(ii) Sama ada Plaintif gagal memplidkan fakta material berkaitan kegagalan defendan-defendan membayar jumlah tertunggak Kemudahan tersebut. DAPATAN MAHKAMAH Isu 1: Sama ada terdapat isu-isu untuk dibicarakan [18] Defendan-defendan menyakinkan Mahkamah ini bahawa isu-isu yang perlu dibicarakan dalam tuntutan Plaintif adalah ekoran daripada ketinggalan oleh CMEC selaku benefisiari yang yang telah gagal membayar jumlah yang dijanjikan kepada Defendan Pertama. [19] Penegasan utama Defendan-defendan adalah Plaintif sepatutnya menamakan CMEC sebagai pihak dalam tindakan ini dan bukannya Defendan-defendan. Hal ini kerana Defendan Pertama dikehendaki membiayai Bon Pelaksanaan dan Bon Waranti kepada CMEC sebagai syarat Perjanjian Konsortium bertarikh 13.32018 dan perjanjian tambahan bertarikh 18.4.2018 yang dimasuki oleh Defendan Pertama dengan CMEC. [20] Berikutan permintaan oleh CMEC melalui perjanjian tersebut, maka Defendan Pertama memohon Kemudahan-kemudahan tersebut daripada Plaintif. Defendan Pertama turut mengakui telah melantik CMEC sebagai benefisiari kepada jaminan bank bagi projek konsortium tersebut. [21] Bagi mengukuhkan pembelaan, Defendan-defendan telah merujuk kepada perenggan 18 Afidavit Sokongan Plaintif dan mengatakan Plaintif tahu tentang fakta penglibatan CMEC dalam projek tersebut. [22] Saya telah meneliti perenggan 18 Afidavit Sokongan Plaintif yang dijadikan asas oleh Defendan-defendan berkaitan dengan pengetahuan Plaintif mengenai penglibatan CMEC. Hujahan Defendan-defendan adalah bahawa bukanlah defendan-defendan yang memungkiri Surat Tawaran dan tidak wajar dituntut. Mahkamah ini mendapati hujahan tersebut tidak berasas. [23] Pada keseluruhan masa yang material, Plaintif bukanlah pihak dalam perjanjian antara Defendan Pertama dan CMEC. Defendan Pertama yang telah menamakan CMEC sebagai benefisiari bagi tujuan Jaminan Bank. Surat Tawaran dan Perjanjian termasuk Jaminan Bank yang dimasuki oleh Plaintif dan Defendan Pertama adalah mengikat Plaintif dan Defendan Pertama. [24] Mahkamah ini menerima penghujahan peguam cara Plaintif bahawa berdasarkan prinsip privity of contract, Plaintif tidak boleh memfailkan tuntutan terhadap benefisiari yang bukan pihak kepada perjanjian Kemudahan yang diberikan oleh Plaintif kepada Defendan-defendan. [25] Peguam cara Plaintif yang bijaksana menghujahkan bahawa inti pati penting dalam Perjanjian-perjanjian, Gerenti dan Penyerahhakan serta Gadaian telah dipersetujui iaitu antara lain, Plaintif berhak melaksanakan apa-apa hak atau remedi sedia ada di bawah Perjanjian dan dokumen sekuriti tersebut sama ada secara serentak atau berturut- turut. Pada hemat Mahkamah, tuntutan Plaintif di sini adalah jelas dan tidak perlu untuk dibicarakan. [26] Mahkamah ini merujuk kes Bank Negara Malaysia v Mohd Ismail & Ors [1992] 1 MLJ 400 yang boleh disimpulkan bahawa sama ada sesuatu itu adalah wajar dibicarakan atau tidak, ia mestilah bergantung kepada keadaan fakta atau undang-undang yang timbul dari setiap fakta dan keadaan kes yang dizahirkan di hadapan Mahkamah. [27] Meneliti Afidavit-afidavit dan pembelaan, Mahkamah mendapati tiada penafian langsung oleh Defendan-defendan terhadap terma-terma dalam Surat-surat Tawaran dan Perjanjian-perjanjian yang dimasuki oleh Defendan Kedua, Defendan Ketiga dan Defendan Keempat. [28] Dalam keadaan Defendan-defendan tidak menafikan kewujudan perjanjian dan dokumen sekuriti tersebut dan tidak menafikan mana-mana terma yang terkandung di dalamnya, maka kesemua terma dan syarat yang dipersetujui tersebut adalah mengikat pihak-pihak. [29] Berhubung dengan isu Jaminan Bank yang dikeluarkan oleh Plaintif untuk manfaat Benefisiari, Mahkamah ini menerima hujahan Peguam cara Plaintif yang bijaksana bahawa Jaminan Bank tersebut adalah berasingan daripada kontrak yang wujud antara Plaintif dengan Defendan-defendan. Tuntasnya, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Sumatec Engineering and Construction Sdn Bhd v Malaysia Refining Co Sdn Bhd [2012] 4 MLJ adalah mengikat Mahkamah ini, sebagaimana berikut – “[19] The fundamental principle behind a bank guarantee is that it is separate and independent of the underlying contract between the disputing immediate parties and the contract between the account party and the bank..” Isu 2 : Sama ada Plaintif gagal memplidkan fakta material berkaitan kegagalan defendan-defendan membayar jumlah tertunggak Kemudahan tersebut. [30] Defendan-defendan telah merujuk kes Buildcon Concrete Sdn Bhd v Mammoth Empire Construction Sdn Bhd & Ors [2021] 11 MLJ 666 untuk menyokong keperluan memperincikan dengan jelas butiran tuntutan sebelum perintah penghakiman terus boleh diperintahkan. Penelitian