk menjawab soalan, tidak memberi perhatian semasa disoal dan sering memberikan keterangan yang mengelirukan dan bercanggah. Mahkamah juga berpendapat pada masa kemalangan SP6 tidak memberikan tumpuan kepada keadaan jalan dan apa juga keterangan SP6 mengenai lopak air tersebut meragukan.
37
Satu percanggahan material yang menggugat kredibiliti SP6 ialah keterangan SP6 mengenai motorkar berguling-guling di atas jalan selepas terbabas hilang kawalan. Perihal motorkar tersebut berguling-guling di atas jalan raya datang daripada keterangan SP6. Plaintif semasa memberi keterangan menyatakan perihal motorkar tersebut berguling-guling di atas jalan diberitahu oleh SP6 kepadanya kerana plaintif sendiri sudah tidak ingat apa yang berlaku selepas kenderaan terlanggar lopak air.
38
Namun begitu, adalah tidak dipertikaikan bumbung motorkar tersebut masih berapa di dalam keadaan yang elok tiada kesan calar dan kemek selepas kemalangan. Ini dapat dilihat pada gambar P3(c) seperti di bawah:
39
Jelas keterangan SP6 adalah bertentangan dengan keterangan senyap yang ada, iaitu kesan kerosakan motorkar tersebut selepas kemalangan. Tiada penjelasan munasabah diberikan oleh SP6 atau mana-mana saksi plaintif mengenai keadaan bumbung motorkar tersebut yang masih berada dalam keadaan yang baik selepas kemalangan. Mahkamah berpendapat keterangan SP6 tentang motorkar berguling-guling merupakan keterangan pemikirian semula dan bertujuan untuk memesongkan Mahkamah daripada menceritakan versi yang sebenar.
40
Keterangan plaintif sendiri ialah plaintif memandu dalam kelajuan 50 km/j dan berada di lorong kiri. Cuaca mendung dan hujan dan gelap. Plaintif mengakui jalan tersebut mempunyai dua lorong dan plaintif biasa melalui jalan tersebut sebelum ini. Sebelum sampai ke tempat kejadian yang dikatakan terdapat lopak air tersebut, jalan tersebut mempunyai garis-garis pemecah kelajuan (speed breaker) sebelum menghampiri selekoh.
41
Pada pendapat Mahkamah sekiranya benar plaintif memandu dalam kelajuan 50 km/j, mustahil plaintif gagal mengelak daripada memasuki lopak air tersebut. Ini kerana plaintif sendiri mengatakan tiada kenderaan lain di hadapan mahupun di bahagian lorong kanan.
42
Selain itu, kewujudan pemecah kelajuan di atas jalan menunjukkan pemandu perlu memperlahankan kenderaan semasa melalui kawasan tersebut kerana terdapat selekoh di hadapan. Plaintif tidak boleh menafikan adanya pemecah kelajuan di jalan tersebut sebelum sampai ke selekoh di hadapan kerana plaintif sendiri mahir dan biasa melalui jalan tersebut.
43
Selain itu, Mahkamah berpendapat adalah mustahil bagi sesebuah motorkar yang dipandu dengan kelajuan 50 km/j akan hilang kawalan dan terbabas teruk apabila melanggar lopak air. Dalam kelajuan sedemikian, mana-mana pemandu berhemah sudah pasti dapat melihat kewujudan lopak air di hadapan dan mengambil tindakan munabasah memperlahankan kenderaan dan seterusnya mengelak daripada kenderaan terbabas dan hilang kawalan. Jikapun kenderaan melanggar lopak air dalam kelajuan 50 km/j tersebut, pelanggaran dengan lopak air tersebut akan memperlahankan kenderaan tetapi tidak menyebabkan kenderaan terbabas teruk seperti di dalam kes ini.
44
Plaintif memberi keterangan bahawa tayar motorkar tersebut tenggelam kerana terlanggar lubang lopak air. Plaintif sedaya upaya cuba memberi gambaran bahawa lubang lopak air tersebut adalah dalam sehingga tayar motorkar tersebut tenggelam.
45
Perihal kewujudan lubang ini tidak pernah diplidkan oleh plaintif dan tiada di dalam mana-mana keterangan dokumentar kontemporari kes ini sama ada dalam laporan polis plaintif, laporan-laporan perubatan awal mahupun dalam keterangan plaintif kepada pihak polis semasa siasatan.
46
Pada pendapat Mahkamah perihal ‘lubang’ lopak air ini merupakan satu pemikiran semula ditokok tambah bagi menguatkan versi kemalangan plaintif.
47
Pada hakikatnya berdasarkan kerosakan teruk pada kenderaan, satu inferen munasabah yang boleh dibuat ialah motorkar tersebut dipandu dengan laju oleh plaintif yang baru dua minggu sebelum itu memperoleh lesen memandu kenderaan. Plaintif gagal memperlahankan motorkar tersebut semasa menghampiri selekoh walaupun terdapat garis-garis pemecah kelajuan sebelum itu dan akibatnya motorkar tersebut terbabas melanggar benteng konkrit dan hilang kawalan.
48
Dalam keadaan mendung, gelap dan jalan basah dan motorkar dipandu dengan laju bagaimana plaintif begitu pasti bahawa kemalangan berlaku berpunca daripada lopak air dan bukannya pelanggaran dengan benteng konkrit yang berada di sebelah kiri jalan?
49
Adalah tidak dinafikan bahawa motorkar tersebut mengalami kerosakan teruk pada bahagian tayar hadapan kiri seperti dalam gambar P3(c). Keterangan plaintif semasa pemeriksaan utama berkenaan apa yang berlaku semasa kemalangan tersebut ialah: “Jawapan: … Lepas itu, motorkar saya terbabas ke kanan jalan dan roda depan kiri motorkar langgar benteng konkrit di tengah jalan. Lepas itu, bahagian sisi kiri motorkar saya hentak ke benteng konkrit pembahagi jalan dan motorkar pun terguling di atas pembahagi jalan dan melanggar pokok.”
50
Berdasarkan keterangan di atas, keterangan plaintif ialah roda depan kiri melanggar benteng konkrit di tengah jalan dan motorkar terhentak ke benteng konkrit pembahagi jalan.
51
Namu semasa pemeriksaan balas, plaintif bersetuju bahawa motorkar tersebut melanggar benteng konkrit pada sebelah kiri jalan dan bukannya benteng konkrit pembahagi jalan. “Q: Berdasarkan kepada jawapan kamu itu, saya cadangkan kamu sebenarnya disebabkan oleh keadaan jalan yang licin, keadan jalan yang selekoh … kamu malangnya telah hilang kawalan, terbabas dan telah melanggar benteng konkrit dibahagian kiri jalan, kamu setuju? Setuju”.
52
Kedua-dua keterangan plaintif ini bercanggah di antara satu sama lain.
53
Gambar P3(b) di bawah menunjukkan benteng konkrit di bahagian kiri jalan yang berada di tempat kejadian. Pada pendapat Mahkamah kerosakan pada bahagian tayar hadapan kiri motorkar tersebut adalah lebih konsisten dengan pelanggaran pada benteng konkrit sebelah kiri jalan berbanding benteng konkrit pembahagi jalan.
54
Ini kerana kerosakan pada bahagian hadapan kiri motorkar tersebut bukan setakat pada bahagian tayar sahaja tetapi termasuk keseluruhan kawasan bonet sebelah kiri hadapan sehingga hampir ke bahagian pintu penumpang hadapan.
55
Adalah mustahil pelanggaran pada benteng konkrit pembahagi jalan seperti yang didakwa plaintif, akan menyebabkan kerosakan yang sama memandangkan benteng konkrit pembahagian jalan adalah lebih rendah dengan ketinggian hanya beberapa inci di atas tanah.
56
Plaintif sendiri mengesahkan versi ini semasa pemeriksaan semula: “A: Macam yang saya terangkan sebelum ini selepas melanggar benteng konkrit di sebelah kiri (hitam kuning) … saya hilang kawalan dan melanggar lubang dan kereta saya macam terjatuh dan hilan kawalan sekali lagi dan memaut stereng ke kanan dan hilang kawalan lagi. “
57
Jika diteliti keseluruhan keterangan, plaintif telah memberikan pelbagai versi bagaimana motorkar tersebut boleh terbabas dan kemalangan berlaku. Pada pendapat Mahkamah kepelbagaian versi yang tidak konsisten dan bercanggah antara satu sama lain menunjukkan plaintif tidak jujur dalam memberi keterangan dan sering menokok-nambah ceritanya.
58
Namun apa yang pasti, Mahkamah berpandangan kerosakan motorkar tersebut menyokong versi defendan bahawa kemalangan berlaku apabila plaintif hilang kawalan motorkar tersebut terbabas dan melanggar benteng kiri sebelah kiri jalan. Mahkamah juga berpendapat tiada satu pun saksi-saksi plaintif yang dapat mengesahkan kewujudan lopak air semasa kemalangan berlaku.
59
Sebaliknya Mahkamah berpendapat kemalangan ini berlaku akibat kecuaian plaintif sepenuhnya dalam pemanduannya. Plaintif baru mendapat lesen memandu dua minggu sebelum kejadian dan adalah inferen munasabah bahawa plaintif belum cekap mengendalikan motorkar tersebut terutamanya dalam keadaan jalan yang licin, cuaca mendung dan hujan disertai dengan kelajuan yang berlebihan.
60
Sekiranya pun terdapat lopak air di atas jalan, itu tidak semestinya membuktikan plaintif tidak cuai dalam kemalangan ini. Mana-mana pemandu yang peka dan memberi tumpuan dalam pemanduan sudah pasti akan sedar kehadiran halangan-halangan di atas jalan raya seperti lopak air, dahan pokok, kenderaan rosak dan sebagainya dan mengambil tindakan sewajarnya mengelak halangan-halangan tersebut.
61
Kegagalan plaintif mengelak daripada melanggar lopak air tersebut menunjukkan kurang tumpuan pada pemanduan dan gaya pemanduan yang cuai serta memandu dengan laju.
62
Kesimpulannya Mahkamah memutuskan berdasarkan keterangan-keterangan yang dikemukakan, plaintif gagal membuktikan kewujudan lopak air seperti yang didakwa. Kecuaian defendan 63. Sekiranya Mahkamah ini terkhilaf dalam dapatan di atas mengenai kewujudan lopak air tersebut, plaintif masih perlu menunjukkan kecuaian defendan-defendan dalam menyebabkan kemalangan ini untuk membuktikan kesnya.
64
Adakah plaintif telah membuktikan kecuaian defendan-defendan di dalam tindakan ini?
65
Plaintif bergantung sepenuhnya kepada keterangan SP4 untuk membuktikan terdapat kerosakan pada permukaan jalan di mana kemalangan berlaku yang menyebabkan air bertakung dan mewujudkan lopak air.
66
SP4 merupakan bapa kepada plaintif. Semasa SP4 memberi keterangan SP4 bertugas sebagai Penolong Pengurus Quality Assurance di syarikat MC Pack (M) Sdn Bhd.
67
SP4 mendakwa mempunyai kemahiran dan kepakaran mengenai siasatan kemalangan di tempat kerja dan dalam kes yang melibatkan kemalangan plaintif ini, SP4 juga membuat siasatannya sendiri dengan bantuan daripada abangnya yang merupakan seorang anggota polis.
68
Penemuan SP4 mengenai siasatannya itu ialah seperti berikut: “A: Selepas diterangkan oleh anak saya, Haziq Hakimi dan pergi ke tempat kejadian …saya menyiasat possibility keadaan jalan ditempat kejadian dan saya mendapati keadaan sebelum rekahan itu, permukaannya agak tinggi dan selepas rekahan, dia adalah rendah dimana disebelah kiri di tembok jalan itu ada lubang untuk discharge air , daripada keterangan anak saya semasa memandu dia katakan hilang kawalan ditempat kejadian selepas melanggar takungan air dikawasan tersebut yang mana kalau kita tengok daripada lakaran itu , itu adalah penghujung struktur binaan an selepas rekahan itu ialah tambakan…kita tengok daripada arah Johor Bahru pusat bandar, sepanjang jalan itu adalah struktur binaan , itu adalah penghujung dan rekahan itu berlaku disebabkan pada pendapat saya air yang bertakung telah meresap.”
