Responden telah melanggar kontrak jualan dimana Responden tanpa menerima sebarang booking call off dari Perayu bagi pelanggannya dan tanpa menerima 20% deposit oleh Perayu, telah menghasilkan 60,000kg barangan coklat untuk Perayu. [16] Perayu mendakwa pesanan untuk barangan coklat adalah bersifat “on demand” mengikut arahan pelanggan Perayu dalam kiraan unit metrik tan (MT) dan bukan keseluruhan kontrak jualan secara “lump sum”. Setelah mendapat arahan pelanggan tertakluk kepada pembekalan surat kredit, Perayu akan membuat “booking/ call off” bagi pihak pelanggan. Kemudian Responden akan memaklumkan pelan penghasilan kepada Perayu dan anggaran tarikh penyediaan, tarikh penghasilan dan pengaturan kargo antarabangsa. Seterusnya Responden akan menyediakan satu invois dan meminta bayaran deposit booking call off terlebih dahulu sebelum penghasilan barang. Selepas pembayaran deposit booking call off oleh Perayu, maka Responden akan memulakan pengeluaran barangan. [17] Selepas menerima pembayaran dari Perayu, Responden akan menyediakan dokumen yang diperlukan untuk penghantaran kargo antarabangsa dan menghantarnya kepada Perayu bersama barangan yang dihasilkan dan Perayu akan mengaturkan penghantaran kepada pelanggannya. Menurut Perayu, adalah amalan perniagaan pihak-pihak, kuantiti yang tidak dipenuhi kontrak jualan adalah dianggap batal. Oleh kerana tiada sebarang arahan dan surat kredit daripada pelanggan Perayu, tindakan Responden menghasilkan 60,000kg barangan coklat tersebut tanpa sebarang invois dan bayaran 20% deposit, Perayu telah melanggar terma kontrak jualan dan/atau amalan perniagaan Responden dan keputusan Responden adalah secara unilateral dan Perayu tidak boleh dipertanggungjawabkan. [18] Responden menafikan dakwaan Perayu dan menyatakan kontrak jualan adalah bukan secara “on demand” tetapi secara lump sum. Isu Perayu hanya boleh membuat booking call off apabila terdapat surat kredit dari pelanggannya adalah tidak benar kerana surat kredit tersebut bukan terma bagi kontrak jualan. [19] Atas isu ini, HMS mendapati apa yang didakwa oleh Perayu bahawa Perayu hanya boleh membuat booking/ call off selepas menerima surat kredit pelanggan Perayu bukan terma-terma kontrak jualan antara Perayu dan Responden. Responden menghasilkan baki 60,000kg barang-barang coklat mengikut terma-terma kontrak jualan, jaminan, dan/ atau pengesahan Perayu sendiri melalui emel-emel bertarikh 14.11.2022 dan 26.4.2023. HMS juga telah membuat keputusannya berdasarkan terma-terma kontrak yang dipersetujui oleh pihak-pihak dimana tempoh penghantaran adalah antara April 2022 sehingga Oktober 2022 dan Responden telah menjalankan tanggungjawabnya bagi memenuhi baki 60,000kg barang soklat sebelum 22.10.2022 dan keengganan menerima bekalan coklat ini terjumlah kepada satu pelanggaran kontrak. II. Kuantiti yang tidak dipenuhi di bawah kontrak jualan tersebut dianggap terbatal pada atau sekitar 22.6.2023 menurut amalan perniagaan. [20] Perayu menyatakan bahawa terdapat amalan perniagaan antara pihak-pihak bahawa kuantiti yang tidak dipenuhi dalam kontrak jualan sebagai terbatal dan mereka bergantung kepada minit mesyuarat bertarikh 4.12.2020. Dalam membalas dakwaan ini, Responden menyatakan bahawa tiada amalan perniagaan sedemikian dan minit mesyuarat tersebut hanya merujuk kepada satu transaksi sahaja (“one off”) dan bukan amalan perniagaan antara Responden dan Perayu. Minit mesyuarat itu jelas menunjukkan disebabkan masalah Covid-19, Responden atas niat baik bersedia membuat pelarasan munasabah. HMS telah menurunkan butiran minit mesyuarat bertarikh 4.12.2020 untuk panduan Mahkamah ini. III. Mengenai kerugian kos penyimpanan, samada Responden gagal untuk mengurangkan kerugiannya (“mitigate its losses”) [21] Perayu menghujjahkan bahawa Responden sepatutnya menanggung sendiri kos penyimpanan kerana Perayu tidak dapat membuat booking/ call off tanpa surat kredit daripada pelanggannya. Responden gagal untuk mengambil tindakan untuk mengurangkan kerugiannya. Dalam menjawab isu ini, Perayu telah mengambil maklum akan kos penyimpanan yang dikenakan melalui emel bertarikh 18.12.2022 untuk kos penyimpanan dikenakan. HMS dalam membuat dapatan bahawa isu ini bukan untuk dibicarakan telah mengambil kira bahawa Perayu sedia maklum bahawa mereka perlu menanggung kos penyimpanan dengan merujuk kepada emel antara pihak-pihak dan emel Perayu dan pelanggannya khususnya emel bertarikh 18.12.2022. IV. Secara altenatif, samada Perayu hanya bertanggungan atas “cancellation fee of 20% on purchase price” menurut kontrak jualan iaitu RM 143,800.00 dan bukan RM 179,000.00. [22] Perayu menghujahkan mereka hanya bertanggungan untuk “cancellation fee of 20% on purchase price” menurut kontrak jualan dan jumlahnya dalah RM 143,800 dan bukan RM179,000.00. HMS telah meneliti terma-terma kontrak dan mendapati ianya adalah satu klausa penalty yang dikenakan atas harga jualan barangan disamping harga barangan yang dijual; ianya bukan satu pengurangan atau diskaun terhadap barangan yang dijual. Oleh itu, tanggapan Perayu dia hanya perlu membayar RM143,800.00 adalah salah tanggapan. [23] Mahkamah Rayuan didalam UMW Motor Sdn Bhd & Anor v Allan Chong Teck Hin [2021] 5CLJ 193 memutuskan Mahkamah yang menjalankan budibicara rayuan tidak akan mengganggu dapatan Hakim Bicara selagi beliau menggunakan “judicial appreciation of evidence” dengan betul dan mengikut undang-undang. Mahkamah Rayuan didalam UMW Motor Sdn Bhd menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan ‘judicial appreciation of evidence’: -