(v) kegagalan untuk menilai keterangan perayu yang telah disokong oleh SP2 dan SD2 yang jika dilakukan akan menimbulkan keraguan atas kes pendakwaan. Keputusan kami [9] Mengenai isu (i), peguam menegaskan terdapat tiga kekhilafan utama dan yang menjadi asas dapatan hakim bicara iaitu: tiadanya kata-kata amaran berkenaan yang sebenar dikemukakan oleh SP4 semasa perbicaraan; rujukan kepada s. 37 (1b) adalah khilaf memandangkan seksyen itu menyentuh tentang anggapan dan bukan kata-kata amaran; dan, kata-kata amaran tersebut jika diucapkan sepertimana dinyatakan 10 dalam P32 (laporan polis SP4), telah tidak diperjelaskan kepada perayu. Dengan bersandarkan kes PP v Mohd Fahmi bin Hamzah [2002] 6 MLJ 340, dan PP v Mohd Fuzi bin Wan Teh & Anor [1989] 2 CLJ 652, dihujahkan pernyataan amaran tersebut tidak sepatutnya diterima sebagai keterangan dan tidak boleh dijadikan asas dapatan hakim bicara. Pada hemat kami isu ini bukan merupakan asas tunggal atau utama keputusan hakim bicara mengenai persoalan pemilikan dengan mens rea dadah berkenaan. Sebelum itu ingin kami jelaskan bahawa catatan yang merujuk kepada s. 37(1b) berkenaan ternyata merupakan satu kekhilafan menaip dan tidak seharusnya dijadikan isu berbangkit. Berbalik kepada isu pernyataan beramaran, kami dapati hal perkara tersebut langsung tidak dibantahi semasa perbicaraan dan tidak juga disentuh oleh peguam semasa penghujahan di akhir kes pendakwaan ataupun pembelaan. Seharusnya peguam membantah sekeras-kerasnya jika pendakwaan ingin memasukkan pernyataan itu sebagai keterangan substantif. Inilah yang biasanya dilakukan. Dalam keadaan tersebut hakim bicara tidak boleh dikatakan terkhilaf apabila menerima keterangan SP4 yang disokong dengan laporan polis P32 untuk menerima masuk dan merujuk kepada kata-kata perayu sebagai salah satu keterangan bagi tujuan pembuktian isu pemilikan dengan mens rea. Kami berpandangan isu yang ditimbulkan itu tidak boleh dilihat secara berasingan dan tersendiri. [10] Pada pandangan kami apa yang penting untuk ditentukan adalah sama ada perayu mempunyai milikan dengan mens rea dadah-dadah berbahaya dalam persoalan. Apakah yang dimaksudkan dengan milikan dengan mens rea itu kini telah mantap dan hakim bicara dengan betul telah merujuk kepada nas PP v Denish Madhavan [2009] 2 CLJ 209 dan Chan 11 Pean Leon v PP [1959] MLJ 237 untuk mencari makna dan inti pati ungkapan tersebut serta kes PP v Abdul Manaf bin Muhammad Hassan [2006] 3 MLJ 193 mengenai pendekatan yang boleh diambil. Dalam kes ini hakim bicara telah mengambil pendekatan pembuktian milikan dengan mens rea secara terus/positif dan bagi pengedaran pula telah mengguna pakai anggapan di bawah s. 37 (da) sepertimana yang digariskan dalam kes PP v Abdul Manaf bin Muhamad Hassan (supra). Hakim bicara tidak terkhilaf malahan betul dalam mengambil pendekatan ini. [11] Selaras dengan nas-nas di atas, kami dapati adanya keterangan yang mantap untuk membangkitkan fakta-fakta primer yang mewajarkan inferens bahawa perayu mempunyai penjagaan, kawalan lantas milikan dan pengetahuan akan dadah-dadah berbahaya tersebut. Tidak dipertikaikan, malahan diakui di sepanjang perbicaraan, bahawa rumah tersebut didiami sendirian oleh perayu. Kedua-dua ibu bapa perayu mengesahkannya (disahkan juga oleh SP6, pegawai penyiasat). Malahan, SP2 (ibu) sendiri mengatakan dia dan ahli keluarga yang lain tidak boleh memasuki rumah itu kecuali dibuka dan diizinkan oleh perayu. SP2 (begitu juga SD2) tidak pernah mengatakan ada orang lain yang tinggal bersama-sama dengan perayu. Begitu juga SP4 menafikan ada orang lain di dalam rumah tersebut atau berada bersama-sama di perkarangan rumah semasa pemantauan atau semasa perayu ditangkap. SP4 hanya melihat perayu seorang sahaja yang keluar dari rumah tersebut. SP6, pegawai penyiasat, pula tidak diperiksa balas atas isu ini. Jadi, isu akses oleh orang lain tidak timbul langsung. Ini membezakan kes ini dengan kes-kes yang melibatkan adanya beberapa orang penghuni di dalam rumah atau premis di mana dadah dijumpai (contohnya kes PP v Denish Madhavan, supra). Harus 12 dicatatkan lagi di sini penemuan beg-beg (P15 dan P18) di atas lantai bilik-bilik dalam rumah tersebut yang mengandungi dadah Cannabis dalam bentuk 10 mampatan dan 80 peket plastik lut sinar tidak berjaya dicabar malahan tidak dipertikaikan. Hakikat di atas mewajarkan inferens yang paling munasabah iaitu perayu, sebagai penghuni tunggal, mempunyai penjagaan, dan kawalan lantas milikan ke atas dadah-dadah yang berada dalam kedua-dua beg berkenaan. Kami juga berpandangan, dalam keadaan yang dibentangkan di atas, bahawa perayu mempunyai pengetahuan akan jenis dan bentuk dadah-dadah tersebut. Di sini lah relevannya fakta mengenai tingkah laku perayu dalam memandu arah SP4 dan menunjukkan tempat kedua-dua beg diletakkan. Keterangan ‘perbuatan menunjukkan’ sebagai evidence of subsequent conduct boleh dan telah diterima di bawah s 8 Akta Keterangan 1950 sepertimana diputuskan dalam kes Bala Anak Matik v PP [2006] 3 MLJ 516. (Lihat juga PP v Denish Madhavan, supra). Ditimbang bersekali dengan bentuk-bentuk dadah yang dijumpai itu, kesimpulan yang jelas ialah perayu semestinya mempunyai pengetahuan akan jenis dadah-dadah tersebut. Tuntasnya, dari sudut di atas, kami berpendapat dapatan milikan dengan pengetahuan secara positif sepertimana yang diputuskan oleh hakim bicara adalah betul dan diwajarkan. [12] Mengenai isu kedua, kami berpendapat isu tersebut ialah satu non starter. Dalam hal ini kami bersetuju dengan keputusan mahkamah ini dalam kes Timhar Jimdani Ong & Anor v PP [2010] 3 CLJ 938. Memadai bagi kami untuk memetik keputusan (2) (Held (2)) yang menyatakan: “(2) Kenyataan pembukaan pihak pendakwaan adalah langkah prosedur yang penting di mana ia memperkenalkan 13 kesnya dan membentangkan hujahan kepada pihak juri. Tetapi, di dalam perbicaraan jenayah yang dipengerusi oleh satu hakim sebagai pengadil kedua-dua fakta dan undang-undang, kenyataan pembukaan tidak mempunyai kepentingan yang sama. Hakim bicara tidak perlu 'curtain raiser' untuk pihak pendakwaan membentangkan butir-butir terperinci kes ini. Seksyen 179 Kanun Tatacara Jenayah hanya memerlukan pihak pendakwaan memuaskan mahkamah bahawa tuduhan terhadap tertuduh bukanlah remeh dan memang mengandungi material untuk memulakan prosiding terhadapnya. Butir-butir keterangan tidak dijangkakan akan diberi melalui kenyataan pembukaan. Dalam kebanyakan kes, tuduhan adalah gambaran keseluruhan yang cukup sebagai keterangan yang perlu dikemukakan. Tidak timbul kewajipan untuk pihak pendakwaan mengemukakan salinan kenyataan pembukaan untuk ditandakan di mahkamah, juga tiada keperluan untuk kenyataan berada dalam keadaan bertulis. Akibat itu, peninggalan pendakwaan daripada kenyataan pembukaannya vis a vis kata-kata yang boleh menunjukkan kebersalahan yang didakwa dinyatakan oleh perayu kedua dan percubaan perayu-perayu untuk memberi rasuah kepada pihak polis, adalah tidak penting