Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO. B-05(M)-428-10/2019 ANTARA HTWEE NU MAUNG …PERAYU (W/N: BANGLADESH) DAN PENDAKWA RAYA …RESPONDEN (Dalam Perkara Mengenai Mahkamah Tinggi Jenayah Di Shah Alam Perbicaraan Jenayah No: 45B-1-01/2017 Antara Pendakwa Raya Dan Htwee Nu Maung (W/N: Bangladesh) 23/02/2023 09:16:19 B-05(M)-428-10/2019 Kand. 53 KORAM KAMALUDIN BIN MD. SAID, HMR HASHIM BIN HAMZAH, HMR MOHD NAZLAN BIN MOHD GHAZALI, HMR ALASAN PENGHAKIMAN Pengenalan [1] Perayu, seorang warganegara Bangladesh, telah dituduh di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk kesalahan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan. Pertuduhan terhadap Perayu adalah seperti berikut – “Bahawa kamu bersama-sama dengan 1 orang lagi yang masih bebas antara jam lebih kurang 11.30 malam 18/6/2016 hingga jam lebih kurang 1.10 pagi 19/6/2016 di dalam bilik nombor 1, Kuarters Syarikat Shin Poly Auto Sdn Bhd, Lot 6020, Batu 6, Jalan Bukit Kemuning, Seksyen 34, Shah Alam di dalam daerah Petaling, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, dalam mencapai niat bersama kamu berdua, telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Thu Ni, seorang lelaki warganegara Bangladesh dan oleh yang demikian, kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan seksyen 34 Kanun yang sama.” [2] Perayu mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan terhadapnya dan memohon untuk dibicarakan. Kes Pendakwaan [3] Keterangan kes pendakwaan telah dikupas dengan panjang lebar di dalam alasan penghakiman Hakim Bicara. Bagi tujuan rayuan ini, keterangan kes pendakwaan dapat diringkaskan seperti berikut. [4] Shah Alam (“SP4”), seorang warganegara Bangladesh, merupakan salah seorang pekerja di syarikat Shin Poly Auto Sdn. Bhd. (“Syarikat tersebut”). [5] SP4 menyatakan bahawa pada 18.06.2016 jam lebih kurang 8.00 malam, SP4 telah selesai kerja dan kembali ke biliknya di kuarters pekerja Syarikat tersebut. Selepas selesai mandi dan makan, SP4 duduk di luar biliknya dan kemudian pergi ke pintu pagar utama kedai untuk tidur. Sekitar jam 11.00 malam, SP4 terjaga dari tidur setelah terdengar bunyi seperti orang sedang bertengkar. SP4 kembali tidur namun terjaga semula apabila mendengar bunyi anjing menyalak dengan kuat. [6] Pada ketika itu, dua orang rakan sekerjanya iaitu Perayu dan seorang lelaki warganegara asing yang masih bebas yang dikenali sebagai “Maung Shwe Aung” telah datang untuk berjumpa dengannya. SP4 melihat kedua-dua mereka dalam keadaan mabuk dan baju mereka berlumuran darah. SP4 juga terlihat Perayu sedang memegang sebilah pisau (“P26A”) di tangannya. SP4 telah mengambil pisau tersebut dari tangan Perayu dan menyembunyikannya di bawah timbunan enjin kereta di kawasan kedai tersebut. [7] Kemudian, SP4 telah pergi ke bilik nombor 1 kuarters pekerja Syarikat tersebut dan terlihat si mati berada dalam keadaan terbaring [tertiarap seperti dalam gambar P7(10)] di dalam bilik tersebut. SP4 telah meminjam telefon bimbit seorang pengawal keselamatan bernama “Abu Husin” dan menelefon penyelianya iaitu Yew Chee Chin (“SP11”). Tidak lama kemudian, pemilik syarikat iaitu Fang Hon Keong (“SP13”) telah menelefon SP4 untuk bertanyakan apa yang berlaku dan SP4 telah memaklumkan tentang kejadian yang berlaku kepadanya. SP4 boleh mengecam si mati namun tidak tahu nama