lelaki yang difikirkan oleh Mahkamah berumur lebih daripada lima puluh tahun, kecuali lelaki yang dihukum dengan hukuman sebat di bawah seksyen 376, 377C, 377CA atau 377E Kanun Keseksaan. [11] Selain itu, Mahkamah juga mengambil kira bahawa pengakuan salah Tertuduh sememangnya telah menjimatkan masa semua pihak dan sewajarnya layak diberikan hukuman minima. Walau bagaimanapun, Mahkamah mempertimbangkan bahawa Tertuduh mempunyai 16 rekod sabitan lampau dalam pelbagai kes jenayah bermula dari tahun 1993 iaitu kesalahan di bawah Seksyen 19(3) Akta Penagih Dadah 1983 iaitu lari dari pusat serenti. Ini diikuti dengan kesalahan-kesalahan lain yang kebanyakannya adalah berkaitan dadah seperti kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan (Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952) dan kesalahan memiliki dadah (Seksyen 12(2) Akta yang sama). Tertuduh juga pernah disabitkan bagi kesalahan samun bersenjata pada tahun 1999 dan mencuri dalam bangunan pada tahun 2006. Senarai sabitan lampau ini boleh dirujuk dalam eksibit P6. [12] Mahkamah menghargai pengakuan salah Tertuduh yang dibuat di peringkat awal kes iaitu pada hari pertama pertuduhan kerana perkara ini telah menjimatkan masa dan kos semua pihak, oleh itu wajar diambil pertimbangan paling utama dalam menjatuhkan hukuman. Dalam kes PP v Muhammad Fiqry Jafri & Anor (2021) 3 MLRH 703; (2021) 9 MLJ 915; (2021) 4 CLJ 552, mengenai faktor mitigasi melalui pengakuan salah Tertuduh, Mahkamah telah memutuskan bahawa- “[48] I take note that the repsondents pleaded guilty before the trial started. Judicial time and expenses were saved. Witnesses are spared of not only trips to the Court away from work or other responsibilities but more importantly, they are spared of rigorous cross-examination in a criminal trial”. [13] Walau bagaimanapun, dalam menimbangkan mitigasi Tertuduh, Mahkamah tidak boleh melupakan tanggungjawabnya untuk memastikan keadilan tercapai untuk mengimbangi hukuman terhadap Tertuduh dan kesan jenayah ini kepada masyarakat. Dengan kata lain, kepentingan awam juga perlu diambil kira. Mitigasi pengakuan salah Tertuduh boleh meringankan hukumannya menjadi 1/3 daripada hukuman asal tetapi hendaklah diseimbangkan dengan kepentingan awam sebagaimana yang telah dibincangkan dalam banyak kes terdahulu dan merupakan prinsip matan sebelum menjatuhkan hukuman. [14] Dalam kes Nor Azuwan Hafifi Md. Akhir v. PP (2022) 1 LNS 2182, Mahkamah Rayuan telah merujuk kes Bachik Abdul Rahman v. PP (2004) 2 CLJ 572 dalam m/s 583 mengenai pengakuan salah Tertuduh yang boleh menjadi faktor untuk meringankan hukuman, Augustine Paul HMR menyatakan, "The position in law is that it is generally accepted that an accused person should be given credit or discount for pleading guilty. The discount that is given is normally a reduction of the sentence by about a third of what would otherwise have been imposed." [15] Augustine Paul seterusnya menyatakan bahawa pengakuan salah semata-mata tidak juga menjadi satu-satunya asas untuk memberikan keringanan hukuman kerana Mahkamah juga perlu melihat kepada tahap kekerasan (severity) sesuatu kesalahan atau rekod kesalahan lampau yang boleh mengatasi nilai pengakuan salah tersebut, kerana pada akhirnya Mahkamah perlu memberi penekanan kepada kepentingan awam. "One of the principles in sentencing is that a convicted person should be given a discount for pleading guilty. A reduction of about one third of the sentence that would otherwise have been imposed is normally given. This, however, is not a strict rule and the court may, in the exercise of its discretion, refuse to grant any discount. The severity of the offence or the existence of a previous conviction may outweigh the mitigating effect of the guilty plea; so may the demands of public interest for a deterrent sentence as well as the absence of a good defence or of other mitigating factors. The guilty plea does not automatically entitle the convict to a lesser punishment.” Mahkamah Rayuan selanjutnya menyatakan: "...The exercise of the discretion to determine the date of commencement of the sentence of imprisonment is dependent on the facts and circumstances of each case.” [16] Dalam hal ini, Mahkamah menitikberatkan fakta bahawa 16 kes sabitan lampau Tertuduh mendahului pengakuan salahnya. Ini kerana, hukuman yang sesuai hendaklah hukuman yang mampu memberikan pengajaran bukan saja kepada Tertuduh tetapi juga kepada masyarakat supaya tidak sesekali terlibat dengan najis dadah yang sememangnya adalah musuh negara. Dapat dilihat di sini bahawa jika sekali terjerumus dengan dadah, adalah sukar untuk berhenti daripada mengulanginya. Tertuduh dilihat tidak insaf walaupun telah menjalani hukuman pemenjaraan berulang kali bagi kesalahan yang sama iaitu berkaitan dengan dadah sejak tahun 1993. Tertuduh juga dilihat mengulangi kesalahan ini dalam tempoh masa yang pendek selepas menjalani hukuman pemenjaraan seolah-olah hukuman pemenjaraan itu tidak memberi apa-apa kesan kepadanya. Oleh itu hukuman yang berat adalah wajar untuk memberi peringatan kepada Tertuduh. Memandangkan Tertuduh tidak boleh disebat, maka tempoh pemenjaraan sepatutnya dipanjangkan untuk mengimbangi hukuman sebat yang tidak boleh dikenakan. [17] Setelah menilai kesemua keterangan yang dikemukakan dan mitigasi Tertuduh serta pemberatan oleh pihak pendakwaan, Mahkamah menerima pengakuan salah Tertuduh, mendapati Tertuduh bersalah dan mensabitkan Tertuduh bersalah atas pertuduhan ke atasnya di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana hukumannya di bawah Seksyen 39C(1) yang dibaca bersama Seksyen 38B Akta yang sama dan menetapkan hukuman penjara 6 tahun dari tarikh tangkap 15- 5-2025 dan 2 tahun pengawasan selepas pemenjaraan. Selanjutnya eksibit dikembalikan kepada pihak pendakwaan untuk pelupusan. [18] Tertuduh tidak berpuas hati dan merayu ke Mahkamah Tinggi terhadap hukuman yang diberikan. Notis Rayuan difailkan pada 25-8-2025 melalui pihak Penjara Kajang. Norazlin binti Othman Hakim Mahkamah Sesyen 3 Shah Alam Disediakan pada 27-8-2025 Pihak Pendakwaan: Timbalan Pendakwaraya Negeri Selangor Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, IDCC Shah Alam, Selangor