Puoh Bee Joo dengan cara menembak di bahu. Mangsa sedang memandu kereta semasa beliau ditembak. [6] Bagi setiap pertuduhan di bawah seksyen 307 Kanun Keseksaan, perayu telah dikenakan hukuman penjara 15 tahun dari tarikh tangkap dan hukuman berjalan serentak. [7] Perayu merayu terhadap sabitan dan hukuman bagi kesemua lapan pertuduhan. [8] Di peringkat kes pendakwaan, perbuatan menembak 8 orang mangsa (actus reus) diakui oleh perayu. Perayu menafikan beliau ada niat (mens rea) untuk membunuh atau cuba membunuh. Pembelaan perayu ialah beliau mengalami sakit otak (legal insanity) dan tidak sedar apa yang berlaku pada masa kejadian. Kes Pendakwaan [9] Pada 1.12.2016 jam lebih kurang 7.26 petang, semasa Kpl Faizal bin Hamdan sedang bertugas di Bilik Kawalan IPK Pulau Pinang, beliau telah menerima panggilan telefon daripada satu lelaki Melayu bernama Azizan memaklumkan mengenai kejadian tembakan di susur jalan sebelum naik ke Jambatan Pertama Pulau Pinang, Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan telah memaklumkan kejadian itu kepada pihak DCC Timur Laut sepertimana dalam laporan polis Jelutong 7799/16. [10] Seorang anggota polis peronda, Kpl Azlan Shah (SP30) yang telah menerima maklumat tersebut terus menghala ke tempat kejadian. [11] Sampai di tempat kejadian, SP30 melihat berlaku kemalangan yang melibatkan beberapa buah kenderaan. SP30 nampak satu lelaki di sebelah kiri bahu jalan dalam keadaan berlumuran darah dan ketakutan sambil memerhatikan kereta BMW dengan nombor pendaftaran PMF 11 (kereta BMW). [12] Kemudian, SP30 melihat perayu datang dari pintu hadapan sebelah kiri kereta BMW. Pada ketika itu, perayu dilihat sedang menyelitkan pistol di bahagian belakang pinggangnya sebelah kanan. SP30 juga melihat seorang lelaki yang dalam keadaan berlumuran darah di kepala sedang berada di bahagian tempat duduk pemandu kereta BMW tersebut. [13] SP30 telah menghampiri perayu. Pada ketika itu, perayu sedang memegang bahagian pinggangnya seolah-olah ingin mengambil pistol. SP30 telah memberi amaran dan mengarahkan perayu meletakkan pistol dan merebahkan badan, namun perayu enggan memberikan kerjasama. Selepas itu, perayu dilihat telah mencekah pistol, mengeluarkan kelopak peluru dan meletakkan pistol itu di atas tanah. SP30 seterusnya mengarahkan perayu merebahkan badan, tetapi perayu enggan memberikan kerjasama. SP30 kemudiannya menerpa ke arah perayu dan dengan bantuan anggota lain, perayu berjaya ditangkap oleh SP30. [14] Pegawai penyiasat kes, ASP Azmirul bin Abdul Aziz (SP38) mengesahkan bahawa perayu membawa bersamanya 2 magazine. Setiap satu magazine mengandungi 10 butir peluru. Ini bermakna perayu membawa 20 butir peluru. Hasil siasatan beliau, SP38 mendapati sejumlah 17 butir peluru telah dilepaskan oleh perayu. Tetapi, hanya 11 kelongsong peluru dijumpai di tempat kejadian. [15] Di akhir kes pendakwaan, Hakim Bicara mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie bagi kesemua 8 pertuduhan. Hakim Bicara berpuashati bahawa perayu mempunyai niat untuk membunuh dan percubaan untuk membunuh atas dua alasan. Alasan pertama ialah perayu menggunakan senjata api (Tham Kai Yau & Ors v Public Prosecutor [1976] 1 LNS 159; Sainal Abidin bin Mading v PP [1999] 4 CL J 215). Alasan kedua ialah perayu menembak ketiga-tiga simati di bahagian penting badan iaitu di kepala dan dada. Tembakan di kepala menembusi otak. Tembakan di dada menembusi jantung. Dalam kedua-dua situasi, keterangan pakar perubatan (SP3) ialah mustahil untuk mangsa boleh hidup. Mengambilkira semua perkara ini, Hakim Bicara memutuskan perayu mempunyai niat untuk mendatangkan kecederaan yang pada lazimnya boleh membawa kepada kematian simati. [16] Bagi kesalahan percubaan membunuh 5 mangsa, Hakim Bicara mendapati perayu telah menembak mangsa-mangsa di bahagian kepala, dada dan bahu. Kecederaan kesemua mangsa adalah parah yang memerlukan pembedahan dan rawatan segera. Jika tidak, mereka juga akan menerima nasib yang sama seperti 3 mangsa yang meninggal dunia. [17] Dengan terbuktinya kes prima facie, perayu dipanggil membela diri bagi kesemua 8 pertuduhan. Kes Pembelaan [18] Perayu mengambil dadah ganja sejak berumur 18 tahun. Pada