Preamble
Menurut peguam Defendan lagi, P2 dan P3 ini tidak boleh diterima masuk sebagai keterangan melalui SP1 yang bukan pembuat dokumen tersebut. Menurut peguam Defendan lagi, sekiranya Plaintif tidak memanggil pembuat dokumen tersebut untuk membolehkan penerimaan masuk P2 dan P3, maka Plaintif adalah berkewajipan 13 undang-undang untuk mengemukakan sijil di bawah seksyen 90A (2) Akta Keterangan, 1950 bagi membolehkan Ekshibit P2 dan P3 diterima sebagai bukti tanpa kehadiran pembuat (‘maker’). Bagi menyokong hujahannya, peguam Defendan telah merujuk kepada seksyen 90A (2) Akta Keterangan, 1950 dan kes Mohamad Fauzi Che Rus v. JR Joint Resources Holdings Sdn Bhd [2016] 3 MLRH 441. [12] Di samping mempertikaikan kemasukan P2 dan P3 sebagai keterangan, Defendan telah cuba mempertahankan kehadirannya bertugas mengikut jadual operasi yang telah ditetapkan oleh Plaintif dan membangkitkan pembelaan bahawa beliau adalah tidak terikat dengan peraturan untuk merekodkan kehadirannya melalui mesin perekod imbasan jari tersebut. [13] Menurut Defendan lagi, beliau hanya dikehendaki merekodkan kehadirannya apabila dipohon oleh Unit Sumber Manusia Plaintif kerana unit tersebut hanya ingin merekodkan bacaan jarinya ke dalam sistem sekali sahaja di mana apabila Plaintif mula memperkenalkan sistem baharu bacaan jari tersebut yang sebelum ini menggunakan “punch card”, Pembantu Sumber Manusia (‘HR Assistant’) telah meminta beliau untuk mencubanya dan seterusnya menyimpan rekod cap jari Defendan di dalam sistem tersebut. 14 [14] Namun, Mahkamah ini perlu menyatakan bahawa apabila disoal balas Peguam Plaintif, Defendan telah mengakui bahawa cetakan imbasan jari pada 4.3.2013 tersebut adalah hari pertama beliau melaporkan diri sebagai Ketua Eksekutif Plaintif. [15] Defendan juga telah memberitahu Mahkamah ini bahawa beliau telah diberikan opsyen oleh Pengerusi Plaintif bahawa memandangkan beliau (Defendan) adalah mewakili Lembaga Pengarah Plaintif (‘representing the board’), beliau adalah berhak untuk memilih samada mahu menggunakan sistem bacaan cap jari ataupun sistem ‘punch card’. Defendan telah memilih untuk menggunakan ‘punch card’ dan bukannya sistem imbasan jari ‘biometric thumb print’ tersebut. [16] Adalah dihujahkan bagi pihak Defendan bahawa sekiranya berdasarkan P2, Plaintif mengatakan bahawa Defendan hanya hadir 1 hari sahaja untuk bekerja bagi membuktikan kehadiran Defendan bekerja, ianya bermakna Defendan telah gagal hadir bekerja sepanjang perkhidmatan bermula 01.03.2013 hingga 01.12.2013. Kalaulah ini benar, Plaintif tidak ada pada bila-bila masapun mengambil tindakan terhadap Defendan untuk ketidakhadirannnya bertugas sedangkan Defendan masih menerima gaji penuh dan 15 elaun-elaun lain sepanjang sembilan (9) bulan perkhidmatannya dengan Plaintif. Oleh itu, adalah menjadi hujahan Defendan bahawa P2 tidak boleh dijadikan bukti untuk menjustifikasikan dan/atau mewajarkan dakwaan Plaintif terhadap Defendan mengenai kehadirannya bekerja dengan Plaintif. [17] Di dalam kes ini, Plaintif telah mendakwa bahawa Defendan telah mengingkari terma pekerjaannya yang termaktub di dalam P1 di mana mewajibkan Defendan untuk hadir bekerja mengikut jadual iaitu: Hari & Waktu Bekerja Normal : Isnin-Jumaat: 8.30 pagi – 5.30 petang [18] Mengenai kemasukan P2 dan P3 iaitu rekod imbasan cap jari Defendan yang telah ditentang oleh peguam Defendan akan kemasukkannya, Mahkamah ini perlu merujuk kepada Penyata Tuntutan Plaintif di perenggan 12 yang menyatakan berikut: “12. Adalah didapati bahawa berdasarkan rekod cetakan jari tersebut, hanya wujud satu kehadiran sahaja yang direkodkan iaitu pada 4/3/2013 pada 3.27pm. Oleh itu, akibat daripada ketiadaan rekod rasmi kehadiran Defendan ke pejabat, pihak Defendan telah gagal untuk mematuhi jadual kehadiran beliau ke pejabat seperti yang digariskan dalam kontrak beliau sendiri.” 16 [19] Berdasarkan perenggan 12 ini, Defendan sendiri telah mengetahui bahawa adalah menjadi kes yang diplidkan Plaintif terhadap Defendan atas kehadirannya satu hari sahaja iaitu pada 4.3.2013 jam 3.27 petang dan ianya adalah bersandarkan kepada rekod cetakan atau imbasan jari Defendan. Defendan sendiri mengetahui akan kewujudan rekod imbasan jari tersebut tetapi telah hanya membuat tegasannya mengenai rekod cetakan jari dengan jawapan begini: “Perenggan 12 Pernyataan Tuntutan adalah dirujuk dan dinafikan. Sebagai jawapan, Defendan sekali lagi menegaskan dan memplidkan bahawa Defendan tidak pernah gagal untuk hadir bertugas sepanjang tempoh perkhidmatan dengan Plaintif. Plaintif adalah dengan ini diletakkan di bawah beban pembuktian kukuh untuk membuktikan sebaliknya.” [20] Namun apabila rekod ini dikemukakan ke Mahkamah ini, Defendan cuba membantah kononnya kemasukannnya tidak dibuat menurut seksyen 90A Akta Keterangan 1950. Bagi Mahkamah ini, rekod cetakan atau imbasan jari ini adalah hanya merupakan satu salinan kedatangan melalui imbasan cap jari yang dicetak dari rekod yang didapati daripada mesin biometrik cap jari yang diletakkan di IPB. Mesin biometrik cap jari ini adalah digunakan untuk merekodkan kehadiran harian semua kakitangan Plaintif termasuklah Defendan. 17 Mahkamah ini berpandangan bahawa P2 dan P3 adalah salinan cetakan yang diambil daripada mesin biometrik cap jari yang berada di dalam kawalan pengurusan Plaintif. Di dalam hal ini, salinan cetakan cap jari ini adalah berbeza dengan dokumen-dokumen yang dimaksudkan di bawah seksyen 90A Akta Keterangan 1950 yang memerlukan pematuhan ketat di mana dokumen-dokumen yang dikeluarkan oleh komputer “in the course of its ordinary use” perlu dibuktikan “by tendering to the court a certificate signed by a person who either before or after the production of the document by the computer is responsible for the management of the operation of that computer, or for the conduct of the activities for which that computer was used’’. P2 adalah cetakan daripada mesin biometrik cap jari yang sememangnya di dalam kawalan Plaintif dan bagi Mahkamah ini P2 ini boleh dikemukakan melalui SP1 yang merupakan Pendaftar Plaintif yang juga merupakan pegawai atasan dan pengurusan (Senior Management) Plaintif. [21] Diandaikanlah pengataan Defendan benar bahawa beliau tidak pernah gagal untuk hadir bertugas sepanjang tempoh perkhidmatannya dengan Plaintif dan beliau yang telah diberi opsyen untuk memilih samada menggunakan sistem bacaan cap jari ataupun sistem ‘punch card’ dan telah memilih untuk menggunakan ‘punch card’, Defendan sewajarnya membuktikan kehadirannya 18 dengan ‘punch card’ yang dikatakannya tersebut. Namun, pengataan-pengataan Defendan ini hanyalah sekadar pengataan kosong semata-mata yang tidak disokong oleh mana-mana keterangan dokumentar ataupun lisan. [22] Di dalam isu kehadiran ini, adalah menjadi dapatan Mahkamah ini bahawa Defendan di dalam kes ini telah dengan jelas tidak mematuhi waktu kehadiran yang telah ditetapkan terhadapnya sepertimana yang termaktub di P1 iaitu Hari & Waktu Bekerja Normal : Isnin-Jumaat: 8.30 pagi – 5.30 petang. Dengan kehadiran bekerja yang tidak mematuhi kontrak pekerjaannya, Defendan telah memecahkan tanggungjawab fidusiarinya terhadap Plaintif. II. DEFENDAN TELAH SEWENANG-WENANGNYA MELANTIK DAN MENAIKKAN PANGKAT PUAN SALWA BINTI OTHMAN DENGAN TIDAK MEMATUHI PROSEDUR PELANTIKAN DAN KENAIKAN PANGKAT. Pelantikan Puan Salwa bt Othman sebagai Pengurus Pemasaran [23] Plaintif telah mendakwa bahawa Puan Salwa bt Othman (Pn Salwa) telah dilantik ke dalam organisasi Plaintif tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Plaintif iaitu pelantikan Pn Salwa yang dibuat 19 oleh Defendan adalah tanpa sebarang kelulusan Lembaga Pengarah Plaintif. [24] SP1 di dalam keterangannya telah memberitahu Mahkamah ini mengenai prosedur-prosedur yang ditetapkan oleh Plaintif yang perlu dilaksanakan di dalam pengambilan mana-mana orang bagi mengisi kekosongan jawatan di IPB. Prosedur pertama yang perlu diambil adalah membuat pengiklanan jawatan kosong bagi memberi peluang kepada orang-orang berkelayakan untuk memohon dan juga memberi IPB banyak pilihan untuk memilih calon yang terbaik untuk berkhidmat dengan IPB. Selepas itu pemohon-pemohon yang berkelayakan akan dipanggil untuk sesi temuduga oleh panel khas. Apabila proses temuduga telah selesai dijalankan, penilaian akan dilakukan oleh panel khas temuduga tersebut dan pelantikan pemohon yang berjaya hendaklah melalui Lembaga Pengarah, begitu juga dengan kelulusan pelantikan, ia juga hendaklah atau wajib datang daripada Lembaga Pengarah. Keterangan SP1 mengenai prosedur-prosedur lantikan jawatan ke IPB ini telah disokong oleh keterangan SP2 yang mengesahkan bahawa pelantikan untuk jawatan Pengurus Pemasaran ianya adalah wajib untuk mendapat kelulusan Lembaga Pengarah. 