si mati. SP4 juga boleh mengecam Perayu sewaktu perbicaraan di Mahkamah. [8] Than Kyaw (“SP8”), seorang warganegara Bangladesh, merupakan salah seorang rakan sekerja si mati. Menurut SP8, pada 18.6.2016 jam lebih kurang 11.30 malam, dia berada di dalam bilik nombor 1 bersama Perayu, si mati dan Maung Shwe Aung. Menurut SP8, pada ketika itu Perayu, si mati dan Maung Shwe Aung sedang minum minuman keras dan berborak-borak. Kemudian, SP8 telah naik ke kawasan bumbung kuarters pekerja Syarikat tersebut untuk tidur. Semasa sedang tidur, SP8 telah dikejutkan dari tidur oleh seorang anggota polis dan dia telah kemudiannya ditangkap oleh anggota polis tersebut. SP8 mengenali si mati lebih kurang dua bulan sebelum kejadian. SP8 dapat mengecam si mati apabila gambarnya ditunjuk ketika perbicaraan. SP8 tiada pengetahuan mengenai apa yang telah berlaku dan siapa yang menyebabkan kematian si mati. [9] Sjn Arthimoolan a/l Thuraisamy (“SP10”) yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor dalam keterangannya menyatakan bahawa pada 19.06.2016, dia telah menerima panggilan telefon daripada kawannya iaitu SP13. SP13 memaklumkan kepada SP10 bahawa terdapat pergaduhan di kuarters pekerja Syarikat tersebut dan meminta bantuan pihak polis untuk membuat siasatan di tempat kejadian. [10] SP10 telah tiba di tempat kejadian pada jam lebih kurang 1.40 pagi. Di tempat kejadian, SP10 telah berjumpa dengan SP13, SP11 dan SP4. Kemudian, SP10 telah pergi ke bilik nombor 1 kuarters pekerja Syarikat tersebut. Setibanya di bilik tersebut, SP10 melihat si mati dalam keadaan tertiarap dengan mukanya menghadap lantai dan berlumuran darah. SP10 boleh mengecam si mati apabila ditunjukkan gambarnya semasa perbicaraan. [11] Menurut SP10, pasukan perubatan telah tiba ke tempat kejadian dengan menaiki sebuah ambulans tidak lama kemudian. Penolong Pegawai Perubatan, Zulkifli bin Abu Bakar (“SP2”) yang tiba di tempat kejadian telah menjalankan pemeriksaan ke atas si mati dan mengesahkan bahawa si mati telah meninggal dunia di tempat kejadian. [12] Pada 19.06.2016 jam lebih kurang 2.37 pagi, SP13 telah membuat satu laporan polis berkenaan kejadian di Balai Polis Sri Muda, Shah Alam (“P43”). Siasatan kes telah dijalankan oleh pegawai penyiasat kes, ASP Mohammad Daniel Lee bin Abdullah (“SP16”). [13] Pakar Perubatan Forensik, Dr. Nur Ayutimasery binti Abdullah (“SP15”) menyatakan bahawa bedah siasat ke atas si mati telah dijalankan pada 20.06.2016 jam lebih kurang 10.30 pagi di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Menurut SP15, mayat si mati telah dicamkan oleh SP11 dan arahan untuk menjalankan bedah siasat telah dikeluarkan oleh pegawai penyiasat kes iaitu SP16. [14] Hasil pemeriksaan luar yang dijalankan terhadap mayat si mati mendapati bahawa – a. mayat si mati lengkap berpakaian dan jasadnya kelihatan agak pucat; b. terdapat sembilan kumpulan kecederaan pada badan si mati iaitu – i. empat kumpulan kecederaan pada bahagian muka dan kepala si mati yang terdiri daripada satu luka hiris pada kulit kepala sebelah kiri, satu luka tikam pada pipi kiri, dua luka calar bergaris pada pipi sebelah kiri, satu luka calar bergaris di bawah dagu sebelah kiri; ii. satu luka calar pada lengan kanan; iii. satu luka tikam pada bahagian bawah dada sebelah kanan; iv. satu luka tikam pada bahagian atas dada sebelah