Mahkamah ini mendapati bahawa pertikaian ini boleh diputuskan melalui tiga isu utama. Isu (i): Sama ada Plaintif telah membuktikan elemen-elemen asas tort fitnah, iaitu penerbitan, rujukan kepada Plaintif dan makna fitnah, termasuk dakwaan makna secara ‘innuendo’. Isu (ii): Sekiranya elemen fitnah dibuktikan, sama ada Defendan berjaya menegakkan mana-mana pembelaan yang sah di sisi undang-undang, khususnya justifikasi, komen berpatutan dan/atau perlindungan bersyarat. Isu (iii): Sama ada Plaintif berhak kepada relif yang dituntut, termasuk gantirugi bagi fitnah, ganti rugi teruk, gantirugi teladan, tuntutan alternatif ‘malicious falsehood’ dan injunksi. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH Isu (i) : Sama ada Plaintif telah membuktikan elemen-elemen asas tort fitnah 27. Plaintif dalam tindakan fitnah hendaklah membuktikan tiga elemen kumulatif, iaitu bahawa perkataan yang dipersoalkan telah diterbitkan kepada pihak ketiga, bahawa perkataan tersebut merujuk kepada plaintif dan bahawa perkataan tersebut membawa makna fitnah. Kegagalan membuktikan mana-mana satu elemen tersebut mengakibatkan tuntutan tersebut tidak dapat dipertahankan di sisi undang-undang.