Mahkamah mendapati tuntutan plaintif dalam kes Buildcon Concrete (supra), adalah melibatkan surat plaintif yang merekodkan hutang bagi bulan Ogos 2018 yang akan ditolak dengan pengambilan pasir daripada Hasil Perangsang. Surat tersebut tidak memperincikan tentang bilakah arrangement tersebut bermula dan dihentikan. Oleh itu, semestinya isu tersebut perlu diputuskan melalui keterangan saksi-saki. [31] Namun demikian, tuntutan Plaintif di sini adalah jelas untuk mendapatkan tunggakan wang bagi jumlah tertentu menerusi Kemudahan-kemudahan kewangan yang telah dipersetujui oleh pihak-pihak untuk diberikan oleh Plaintif kepada Defendan Pertama dan dijamin oleh Defendan Kedua sehingga Defendan Keempat. Justeru, kes Buildcon Concrete Sdn Bhd (supra) adalah tidak terpakai dan dibezakan. [32] Fakta-fakta material berkaitan dengan persetujuan pihak-pihak sehingga keingkaran oleh Defendan-defendan untuk membayar Plaintif telah diperincikan dalam Pernyataan Tuntutan. Justeru, isu set-off adalah tidak berkaitan dan bukanlah suatu isu yang perlu dibicarakan dalam kes ini. [33] Defendan turut mempertikaikan jumlah tertunggak akibat kegagalan Plaintif mengambil kira Deposit-deposit berjangka yang digunakan untuk membayar jumlah tertunggak selain Plaintif gagal memplidkan Sijil Keberhutangan dalam Pernyataan Tuntutan. Kegagalan ini pada pendapat Defendan-defendan tidak boleh diperbaiki melalui keterangan Afidavit. [34] Pergantungan Defendan-defendan kepada kes Perwira Affin Bank v Orison Sdn Bhd & Ors [2004] 5 CLJ 256 pada hemat Mahkamah ini tidak membantu Defendan-defendan. Kes Perwira Affin Bank (supra) wajar dibezakan dengan kes di hadapan Mahkamah ini. [35] Defendan turut berhujah bahawa perjanjian penyelesaian bertarikh 2.6.2022 antara pihak-pihak adalah mengatasi Surat-surat Tawaran yang dikeluarkan oleh Plaintif. Terma penyelesaian antara Plaintif dan Defendan Pertama sepatutnya dirujuk oleh Plaintif dan remedi Plaintif terhadap Defendan-defendan adalah terhad. Defendan telah bergantung kepada kes Pacific Sanctuary Holdings Sdn Bhd (formerly known as Prestige Sdn Bhd) v Masaland Construction Sdn Bhd [2020] 3 MLJ 692 (CA) dan PJD Landmarks Sdn Bhd v Soh Jien Min & Ors [2022] 12 MLJ 609. [36] Mahkamah ini ingin membezakan pemakaian kes Pacific Sanctuary Holdings Sdn Bhd (supra) yang pada hemat Mahkamah terhad kepada kes tersebut sahaja. Dalam kes Pacific Sanctuary Holdings Sdn Bhd (supra), plaintif telah memperoleh penghakiman ingkar terhadap defendan. Semasa dalam proses penguatkuasaan penghakiman, pihak-pihak telah berunding dan suatu perjanjian penyelesaian telah dimasuki yang mana plaintif dalam kes itu bersetuju tidak akan menguatkuasakan penghakiman dan akan menarik balik petisyen penggulungan. Persetujuan tersebut adalah dengan syarat defendan membayar sejumlah wang yang dipersetujui dan kontra dengan hartanah yang akan dibina atas tanah projek. Namun demikian, perjanjian persetujuan telah ditamatkan dengan defendan menerima notis penamatan dan notis di bawah seksyen 466 Akta Syarikat 2016 daripada plaintif selaras dengan penghakiman ingkar terdahulu. [37] Pada hemat Mahkamah ini, polemik dalam konteks tuntutan Plaintif dalam kes di hadapan Mahkamah ini sama sekali berbeza dengan fakta kes Pacific Sanctuary Holdings Sdn Bhd (supra). Oleh itu, pendirian peguam cara Defendan-defendan yang bijaksana untuk mengikuti kes tersebut tidak dapat diterima oleh Mahkamah ini. Justeru tuntutan Plaintif hendaklah terikat dengan kesemua kontrak (termasuk Surat Tawaran) yang dimasuki oleh Plaintif dan Defendan-defendan dan bukannya tertumpu kepada tawaran penyelesaian antara Plaintif dengan Defendan Pertama. [38] Selanjutnya Mahkamah ini mendapati hujahan-hujahan yang dikemukakan oleh Defendan-defendan bercanggah dengan dokumen-dokumen semasa yang diakui oleh pihak-pihak. Hal ini membawa kepada satu kesimpulan bahawa pembelaan yang dibangkitkan dalam penghujahan Defendan-defendan dicemari dengan fikiran terkemudian. KESIMPULAN [39] Berdasarkan alasan-alasan di atas, Mahkamah ini mendapati jelas dan nyata Defendan-defendan tidak mempunyai pembelaan untuk dibicarakan. Plaintif telah berjaya membuktikan tuntutan terhadap Defendan-defendan menurut Aturan 14 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012. [40] Permohonan Plaintif telah dibenarkan dengan kos RM3,000.00 dibayar kepada Plaintif tertakluk kepada alokator. Bertarikh pada 9 September 2024 Ditandatangani ........................................................... HAZIZAH KASSIM Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Sivil (NCvC10) Shah Alam Keputusan dibaca pada 4 Julai 2024. Kepada peguam cara yang mewakili pihak-pihak :