kiri; v. satu luka calar pada tengah dada; dan vi. dua kesan calar yang dikelilingi lebam pada lutut kanan. [15] Hasil pemeriksaan dalaman ke atas mayat si mati mendapati – a. terdapat sedikit pendarahan di bahagian bawah kulit kepala pada bahagian belakang kepala manakala tiada keretakan pada tengkorak kepala si mati; b. tiada pendarahan di dalam bahagian otak dan terdapat sedikit lebam pada otak bahagian belakang; c. tiada kecederaan pada bahagian leher si mati; d. pemeriksaan pada bahagian toraks si mati mendapati tiada tulang yang patah, terdapat sedikit darah di dalam rongga dada sebelah kiri; e. saluran pernafasan si mati tidak mengalami kecederaan, paru-paru kiri mengecut dan terdapat satu luka tikam pada bahagian atas paru-paru kiri. Tiada sebarang kecederaan atau penyakit pada organ jantung si mati; f. pemeriksaan pada bahagian abdomen si mati mendapati terdapat sedikit pendarahan pada rongga abdomen manakala esofagus, perut dan usus tidak cedera; g. terdapat luka tikam pada diafragma kanan dan hati sebelah kanan; h. tiada kecederaan pada organ-organ lain bahagian abdomen; dan i. tiada sebarang keretakan atau patah pada mana-mana tulang si mati. [16] Menurut SP15, hasil bedah siasat yang dijalankan olehnya mendapati bahawa kematian si mati adalah berpunca daripada pendarahan yang banyak akibat luka yang disebabkan oleh objek tajam di bahagian kepala dan dada si mati. SP15 mengesahkan bahawa kecederaan-kecederaan yang dialami oleh si mati adalah mencukupi secara lazimnya untuk menyebabkan kematian. SP15 berpendapat bahawa kecederaan yang dialami oleh si mati adalah diakibatkan oleh senjata tajam seperti pisau (P26A). SP15 telah menyediakan laporan bedah siasat terhadap mayat si mati tersebut (“P46”). [17] SP16 dalam keterangannya menyatakan bahawa pada 22.6.2016 jam lebih kurang 4.15 petang, dia bersama pasukannya telah pergi semula ke tempat kejadian dipandu arah oleh Perayu dan SP4. Di tempat kejadian, SP4 telah menunjukkan lokasi pisau (P26A) di atas longgokan enjin yang ditutup dengan penutup enjin di tepi pintu pagar masuk kuarters pekerja Syarikat tersebut. SP16 mendapati terdapat kesan darah pada pemegang pisau tersebut. Seterusnya Perayu telah menunjukkan sehelai baju-t berkolar berwarna kuning yang disidai dan sepasang seluar panjang gelap di atas lantai di tepi pagar di bahagian dapur yang dipakai oleh Perayu sewaktu kejadian. Pakaian-pakaian tersebut telah pun dibasuh oleh Perayu. [18] Ahli Kimia, Wan Zalina binti Wan Faizal (“SP9”) telah menjalankan analisa pada senjata pisau (P26A). Hasil analisa mendapati wujudnya satu profil DNA bercampur yang terdiri daripada sekurang-kurangnya dua individu diperolehi daripada kesan DNA surih pada pemegang pisau (P26A) tersebut. Profil DNA yang diperolehi daripada kesan spesimen darah si mati dan spesimen darah Perayu adalah konsisten sebagai penyumbang utama dan penyumbang minor kepada profil DNA campuran tersebut. SP9 telah menyediakan satu laporan kimia berkaitan hasil analisa tersebut (“P21”). Dapatan Hakim Bicara di Akhir Kes Pendakwaan [19] Di akhir kes pendakwaan, Hakim Bicara mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap Perayu pada tahap prima facie dan selanjutnya memerintahkan Perayu untuk membela diri terhadap pertuduhan ke atasnya. Pembelaan Perayu [20] Perayu telah memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi melalui jurubahasa Bangladesh. [21] Perayu dalam keterangannya menyatakan bahawa Perayu telah datang ke Malaysia untuk bekerja dan si mati adalah rakan sekerjanya di Syarikat tersebut. Perayu mengenali si mati lebih kurang tiga bulan sebelum kejadian. Perayu menyatakan tidak mempunyai sebarang permusuhan dengan si mati dan tiada perasaan marah terhadap si mati. [22] Perayu dalam keterangannya menyatakan bahawa sewaktu kejadian, si mati telah dibunuh oleh Maung Shwe Aung yang telah melarikan diri dari tempat kejadian dan masih bebas. [23] Menurut Perayu, Maung Shwe Aung tinggal di bilik nombor 2 dan Perayu tinggal di bilik nombor 3. Perayu menyatakan bahawa sebelum berlaku pergaduhan, Maung Shwe Aung bersama Perayu, si mati dan seorang lagi pekerja bernama “Maung Maung” telah minum minuman keras di dalam bilik si mati. Selepas itu, Perayu telah kembali ke biliknya untuk makan malam dan tidur. [24] Tidak lama kemudian, sewaktu Perayu berada di dalam biliknya, Perayu telah terdengar suara dua orang menjerit dan bergaduh. Perayu mendapati mereka adalah Maung Shwe Aung dan si mati yang sedang bergaduh di dalam bilik si mati. Perayu tidak tahu kenapa mereka bergaduh. Perayu telah memegang Maung Shwe Aung untuk menghalangnya bergaduh dengan si mati, namun dia telah ditolak sehingga jatuh ke dalam longkang dan tercedera di bahagian kepalanya. Selepas itu, Perayu telah pergi ke hadapan bilik nombor 5 dan menelefon SP4. Sementara menunggu SP4 sampai, Perayu hanya duduk di hadapan bilik nombor 5. [25] Tidak lama kemudian, Maung Shwe Aung telah datang ke tempat Perayu dan Perayu terlihat Maung Shwe Aung memegang sebilah pisau (P26A) di tangannya. Perayu telah merampas pisau tersebut dari tangan Maung Shwe Aung dan kemudiannya memberi pisau (P26A) tersebut kepada SP4 yang juga telah berjumpa dengan Perayu di hadapan bilik nombor 5 tersebut. [26] Selepas itu, Maung Shwe Aung telah memberikan pisau tersebut kepada SP4. Pada waktu itu, Perayu masih duduk di hadapan bilik nombor 5. Selepas itu polis telah tiba dan menahan Perayu dan SP4. Perayu menyatakan bahawa dia telah memberikan notis alibi kepada pihak polis kerana dia tidak berada di tempat kejadian sewaktu Maung Shwe Aung menikam si mati. Perayu menyatakan bahawa pada waktu kejadian, dia berada di dalam biliknya iaitu bilik nombor 3. Dapatan Hakim Bicara Di Akhir Kes Pembelaan [27] Di akhir kes pembelaan, Hakim Bicara mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap Perayu melampaui keraguan yang munasabah dan pihak pembelaan telah gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. [28] Oleh itu, Perayu telah didapati bersalah, disabitkan dengan pertuduhan dan dijatuhi hukuman gantung di leher sehingga mati. Peranan Mahkamah Yang Mendengar Rayuan Jenayah Terhadap Sabitan [29] Pertama sekali, prinsip undang-undang adalah jelas bahawa dalam rayuan jenayah terhadap sabitan, peranan Mahkamah yang mendengar rayuan tersebut adalah untuk menentukan sama ada sabitan terhadap tertuduh adalah selamat. [30] Mahkamah ini melalui penghakiman Gopal Sri Ram HMR (ketika itu) dalam kes Mohd Johi Said & Anor v. PP [2005] 1 CLJ 389; [2005] 5 MLJ 409 (MR) telah menyatakan seperti berikut: “12. Unlike civil appeals, where the appellant carries the burden of showing that the judge at first instance went wrong, in a