dan tidak fatal kepada kes. Ia tidak secara automatik bermakna bahawa huraian selanjutnya polis-saksi adalah perkara yang difikirkan kemudian atau rekaan semata-mata. Pihak pendakwaan tidak boleh disingkir daripada memberi di perbicaraan keterangan yang tidak disebut di dalam kenyataan pembukaan. Mahkamah bicara tidak kekeliruan dan perayu-perayu tidak berada dalam keadaan yang melemahkan kedudukan mereka atau memprejudiskan mereka yang membawa kepada ketidakadilan kepada mereka di dalam kegagalan menegakkan keadilan.” [13] Mengenai isu (iii), kami dapati tiada merit dalam isu ini. Pada kami, ini melibatkan kuasa budi bicara hakim bicara dalam menilai keterangan dan kebolehpercayaan seseorang saksi. Budi bicara ini diberikan sepenuhnya kepada hakim bicara dan amat jarang sekali akan diganggu 14 gugat oleh mahkamah rayuan kecuali ditunjukkan pelaksanaan budi bicara itu salah dari segi undang-undang. Harus dicatatkan SP2 tidak diisytiharkan sebagai hostile witness atau dicabar kebolehpercayaannya oleh pendakwaan menurut prosedur yang diperuntukkan dalam s 154 atau s 155 Akta Keterangan 1950. Ini diakui oleh peguam. Oleh itu, hakim bicara bebas untuk menilai keterangannya dan dalam penilaian tersebut boleh menerima atau menolak mana yang difikirkan wajar setelah menimbangkannya bersekali dengan keseluruhan keadaan kes ini. (lihat kesan pemakaian prosedur di atas, jika dilakukan, dalam kes PP v Willey Salleh [2017] 1 LNS 1704(Mahkamah Rayuan)). Dalam rayuan sekarang ini, kami tidak nampak kekhilafan dilakukan oleh hakim bicara memandangkan adanya asas yang munasabah kenapa beliau memutuskan sedemikian: “[21] Pihak pembelaan berhujah bahawa terdapat percanggahan dalam kes pendakwaan apabila SP2 menyatakan ‘Mat Kondom’ ada di tempat kejadian sedangkan SP4 dan pegawai penyiasat iaitu SP6 mmemberi(sic) keterangan bahawa ‘Mat Kondom’ tiada di tempat kejadian. “[22] Prinsip undang-undang membolehkan mahkamah menerima sebahagian keterangan seseorang saksi dan menolak sebahagian keterangannya setelah keterangan saksi tersebut diteliti bersama-sama keseluruhan keterangan yang ada. Prinsip ini dijelaskan oleh Raja Azlan Shah (ketika itu) dalam kes PP v Datuk Haji Harun bin Idris [1977] 1 MLJ 15 di mukasurat 19 seperti berikut : “The question is whether the existence of certain discrepancies is sufficient to destroy their credibility, there is no rule of law that the testimony of a witness must either be believed in its entirely or not at all. A court is fully competent, for good and cogent reasons, 15 to accept one part of the testimony of a witness and to reject the other. It is, therefore, necessary to scrutinize each evidence very carefully as this involves the question of weight to be given to certain evidence in particular circumstances.” [23] Pada peringkat ini, pihak pembelaan membina asas pembelaan bahawa dadah-dadah yang ditemui dalam rumah tersebut adalah milik ‘Mat Kondom’. [24] Berbalik kepada isu percanggahan yang dibangkitkan ini, selain dari SP2 adalah saksi yang berkepentingan kerana OKT adalah anaknya, saya dapati berdasarkan keseluruhan keterangan, saya menolak sebahagian keterangan SP2 berhubung kewujudan ‘Mat Kondom’ ini. Tambahan pula keterangan SP2 kebanyakannya diceritakan oleh suami SP2 kerana SP2 ketika kejadian telah masuk ke rumahnya kerana cucunya sedang menangis. [25] Oleh itu tiada 2 versi yang berbeza dalam kes yang dibentangkan oleh pihak pendakwaan.” [14] Kami juga berpandangan yang sama mengenai isu