umur 24 - 25 tahun, beliau mengambil dadah heroin. Pada usia awal 30 an, beliau mengambil dadah jenis syabu (methamphetamine). Semasa memberi keterangan di mahkamah pada tahun 2019, perayu berumur 40 tahun. Ketagihan perayu kepada dadah jenis heroin adalah teruk sehingga beliau terpaksa menjalani rawatan pengambilan ubat methadone. [19] Perayu diambil bekerja oleh Syarikat GMP Gaisa sebagai pengawal peribadi. Pada 30.11.2016, perayu telah ditugaskan untuk menjadi pengawal peribadi kepada Ong Teik Kwong yang dikenali oleh perayu sebagai Dato’ M. Perayu turut dibekalkan oleh majikannya dengan sepucuk pistol jenis Glock dan 20 butir peluru. [20] Sebelum kejadian tembakan berlaku, pada 1.12.2016, jam lebih kurang 7.00 pagi, OTK bersama rakan perniagaannya, Lim Boon Leng (SP37) dan perayu bertolak dari rumah OTK menuju ke Pulau Pinang dalam kereta BMW. Kereta BMW dipandu oleh OTK. SP37 duduk di tempat duduk penumpang hadapan. Perayu duduk di tempat duduk belakang OTK. Pada masa berkenaan, OTK dan SP37 ada pengetahuan bahawa perayu membawa senjata api bersama beliau. [21] Di Pulau Pinang, semasa OTK, SP37 dan perayu berada di Kafe Arabica, perayu melihat perbincangan antara OTK dengan kawannya agak tegang. Disebabkan itu, perayu telah mengeluarkan pistol dan meletakkan di atas pehanya. Perbuatan perayu ditegur oleh OTK yang menyuruh perayu menyimpan semula pistolnya. Perayu menurut arahan OTK. [22] Semasa kereta BMW berada di atas lebuhraya menuju ke Jambatan Pertama Pulau Pinang, perayu merasa suhu badannya panas, jantung berdebar-debar dan mendengar suara bisikan di kiri kanan telinga dan ada kelibat hitam di sebelahnya. [23] Perayu cuba menenangkan fikirannya dengan membaca ayat kursi, tetapi bacaannya tidak lancar. Kemudian, perayu tidak ingat apa yang berlaku selepas itu. Beliau hanya tersedar apabila mendengar arahan SP30 supaya meletakkan pistol. Perayu menurut arahan polis dan meletakkan senjata. [24] Perayu tidak ingat sama sekali yang beliau telah menembak 8 orang mangsa. [25] Pada 21.6.2015, perayu didapati pengsan di masjid dan dibawa ke unit kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan dan pemeriksaan. Tetapi, perayu bertindak destruktif dan agresif selepas sedar. Ujian saringan urin menunjukkan perayu mengambil dadah methamphetamine/amphetamine dan benzodhiaziphine. Beliau dimasukkan ke wad psikiatri HKL dari 22.6.2015 hingga 26.6.2016 untuk distabilkan. [26] Pada tahun 2016, Dr. Mohammad Firdaus bin Abdul Aziz (SD2) adalah Pakar Psikiatri di HKL. SD2 adalah doktor yang merawat perayu di wad psikiatri HKL dan menyediakan laporan perubatan D147. Mengikut D147, perayu menerima 5 rawatan susulan dan kali terakhir SD2 merawat perayu ialah pada 25.2.2016. [27] Semasa ditemubual oleh SD2, perayu mengaku beliau kerap mengambil dadah jenis methamphetamine dan enphitamine. Perayu juga mengaku beliau ada mengambil dadah jenis heroin dan telah pun mendapatkan rawatan methadone di klinik kesihatan terdekat. [28] SD2 memberi penjelasan, untuk mereka yang mengambil dadah jenis ETS emphathamine stimulant, antara symptom psikosis yang paling kerap adalah berhalusinasi iaitu mendengar suara atau melihat sesuatu yang tidak ada dan juga delusion. Delusion bermaksud percaya seseorang itu mahu mendatangkan kemudaratan, mahu mencederakan dia, berburuk sangka dengan orang. Sedangkan benda itu tidak betul. [29] Diagnosa SD2 dalam laporan D147 ialah perayu mengalami psikosis akibat penyalahgunaan dadah methamphetamine dan dadah heroin iaitu “Brief Psychotic Disorder secondary to Methamphetamine, Polysubstance (Methamphetamine/Amphetamine, Opiod) Use Disorder on Methadone Maintenance therapy”. [30] Menurut SD2, perayu berpotensi tinggi untuk mengalami psikosis semula kerana beliau kerap mengambil dadah methamphetamine dan jika perayu mengalami psikosis, ia boleh menjadi teruk dan berpanjangan. Seterusnya, SD2 juga menyatakan, oleh kerana perayu tidak lagi mendapatkan rawatan di HKL, maka jika berlaku psikosis mungkin tiada ubat untuk merawat beliau. [31] Di akhir kes pembelaan, Hakim Bicara mendapati pembelaan perayu gagal menimbulkan keraguan yang munasabah kepada kes pendakwaan atas alasan-alasan berikut: