Content
DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA (BIDANGKUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO : J-05(M)-456-10/2017 ANTARA IZWANUDDIN BIN KASIM (K/P No:801006-01-5183) ... PERAYU DAN PENDAKWA RAYA ... RESPONDEN [Dalam perkara mengenai Perbicaraan Jenayah No. 45B-15-11/2014 Dalam Mahkamah Tinggi di Johor Bahru, Johor Antara Pendakwa Raya Dan Izwanuddin bin Kasim K/P No: 801006-01-5183] CORAM YAACOB BIN HAJI MD SAM, HMR MOHAMAD ZABIDIN BIN MOHD DIAH, HMR RAVINTHRAN PARAMAGURU, HMR ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Pada awalnya Perayu bersama seorang lagi bernama Noriskandar bin Zainal Yahya telah dituduh dengan kesalahan bunuh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan. Butiran pertuduhan adalah seperti berikut: "Bahawa kamu bersama-sama pada 4.7.2014 jam lebih kurang di antara 6.00 pagi hingga 7.00 pagi, bertempat di sepanjang Jalan Skudai, Danga Bay, dalam Daerah Johor Bahru, dalam Negeri Johor Darul Takzim telah melakukan kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Yong Boon Cheong (No. K/P: 600415-01-5423) dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama seksyen 34 Kanun Keseksaan." [2] Bagaimanapun, Noriskandar bin Zainal Yahya telah menerima tawaran pihak pendakwaan untuk pertuduhan alternatif di bawah seksyen 201 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menghapuskan bukti kesalahan jenayah yang berlaku. Beliau telah mengaku salah terhadap pertuduhan alternatif tersebut dan dikenakan hukuman penjara. Beliau selanjutnya menjadi saksi pendakwaan SP14 untuk kes terhadap Perayu. [3] Setelah perbicaraan penuh dijalankan, Yang Arif Hakim bicara (Hakim bicara) mendapati Perayu bersalah terhadap pertuduhan, mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati ke atas Perayu. [4] Terkilan dengan keputusan tersebut, Perayu merayu kepada mahkamah ini. Kami telah mendengar rayuan Perayu dan memutuskan menolak rayuan Perayu. Sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi dikekalkan. Kami kini memberikan alasan keputusan tersebut. Kes Pendakwaan [5] Daripada keterangan yang telah dikemukakan, intipati kes pendakwaan seperti di bawah ini. [6] Asal usul kejadian dapat disusuri daripada keterangan Mohd Azlan bin Saad (SP15) berumur 30 tahun, bekerja sebagai pemandu teksi. Pada 4.7.2014, jam lebih kurang 2.30 pagi, SP15 membawa seorang penumpang perempuan untuk pergi ke Polo Park Apartment, Taman Iskandar, Johor Bahru. Ketika SP15 tiba di pondok pengawal Polo Park Apartment, SP15 melihat berlaku kekecohan melibat seorang lelaki Melayu (Perayu), seorang perempuan Melayu dan seorang lelaki berbangsa Cina (si mati). SP15 memberhentikan teksinya untuk melihat apa yang berlaku dan bertanya tetapi tidak mendapat jawapan. SP15 kemudian meneruskan perjalanan untuk menghantar penumpangnya. Selepas menurunkan penumpang, SP15 berpatah balik ke pondok pengawal Polo Park Apartment. SP51 melihat kereta jenis Jaguar berwarna keemasan nombor pendaftaran Bambee 26 dan sebuah lagi kereta jenis Mitsubishi Evo berwarna merah masih berada di hadapan kawasan pondok pengawal Polo Park Apartment. SP15 memberhantikan teksinya dan pergi kepada perempuan Melayu tersebut untuk bertanyakan apa yang berlaku. Perempuan tersebut mengenalkan dirinya sebagai 'Tengku Nelly' dan mendakwa sebagai kerabat Diraja Johor. Perempuan tersebut memberitahu SP15 bahawa kereta Jaguar tersebut adalah kereta anakanda Sultan Johor. SP15 kemudiannya pergi kepada si mati. Si mati memberitahu SP15 bahawa Perayu cuba melanggar kereta Jaguar si mati dari belakang. Si mati memberitahu SP15 kereta Jaguar tersebut adalah milik si mati. SP15 pergi pula kepada Perayu untuk bertanyakan apa sebenarnya yang berlaku. Perayu memberitahu SP15 si mati telah membuang sesuatu barang daripada kereta dan terkena pintu kereta Perayu. SP15 memeriksa kedua-dua kereta Jaguar dan Mitsubishi Evo dan dapati tidak ada apa-apa kerosakan pada kedua-duanya. Ketika itu perempuan Melayu tersebut masih terjerit-jerit memaki hamun si mati yang kelihatan berdiam diri dan tenang. SP15 berasa curiga dengan keadaan yang berlaku dan merasakan perempuan Melayu tersebut sedang memeras ugut si mati. SP15 meminta si mati membuat panggilan telefon kepada sesiapa yang si mati kenal kerana bimbang mungkin sesuatu akan berlaku. SP15 kemudiannya melihat si mati membuat rakaman video menggunakan telefon bimbit. Perbuatan si mati membuat rakaman telah membuatkan Perayu jadi marah. Perayu datang ke arah si mati dan merempuhnya dengan badan dan si mati jatuh ke tanah. Perayu memijak si mati. Ketika Perayu datang ke arah si mati, SP15 melihat Perayu menyeluk sesuatu daripada poket seluar belakang sebelah kanan dan kelihatan seperti satu besi panjang berwarna gelap dan berkilat. SP15 melihat tangan kanan Perayu sedikit terkelar terkena besi tersebut semasa mengeluarkannya. Ketika itu jarak SP15 dan Perayu lebih kurang 2 ½ kaki. SP15 dapat melihat jelas kerana tempat tersebut diterangi oleh cahaya lampu jalan yang terdapat di hadapan pondok pengawal serta cahaya daripada lampu limpah (sport light) di pondok pengawal yang menghala ke arah kawasan laluan masuk apartmen. Menurut SP15 lagi, si mati telah bangun semula mengambil telefonnya yang jatuh dan memasang komponen telefonnya yang tertanggal. Ketika itu perempuan Melayu tersebut datang kepada si mati dengan menjerit-jerit dan menghentak boot belakang kereta Jaguar. SP15 menghampiri perempuan Melayu tersebut untuk menenangkannya dan berkata "Cuba bersabar dan berdiam seketika", tetapi perempuan Melayu tersebut semakin marah dan memanjat atas boot belakang kereta Jaguar dan berdiri atasnya sambil menghentak kaki atas boot kereta itu. Si mati kelihatan marah kerana keretanya dipijak. Perempuan Melayu tersebut turun daripada boot dan datang kepada si mati. Berlaku pertengkaran tengking menengking antara si mati dan perempuan tersebut. SP15 kemudiannya melihat perempuan Melayu tersebut membuat panggilan telefon. Seketika kemudian, seorang lelaki berbangsa Cina telah datang di tempat tersebut menaiki sebuah motorsikal. Lelaki Cina yang baru tiba itu bercakap dalam bahasa Mandarin kepada perempuan Melayu tersebut dan si mati lebih kurang 10 minit. Habis percakapan tersebut, SP15 melihat perempuan Melayu tersebut mengarahkan si mati, Perayu, lelaki Cina yang datang supaya memasuki kereta Jaguar. Perempuan Melayu tersebut masuk dan duduk di tempat pemandu kereta Jaguar. SP15 melihat Perayu, si mati dan lelaki Cina yang baru datang masih berdiri di tepi kereta Jaguar dan mereka masih berbincang lebih kurang 10 minit. Dalam perbincangan tersebut, SP15 mendengar yang mereka akan ke Istana Pasir Pelangi untuk selesaikan perkara. Melihat keadaan menjadi tenang, SP15 masuk semula ke dalam teksinya dan beredar. Ketika tiba di lampu isyarat Taman Iskandar, SP15 berhenti dan melihat kereta Jaguar serta kereta Misubishi yang sama berada dalam jarak 100 meter di belakangnya. Semasa lampu isyarat bertukar hijau, SP15 memperlahankan teksinya mengekori kereta Jaguar dan Mitsubishi. SP15 kemudian melihat keduadua kereta tersebut membelok ke kiri arah jalan masuk Istana Pasir Pelangi. Melihat kedua-kedua kereta membelok ke arah Istana Pasir Pelangi, SP15 meneruskan perjalanannya. [7] SP15 mengatakan, beliau berada di hadapan laluan masuk ke Polo Park Apartment lebih kurang 40 ke 50 minit. SP15 mengecamkan Perayu dan perempuan tersebut. Menurut SP15, terdapat CCTV di hadapan pondok pengawal Polo Park Apartment. Semasa memberi keterangan, rakaman CCTV masa kejadian di hadapan Polo Park Apartment telah ditayangkan di hadapan Hakim bicara, dan SP15 mengecamkan dan mengesahkan gambar beliau, Perayu, si mati, perempuan Melayu dan lelaki Cina yang beliau katakan berada di lokasi kawasan kejadian pertengkaran di hadapan jalan masuk ke Polo Park Apartment (gambar CCTV eksibit P33 (1-14), P30 dan P32a). Rakaman CCTV dan gambargambar salinan rakaman CCTV melihatkan perempuan Melayu tersebut menampar muka si mati selepas si mati mengatakan tidak mahu membayar apa-apa. Imej CCTV juga melihatkan Perayu menumbuk muka si mati dengan menggunakan sesuatu senjata seperti satu besi buku lima (black jack). [8] Othman bin Sami (SP8) ialah pemilik kebun kelapa sawit di Kg. Seri Paya, Parit Raja, Batu Pahat. Pada 14.7.2014, lebih kurang jam 2.30 petang, SP8 pergi ke kebun menunggang motorsikal. Selepas selesai kerja, lebih kurang jam 5.30 petang, SP8 menuju pulang ke rumahnya melalui Jalan Reserved 13 yang terdapat kebun-kebun tanaman kelapa sawit. Jalan Reserved 13 ini terletak lebih kurang 3 kilometer jaraknya daripada jalan besar. Jalan Reserved 13 tersebut boleh dilalui oleh kenderaan seperti motorsikal dan kereta. Menurut SP8, semasa beliau melalui Jalan Reserved 13 itu, beliau ternampak suatu objek yang masih berasap. SP8 memberhentikan motorsikalnya dan pergi mendekati objek yang telah terbakar yang masih terdapat asap. Ketika menghampiri objek tersebut SP8 terhidu bau busuk keluar daripada objek yang terbakar itu. SP8 berasa takut untuk memeriksa objek tersebut seorang diri. SP8 seterusnya pergi ke rumah rakannya lebih kurang satu kilometer daripada situ dan memanggil Md Nazir bin Paiman (SP9) untuk sama-sama pergi melihat apakah objek yang terbakar itu. Setelah tiba, SP9 memeriksa objek tersebut. SP9 memberitahu SP8 bahawa objek tersebut seperti mayat manusia yang telah terbakar. SP8 menghubungi ketua kampongnya bernama Jamil bin Akhyar memberitahu terdapat mayat dbakar di kawasan kebun kelapa sawit Jalan Reserved 13. Jamil bin Akhyar kemudiannya mengubungi pihak polis memaklumkan perkara tersebut. [9] Md Nazir bin Paiman (SP9) ialah ahli JKKK Kg. Seri Paya, Parit Raja. Pada 4.7.2014, lebih kurang jam 5.15, SP8 telah datang ke rumah SP9 memberitahu ada sesuatu objek terbakar di Jalan Reserved 13 dan mengajak SP9 pergi ke tempat tersebut. SP9 mengikuti SP8 ke tempat tersebut. SP9 mendapati objek yang telah terbakar hangus tersebut mengeluarkanbau yang hangit dan ternampak ada tengkorak manusia. SP9 terkejut dan memberitahu SP8 untuk menghubungi ketua kampong dan meminta ketua kampong hubungi pihak polis. Pada sekitar jam 6.00 petang pihak polis tiba di tempat tersebut. [10] L/Kpl. Mohd Khairul bin Abd. Rashid (SP1) mengatakan pada 4.7.2014, beliau bertugas di Pejabat Pertanyaan, Balai Polis Ayer Hitam. Pada jam lebih kurang 6.30 petang, beliau menerima satu panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan ada mayat yang telah dibakar di Jalan Reserved 13, Kg. Seri Paya Darat, Ayer Hitam. SP1 memaklumkan maklumat yang diterimanya kepada ketua Balai Ayer Hitam dan ASP Lim Cam Kit. SP1 membuat laporan polis maklumat pertama melalui Ayer Hitam Report 1081/14 (P4). [11] ASP Junainah binti Kasbullah (SP23) bertugas sebagai pegawai penyiasat IPD Batu Pahat. Pada 4.7.2014, lebih kurang jam 7.00 petang, setelah membaca maklumat laporan P4 yang dibuat oleh SP1, SP23 bersama jurufoto polis telah pergi ke lokasi mayat terbakar dijumpai. Turut hadir di lokasi ialah pegawai forensik Insp. Ghazali daripada unit forensik PDRM. Di lokasi kejadian, SP23 menemui satu mayat yang telah terbakar hangus. Dengan bantuan pegawai forensik, SP23 mengumpul bahan-bahan bukti yang dijumpai untuk siasatan lanjut dan analisis DNA untuk mengenal pasti identiti mangsa dan sebab kematian. Mayat rentung tersebut kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk dibuat bedah siasat. Pada 5.7.2014, SP23 hadir di Hospital Sultanah Nora Ismail untuk menyaksikan bedah siasat terhadap mayat dijalankan oleh pakar patologi Dr. Mohamad Aznoo Haidy (SP17). Bedah siasat mendapati sebab kematian adalah 'stab wound to the heart'. Si mati telah mati sebelum mayatnya dibakar. Laporan bedah siasat disediakan oleh SP17, iaitu Autopsy HSNI 152/14. [12] Dr. Mohamad Aznool Haidy (SP17) adalah pakar perubatan forensik Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Beliau mempunyai pengalaman melakukan antara 1000-1100 bedah siasat medikolegal dan biasa memberi keterangan sebagai pakar patologi lebih daripada 40 kali di pelbagai peringkat mahkamah di Malaysia. Menurut SP17, permohonan untuk melakukan bedah siasat terhadap satu mayat dilabel sebagai 'unknown' (si mati) telah dibuat oleh ASP Junainah binti Kasbullah (SP23). Pada 5.7.2014, jam 12.40 tengahari, SP17 telah melakukan bedah siasat mayat si mati. Bedah siasat itu dilakukan di mortuari Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat. SP23 turut hadir menyaksikan bedah siasat. SP17 mengesahkan punca kematian si mati disebabkan 'stab wound to the heart' (kecederaan tusukan ke jantung). SP17 mengatakan si mati telah mati dahulu sebelum dibakar. Pemeriksaan pada bahagian jantung mendapati terdapat bukaan linear berukuran 3 x 0.3 cm pada bahagian permukaan jantung. Bukaan tersebut telah tembus dalam keadaan yang melanjut dan mengoyakkan struktur injap jantung dan berakhir di atrium kanan 1 x 0.3 cm. Arah dan corak kecederaan adalah berpadanan dengan kecederaan tikaman yang berkemungkinan dilakukan menggunakan senjata tajam seperti pisau atau sebarang objek yang menyerupai pisau. Kedalamam luka tikaman tidak dapat ditentukan disebabkan kehilangan struktur hadapan dada akibat pembakaran. Menurut SP17, kecederaan 'stab wound to the heart' seperti itu pada lazimnya akan menyebabkan fatality atau kematian terhadap si mati. Si mati kenalpasti indentiti bernama Yong Boon Cheong (K/P No. 600415-01-5423) melalui analisis perbandingan DNA yang dijalankan oleh SP10. SP17 mengemukakan laporan bedah siasatnya (P41). [13] Semasa diperiksa balas oleh peguamcara perayu, SP17 telah dirujukkan dengan senjata P17A(1), iaitu satu senjata besi buku lima yang mempunyai satu bilah pisau di dalamnya. Selepas ukuran dibuat, SP17 mengatakan senjata P17A(1) tersebut sesuai untuk digunakan dan SP17 tidak ragu-ragu senjata P17A(1) ialah objek yang digunakan oleh penyerang (muka surat 0198 Rekod Rayuan Jilid 2). [14] Yong Boon Leong (SP19) ialah abang sulung si mati. SP19 mengesahkan si mati tinggal di Polo Park Apartment dan kereta Jaguar Bambee 26 [eksibit P8(57)] adalah kepunyaan si mati. SP19 juga mengecamkan imej si mati dalam rakaman CCTV [eksibit P32A(1)(i) & (ii)]. [15] Nur Hafiza binti Md Yusop (SP10) ialah pegawai sains Pusat Analisis DNA, Jabatan Kimia Malaysia. S10 mengatakan beliau telah membuat analisis ujian perbandingan DNA dua tulang si mati (JM2 & JM3) dengan contoh darah yang diberikan oleh anak lelaki si mati bernama Yong Meng Sean dan adik si mati bernama Yong Boon Leong (JW2). SP10 mengesahkan melalui hasil analisis DNA, darah Yong Meng Sean dan Yong Boon Leong adalah sepadan dengan DNA tulang si mati. SP10 dengan itu mengesahkan si mati ialah Yong Boon Cheong. SP10 mengemukakan laporan analisis beliau (P29). [16] ASP Wong Chee Man (SP21) ialah pegawai risikan dan operasi IPD Johor Bahru Selatan. Pada 5.7.2014, jam lebih kurang 11.00 malam, SP21 bersama sepasukan anggota polis telah membuat serbuan atas sebuah bilik No. 306 Hermes Hotel Sdn Bhd, Jalan Bestari, Nusa Bestari, Skudai, Johor Bahru dan menangkap dua orang di dalamnya, dikenal pasti identiti: (i) Izwanuddin bin Kasim (KP. No. 801006-01- 5183)(Perayu), dan (ii) Ros Elly Nordiana binti Mohd Amin) (K/P. No.800406-23-7158). Di kawasan tempat letak kereta hotel tersebut, SP21 telah merampas sebuah kereta jenis Jaguar nombor pendaftaran Bambee 26. Bagaimana pun, pintu kereta Jaguar tersebut tidak dapat dibuka untuk diperiksa disebabkan kunci kereta tersebut telah dibuang oleh Perayu semasa SP21 mengetuk pintu bilik hotel. SP21 cuba mencari kunci yang dibuang oleh Perayu tetapi tidak menjumpainya. SP21 seterusnya membawa balik kereta Jaguar Bambee 26 ke IPD Johor Bahru Selatan dengan menggunakan terak tunda. SP21 membuat laporan tangkapan dan rampasan melalui JBS Rpt. 012082/14 (P50). Pada 6.7.2014, jam 8.30 malam, SP21 bersama anggota polis serta Perayu telah pergi semula ke Hotel Hermes untuk tujuan mencari kunci kereta Jaguar Bambee 26 dan kunci tersebut berjaya ditemui berdasarkan kepada maklumat Perayu setelah sekeping papan pada tiang No.3 hotel tersebut dibuka [P8(51)]. SP21 membuat laporan polis atas rampasan kunci kereta Jaguar Bambee 26 melalui JBS Rpt. 005175/14 (P51). Kunci kereta Jaguar (P57) tersebut kemudiannya diserahkan oleh SP21 kepada pegawai penyiasat kes ASP Derek Lai (SP24). SP21 seterusnya mengatakan, pada 7.7.2014, jam lebih kurang 12.35 pagi, beliau bersama anggotanya dengan dipandu arah Perayu telah pergi ke sebuah premis bernama Monster Enterprise, No. 18, Jalan Sri Perkasa, Tampoi, Johor Bahru dan SP21 telah membuat rampasan sebuah kereta jenis Mitsubishi Evo berwarna merah nombor pendaftaran WNK 1122 (P58). SP21 membuat laporan polis terhadap rampasan kereta Mitsubishi Evo (P55) dan mengeluarkan senarai bongkar (P58). SP21 seterusnya mengatakan pada 6.7.2014, Perayu telah memandu arah ASP Derek Lai (SP24) untuk menunjukkan tempat Perayu meletakkan senjata besi buku lima dalam kereta Jaguar Bambee 26 yang berada di IPD Johor Bahru Selatan. SP21 telah melihat ASP Derek Lai mengambil satu senjata daripada bahagian pemandu. SP21 telah membuat laporan polis atas jumpaan senjata [P17A(1)] melalui JBS Rpt. 012093/14 (P52). ASP Derek Lai juga membuat laporan polis atas penemuan senjata tersebut melalui JBS Rpt. 12092/14. [17] DSP Derek Lai Marn Kuen (SP24) ialah pegawai penyiasat kes ini. SP24 mengatakan hasil daripada maklumat yang diberikan oleh Perayu semasa soal siasat (P83), SP24 dengan dipandukan oleh Perayu telah ditunjukkan satu senjata buku lima [P17A(1)] terletak di ruang antara kerusi pemandu dan pintu kereta Jaguar Bambee 26. SP24 membuat laporan polis terhadap maklumat dan rampasan senjata tersebut melalui JBS Rpt. 12091/14 (P53). [18] Helmi bin Mohd Balawi (SP26) ialah anggota askar TImbalan Setia Negeri Johor bertugas sebagai pengawal di pintu masuk Istana Pasir Pelangi pada malam 4.7.2014. Menurut SP26, pada jam lebih kurang 4 pagi hingga 6 pagi, beliau telah membenarkan sebuah kereta Jaguar nombor pendaftaran Bambee 26 dipandu oleh seorang perempuan Melayu dan sebuah kereta Mitsubishi Evo dipandu oleh seorang lelaki Melayu bersama seorang lelaki Cina didalamnya, masuk ke bahagian rumah stable di belakang Istana Pasir Pelangi. Perempuan Melayu tersebut telah meletakkan kereta Jaguar di sebelah surau kawasan istana. Menurut SP26, seketika kemudian, seorang lelaki Cina telah tiba di situ dan meletakkan motorsikal di luar pagar istana. Kereta Mitsubishi Evo tersebut kemudiannya beredar keluar daripada kawasan istana dengan dipandu oleh lelaki Melayu yang sama berserta perempuan Melayu yang awalnya meletakkan kereta Jaguar dan juga seorang lelaki Cina yang sedia ada dalam kereta Mitsubishi (si mati) serta seorang lagi lelaki Cina yang sampai di situ dengan motorsikal duduk di bahagian belakang. Lelaki Cina yang datang dengan motorsikal itu dikenali sebagai Ho Chee Keong (K/P. No. 820703-11-5239) kerana dia meninggalkan kad pengenalannya kepada SP26 semasa masuk ke kawasan istana dan kemudiannya mengambilnya kembali ketika kereta Mitsubishi Evo berhenti seketika di pondok pengawal sebelum beredar keluar. SP26 mengecamkan lelaki yang memandu kereta Mitsubishi Evo ialah Perayu. Pada jam lebih kurang 7.00 pagi, perempuan Melayu yang sama telah datang semula ke Istana Pasir Pelangi bersama Hoo Chee Keong dan mengambil semula kereta Jaguar Bambee 26. Hoo Chee Keong pula mengambil semula motorsikalnya. [19] Siti Roziah binti Jamil (SP11) ialah tunang kepada Noriskandar bin Zainal Yahya (SP14). Pada 7.4.2014, SP11 dan SP14 keluar makan malam. SP14 memandu kereta jenis Ford Ranger nombor pendaftaran JQA 369. Pada sekitar jam 4.00 pagi, SP11 mendengar seorang yang dikenali sebagai 'Boy' iaitu Perayu membuat penggilan telefon kepada SP14. Perayu memberitahu SP14 untuk berjumpa. Ketika dalam perjalanan untuk berjumpa Perayu, SP14 mendapat panggilan daripada Perayu supaya pergi ke Restoran Singgah Selalu. SP14 membawa SP11 ke kawasan tepi jalan Restoran Singgah Selalu, Danga Bay, Johor Bahru. Seketika kemudian kereta Mitsubishi Evo yang dipandu oleh Perayu tiba di tempat SP14 menunggu. Perayu meletakkan keretanya di belakang Ford Ranger SP14. SP14 turun daripada kereta dan meminta SP11 menunggu dalam Ford Ranger. Seketika kemudian SP11 mendengar seperti berlaku kekecohan daripada arah kereta Perayu. SP11 kemudian melihat seorang lelaki Cina berlari ke dalam Restoran Singgah Selalu dan dikejar oleh Perayu. Ketika itu pekerja Restoran Singgah Selalu juga membantu mengejar. Lelaki Cina tersebut dapat ditangkap. SP11 kemudiannya melihat Perayu menarik lelaki Cina itu (si mati) ke bahagian belakang kereta Ford Ranger SP14 dan menaikkan lelaki Cina itu ke bahagian boot Ford Ranger dan Perayu naik sama. Perayu mengarahkan SP14 memandu Ford Ranger ke arah Jalan Straits View. Semasa melalui Jalan Straits View, SP14 telah memberhentikan Ford Ranger. Perayu turun daripada boot dan membawa masuk si mati ke tempat duduk belakang Ford Ranger. SP11 nampak muka si mati berdarah. SP14 meneruskan perjalanan ke arah bandar Johor Bahru. SP11 juga ada mendengar pergelutan berlaku di bahagian tempat duduk belakang yang diduduki oleh Perayu dan si mati. SP11 kemudian terdengar Perayu dengan nada yang sangat kuat berkata kepada si mati 'Lu diam'. SP11 melihat Perayu memukul si mati. SP11 berasa takut melihat apa yang berlaku. Apabila kereta Ford Ranger tersebut tiba di hadapan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Perayu meminta SP11 turun daripada Ford Ranger. Ketika itu jam lebih kurang 6.00 pagi. Perayu memberitahu SP11 yang rakan wanita Perayu bernama Lily (Ros Elly) akan datang mengambil SP11 di situ. Setelah menurunkan SP11, Ford Ranger tersebut meneruskan perjalanan dipandu oleh SP14 bersama Perayu dan si mati yang cedera di bahagian tempat duduk belakang. Seketika kemudian Ros Lily tiba menaiki kereta Mitsubishi Evo bersama seorang lelaki Cina (Hoo Chee Keong) dan membawa SP11 ke Istana Pasir Pelangi. Lebih kurang jam 7.00 pagi, SP11 tiba di Istana Pasir Pelangi. Ros Elly telah mengambil kereta Jaguar Bambee 26 dari kawasan istana dan memandu keluar. Ros Elly meminta SP11 memandu Mitsubishi Evo dan meletakkan kereta itu di Selesa Hotel. Hoo Chee Keong pula mengambil motorsikalnya yang terletak di luar istana. [20] Asmadi bin Mistee (SP12) ialah pekerja Restoran Singgah Selalu, Danga Bay, Johor Bahru. Pada 4.7.2014, jam lebih kurang 5.30 pagi, SP12 melihat sebuah kereta jenis Ford Ranger dipandu masuk berdekatan restoran itu. SP12 kemudiannya melihat seorang lelaki berbangsa Cina berseluar pendek (si mati) sedang lari dikejar oleh seorang lelaki Melayu (Perayu). Menjangkakan si mati tersebut adalah peragut, SP12 telah membantu Perayu mengejar si mati. Si mati dapat ditangkap. SP12 membantu Perayu mengikat tangan si mati dibelakang. SP12 melihat si mati dipukul oleh Perayu. SP12 melihat si mati cedera di kepala dan kelihatan darah mengalir. SP12 melihat Perayu menggunakan satu senjata seperti buku lima dan menikam bahagian lutut kiri si mati. Perayu mencabut semula buku lima dan membasuhnya di sinki. Perayu kemudian bawa si mati yang telah cedera ke bahagian belakang kereta Ford Ranger dan menaikkan si mati. Ford Ranger tersebut beredar ke arah bandar dengan Perayu dan si mati yang cedera berada di bahagian boot Ford Ranger. Melalui gambar yang ditunjukkan semasa SP12 memberi keterangan, SP12 mengecamkan lelaki Cina tersebut ialah si mati. SP12 juga mengecamkan Perayu adalah lelaki yang mengejar dan memukul si mati. [21] Noriskandar bin Zainal Yahya (SP14) mengatakan pada malam 4.7.2014, lebih kurang 4.00 pagi, SP14 keluar untuk makan sahur bersama tunangnya SP11. SP14 memandu kereta jenis Ford Ranger nombor pendaftaran JQA 369, berwarna putih. Kereta tersebut milik sepupu SP14 bernama Mohd Azri. Ketika SP14 dan SP11 sedang bersahur, SP14 menerima panggilan telefon daripada Perayu. Perayu memberitahu SP14 bahawa Perayu ada masalah di Polo Park dan meminta SP14 datang. SP14 membawa SP11 ke Polo Park tetapi ketika sampai pertengahan jalan, SP14 menerima panggilan telefon daripada Perayu meminta SP14 untuk mengikut kereta Mitsubishi Evo Perayu ke Restoran Singgah Selalu. SP14 melihat kereta Perayu melewati tempat dia berhenti dan Perayu memberi isyarat tangan untuk SP14 mengekori keretanya. Sesampai di Restoran Singgah Selalu, SP14 meletakkan keretanya dan turun untuk pergi ke kereta Perayu. Sebaik turun dari keretanya, SP14 melihat teman wanita Perayu bernama Lily (Ros Lili) sedang menendang seorang lelaki Cina (si mati) yang sedang duduk dalam kereta Mitsibishi Evo Perayu. Perayu juga turut memukul si mati. Si mati berjaya membuka pintu kereta dan lari masuk ke dalam Restoran Singgah Selalu. Bagaimanapun si mati berjaya ditangkap oleh pekerja restoran. SP14 melihat Perayu memukul si mati dengan menggunakan suatu senjata. Perayu kemudian menaikkan si mati ke bahagian belakang kereta Ford Ranger SP14. Perayu kemudian memberi isyarat tangan kepada SP14 dan mengetuk cermin belakang Ford Ranger mengarahkan SP14 memandu beredar dari situ dengan Perayu dan si mati yang cedera dan tangan diikat berada di bahagian boot Ford Ranger. Tiba di satu lokasi (di Jalan Straits View), Perayu mengetuk bumbung kereta SP14. S14 memberhentikan keretanya dan Perayu membawa si mati masuk ke bahagian tempat duduk belakang Ford Ranger. Ketika itu jam lebih kurang 5.00 ke 6.00 pagi