69
Semasa perbicaraan keterangan SP4 yang merujuk kepada siasatan dan pendapat serta penemuan SP4 ini telah dibantah oleh defendan-defendan atas alasan tidak diplidkan dan saksi SP4 ini memberi keterangan pendapat sedangkan SP4 bukanlah seorang yang pakar.
70
Mahkamah bersetuju dengan bantahan defendan atas kedua-dua isu tersebut. Pliding plaintif langsung tidak mengandungi butiran-butiran kerosakan jalan seperti rekahan di atas jalan, permukaan jalan agak tinggi, jalan tidak rata dan sebagainya. Penyata Tuntutan plaintif hanya menyatakan kemalangan berlaku akibat terlanggar lopak air. Di dalam butiran kecuaian terhadap defendan pertama dan kedua plaintif memplidkan kewujudan lubang besar (pothole) di atas jalan raya yang mana juga tidak dibuktikan dalam mana-mana keterangan saksi dan bertentangan dengan kes plaintif sendiri.
71
Isu mengenai keadaan jalan raya tidak sama rata, rekahan di atas jalan raya atau air bertakung di tepi jalan ini telah diputuskan oleh Mahkamah ini melalui Notis Permohonan plaintif untuk meminda Penyata Tuntutannya (Lampiran 117 dan 127). Mahkamah ini menolak Notis Permohonan tersebut dan keputusan ini dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi vide Rayuan Sivil No. JA-12A-4-08/2024 pada 14.5.2025. Oleh itu pada peringkat perbicaraan kes ini, apa jua keterangan berkenaan rekahan di atas permukaan jalan, permukaan jalan tidak rata atau air bertakung di tepi jalan ini tidak diterima masuk oleh Mahkamah dan dibatalkan daripada rekod Mahkamah.
72
Selain itu, apa jua keterangan yang diberikan di luar kes yang diplidkan adalah bertentangan dengan prinsip undang-undang matan di mana pihak-pihak adalah terikat dengan pliding masing-masing dan tidak dibenarkan mengemukakan apa-apa isu dan fakta yang tidak diplidkan (rujuk Samuel Naik Sing Ting v Public Bank Berhad [2015] 6 MLJ 1).
73
Bantahan kedua pula ialah mengenai keterangan pendapat yang diberikan oleh SP4 tentang rekahan di atas jalan raya dan punca air bertakung.
74
SP4 merupakan waris kepada plaintif. SP4 dipanggil di dalam kapasiti dan peranannya sebagai waris kepada plaintif. SP4 tidak dipanggil untuk memberikan pendapatnya tentang bagaimana kemalangan boleh berlaku dan apakah punca kemalangan tersebut.
75
Siasatan mengenai kemalangan adalah tugas pengawai penyiasat kes di mana di dalam kes ini telah dilakukan oleh Sarjan Shahril Anuar. Manakala dapatan mengenai rekahan di atas jalan dan permukaan jalan tidak rata sebagai punca air bertakung sepatutnya datang daripada jurutera jalan raya ataupun mana-mana individu yang mempunyai kelayakan professional. SP4 tidak mempunyai kepakaran dan kelayakan untuk menilai kerosakan jalan raya tersebut dan membuat kesimpulan tentang punca air bertakung di tepi jalan raya.
76
Plaintif tidak boleh menggunakan jalan pintas menggunakan SP4 yang mempunyai latar belakang pekerjaan yang sama sekali berlainan dengan siasatan kemalangan jalan raya dan kejuruteraan jalan raya. Kesimpulan yang dibuat oleh SP4 adalah ‘overly simplictic’ tanpa apa-apa data sokongan atau kajian yang sewajarnya. SP4 bukanlah saksi pakar seperti yang diperuntukkan bawah seksyen 45 Akta Keterangan 1950 dan pendapat SP4 tidak mempunyai apa-apa keberatan di sisi undang-undang.
