Preamble
Menurut OKT-1 seterusnya mereka semua telah bertolak balik ke rumah mereka pada pukul 9:30 malam dan sampai pada pukul 9:40 malam. Di dalam erti kata lain OKT-1 walaupun mengaku berada di tempat kejadian tetapi hanya untuk mengambil isterinya sahaja OKT- 1 juga menafikan kejadian rompakan ini. Keterangan OKT-1 ini disokong oleh SD3, iaitu isterinya. [46] Anehnya OKT-1 telah menunjukkan gambar tempat Kawasan yang dia selalu menunggu SD3 iaitu P2 (3), tanpa menyedari di situlah tempat di mana rompakan ini berlaku. OKT-1 menyatakan bahawa terdapat kemungkinan dia ada memegang bahagian luar kereta SP1 ketika sedang menunggu isterinya di tempat kejadian. Semasa disoal balas OKT-1 menyatakan tidak pasti ketika dicadangkan bahawa dia ada memegang bahagian luar kereta SP1 tersebut semasa keluar dari keretanya untuk merokok. OKT-1 juga tidak pasti tentang keberadaan OKT-2 bersamanya pada malam tersebut. [47] Mahkamah telah meneliti keterangan Pembelaan OKT-1 yang merupakan penafian, khususnya OKT-1 menafikan berada di tempat kejadian bersama OKT-2 pada tarikh dan waktu seperti pertuduhan kerana telah berada di rumah sejak 9:40 malam. Mahkamah mengambil maklum rompakan berlaku di tempat seperti di dalam gambar P2 (3) iaitu tempat yang OKT-1 selalu menunggu SD3 balik dari kerja. Mahkamah mengambil maklum OKT-2 di dalam pembelaannya telah mengesahkan pada tarikh dan waktu kejadian OKT-2 memang berada bersamanya namun menafikan tentang rompakan tersebut. Ini bermakna OKT-1 tidak bercakap benar kerana selain daripada keterangan langsung daripada SP1/Pengadu, keterangan-keterangan mengikut keadaan menjurus kepada penglibatan OKT-1 di dalam rompakan ini. [48] Apabila diaju dengan keterangan bahawa cap jarinya terdapat dibahagian luar kereta Pengadu, OKT-1 mengaku ada kemungkinan, namun kemudiannya menyatakan tidak pasti. Jelas keterangan OKT- 1 tidak konsisten, bercanggah, tidak berasas, berdolak-dalik menjadikan keterangannya sebagai tidak kredibel, tidak “reliable” dan tidak probabel. Ini telah mengakibatkan pembelaannya adalah rekaan semata-mata dan sekali lagi menjadikan OKT-1 seorang saksi yang tidak boleh dipercayai. [49] SD3, isteri OKT-1 telah hadir ke Mahkamah untuk memberi keterangan bagi menyokong keterangan suaminya, OKT-1. Walaupun tidak ada anggapan undang-undang bahawa keterangan SD3 sebagai isteri kepada OKT-1 tidak boleh dipercayai, namun meneliti kesemua keterangan yang telah dikemukakan, Mahkamah ini bersetuju keterangan SD3 adalah diragui dan tidak dapat menyokong penafian dan Pembelaan OKT-1. [50] Seperkara lagi, Mahkamah mengambil maklum bahawa OKT-1 juga di dalam pembelaannya menyatakan bahawa dia berada di tempat kejadian hanya untuk mengambil isterinya, SD3. Namun perkara ini tidak dicadangkan kepada saksi-saksi Pendakwaan khususnya SP9 (Pegawai Penyiasat) dan SP1/Pengadu menjadikan pembelaannya sebagai pemikiran semula (after thought). [51] Ke arah itu, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan HMS seperti berikut: “Adalah sukar untuk saya mempercayai dan menerima alasan yang dikemukakan oleh OKT-1 bahawa beliau kebetulan berada di tempat kejadian pada 1.3.2020 kerana mununggu isterinya SD3. Pihak Pembelaan tidak pernah mencadangkan atau membangkitkan dakwaan semasa peringkat kes Pendakwaan. Saksi-saksi Pendakwaan