20 [25] Adalah satu yang tidak dipertikaikan bahawa Puan Salwa bt Othman (Pn Salwa) sememangnya telah dilantik sebagai Pengurus Pemasaran Plaintif. Pn Salwa telah dilantik melalui satu surat pelantikan bertarikh 25.3.2013 (Ekshibit P4) yang ditandatangani sendiri oleh Defendan. Plaintif telah mendakwa pelantikan Pn Salwa ini telah dilakukan oleh Defendan sendiri yang tidak mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan di samping tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengarah. Tindakan Defendan ini menurut Plaintif adalah suatu pemecahan tangggungjawab fidusiarinya sebagai Ketua Eksekutif. [26] Berhubung dengan pelantikan Puan Salwa ini, bagi menentukan samada benar atau tidak ianya telah dibuat dengan tidak mematuhi prosedur Plaintif, Mahkamah ini perlu melihat keterangan-keterangan yang telah dikemukakan oleh kedua-dua pihak Plaintif dan Defendan di dalam perkara ini. Pn Salwa telah dilantik melalui surat pelantikan bertarikh 23.3.2013. Apa yang jelas, daripada keterangan saksi Plaintif SP1 dan SP2 bahawa sebelum surat pelantikan Pn Salwa dikeluarkan sememangnya tidak ada sebarang pengiklanan untuk jawatan kosong Pengurus Pemasaran dikeluarkan oleh Plaintif. Daripada keterangan yang ada, Plaintif juga tidak pernah pada bila-bila masa sebelum 23.3.2013 memberi sebarang arahan untuk mengiklankan kekosongan jawatan Pengurus Pemasaran di IPB 21 tersebut. Maka, di sini prosedur pengiklanan kekosongan jawatan Pengurus Pemasaran sememangnya tidak dipatuhi. [27] Soalan seterusnya ialah adakah proses temuduga telah dijalankan terhadap Pn Salwa sebelum pelantikan atau pengambilan beliau sebagai Pegawai Pemasaran. Defendan telah mempertahankan tindakannya dengan mengatakan bahawa kononnya satu proses temuduga terhadap Pn Salwa telah dijalankan pada 5.3.2013 jam 2.30 petang di mana temuduga itu telah dijalankan oleh panel temuduga yang dianggotai oleh SP1, SP2 dan Dr Adanan bin Mat Junoh (bekas Pengarah Akademik Plaintif). Untuk menyokong penyataan tersebut, Defendan telah merujuk Mahkamah ini kepada dokumen-dokumen di muka surat 52, 53, 54 dan 56 Jilid 1 (D6) iaitu satu Borang Temuduga Jawatan Pengurus Pemasaran yang telah ditandatangani oleh SP1, SP2 dan Dr Adanan bin Mat Junoh (Dr Adanan - telah meninggal dunia). Menurut Defendan lagi pelantikan Pn Salwa telah dibuat hasil daripada penilaian dan persetujuan bersama pegawai atasan IPB (SP1, SP2 dan Dr Adanan) dan beliau hanya menurunkan tandatangan pada surat pelantikan sahaja. [28] Namun, SP1 dan SP2 di dalam keterangan mereka telah menafikan bahawa pertemuan mereka dengan Pn Salwa pada 5.3.2013 adalah untuk satu proses temuduga tetapi sekadar pertemuan yang telah 22 diatur atau dirancang sendiri oleh Defendan. SP1 dan SP2 telah memberi keterangannya seperti berikut: Keterangan SP1 “Defendan telah memaklumkan saya dan Puan Noraziah untuk berjumpa dengan Defendan pada waktu petang pada 05.03.2013 jam 2.30 petang. Defendan tidak langsung memaklumkan kepada saya tujuan perjumpaan tersebut dan oleh yang demikian saya hanya bersetuju untuk berjumpa dengannya tanpa mengesyaki apa-apa yang salah. Apabila saya hadir pada waktu tersebut di Bilik Meeting 1 Tingkat 4, Pn Salwa telah memberikan resume beliau kepada saya dan Puan Noraziah dan semasa Cik Salwa memberikan resume itulah saya merasa hairan kenapa Cik Salwa bertindak sedemikian kerana sangkaan saya, beliau hanyalah seorang kawan yang hadir bersama Defendan. Yang hadir pada waktu itu adalah Salwa, Defendan. Puan Noraziah binti Hashim, saya sendiri dan Allahyarham Dr. Adanan bin Mat Jusoh.” Keterangan SP2 “Defendan telah memaklumkan saya untuk berjumpa dengan Defendan pada waktu petang pada 05.03.2013 jam 2.30 petang. Defendan tidak langsung memaklumkan kepada saya tujuan perjumpaan tersebut