criminal case the duty of the court is to consider whether the conviction is right. The correct approach is therefore not whether the decision is wrong but whether the conviction is safe. See Mohammad Husain v. Emperor AIR 1945 Nag 441; Zahari bin Yeop Baai v. Public Prosecutor [1980] 1 MLJ 160. That question, on the present facts, must receive a negative response.” [31] Lihat juga kes Mohamad Deraman v. PP [2011] 3 CLJ 601; [2011] 3 MLJ 289 (MR). [32] Kedua, prinsip undang-undang juga adalah jelas bahawa Mahkamah yang mendengar rayuan tidak harus sewenang-wenangnya mengganggu dapatan fakta hakim bicara melainkan jika hakim bicara tersebut telah dengan jelasnya terkhilaf dalam menilai fakta-fakta kes tersebut. [33] Kami berpandu kepada prinsip yang telah digariskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Tan Kim Ho & Anor v. PP [2009] 3 CLJ 236 (MP) di mana Zaki Tun Azmi KHN (ketika itu) telah memutuskan seperti berikut: “It is an established principle of law that when dealing with finding of facts, the trial judge is more often than not, in a better position to decide. The appellate court must be reluctant to interfere with such findings, unless the facts obviously disclose the courts below had clearly and wrongly evaluated the facts.” [34] Lihat juga Kenneth Fook Mun Lee v. PP [2006] 4 CLJ 359 (MP), PP v. Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457 (MP), Low Kian Boon & Anor v. PP [2010] 5 CLJ 489 (MP), dan Lim San Muk v. PP [2019] 1 LNS 1762 (MR). [35] Kami telah memutuskan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak dalam rayuan ini berpandu kepada nas undang-undang yang telah dinyatakan di atas. Isu-Isu Yang Dibangkitkan Dan Dapatan Mahkamah Ini [36] Beberapa isu telah dibangkitkan dalam Petisyen Rayuan Perayu. Di hadapan kami, peguambela Perayu yang terpelajar telah menumpukan hujahannya kepada isu-isu berikut. Isu Pertama: Kegagalan Pihak Pendakwaan Memanggil Atau Menawarkan ASP Saifullah bin Rauf Untuk Memberikan Keterangan Di Mahkamah [37] Pertama sekali, peguambela Perayu yang terpelajar berhujah bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk memanggil mana-mana saksi yang membuat serbuan dan tangkapan terhadap Perayu, terutama sekali ASP Saifullah bin Rauf yang telah menyediakan Laporan Polis Sri Muda 15113/16 bertarikh 19.06.2016 (“P59”). [38] Menurut peguambela Perayu yang terpelajar, P59 telah dikemukakan oleh SP16 selaku pegawai penyiasat kes sedangkan keterangan mengenai fakta dalam P59 tersebut seharusnya diberikan oleh saksi yang tidak dipanggil oleh pihak pendakwaan tersebut. Oleh itu, peguambela Perayu yang terpelajar berhujah bahawa anggapan bertentangan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 seharusnya digunapakai terhadap pihak pendakwaan. [39] Namun begitu, kami mendapati bahawa isu ini langsung tidak dibangkitkan dalam Petisyen Rayuan Perayu dan hanya dibangkitkan sewaktu pendengaran rayuan ini. [40] Kami bersetuju sepenuhnya dengan apa yang telah diputuskan oleh Hasan Lah HMR (ketika itu) dalam kes Siew Khow Seng v. PP [2011] 9 CLJ 84 (MR) seperti berikut: “[17] Looking at the relevant provisions of law and the case law we agreed with the decision in Yan Wing Lee that the appellant must abide by the petition of appeal and learned counsel for the appellant should submit solely on the points of law or fact set out in the appellant's Petition of Appeal. In the instant appeal, learned counsel for the appellant must also abide by the appellant's Notice of Appeal, which was limited to sentence only. Learned counsel for the appellant was therefore not allowed to submit on grounds not raised in the Notice of Appeal and the Petition of Appeal.” [41] Kami turut bersetuju dengan apa yang diputuskan oleh Abdul Wahab Patail HMR (ketika itu) dalam kes Mohamad bin Abdullah v Public Prosecutor [2012] 4 MLJ 425 (MR) seperti berikut: “[4] Section 53 of the Courts of Judicature Act 1964 Act 91 governs the jurisdiction of the Court of Appeal in respect of appeals from a decision of the High Court in its criminal jurisdiction. Sub-s (2) thereof provides that the petition of appeal shall contain particulars of the matters of law or of fact in regard to which the High Court is alleged to have erred the appellant shall not be permitted on the hearing of the appeal to rely on any ground of appeal other than those set forth in his petition (see Siew Khow Seng v Public Prosecutor [2011] 9 CLJ 84 (CA)). It means, therefore, this court must pay particular attention and confine itself to the grounds set out by the appellant under his petition of appeal.” [42] Dalam keadaan ini, kami berpandangan bahawa peguambela Perayu yang terpelajar tidak seharusnya dibenarkan untuk berhujah mengenai isu undang-undang atau fakta yang tidak dibangkitkan secara khusus dalam Petisyen Rayuan Perayu tersebut. Oleh itu, hujahan peguambela Perayu yang terpelajar berkenaan isu ini adalah ditolak. Isu Kedua: Ketiadaan Keterangan Saksi Mata Dan Saksi SP4 Dan SP8 Yang Tidak Boleh Dipercayai [43] Seterusnya, peguambela Perayu yang terpelajar berhujah bahawa keterangan SP4 dan SP8 tidak boleh dipercayai kerana wujudnya percanggahan yang material dalam keterangan mereka. Menurut peguambela Perayu yang terpelajar lagi, Hakim Bicara telah terkhilaf apabila tidak menilai keterangan SP4 dan SP8 secara menyeluruh sebelum memutuskan bahawa kredibiliti mereka adalah tidak tercabar dan seterusnya menerima keterangan mereka. [44] Peguambela Perayu yang terpelajar telah merujuk kepada keterangan SP4 yang menyatakan bahawa dia tidak melihat kejadian yang berlaku dan hanya melihat dua orang iaitu Perayu dan Maung Shwe Aung yang masih bebas sedang minum minuman keras sedangkan keterangan SP8 menyatakan bahawa terdapat empat orang yang sedang minum minuman keras pada waktu kejadian. Menurut peguambela Perayu yang terpelajar, terdapatnya percanggahan yang material dalam keterangan SP4 dan SP8 tersebut. [45] Namun begitu, SP4 ketika pemeriksaan balas menyatakan bahawa – “22. S: Kamu kata Mau Shi dan OKT minum. Macam mana kamu tahu? J: Selepas tugas saya selesai, saya balik ke bilik untuk buat persiapan untuk makan. Bilik saya berada di atas dan kalau untuk memasak saya kena turun ke bawah dan kena melalui depan pintu bilik no. 2. Saya nampak 2 orang duduk di depan pintu bilik no. 2 dan minum.” [46] Sewaktu pemeriksaan semula pula, SP4 telah menjelaskan seperti berikut: “6. S: Sebentar tadi kamu juga ada ditanya mengenai ada 4 orang minum dan kamu kata ada 2 orang sahaja yang minum iaitu Mau Shi dan OKT. Soalan saya, macam mana kamu boleh tahu dia minum dan dia minum apa? J: Saya tidak tahu jenama arak yang diminum tetapi saya nampak ada botol.