77
Keterangan SP4 di atas telah dibatalkan daripada rekod Mahkamah semasa perbicaraan selepas bantahan oleh peguamcara defendan. Oleh itu rujukan kepada keterangan tersebut oleh plaintif pada peringkat hujahan adalah tidak bermerit dan mengelirukan.
78
SP4 juga ada mengambil gambar-gambar di tempat kejadian yang dikatakan sebagai tempat di mana kemalangan berlaku. Gambar-gambar tersebut ialah: • Eksibit ID11(a) – (f) - m/s 21-23 Ikatan E; • Eksibit ID12(g) – (i) – m/s 24 – 30 Ikatan E; • Eksibit ID13(a) – (l) – m/s 31-34 Ikatan E; • Eksibit ID14(a) – (c) – m/s 35 Ikatan E. • Eksibit ID17 – m/s 9 Ikatan L.
79
SP4 turut mengemukakan Sijil Perakuan di bawah seksyen 90A Akta Keterangan (eksibit ID10 – m/s 1 Ikatan L).
80
Pada peringkat perbicaraan, peguam defendan telah membantah dokumen-dokumen tersebut diterima masuk dan ditandakan sebagai “P” tertakluk kepada pemeriksaan balas dan hujahan.
81
Di dalam hujahan, kedua-dua pihak tidak berhujah lanjut sama ada dokumen-dokumen tersebut patut diterima masuk dan ditandakan sebagai eksibit. Namun begitu Mahkamah masih perlu membuat pertimbangan dan keputusan mengenai dokumen-dokumen bagi melengkapkan kes ini.
82
82.
Preamble
Menurut SP4 kesemua gambar-gambar tersebut diambil olehnya menggunakan telefon bimbitnya sendiri (yang sudah lagi tidak digunakan) pada 11.3.2020, 15.3.2020 dan 5.7.2020. SP4 menyatakan semua gambar-gambar tersebut diserahkan kepada arwah Sarjan Sahril Anuar pada 6.11.2020 semasa Sarjan Shahril Anuar berjumpa dengan plaintif dan SP4 bagi siasatan lanjut. Gambar P3(d) merupakan salah satu gambar yang diambil oleh plaintif dan diberikan kepada Sarjan Shahril Anuar.
83
Mahkamah berpuas hati dengan penjelasan SP4 mengenai gambar-gambar yang diambil oleh SP4. SP4 merupakan pembuat kepada dokumen-dokumen tersebut dan telah mengemukakan Sijil 90A seperti yang diperuntukkan bawah Akta Keterangan, maka Mahkamah menerima masuk gambar-gambar tersebut sebagai eksibit dan ditandakan sebagai P.
84
Namun begitu Mahkamah mengekalkan dokumen-dokumen imej daripada Google (m/s 1- 8 Ikatan F) sebagai ID memandangkan ketulenan imej tidak dibuktikan dan SP4 bukanlah pembuat kepada imej-imej tersebut.
85
Gambar-gambar yang diambil oleh SP4 di perenggan 78, supra, merangkumi tempat kejadian dan kerosakan kenderaan.
86
Namun tiada mana-mana gambar yang diambil oleh SP4 menunjukkan lopak air di kawasan kemalangan seperti yang didakwa oleh plaintif atau SP4. SP4 juga tidak mengemukakan video yang dikatakan diambil di tempat kejadian yang menunjukkan air bertakung pada hari hujan.
87
Mahkamah berpendapat gambar-gambar lokasi kejadian tersebut tidak membuktikan kehadiran lopak air semasa kemalangan. Tambahan pula gambar-gambar yang dikatakan sebagai lokasi kejadian P13 dan P14 itu diambil beberapa bulan selepas kemalangan di mana keadaan jalan raya dan kawasan sekitar boleh berubah.
88
Jika menurut keterangan SP4, kawasan lopak air terbentuk di bahagian jalan seperti di dalam gambar P13(c) (m/s 31 Ikatan E). Namun begitu, tiada mana-mana keterangan bebas mengesahkan tempat tersebut merupakan tempat di mana terjadinya lopak air yang dilanggar oleh plaintif. SP4 tidak pernah membawa plaintif atau SP6 atau SP9 semasa ke tempat kejadian bagi pengesahan dan hanya bergantung kepada apa yang diberitahu oleh plaintif sahaja. Oleh yang demikian, tempat yang dikatakan sebagai tempat berlakunya lopak air tersebut adalah dapatan yang dibuat oleh SP4 sendiri hanya bergantung kepada apa yang diceritakan oleh plaintif.
89
Seperti yang diberitahu oleh SP4, gambar-gambar ini semua telah diberikan kepada Sarjan Shahril Anuar semasa arwah bertemu dengan plaintif dan SP4 pada November 2020.
90
Namun begitu tiada sebarang catatan oleh Sarjan Shahril Anuar mengenai gambar-gambar ini dan/atau penemuan SP4 mengenai keadaan jalan di lokasi kemalangan di dalam kertas siasatan. Isu mengenai keadaan jalan ini juga tidak diplidkan oleh plaintif sungguhpun tindakan ini difailkan pada Oktober 2020, iaitu selepas gambar-gambar ini diambil dan SP4 membuat penemuan seperti dakwaannya.
91
Saksi-saksi plaintif sendiri iaitu SP1 dan SP2 mengesahkan jalan tersebut berada dalam keadaan yang baik dan tidak membahayakan pengguna jalan raya.
92
Keterangan SP1: Def 3: Dalam soalan jawab soalan no.14(Q&A) pula , ada tak dinyatakan didalam IP ada rekahan atau “ crack’ di atas jalan raya, ditempat kejadian pada masa kejadian, Sarjan dengan cepatnya kata tiada sebab tadi pun saya sudah tanya yang dikatakan tempat permukaan dan Sarjan kata tidak, base on pemandu hanya lopak air. Jadi Sarjan setuju dengan saya kalau benar pada masa kejadian sepertimana yang cuba didakwa oleh plaintif ada rekahan.Kalau sekiranya benar ada perihal tersebut akan ditunjukkan oleh Sarjan Sahril Anuar didalam rajah kasar dan kunci dan ianya juga boleh dilihat didalam gambar yang diambil oleh beliau sehari selepas kejadian, betul tak ? Setuju. Dan memang tidak pernah didalam siasatan beliau yang maklumat rekahan ini yang cuba didakwa tersebut pernah dibangkitkan, betul? Setuju. Sarjan di Q&A no.18, Sarjan ada ditanya adakah wujudnya apa apa tanda jalanraya yang menunjukkan ada bahaya ditempat kejadian dan Sarjan menjawab tiada? Setuju. Sarjan setuju dengan saya sebab tidak ada papan tanda menunjukkan sebarang bahaya atau menyatakan bahaya adalah kerana jalan tersebut tidak merbahaya, betul tak?
93
Keterangan SP2: Didalam mana mana dokumen ini tidak ada sebarang indikasi oleh SM Sahril berkenaan kerosakan pada permukaan jalan, betul? Tiada. ASP setuju kalau betul keadaan jalan merupakan salah satu faktor yang telah menyebabkan kemalangan ini, SM Sahril sememangnya akan menunjukkan diatas rajah kasar dan kunci, setuju? Setuju. Didalam kes ini tidak ada indikasi sedemikian oleh SM Sahril kerana berdasarkan siasatan dan pemerhatian beliau dilokasi, tidak ada sebarang kerosakan dipermukaan jalan, betul? Betul.
94
Kedua-dua saksi defendan SD1 dan SD2 juga memberi keterangan mengesahkan bahawa jalan raya tempat kemalangan adalah dalam keadaan baik pada masa yang material. SD1 yang mewakili defendan ketiga mengemukakan laporan inspector rutin yang merekodkan pemeriksaan rondaan ke atas jalan tersebut pada masa yang material (eksibit D29).
Preamble
Menurut SD1 tiada apa-apa penemuan kerosakan jalan raya atau terdapat halangan atau objek di jalan raya yang menghalang atau membahayakan pengguna jalan raya tersebut.
95
SD2 yang mewakili defendan kedua juga mengesahkan pada tarikh kejadian pihaknya tidak menerima apa-apa aduan atau laporan pada hari kejadian tentang keadaan jalan raya yang tidak selamat atau berlaku kerosakan. SD2 bersetuju bahawa jalan tersebut berada dalam keadaan yang selamat untuk dilalui.
96
Seperti yang telah dinyatakan di atas, plaintif menanggung beban membuktikan kecuaian defendan-defendan menyebabkan kemalangan berlaku.
97
Setakat keterangan yang dikemukakan, Mahkamah berpendapat plaintif telah gagal mengemukakan apa-apa bukti menunjukkan kecuaian defendan-defendan seperti yang diplidkan di dalam Penyata Tuntutan plaintif. Sebaliknya Mahkamah berpuas hati bahawa kemalangan ini berlaku atas sebab kecuaian plaintif sendiri yang memandu dengan laju, cuai dan melulu dalam keadaan hujan dan jalan raya yang basah dan licin. Tambahan pula plaintif pada ketika itu baru mendapat lesen memandu kenderaan dan belum cukup mahir mengendalikan kenderaan terutamanya apabila motorkar dipandu dengan laju dan jalan basah.
98
Plaintif hanya merayu terhadap awad kos penjagaan yang diberikan oleh Mahkamah atas alasan Mahkamah hanya memberikan kos penjagaan pada peringkat awal sahaja.
99
Di dalam keputusan Mahkamah bertarikh 26.9.2025 Mahkamah telah memberikan awad kos penjagaan selama 42 tahun seperti berikut:
100
Jumlah RM42,000.00 tersebut seperti yang dinyatakan didalam Notis Rayuan Plaintif bagi kos penjagaan adalah untuk 5 tahun pertama sahaja sebelum keputusan kes. Untuk 2 tahun pertama oleh kerana plaintif masih dalam tempoh pemulihan daripada kecederaan teruk maka Mahkamah membenarkan RM1,000.00/sebulan sebagai kos penjagaan oleh ahli keluarga.
101
Untuk 3 tahun berikutnya, oleh kerana plaintif telah boleh berdikari dalam kebanyakan aspek kehidupan seharian dan penjagaan minimal sahaja yang diperlukan, Mahkamah membenarkan kos penjagaan sebanyak RM500.00/sebulan.
102
Kedua-dua awad ini diletakkan bawah tajuk Gantirugi Khas memandangkan awad ini adalah untuk perbelanjaan sebelum keputusan kes.
103
Namun bagi kos penjagaan masa hadapan, awad diletakkan bawah Gantirugi Am dan tidak dikenakan faedah. Pengiraan adalah seperti yang ditunjukkan di atas bagi baki jangka hayat 42 tahun yang membawa jumlah RM500 x 12 x 42 = RM252,000.00. Dalam keputusan tersebut, Mahkamah telah terkhilaf apabila tidak meletakkan jumlah RM252,000.00 ini namun tidak bermaksud tiada awad kos penjagaan masa hadapan diberikan. Kesimpulan 104. Di atas imbangan kebarangkalian, setelah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan, Mahkamah memutuskan plaintif telah gagal membuktikan kesnya terhadap defendan-defendan.
105
Tuntutan plaintif ditolak dengan kos. Kos mengikut skala. Bertarikh 1 Januari 2026 …………………………. LAILAWATI BINTI ALI Hakim Mahkamah Sesyen Sivil 3 Johor Bahru Bagi pihak plaintif : CY Ong T/n S. Satheesan & Co Bagi pihak defendan Pertama & Kedua : Arief Aiman Bin Hamir Hamzah, (Peguam Persekutuan) Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Johor Bagi pihak defendan Ketiga : Sukhdep Singh T/n Gan, Ho & Razlan Hadri
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.