dan oleh yang demikian saya hanya bersetuju untuk berjumpa dengannya tanpa mengesyaki apa-apa yang salah. Apabila saya hadir pada waktu tersebut di Bilik Meeting 1 Tingkat 4, saya telah diperkenalkan kepada seorang individu bernama Salwa. Pada waktu itu, Cik Salwa telah memberikan 23 resume beliau kepada saya dan semasa Cik Salwa memberikan resume itulah saya merasa hairan kenapa Cik Salwa bertindak sedemikian kerana sangkaan saya, beliau hanyalah seorang kawan yang hadir bersama Defendan. Saya menyatakan bahawa kos guaman ini telah hanya terjadi akibat daripada Defendan melantik Salwa bekerja tanpa mematuhi prosedur serta melalui prosedur yang salah dari awal. Pembatalan pelantikan yang dibuat oleh ahli Lembaga Pengarah tersebut merupakan adalah penyelesaian terhadap tindakan Defendan yang tidak mengikut garis panduan yang wajib diikuti dalam proses mengambil kakitangan baru.” [29] Malah menurut SP1 dan SP2 semasa di soal balas oleh peguam Defendan mengenai tandatangan mereka yang tertera di atas dokumen di muka surat 52, mereka telah menyatakan bahawa selepas seminggu dari tarikh pertemuan dengan Pn Salwa tersebut, Defendan telah meminta mereka meletak tandatangan mereka ke atas dokumen di muka surat 52 itu. SP1 dan SP2 seterusnya memberitahu Mahkamah ini bahawa mereka terpaksa menandatangani dokumen tersebut kerana mereka adalah tertakluk kepada arahan Ketua Eksekutif. [30] SP1 dan SP2 juga telah memberi keterangan bahawa pertemuan pada 5.3.2013 adalah merupakan suatu keadaan yang ganjil dan di 24 luar prosedur apabila Defendan sendiri telah menjemput Pn Salwa untuk hadir pada hari tersebut. [31] Adalah menjadi dapatan Mahkamah ini bahawa pertemuan yang dirancang dan diadakan oleh Defendan untuk Pn Salwa bertemu dengan SP1, SP2 dan Dr Adanan bukanlah satu proses temuduga biasa atau yang dimaksudkan di bawah peraturan IPB. Pertemuan 5.3.2013 hanya boleh dikatakan sebagai sesi perkenalan SP1, SP2 dan Dr Adanan dengan Puan Salwa. Pada masa pertemuan tersebut, borang-borang 52 dan 53 telah tidak diberikan kepada SP1 dan SP2. Di samping itu tidak ada penilaian telah dibuat oleh ketiga-tiga mereka terhadap Pn Salwa. SP1 dan SP2 telah hanya menandatangani borang di muka surat 53 atas arahan Defendan dan penilaian-penilaian yang dibuat ke atas Pn Salwa bukan dibuat oleh mereka. Sebagai pegawai bawahan, SP1 dan SP2 terpaksa menuruti atau akur terhadap arahan Defendan yang merupakan ketua jabatan mereka dan atas kapasiti itu juga mereka tidak boleh ingkar arahan ketua jabatan. Oleh itu, Defendan tidak boleh berkata bahawa penilaian telah dibuat oleh pegawai atasan IPB sedangkan mereka sendiri tidak diminta untuk memberi penilaian tetapi sekadar menandatangani dokumen tersebut atas arahan ketua mereka. Perbuatan Defendan ini adalah satu perbuatan yang tidak 25 bertanggungjawab, tidak amanah dan telah menyalahgunakan jawatan bagi kepentingannya. [32] Adalah menjadi keterangan yang jelas bahawa sememangnya tiada kelulusan Lembaga Pengarah telah diperolehi oleh Defendan bagi pelantikan Pn Salwa olehnya. [33] Daripada keterangan-keterangan yang dikemukakan, adalah menjadi dapatan Mahkamah ini bahawa sememangnya pelantikan Pn Salwa sebagai Pengurus Pemasaran Plaintif oleh Defendan adalah telah tidak mematuhi prosedur-prosedur/peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Plaintif dan untuk tindakan ini Defendan telah memecah tanggungjawab fidisuari yang terletak di atas bahunya sebagai Ketua Eksekutif Plaintif. [34] Bagi hujahan Defendan bahawa pelantikan Pn Salwa telah dibuktikan secara rasmi dan direstui Lembaga Pengarah IPB, apabila Pn Salwa telah dibayar gaji dan elaun-elaun serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso telahpun dibuat selama 7 bulan beliau berada IPB dan tiada isu ditimbulkan berkenaan pelantikan Pn Salwa sehinggalah beliau dinaikkan pangkat ke jawatan Pendaftar dan seterusnya mengambil alih tugas dan tanggungjawab SP1. 26 [35] Di dalam hal ini, Mahkamah ini berpandangan bahawa samada Pn Salwa telah dibayar gaji/elaun dan caruman-caruman KWSP dan Perkeso telah dibuat, ianya tidak boleh membaikpulih atau mengesahkan ketakpatuhan-ketakpatuhan Defendan atas peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Tindakan Defendan ini telah mengingkari terma-terma perjanjian Defendan untuk melaksanakan tugasnya dengan bertanggungjawab, amanah, dan mengikut atau mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan di dalam pelantikan mana-mana orang ke dalam organisasi Plaintif. Oleh itu, anggapan bahawa dengan pembayaran gaji, elaun dan caruman yang dibuat maka pelantikan Pn Salwa adalah rasmi dan telah direstui oleh Lembaga Pengarah Plaintif adalah tidaklah boleh dipertahankan. Begitu juga alasan yang mengatakan tindakan Plaintif ini adalah semata-mata untuk menganiaya Defendan tidak boleh dipertahankan juga kerana tiada keterangan langsung samada secara lisan atau dokumentar berhubung dengan dakwaan penganiayaan tersebut. Kenaikan pangkat Salwa oleh Defendan [36] Berdasarkan Eksibit P4, Puan Salwa telah dilantik sebagai Pengurus Pemasaran mulai 1.4.2013. Di dalam P4, telah dinyatakan bahawa tempoh percubaan bagi Puan Salwa telah ditetapkan untuk tempoh 6 bulan ke satu tahun bermula dari tarikh pelantikannya. Menurut keterangan SP1, tidak sampai tiga bulan bekerja dengan IPB, dan 27 ketika masih dalam tempoh percubaan, Defendan telah menaikkan pangkat Puan Salwa sebagai Pendaftar pada 16.6.2013 dan disahkan jawatannya oleh Defendan pada 1.7.2013. [37] SP1 juga telah memberitahu Mahkamah ini bahawa dengan kenaikan pangkat yang tidak sampai tiga bulan bekerja dan masih berada di dalam keadaan “probationary period” enam (6) bulan, dengan jelas merupakan satu perlanggaran prosedur yang jelas dan serius oleh Defendan. [38] Menurut SP1 lagi, kenaikan pangkat seseorang hanya boleh dibuat selepas tempoh percubaan dan seseorang sebelum pegawai diberi kenaikan pangkat suatu penilaian terhadap pegawai tersebut hendaklah dibuat dan berdasarkan hasil penilaian oleh Penyelia dan Ketua Jabatan tersebut, pegawai bolehlah dinaikkan pangkat. Namun begitu, kenaikan pangkat bagi jawatan Pendaftar ini hendaklah diluluskan oleh Lembaga Pengarah Plaintif. Seterusnya SP1 memberitahu Mahkamah bahawa bagi kenaikan pangkat Pn Salwa sebagai Pendaftar tersebut tidak pernah diluluskan oleh Lembaga Pengarah. [39] Keterangan amat jelas dan nyata bahawa sememangnya kenaikan pangkat Pn Salwa ke jawatan Pendaftar tidak mendapat kelulusan 28 Lembaga Pengarah Plaintif. Merujuk kepada Eksibit P5 Surat yang ditandatangani oleh Dato’ Dr Ismail bin Haji Ibrahim (Pengerusi Lembaga Pengarah IPB bertarikh 30.9.2013, Jilid B (Bahagian B)) kepada Defendan telah memaklumkan bahawa Mesyuarat Lembaga Pengarah pada 19.9.2013 telah membincangkan aduan salahlaku-salahlaku yang dilakukan Defendan termasuklah mengenai kenaikan pangkat Puan Salwa kepada jawatan Pendaftar tanpa kelulusan Lembaga Pengarah. [40] Lembaga Pengarah Plaintif yang bermesyuarat pada 19.9.2013, setelah mendapati tindakan-tindakan salah laku Defendan termasuk menaikkan pangkat Pn Salwa sebagai Pendaftar tanpa kelulusannya telah mengarahkan Defendan membatalkan pelantikan Pn Salwa serta membatalkan pengesahan Pn Salwa sebagai Pendaftar. [41] Kedudukan atau posisi Lembaga Pengarah mengenai aduan salahlaku-salahlaku Defendan termasuk kenaikan pangkat Pn Salwa tanpa kelulusannya adalah jelas digambarkan di dalam P5 seperti berikut: “ Mesyuarat Lembaga Pengarah Kali Ketiga (3) / 2013 yang bersidang pada 19hb September 2013 telah membincangkan berkaitan aduan kepada Lembaga 29 Pengarah IPB yang melibatkan Y. Brs Dr., sebagai Ketua Eksekutif IPB seperti berikut:- 1) Pelantikan Pengurusan Pemasaran, Puan Salwa Binti Othman, mulai 1hb April 2013 dan kenaikan pangkatnya kepada jawatan Pendaftar yang disahkan jawatannya pada 01/07/2013, 2) Pelucutan jawatan Pendaftar daripada Encik Wan Mohamed bin Wan Ibrahim pada 17hb Jun 2013 yang dikembalikan ke jawatan Pustakawan IPB tanpa mendapat kelulusan Lembaga Pengarah; 3) Pergaulan mesra diantara Ketua Eksekutif dengan Puan Salwa binti Othman yang terlalu intim, dan 4) Rutin kerja Ketua Eksekutif tidak mengikut masa bekerja yang telah ditetapkan. Setelah berbincang dan mendengar penjelasan, Mesyuarat telah bersetuju agar Y.Brs. Dr. mengambil tindakan-tindakan berikut dengan serta-merta:- 1) Membatalkan pelantikan Puan Salwa binti Othman sebagai Pengurus Pemasaran serta membatalkan pengesahan jawatan beliau sebagai Pendaftar IPB kerana tidak mendapat kelulusan Lembagai Pengarah IPB; 30 2) Membatalkan pertukaran jawatan En. Wan Mohamed bin Wan Ibrahim dari jawatan Pendaftar IPB je jawatan Pustakawan IPB kerana tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengarah dan mengembalikan En. Wan Mohamed ke jawatan Pendaftar IPB; 3) Membuat semula pengambilan jawatan Pegawai Pemasaran melalui proses pengiklanan dan memastikan urusan temuduga serta pemilihan calon yang berjaya mendapat pengesahan Lembaga Pengarah; 4) Menghentikan semua transaksi / sebarang tindakan berkaitan Pusat Latihan Korporat yang ditubuhkan sehingga perkara berkaitan penubuhan pusat latihan tersebut dibentangkan untuk penelitian dan kelulusan Lembaga Pengarah; 5) Membuat pengambilan bagi memenuhi kekosongan jawatan pengarah Akademik IPB mengikut proses pengiklanan dan memastikan urusan temuduga serta pemilihan calon mendapat pengesahan Lembaga Pengarah; 31 6) Memperbaiki masa bekerja dan menjaga batas pergaulan. Sebagai anak syarikat MAIWP, ini adalah perkara serius dan perlu diberi perhatian dan diperbaiki secepat mungkin. Y.Brs. Dr. juga diminta untuk memastikan semua tindakan yang diambil adalah mengikut garis panduan anak syarikat oleh MAIWP dan prosedur IPB sedia ada yang telah ditetapkan.” [42] Defendan sendiri mengetahui tindakannya melantik Pn Salwa sebagai Pengurus Pemasaran dan menaikkan pangkat Pn Salwa yang masih dalam tempoh percubaan adalah tanpa kelulusan Lembaga Pengarah dan tidak mematuhi arahan Lembaga Pengarah. Begitu juga penurunan pangkat SP1 oleh beliau yang tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengarah. Sejurus selepas mendapat arahan Lembaga Pengarah melalui P5 yang diterimanya pada 3.10.2013, Defendan pada 16.10.2013 telah menghantar draf-draf surat pembatalan pelantikan dan kenaikan Pn Salwa dan pembatalan pertukaran jawatan SP1 dari Pendaftar kepada Pustakawan (P12 dan P13 muka surat 49-51, Jilid B) seperti mana berikut: 32 “Salam Dato, Herewith I append the draft letter as requested by the board to forward to Puan Salwa and En. Wan Mohamed for your approval. Thank you. Regards, Chief Executive Institute Profesional Baitulmal Lot 1363, Jalan Perkasa Off Jalan Kg. Pandan 55100 Kuala Lumpur Tel: 03-9281 4054 Fax: 03-9581 4052 Website: www.ipb.edu.my ---------------------------------------- Draft Letter 1: Salwa bt Othman Puan, PEMBATALAN PELANTIKAN SEBAGAI PENGURUS PEMASARAN SERTA PEMBATALAN PENGESAHAN JAWATAN SEBAGAI PENDAFTAR INSTITUT PROFESIONAL BAITULMAL (IPB) Dengan segala hormatnya, perkara di atas dirujuk. Dukacita dimaklumkan bahawa merujuk kepada keputusan mesyuarat Lembaga Pengarah yang bersidang pada 19hb September 2013 serta surat makluman daripada Pengerusi Lembaga Pengarah berhubung perkara tersebut yang diterima pada 3hb Oktober 2013, adalah saya diarahkan untuk membatalkan pelantikan puan sebagai Pengurus Pemasaran serta membatalkan pengesahan jawatan puan sebagai Pendaftar IPB dengan serta-merta disebabkan kedua-dua pelantikan tersebut tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengarah IPB. Saya mengucapkan terima kasih atas segala usaha, tenaga dan dedikasi yang puan berikan sepanjang berkhidmat di IPB. Sekian, terima kasih. 33 Saya yang menurut perintah, Ketua Pegawai Eksekutif s.k : Pengerusi Lembagai Pengarah IPB : Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP : Unit Sumber Manusia IPB ---------------------------------------- Draft Letter 2: Wan Mohamed bin Wan Ibrahim Tuan, PEMBATALAN PERTUKARAN KE JAWATAN PUSTAKAWAN IPB PENGEMBALIAN SEMUA JAWATAN PENDAFTAR IPB Dengan segala hormatnya, perkara di atas dirujuk. Dukacita dimaklumkan bahawa merujuk kepada keputusan mesyuarat Lembaga Pengarah yang bersidang pada 19hb September 2013 serta surat makluman daripada Pengerusi Lembaga Pengarah berhubung perkara tersebut yang diterima pada 3hb Oktober 2013, adalah saya diarahkan untuk membatalkan pertukaran jawatan tuan dari jawatan Pendaftar IPB ke jawatan Pustakawan IPB kerana tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengarah dan mengembalikan