kerana hari masih gelap. SP14 melihat si mati berdarah di muka. Tangan si mati masih terikat. Melihat Perayu memukul si mati, SP14 berkata kepada Perayu 'sabar dan sudahlah'. Perayu masih berterusan memarahi si mati dan mengarahkan si mati supaya diam. SP11 yang duduk di sebelah SP14 jadi cemas. SP14 kemudiannya menurunkan SP11 daripada Ford Ranger. SP14 meneruskan perjalanan. Ketika itu si mati sudah terbaring di tempat duduk belakang dengan darah keluar daripada bahagian kepala. Terdapat juga darah pada bahagian baju lelaki Cina itu. SP14 meneruskan perjalanan ke arah Tol Skudai dan keluar ke Lebuhraya Utara Selatan melalui rumah Tol Kulai. Ketika itu si mati masih terbaring dan tidak membuat apa-apa pergerakan. Perayu mengambil kain daripada dalam kereta Ford Ranger tersebut untuk mengalas kepala si mati. Sebaik melepasi rumah Tol Kulai, Perayu telah mengambil alih memandu kereta Ford Ranger daripada SP14 kerana SP14 terlalu mengantuk. SP14 duduk di bahagian penumpang hadapan sebelah Perayu yang memandu. Perayu kemudian berhenti mengisi minyak Ford Ranger dan meminta SP14 membayar harga minyak. Semasa hendak beredar daripada stesyen minyak, SP14 mengatakan Perayu memberitahunya bahawa si mati telah mati. SP14 memarahi Perayu kerana memukul si mati sehingga mati dan menjadi bingung kerana kereta tersebut milik sepupunya. Perayu meneruskan perjalanan kea rah Batu Pahat. Tiba di suatu lokasi di Batu Pahat, Perayu telah memberhentikan Ford Ranger dan meninggalkan SP14 di tepi jalan setelah SP14 memberitahu Perayu bahawa SP14 tidak mahu campur urusan Perayu. SP14 melihat kereta Ford Ranger yang terdapat mayat si mati dipandu oleh Perayu memasuki kawasan perkampungan yang ada rumah-rumah kampung. Tidak berapa lama kemudian, Perayu tiba semula di tempat SP14 ditinggalkan memandu Ford Ranger yang sama. SP14 melihat si mati telah tiada lagi dalam kereta tersebut. SP14 melihat badan dan roda kereta Ford Ranger itu kotor dengan lumpur tanah. Perayu telah membawa SP14 untuk membasuh kereta Ford Ranger di tempat cuci kereta di suatu mall di Batu Pahat. Semasa kereta Ford Ranger tersebut sedang dicuci, SP14 melihat teman wanita Perayu bernama Ros Lily tiba di situ dengan memandu kereta Jaguar Bambee 26. Selepas selesai Ford Ranger dibasuh, SP14 memandu kereta tersebut pulang ke Johor Bahru. Perayu dan Ros Elly pula menaiki Jaguar. SP14 mengaku bahawa dia telah ditangkap dan dituduh pada awalnya bersama Perayu di bawah seksye 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh si mati. Bagaimana pun SP14 telah mengaku salah atas tuduhan pilihan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan untuk kesalahan di bawah seksyen 201 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan melupuskan bahan bukti jenayah melibatkan perlakuan mencuci kereta Ford Ranger yang ada kesan darah si mati. [22] Norijah binti Daim (SP18) bekerja sebagai 'pump attendant' di Stesyen Minyak BHP, Senggarang, Batu Pahat pada tahun 2014. Ketika SP18 sedang bertugas, sebuah kereta besar berwarna putih telah datang mengisi minyak. SP18 melihat ada dua lelaki dalam kereta tersebut di bahagian hadapan dan mereka dalam keadaan seperti tergesa-gesa. Selain mengisi penuh minyak ke dalam tangki kereta (Ford Ranger), lelaki tersebut juga membeli minyak tambahan dan mengarahkan SP18 mengisi minyak tambahan tersebut ke dalam satu botol mineral bersaiz 1.5 liter. Keputusan Hakim Bicara Diakhir Kes Pendakwaan [22] Di akhir kes pendakwaan, Hakim bicara, setelah membuat penilaian maksima terhadap keterangan kes pendakwaan, memutuskan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Perayu. Perayu dengan itu dipanggil membela diri terhadap pertuduhan. Dalam penghakiman beliau, Hakim bicara juga memutuskan bahawa kegagalan pihak pendakwaan memanggil Ros Elly dan Hoo Chee Keong sebagai saksi tidak menjejaskan kes pendakwaan yang diasaskan kepada keterangan mengikut keadaan yang kukuh dan melimpah ruah dalam membuktikan bahawa Perayu telah melakukan kesalahan bunuh seperti dalam pertuduhan. Pembelaan Perayu [23] Perayu (SD1) memberi keterangan pembelaan diri secara bersumpah. Perayu tidak memanggil mana-mana saksi lain. Perayu mengatakan pada malam kejadian, kereta si mati jenis Jaguar telah hampir melanggar bumper kereta Mitsubishi Evo Perayu ketika mereka melalui sebuah jambatan yang sempit. Perayu telah mengekori kereta Jaguar hingga ke Polo Park Apartment. Di kawasan berhampiran pondok pengawal Polo Park, berlaku pertengkaran antara teman wanita Perayu (Ros Elly), Perayu dan si mati. Ros Elly telah menalipon rakannya seorang lelaki Cina datang ke tempat tersebut. Setelah lelaki Cina tersebut sampai, lelaki tersebut mengatakan sesuatu kepada si mati dan mereka bersetuju untuk pergi ke Istana Pasir Pelangi. Si mati masuk ke kereta Mitsubsihi Evo Perayu dan mereka menuju ke Istana Pasir Pelangi. Ros Elly ikut sama memandu Jaguar Bambee 26. Setelah Ros Elly mempakir Jaguar di kawasan Istana Pasir Pelangi, Perayu memandu kereta Mitsubishi Evo tersebut keluar daripada kawasan istana dan ke Restoran Singgah Selalu, Danga Bay. Dalam kereta tersebut ialah Perayu, Ros Elly, si mati dan seorang lelaki Cina rakan Ros Elly yang datang dengan motossikal ke Istana Pasir Pelangi (Hoo Chee Keong). Sesampai di Restoran Singgah Selalu, Perayu melihat kereta SP14 telah berada di situ. Kemudian berlaku pertengkaran antara si mati dengan Ros Elly dan si mati keluar daripada kereta Perayu dan lari ke dalam Restoran Singgah Selalu. Si mati kemudiannya telah ditangkap oleh pekerja restoran dan diikat tangan. Perayu mengaku ada memukul muka, tangan dan kaki si mati tetapi dengan menggunakan tangan. Perayu menafikan ada menggunakan sebarang senjata semasa memukul si mati. Perayu kemudiannya menaikkan si mati ke boot kereta Ford Ranger SP14 dan meminta SP14 meneruskan perjalanan. Apabila sampai di kawasan Jalan Sungai Chat, SP14 telah memberhentikan kereta dan Perayu menyuruh si mati masuk ke tempat duduk belakang kereta SP14 dan mereka meneruskan perjalanan. Seketika kemudian SP14 menurunkan teman wanitanya (SP11). SP14 meneruskan perjalanan dengan Perayu berada di tempat duduk belakang bersama si mati. Oleh kerana si mati mengalami kecederaan darah keluar dari hidung, Perayu telah mengambil kain basuhan daripada belakang kereta SP14 dan meletakkan di bawah kepala si mati yang telah berbaring. Ketika itu si mati sudah kelihatan lemah. Selepas kereta tersebut melepasi rumah Tol Kulai, Perayu telah mengambi alih memandu kereta Ford Ranger tersebut menuju ke arah utara. Apabila tiba di Batu Pahat, Perayu telah menurunkan SP14 kerana SP14 memarahi Perayu atas kematian si mati dan SP14 mengatakan tidak mahu terlibat. Setelah menurunkan SP14, Perayu meneruskan perjalanan. Perayu kemudiannya menalipon Hoo Chee Keong (Ochee) untuk datang ke Batu Pahat. Perayu juga menalipon Ros Elly supaya datang ke Batu Pahat untuk mengambil Perayu. Ros Elly dan Ochee telah datang ke Batu Pahat. Perayu mengatakan ketika itu si mati masih hidup dan Perayu meminta si mati berpindah ke kereta Ochee (Hoo Chee Keong). Perayu kemudiannya mengambil semula SP14 dan mereka pergi membasuh kereta Ford Ranger. Selepas selesai membasuh kereta Ford Ranger, Perayu balik ke Johor Bahru bersama Ros Elly dengan menaiki kereta Jaguar milik si mati. Setelah sampai di Johor Bahru, Perayu ingin memulangkan kereta Jaguar kepada si mati tetapi tidak tahu bagaimana hendak hubungi si mati. Perayu kemudiannya telah ditangkap di sebuah hotel bersama Ros Elly. Perayu mengatakan pihak polis ada membawa Perayu ke lokasi tenpat si mati dibakar. Perayu menafikan membakar si mati. Perayu mengatakan dia tidak tahu tempat lokasi si mati dibakar dan pertama kali dibawa ke situ oleh pihak polis. Perayu menafikan menggunakan sebarang senjata yang menyebabkan kecederaan dan kematian si mati. Perayu menafikan menikam si mati dengan senjata tajam. Dapatan Hakim Bicara Diakhir Kes Pembelaan [24] Diakhir kes pembelaan, setelah menimbangkan keseluruhan keterangan, Hakim bicara mendapati pembelaan Perayu gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dan kes pendakwaan telah dibuktikan tanpa apa-apa keraguan yang munasabah. Perayu didapati bersalah dan disabitkan terhadap pertuduhan dan dijatuhkan hukuman mati. Rayuan Perayu [25] Peguamcara terpelajar bagi pihak Perayu membangkitkan tiga isu utama untuk mencabar keputusan Hakim bicara yang mensabitkan Perayu terhadap pertuduhan. Tiga isu utama tersebut, ialah: