Oleh itu, kepentingan atau hak milik Defendan atas tapak tersebut tidak boleh disangkal kerana telah diperolehi dengan suci hati dengan balasan yang berharga [Rujuk Seksyen 340(3) Kanun Tanah Negara 1965] [17] HMS juga gagal mengambil kira bahawa tiada sebarang dokumen yang dikemukakan oleh Plaintif bahawa Kamarudin bin Parlan sebagai pemilik asal tapak No. 5 telah menyerahkan tapak itu kepada Plaintif. Didalam keadaan ini, maka satu dapatan yang boleh dibuat adalah Plaintif belum membuktikan secara dokumen bahawa tapak yang dia bayar dan beli dari Kamarudin bin Parlan adalah tapak No. 5 dan bukan tapak lain seperti yang ditunjukkan oleh resit-resit bayaran yang dikemukakan di Mahkamah. [18] HMS yang bijaksana juga telah bergantung kepada satu pelan tapak yang dikemukakan sebagai ekshibit P1 yang menunjukkan tapak itu adalah tapak No 5 seperti yang direpresentasikan oleh Kamarudin bin Parlan kepada Plaintif. Walaubagaimanapun Kamarudin bin Parlan tidak dipanggil sebagai saksi untuk mengesahkan pelan tapak yang dikemukakan oleh Plaintif adalah pelan tapak No. 5. Fakta ini gagal diambil kira oleh HMS dalam mencapai kepada keputusannya. Fakta ini penting kerana keterangan daripada Plaintif adalah dia membeli tapak tersebut dari Kamarudin bin Parlan dan dia yakin tapak seperti didalam P1 adalah tapak No. 5. Satu-satunya saksi yang boleh mengesahkan perkara ini adalah Kamarudin bin Parlan sendiri namun ianya tidak berlaku dalam kes ini. [19] HMS didalam membuat dapatan untuk milikan tapak No. 5, hendaklah bergantung kepada dokumen yang sahih yang menunjukkan tapak yang diserahkan oleh Kamarudin bin Parlan adalah tapak No. 5. Kelompangan inilah yang gagal ditutup oleh Plaintif didalam kes mereka. Kebergantungan kepada P1 sebagai membuktikan bahawa tapak tersebut adalah milik Plaintif adalah tidak tepat. HMS telah membuat keputusan oleh kerana P1 tidak dicabar oleh Defendan maka dokumen itu dianggap sebagai tepat dan sahih untuk membuktikan pemilikan Plaintif atas tapak tersebut. [20] P1 adalah dokumen yang terletak di Bahagian C Ikatan Dokumen. Lazimnya untuk dokumen di Bahagian C, bukan sahaja kewujudannya dipertikaikan mala kesahihan kandunganya juga turut dipertikaikan sehingga saksi-saksi dipanggil untuk disoal balas berkenaan dokumen itu oleh pihak lawan dan kemudian baru Mahkamah membuat dapatan akan kesahihan dokumen itu. Dalam kes ini Plaintif tidak memanggil pembuat dokumen ini untuk mengesahkan bahawa pelan yang dilukis adalah merujuk kepada tapak No 5 yang hakmiliknya adalah Plaintif. Kegagalan memanggil pembuat dokumen ini, tidak menjadikan pelan tapak itu walaupun ditandakan sebagai “P” mempunyai sebarang keberatan untuk dikenakan keatasnya (weight to attached to it). [21] Peguam Defendan juga menghujjahkan melalui keterangan SP3 (Mohd Saiful Azri bin Mohd Fouzi) iaitu Penolong Pegawai Daerah Klang, tidak menyatakan bahawa pelan tapak (P1 - Ikatan Dokumen Bersama di mukasurat 59) adalah satu surat cara bertulis yang membuktikan ianya merujuk kepada tapak No. 5 dan merupakan satu dokumen hakmilik yang sah untuk menunjukkan Plaintif adalah pemilik berdaftar tapak No. 5. [22] Catatan Carian Persendirian bertarikh 8.2.2018 menurut Defendan mencatitkan nama Plaintif tanpa nombor kad pengenalannya dan Mahkamah ini mengesahkan fakta ini. Adakah Zaiton binti Mohamad adalah individu yang namanya tercatit didalam Catatan Carian Persendirian ini adalah Plaintif atau orang lain. Hujahan dan fakta ini tidak diambil perhatian oleh HMS yang bijaksana. SP3 didalam keterangannya mengesahkan bahawa berdasarkan dokumen yang didalam simpanan pejabat tanah; tapak tanah No. 5 tidak didaftarkan atas nama Plaintif kerana didalam rekod pejabat tanah, hanya merekodkan syer keluasan pemilikan dan bukannya plot. Disinilah sekali lagi dinyatakan bahawa Plaintif gagal membuktikan dia adalah pemilik berdaftar yang sah untuk tapak No. 5 kerana butiran ini tidak dicerminkan didalam dokumen hakmilik yang disimpan oleh pejabat tanah. Oleh itu, beban untuk membuktikan tuntutannya selaras dengan peruntukan Seksyen 101 Akta Keterangan 1950 belum dilepaskan oleh Plaintif. [23] Isu berkenaan keteranagan SP4 yang menurut Defendan adalah saksi dengar cakap yang tidak menyaksikan sendiri perjanjian jual beli yang ditandatangani oleh ibunya Siti Fatimah binti Din melibatkan tapak No. 5. Jadi bagaimana keterangan saksi ini boleh diambil kira dalam penentuan pemunyaan tapak tanah No 5 itu milik Plaintif. Keterangan SP4 ini boleh dikategorikan sebagai keterangan dengar cakap dan tidak sepatutnya diambil sebagai asas kepada dapatan HMS didalam tindakan ini. Keterangan dengar cakap tidak mempunyai apa-apa berat (weight) untuk Mahkamah sandarkan dalam mencapai kepada dapatannya. [24] Jika Plaintif gagal membuktikan bahawa dia pemilik sah kepada tapak No. 5 samada secara keterangan lisan atau pun keterangan dokumentar maka isu pencerobohan tanah oleh Defendan tidak timbul dan tidak pernah berlaku. [25] Plaintif menuntut satu perintah larangan atas Defendan agar tidak menceroboh tapak tanah No 5 kerana Perayu mendakwa dia adalah pemilik sah tapak No. 5 tersebut. Untuk berjaya dalam tuntutan pencerobohan dan sekaligus berhak atas gantirugi dan perintah larangan, Plaintif hendaklah membuktikan dia adalah pemilik sah dan berdaftar atas tanah yang dimaksudkan dicerobohi oleh Defendan dengan kata lain Plaintif mempunyai “possessory right’ atas tapak tanah terbabit. Didalam kes ini, Plaintif bukan sahaja gagal membuktikan dia pemilik sah dan berdaftar atas tapak No 5, dia juga gagal membuktikan “possessory right’ atas tapak tersebut. Kegagalan ini menyebabkan Plaintif gagal membuktikan wujudnya elemen pencerobohon yang mana “possessory right’ adalah elemen penting untuk ini. [26] HMS yang bijaksana gagal mengambil kira dan menimbangkan dengan teliti Perjanjian Jual Beli bertarikh 15.3.2016 iaitu perjanjian diantara Defendan dan Abdul Muizz. Mahkamah tidak menimbangkan perjanjian jual beli ini kerana Plaintif mendakwa perjanjian jual beli ini tidak menyatakan ianya untuk tapak nombor berapa. Mahkamah telah meneliti keterangan oleh Abdul Muizz dan beliau menjelaskan dia yakin tapak yang dijual kepada Defendan adalah tapak No. 5. Menurut Abdul Muizz (SD3), geran tanah yang melibatkan tapak No. 5 belum dipecahkan maka nombor tapak tidak dinyatakan. Walaupun nombor tapak tidak dinyatakan SD3 yakin tapak itu adalah tapak No. 5 kerana telah ditunjukkan oleh penjual tapak ini kepadanya sebelum dia membelinya. Seterusnya, apabila dicadangkan kepada SD3 bahawa dia bukan pemilik tapak No 5, dia tidak bersetuju dan menyatakan perjanjian jual beli ini diambil dari perjanjian jual beli yang dulu, dia hanya menukar nama penjual terdahulu kepada diri dan nama pembeli kepada Defendan. Mahkamah ini mendapati keterangan SD3 adalah ‘probable’ iaitu munasabah dan sewajarnya diambil kira dalam menimbangkan keberatan dokumen perjanjian jual beli bertarikh 15.3.2016. [27] Defendan sebagai pembeli telah menandatangani perjanjian jual beli itu dengan suci hati dan memberikan balasan sejumlah RM 160,000.00 kepada SD3. Tapak tersebut telah didaftarkan atas nama Defendan dan selaras dengan peruntukan S.340(3) Kanun Tanah Negara 1965, hak milik Defendan atas tapak No. 5 itu adalah tidak boleh disangkal (indefeasibility of title). Selain itu terdapat keterangan daripada Azmi bin Yaakub (SD2) yang juga merupakan suami Defendan dimana didalam keterangannya menyatakan bahawa Abdul Muizz telah mengesahkan bahawa tapak No. 5 itu adalah miliknya dan ianya juga disahkan oleh Kamarudin bin Parlan pemilik asal dan Roslan seorang broker tanah (Lampiran 4 mukasurat 255 - 256). Keterangan ini tidak diambil kira oleh HMS dalam menentusahkan tapak tanah yang dinyatakan didalam perjanjian jual beli bertarikh 15.3.2016. Mahkamah ini mendapati walaupun perjanjian jual beli bertarikh 15.3.2016 tidak menyatakan ianya melibatkan tapak No. 5 namun terdapat keterangan sokongan dari penjual sendiri bahawa dia menjual kepada Defendan tapak No. 5 dan juga keterangan dari SD 2 sendiri. Keterangan ini adalah keterangan kuat yang tidak dicabar oleh Plaintif. [28] HMS yang bijaksana sepatutnya memberi keberatan yang wajar kepada keterangan lisan oleh SD2 dan SD3 berkenaan nombor tapak tersebut yang menjadi perkara subjek semua pihak kerana tapak No. 5 tidak ditulis didalam dokumen hal milik tanah tersebut tetapi ianya tidak bermakna tapak No. 5 tidak wujud. SD3 sebagai penjual yakin bahawa tapak yang dijual kepada Defendan adalah tapak No. 5 dan Defendan apabila membeli tapak itu juga yakin ianya adalah tapak No. 5 dan atas sebab itu dia membayar RM 160,000.00 kepada SD3. [29] Selaras dengan keputusan Mahkamah Rayuan didalam UMW Motor Sdn Bhd & Anor (supra) berkenaan prinsip campurtangan Mahkamah yang menjalankan bidangkuasa rayuan (appellate intervention), Mahkamah ini telah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan saksi-saksi, keterangan dokumentar dan alasan penghakiman oleh HMS yang bijaksana dan mendapati keputusan yang dibuat oleh beliau adalah khilaf kerana tidak menimbangkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh pihak-pihak dan tiadanya ‘judicial appreciation’ yang mencukupi dalam menimbang setiap keterangan oleh saksi-saksi dan mengaplikasikan perosedur undang-undang yang betul. Ini menyebabkan ketidakadilan telah berlaku dalam kes ini. HMS telah gagal menimbangkan setiap keterangan dengan meletakkan beban keberatan yang sepatutnya (right weight attached) pada keterangan yang dikemukakan. Ada keterangan yang bukan sahaja diberi secara lisan tetapi turut disokong oleh keterangan dokumentar dan keterangan saksi mata tidak diambil kira dan dibandingkan dengan keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh pihak menuntut. Atas alasan ini, maka Mahkamah ini terpaksa campur tangan untuk membetulkan kekhilafan ini kerana ianya melibatkan keterangan yang lebih memihak kepada Defendan yang gagal ditangani oleh HMS yang bijaksana. [30] Untuk Mahkamah ini campurtangan dalam dapatan Hakim Bicara bukanlah sesuatu yang mudah kerana ianya melibatkan dapatan fakta yang dibuat oleh Hakim Bicara selepas mendengar keterangan 7 orang saksi; namun demi keadilan, Mahkamah ini terpaksa melihat keseluruhan keterangan semua saksi-saksi, dokumen yang dikemukakan dan alasan penghakiman selain hujah pihak-pihak. Ini penting untuk memastikan dapatan yang betul berasaskan fakta yang dinilai berasaskan prosedur undang-undang yang betul berlaku. [31] Oleh itu, berasaskan alasan-alasan yang dikemukakan diatas, maka Mahkamah ini membenarkan rayuan Perayu dengan kos sebanyak RM 10,000.00 dan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen pada 30.3.2022 diketepikan. Bertarikh 26 Oktober 2022 t.t. (NORLIZA BINTI OTHMAN) PESURUHJAYA KEHAKIMAN MAHKAMAH TINGGI MALAYA KLANG BAGI PIHAK PEMOHON : Ram Reza & Muhammad F-3A-10 StarParc Point Commercial Centre Jln Taman Ibu Kota, 53300 Kuala Lumpur BAGI PIHAK RESPONDEN : Hafiz Ruzaini & Co. 16-3-2, Block F, Jalan Semarak Api 3, Diamond Square, 53000 Kuala Lumpur