jawatan Pendaftar IPB kepada tuan. Diharapkan dengan pengembalian jawatan tersebut, tuan dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan cekap dan amanah demi kemajuan dan perkembangan IPB. Sekian, terima kasih. Saya yang menurut perintah, 34 Ketua Pegawai Eksekutif s.k : Pengerusi Lembagai Pengarah IPB : Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP : Unit Sumber Manusia IPB ” [43] Berdasarkan draf-draf di atas yang dibuat oleh Defendan atas arahan Lembaga Pengarah Plaintif, Defendan sememangnya mengetahui dan sedar bahawa perbuatan atau tindakan beliau melantik Pn Salwa sebagai Pegawai Pemasaran dan kemudiannya menaikkan pangkat Pn Salwa sebagai Pendaftar telah dibuat olehnya bertentangan dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan dan adalah perbuatan-perbuatan pemecahan tugasnya sebagai Ketua Eksekutif. [44] Berdasarkan draf-draf yang dibuat dan disediakan oleh Defendan tersebut, Plaintif telah membatalkan pelantikan dan kenaikan pangkat Pn Salwa. Di atas pembatalan pelantikan dan kenaikan pangkatnya tersebut, Pn Salwa telah memfailkan tindakan saman di Mahkamah Perusahaan terhadap Plaintif. [45] Defendan di dalam kes ini telah cuba menafikan pengetahuannya mengenai penerimaan peletakan jawatannya oleh Plaintif serta 35 menafikan pengetahuan beliau berkenaan kesalahan-kesalahan yang didakwa telah dilakukannya yang menyebabkan Plaintif di dalam proses mengambil tindakan tatatertib terhadap beliau dengan mengatakan beliau tidak pernah menerima Ekshibit P11 (surat Plaintif bertarikh 23.01.2014). [46] Peguam Defendan telah menghujahkan bahawa eksibit P11 tidak boleh dijadikan keterangan kerana ianya telah dikategorikan sebagai bahagian C dan untuk menerima masuk P11 ini, pembuat dokumen (‘maker of document’) tersebut perlu dipanggil untuk mengesahkan kewujudan P11 tersebut dan membuktikan P11 telah diterima oleh Defendan. [47] Bantahan Defendan atas ketidakpanggilan pembuat P11 untuk membuktikan penyerahannya kepada Defendan adalah tidak berasas. Dengan berkuatkuasanya Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (KKM 2012) pada 1.8.2012 KKM 2012 telah memperkenalkan Aturan 34 iaitu satu prosedur yang memperuntukkan pengurusan kes dijalankan sebelum perbicaraan bagi menjamin dan memastikan penyelesaian kes yang adil, cepat dan ekonomi. Manakala Aturan 34 kaedah 2 (2) KKM 2012 pula telah memperuntukkan berkenaan pemfailan ikatan semua dokumen yang akan digunakan semasa perbicaraan kelak dan pengkategorian dokumen-dokumen samada 36 bahagian A, B atau C. Menurut Aturan 34 kaedah 2 (2)(e) (ii), dokumen yang diletakkan di bahagian C adalah dokumen yang kesahan dan kandungannya dipertikaikan. [48] Peguam Defendan di dalam kes ini, nampaknya telah cuba menolak P11 dengan menggunakan pengkategorian dokumen bahagian C bukan atas kesahan atau kandungannya tetapi atas alasan ianya tidak diterima oleh Defendan. [49] Perlu dinyatakan disini, ikatan dokumen bersama Jilid B ini adalah dokumen-dokumen bersama yang telah difailkan oleh pihak-pihak Plaintif dan Defendan pada 13.5.2016. Perkara mengenai penerimaan P11 atau bukti P11 itu diterima atau tidak oleh Defendan ini tidak pernah dibangkitkan oleh Defendan sejak dari mula kes ini difailkan. Bantahan yang Defendan tidak pernah menerima P11 ini hanya dibuat oleh peguam Defendan apabila rujukan dibuat kepada P11 oleh peguam Plaintif semasa SP1 memberi keterangan sebagai pihak pengurusan Plaintif. [50] Mahkamah ini perlu menegaskan bahawa kes ini telah berterusan begitu lama sejak bulan Mei 2015 lagi. Bagi kes ini, pengurusan kes/ permohonan interlokutori telah dijalankan di hadapan Timbalan/ Penolong Kanan Pendaftar sebanyak 8 kali dan di hadapan Hakim 37 sebanyak 7 kali. Malahan kes ini pernah ditetapkan untuk mediasi tetapi tidak berjaya diselesaikan. Pada 27.1.2016 pula, Penghakiman Ingkar Kehadiran telah dimasukkan terhadap Defendan atas kegagalan Defendan dan peguamnya hadir pada tarikh pengurusan kes. Namun Penghakiman Ingkar tersebut telah diketepikan oleh YA Hakim atas permohonan Defendan. Malahan apabila kes ini dipanggil untuk pengurusan kes pada 16.5.2016, peguam Defendan iaitu Encik Jason Singh bersama Encik Fahmi telah hadir dan telah juga menyebut bagi pihak Plaintif dan memaklumkan Mahkamah bahawa Ikatan Dokumen Bersama pihak-pihak telahpun difailkan. Selama ini, Defendan langsung tidak memberikan sebarang notis kepada Plaintif bagi membangkitkan isu yang Defendan kononnya tidak pernah menerima P11. [51] Adalah menjadi dapatan Mahkamah ini, di dalam keadaan sebegini, adalah tidak terbuka bagi Defendan untuk menggunakan pengkategorian dokumen di bawah Aturan 34 KKM 2012 bagi membangkitkan bantahan penerimaan masuk P11 kerana Plaintif tidak memanggil pembuat P11 bagi membuktikan bahawa Defendan telah menerima P11, walhal Defendan tidak langsung mempertikaikan isu kesahan (authenticity) dan/ ataupun kandungan (contents) P11. 38 [49] Di dalam hal ini, Mahkamah perlu menegaskan bahawa P11 boleh diterima masuk sebagai keterangan dengan pemanggilan SP1 yang merupakan Pendaftar Plaintif. [52] Mahkamah ini perlu menyatakan bahawa Defendan telah hadir ke Mahkamah dan mengatakan bahawa beliau tidak pernah menerima P11. Memandangkan beliau yang menegaskan bahawa beliau tidak menerima P11, maka beban pembuktian untuk membuktikan ketidakpenerimaan P11 yang dialamatkan kepada nama dan alamat: DR. ASHARUDDIN BIN AHMAD No. 391, Jalan B6, Taman Melawati, Hulu Kelang 68100 Ampang Selangor D.E adalah terletak dibahu Defendan sendiri. [53] Pengataan Defendan bahawa beliau tidak menerima P11 ini adalah pengataan kosong semata-mata yang tidak disokong oleh sebarang keterangan dokumentar atau lisan. [54] Lagi pun Mahkamah ini berpandangan bahawa bantahan tidak menerima P11 ini, yang dibuat di saat-saat akhir perbicaraan adalah satu taktik tidak jujur Defendan yang Mahkamah ini tidak boleh benarkan. 39 [55] Berdasarkan alasan-alasan di atas adalah menjadi dapatan Mahkamah bahawa Defendan telah menaikkan pangkat Pn Salwa kepada jawatan Pendaftar dengan tidak mematuhi prosedur yang telah ditetapkan oleh Plaintif dan tindakan-tindakan Defendan yang tidak bertanggungjawab, tidak beramanah dan tidak berintegriti ini telah mendedahkan Plaintif kepada tindakan undang-undang yang diambil oleh Pn Salwa terhadapnya. Adalah menjadi dapatan Mahkamah ini ianya adalah merupakan suatu pemecahan tanggungjawab fidusiari terhadap Plaintif. III. PENURUNAN PANGKAT EN WAN MOHAMED BIN WAN IBRAHIM DENGAN SECARA SALAH [56] SP1 telah memberi keterangan kepada Mahkamah bahawa pada 17.6.2013, Defendan telah menurunkan pangkatnya daripada Pendaftar kepada jawatan Pustakawan IPB. Penurunan pangkat SP1 ini telah diakui sendiri oleh Defendan di dalam keterangan semasa disoal balas oleh peguam Plaintif di mana menurut Defendan SP1 diturunkan pangkat atas alasan bahawa beliau tidak mampu untuk memikul jawatan sebagai Pendaftar. Selanjutnya, Defendan juga menegaskan bahawa Defendan sendiri kerap menerima aduan daripada kakitangan seliaan Encik Wan Mohamed 40 bin Wan Ibrahim tentang ketidakcekapan beliau dalam mentadbir urus jabatan. [57] Tindakan Defendan yang sewenang-wenangnya menurunkan pangkat SP1 kepada Pustakawan dan penurunan pangkat ini juga adalah tanpa kelulusan Lembaga Pengarah, adalah satu tindakan tidak bertanggunjawab Defendan dan merupakan suatu pemecahan tanggungjawab fidusiari Defendan terhadap Plaintif. iv. MEMBUAT PELANTIKAN T/N LEE OLIVER & GAN SEBAGAI PEGUAMCARA PLAINTIF TANPA KELULUSAN LEMBAGA PENGARAH PLAINTIF [58] SP2 di dalam keterangannya telah memberitahu Mahkamah bahawa Defendan telah melantik firma guaman tersebut tanpa sebarang kelulusan Lembaga Pengarah Plaintif. Tindakan Defendan yang melantik firma peguamcara T/n Lee Oliver & Gan sebagai peguamcara Plaintif tanpa kelulusan Lembaga Pengarah Plaintif adalah satu yang tidak boleh dipertikaikan kerana Lembaga Pengarah sepertimana yang tertera di dalam P5 telah menyatakan bahawa tindakan Defendan melantik firma guaman tersebut sememangnya tanpa kelulusan Lembaga Pengarah. 41 [59] Defendan telah cuba menimbulkan pembelaan bahawa sebelum pelantikan firma guaman Tetuan Lee Oliver & Gan, beliau telahpun berbincang dengan Pengerusi Plaintif dan mendapat kebenaran Pengerusi Plaintif sendiri dan telah memaklumkan kepada salah seorang ahli Lembaga Pengarah iaitu En Saharuddin Sarwan.