terutamanya SP1 dan SP9 tidak pernah dicadangkan dengan dakwaan tersebut. Adalah amat penting untuk memeriksa balas SP1 dan SP9 dengan dakwaan bahawa OKT-1 berada di tempat kejadian pada masa kejadian kerana menunggu isterinya bagi mengesahkan kebenaran pembelaan OKT-1. Namun, perkara tersebut tidak berlaku dan kredibiliti SP1 dan SP9 kekal utuh. Kegagalan pihak Pembelaan mengemukakan Pembelaan ini telah menjejaskan kredibiliti Saksi Pembelaan iaitu OKT-1 dan SD3. Dakwaan OKT-1 dan SD3 mengenai isu tersebut juga boleh dianggap sebagai afterthought atau pemikiran selepas. Dapatan saya ini adalah selaras dengan kes Public Prosecutor v. Ho Sek Kong [2006] 2 MLJ 81.” Pembelaan OKT 2 [52] OKT-2 juga di dalam keterangannya ketika disoal balas dengan spontannya mengaku bahawa pada 1.3.2020 jam 9:00 malam dia ada bersama OKT-1 dan berada di tempat kejadian. Dalam masa yang sama, OKT-2 menjelaskan bahawa pada tarikh tersebut dia tidak ingat secara khusus sebarang kejadian yang berlaku pada malam itu. OKT-2 juga menyatakan pada hari tersebut dia berada di rumah bersama ayahnya (SD2) dan ahli keluarga yang lain sepanjang hari pada tarikh kejadian. Keterangan ini bercanggah kerana memaparkan 3 set fakta yang berbeza dan tidak boleh diterima akal. Ini telah memberi kesan kepada kredibiliti OKT-2 sebagai seorang saksi yang tidak boleh dipercayai kerana memberi keterangan yang berdolak-dalik/tidak konsisten dan tidak rasional. Di dalam erti kata lain, OKT-2 menafikan melakukan rompakan ini kerana tidak berada di tempat kejadian. OKT-2 telah turut memanggil bapanya, SD2 untuk menyokong keterangannya. Mahkamah mengambil maklum bahawa sungguhpun SD2 adalah bapa kepada OKT-2, iaitu saksi yang ada talian darah dan berkepentigan, ini tidak bermakna keterangan SD2 tidak boleh diterima. Keterangan SD2 ini hanya tertumpu tentang keberadaan OKT-2. [53] Apapun semasa pemeriksaan balas ketika dicadangkan bahawa OKT-2 tidak berada di rumah pada 1.3.2020 jam lebih kurang 9:30 malam, SD2 menegaskan bahawa beliau tidak pasti, namun kebanyakan masa OKT-2 berada di rumahnya. Mahkamah mendapati keterangan SD2 ini jelas tidak dapat menyatakan dengan tepat tentang keberadaan OKT-2. Ini secara tidak langsung menunjukkan keterangan SD2 tidak dapat menyokong Pembelaan OKT-2 dan menyangkal keterangan SP1 yang mengesahkan bahawa OKT-2 bersama OKT-1 berada di tempat kejadian dan telah melakukan rompakan tersebut ke atasnya. [54] Mahkamah ini berpendapat bahawa Pembelaan OKT-2 ini hanyalah penafian dan rekaan semata-mata dan gagal menimbulkan apa-apa keraguan munasabah ke atas kes Pendakwaan. [55] Mahkamah juga mendapati Pembelaan kedua-dua OKT ini melibatkan kononnya ketidakberadaan OKT-OKT di tempat kejadian semasa rompakan berlaku. Ini melibatkan Pembelaan alibi di mana notis alibi perlu diberikan. Kedua-dua OKT telah gagal mengeluarkan notis tersebut dan ini adalah fatal. Maka, Pembelaan ini tidak boleh dipertimbangkan. Lihat kes Ku Lip See v. PP [1982] 1 MLJ 194 dan kes Vasan Singh v. PP [1988] 3 MLJ 412. [56] Mahkamah ini telah meneliti sekali lagi Pembelaan OKT-OKT di akhir kes Pembelaan, dibandingkan dengan kes Pendakwaan yang kukuh. Mahkamah mendapati kedua-dua Tertuduh telah gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah ke atas kes Pendakwaan dan Pendakwa Raya telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah dan kedua-dua OKT wajar didapati bersalah dan disabitkan. [57] Ke arah itu, Mahkamah bersetuju dengan dapatan HMS yang memutuskan seperti berikut: “Setelah mendengar dan mempertimbangkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh pihak Pembelaan, dan menilai semula keterangan-keterangan pihak Pendakwaan dan setelah saya membuat penilaian maksimum ke atas keterangan-keterangan berkaitan, saya mendapati bahawa Pembelaan OKT-OKT gagal menimbulkan keraguan yang munasabah, saya seterusnya memutuskan bahawa pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melangkaui keraguan yang munasabah (Mat v. PP [1963] MLJ 263).” [58] Justeru, Mahkamah ini mendapati bahawa tidak terdapat apa-apa kesilapan yang dilakukan oleh HMS yang memerlukan campur tangan Mahkamah ini. Mahkamah juga mendapati bahawa sabitan ini adalah selamat. Justeru itu, Mahkamah ini memutuskan bahawa rayuan oleh kedua-dua Tertuduh ini terhadap sabitan ditolak. F. RAYUAN TERTUDUH/PERAYU TERHADAP HUKUMAN [59] Kedua-dua Tertuduh/Perayu telah merayu terhadap hukuman yang mengikut kedua-dua Tertuduh/Perayu adalah terlalu berat. Hukuman yang telah dijatuhkan HMS adalah 13 tahun penjara dan 3 sebatan masing-masing. [60] Mahkamah ini mengambil-maklum bahawa kesalahan di bawah Seksyen 395/397 KAJ memperuntukkan pemenjaraan sehingga 20 tahun penjara serta hukuman sebatan. Adalah menjadi tanggungjawab mana-mana Mahkamah sebelum menjatuhkan hukuman supaya memberi keutamaan kepada kepentingan awam yang mengatasi kepentingan peribadi Tertuduh/Perayu sendiri sepertimana yang ditekankan di dalam kes PP v. Loo Choon Fatt [1976] 2 MLJ 256. [61] Namun kepentingan seseorang Tertuduh tidak boleh diketepikan langsung. (Lihat kes Tan Sri Abdul Rahim Noor v. PP [2001] 1 MLJ 193). Bergantung kepada keadaan masing-masing, terdapat keadaan di mana kepentingan awam sendiri mewajarkan seseorang Tertuduh itu tidak dimasukkan ke dalam penjara di dalam tempoh yang panjang kerana ia akan membawa banyak keburukan daripada kebaikan, di mana seseorang Pesalah itu akan menjadi penjenayah tegar (hardened criminal) selepas selesai menjalani hukuman penjara. [62] Justeru itu, Mahkamah ini sebagai Mahkamah yang mendengar rayuan perlu menjalankan satu kaedah pengimbangan (balancing exercise) untuk memastikan keadilan dilaksanakan kepada mangsa/orang awam dan juga Tertuduh/Perayu di dalam menentukan hukuman yang sesuai yang akan dijatuhkan. Ke arah itu, Mahkamah akan menggunakan kaedah ini di dalam menentukan hukuman yang sesuai di dalam kes ini. [63] Mahkamah juga ingin memetik ungkapan Hakim Mahkamah Rayuan YA Datuk Seri Gopal Sri Ram di dalam kes Adam Atan v. PP [2009] 1 CLJ 33 yang menyatakan: “In an appeal against sentence, the initial function of this court is one of review only. The fact that each of us sitting separately or together would have imposed a lesser sentence is irrelevant. The appellant must satisfy this court that the sentencing court has either erred in principle or imposed a sentence that was manifestly excessive. We find it unnecessary to cite any authority in support of this well-established principle”. [64] Di dalam keadaan di mana tertuduh telah memfailkan rayuan terhadap hukuman dan Pendakwa Raya pula tidak memfailkan rayuan silang sedangkan Pendakwa Raya adalah “guardian of public interest”, maka adalah menjadi tanggungjawab Mahkamah di peringkat rayuan untuk meninggikan (menambah) hukuman yang telah dijatuhkan oleh Hakim bicara dengan syarat Mahkamah mendapati penambahan hukuman itu adalah wajar dan bermerit berdasarkan fakta kes masing-masing. Jemput lihat kes Mahkamah Rayuan yang menyatakan sedemikian di dalam kes Kesavan a/l Baskaran v. PP [2008] 6 MLJ 384/ [2008] 6 CLJ 390 melalui Gopal Sri Ram Rayuan HMR ketika itu. [65] Berbalik kepada kes ini, Mahkamah mendapati HMS telah mempertimbangkan rayuan mitigasi dan hujahan pemberatan dan peringanan hukuman daripada kedua-dua pihak. Seterusnya, HMS telah mengambil kira prinsip-prinsip hukuman khususnya kepentingan awam perlu diutamakan daripada kepentingan Tertuduh-Tertuduh dan juga keseriusan kesalahan dan juga mitigasi Tertuduh-Tertuduh seperti mana akan dirujuk selepas ini, sebelum menjatuhkan hukuman 13 tahun penjara dan 3 sebatan. [66] Di dalam mengambil kira keseriusan kesalahan ini, HMS telah menyatakan seperti berikut dan Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan HMS itu: “Di dalam kes di hadapan Mahkamah ini, kesalahan merompak menggunakan senjata adalah satu kesalahan yang serius. Hukuman maksimum yang diperuntukkan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan adalah pemenjaraan selama 20 tahun. OKT-OKT juga menggunakan pisau ketika melakukan rompakan, berdasarkan Seksyen 397 Kanun Keseksaan, OKT-OKT juga hendaklah dikenakan hukuman sebatan. Mahkamah ini berpendapat bahawa Kesalahan merompak menggunakan senjata ini memerlukan suatu hukuman pemenjaraan dan sebatan yang boleh memberi pengajaran kepada OKT-OKT dan juga sebagai amaran bahawa sesiapa yang melakukan perbuatan seperti kes ini, akan menerima padahnya.” [67] HMS juga telah mempertimbangkan latar belakang tertuduh, bahawa keganasan telah digunakan di mana di dalam kes ini pisau telah digunakan, antara lain. Mahkamah bersetuju dengan dapatan HMS yang memutuskan seperti berikut: “Saya juga perlu akur bahawa setiap hukuman yang akan dijatuhkan hendaklah berdasarkan kepada nature of the offence, keadaan ketika mana kesalahan dilakukan, sama ada dengan atau tanpa keganasan, umur, character, antecendents, latar belakang tertuduh, rayuan mitigasi dan pandangan pihak Pendakwaan. Setelah mempertimbangkan faktor-faktor tersebut, saya berpendapat bahawa hukuman yang dijatuhkan ke atas OKT-OKT adalah wajar. Dapatan ini selaras dengan kes Veerian T Latchmanen v. PP [2001] 7CLJ 466, ....” [68] HMS juga adalah tidak tersalah arah apabila telah mengikuti trend hukuman semasa bagi kesalahan yang serupa. HMS telah merujuk kepada kes Riky Rinaldi Mohd Yunus v. PP [2019] 1 LNS 1621 di mana Tertuduh telah didapati bersalah bagi kesalahan yang sama seperti ini iaitu di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan di mana Mahkamah Tinggi telah mengekalkan Keputusan Mahkamah Sesyen yang telah mengenakan hukuman 14 tahun penjara dan 5 sebatan. [69] Mahkamah ini juga telah membuat penyelidikan terhadap trend hukuman bagi kesalahan sebegini sejak 10 tahun yang lalu. Mahkamah ini mendapati adalah lazim bagi Mahkamah untuk menjatuhkan hukuman yang berat kerana Mahkamah telah iktiraf bahawa kesalahan sebegini adalah kesalahan yang serius dan berat yang meninggalkan kesan (impak) yang berterusan seperti trauma dan phobia ke atas mangsa khususnya wanita yang bersendirian seperti di dalam kes ini dan satu hukuman yang berbentuk menyekat (detteran) wajar diberikan. [70] Contohnya, di dalam kes Ahmad Rashidi Bin Zainol & Anor v. PP [2014] 9 MLJ 562, di mana mangsa adalah seorang wanita warga emas yang tinggal berseorangan telah menjadi mangsa rompakan berkumpulan yang dilakukan OKT dan rakannya. HMS telah menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara dan 3 sebatan setelah perbicaraan penuh dijalankan. Tertuduh-Tertuduh telah memfailkan rayuannya ke Mahkamah Tinggi. Setelah mendengar rayuan OKT-OKT/Perayu-Perayu, YA Hakim Mahkamah Tinggi telah menolak rayuan OKT-OKT dan dengan menggunakan budi bicaranya, YA Hakim Mahkamah Tinggi telah menaikkan hukuman tersebut kepada 12 tahun penjara dan 10 sebatan, dengan alasan antara lain ialah ianya merupakan satu kesalahan serius dan kekerapan berlakunya jenayah ini (rampancy), fakta dan keadaan kes di mana mangsa adalah wanita warga emas dan tinggal berseorangan. [71] Di dalam kes Muhammad Safriadi v. PP [2011] 1 MLJU 1405, OKT telah mengaku bersalah kerana melakukan kesalahan yang serupa (i.e Seksyen 395/397) dengan menggunakan parang. Oleh kerana keseriusan kes dan kekerapan kesalahan ini, antara lain, HMS telah menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan 12 sebatan. Setelah rayuan dibuat ke Mahkamah Tinggi, YA Hakim telah mengekalkan hukuman tersebut. [72] Di dalam kes Muhammad Ridoan & Anor v. PP [2013] 1 AMR 566 kedua-dua Tertuduh telah melakukan kesalahan yang serupa (Seksyen 395/397). Di atas pengakuan bersalah mereka, HMS telah menjatuhkan hukuman 7 tahun penjara dan 7 sebatan. Apabila keputusan ini dirayu ke Mahkamah Tinggi, Yang Arif Hakim telah menaikkan hukuman kepada 10 tahun penjara dan 10 sebatan. Yang Arif Hakim menyatakan: “In my view the sentences in the present case is not deterrent enough and does not sufficiently reflect the degree of public abhorrence for this type of criminal behavior. The offence is rampant....” [73] Justeru itu, Mahkamah ini mendapati bahawa HMS tidak tersalah arah apabila menjatuhkan hukuman sedemikian. Justeru itu, Mahkamah menolak rayuan OKT-OKT terhadap hukuman memandangkan keputusan HMS itu adalah betul yang tidak mewajarkan campur tangan Mahkamah ini. [74] Mahkamah ini juga telah mengambil kira bahawa keputusan ini adalah dibuat setelah satu perbicaraan penuh dijalankan dan bukan ekoran daripada pengakuan bersalah kedua-dua Tertuduh, yang mana boleh menjimatkan masa semua pihak khususnya masa Mahkamah (judicial time) dan hukuman penjara yang lazimnya dikenakan adalah di sekitar 10 tahun dan sebatan. G. KESIMPULAN [75] Di atas alasan-alasan yang diberikan di atas, rayuan kedua-dua Tertuduh terhadap sabitan dan hukuman ditolak. Keputusan HMS dikekalkan. Tarikh: 31 Januari 2024 (DATO’ AHMAD BIN BACHE) Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah 1 Kuala Lumpur. Pihak-Pihak Perayu/Tertuduh: Cik Ezreen Binti Abdul Rahman TETUAN FAHMI ZHAFRI ASHRAF & CO 1-1, Perdana The Place Jalan PJU 8/5G Damansara Perdana 47820 Petaling Jaya SELANGOR Pendakwa Raya/ Encik Mohd Isa bin Mohamed Responden: JABATAN PEGUAM NEGARA Unit Pendakwaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Wisma Chase Perdana 50512 KUALA LUMPUR