Content
DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO. W-05(M)-263-07/2016 & W-05(M)-269-07/2016 ANTARA JAZLIE BIN JAAFAR ... PERAYU DAN PENDAKWA RAYA ... RESPONDEN (Dalam Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur Perbicaraan Jenayah No. 45A-70-09/2015 (45A-81-10/2015) Antara Pendakwa Raya Dan Jazlie Bin Jaafar) KORAM MOHTARUDIN BAKI, HMR MOHD ZAWAWI SALLEH, HMR AHMADI HAJI ASNAWI, HMR PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Perayu telah dituduh dengan dua pertuduhan mengedar cannabis masing-masing seberat 1,013 gram dan 35,621.94 gram, yang merupakan kesalahan-kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (“ADB 1952”) dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) akta yang sama. [2] Di akhir kes pendakwaan, Hakim Bicara mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan terhadap Perayu. Berikutannya, Hakim Bicara telah memanggil Perayu untuk membela diri berhubung dengan kedua-dua pertuduhan tersebut. [3] Di akhir perbicaraan, Hakim Bicara mendapati pembelaan Perayu telah gagal untuk menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Perayu didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan tersebut dan dihukum gantung mandatori seperti yang ditetapkan oleh undang-undang. [4] Terkilan dengan keputusan Hakim Bicara, Perayu telah memfailkan rayuan ke Mahkamah ini. [5] Kami telah mendengar rayuan Perayu pada 28.3.2017. Di akhir penghujahan pihak-pihak, kami mendapati rayuan Perayu tidak bermerit dan dengan sebulat suara menolak rayuan tersebut. Kami mengekal dan mengesahkan sabitan dan hukuman Hakim Bicara. Kini kami perturunkan alasan-alasan terperinci keputusan kami. Pertuduhan [6] Pertuduhan-pertuduhan yang dikemukaan terhadap Perayu ialah seperti berikut:- Pertuduhan Pertama: Bahawa kamu pada 11.03.2015 jam lebih kurang 3.30 petang di tepi jalan Jalan Lorong Kampung Bandar Dalam 6/2 dalam Daerah Wangsa Maju di dalam Bandaraya Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan telah mengedar dadah berbahaya iaitu cannabis berat bersih adalah 1,013 gram. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama. Pertuduhan Kedua: Bahawa kamu pada 11.03.2015 jam lebih kurang 5.00 petang di sebuah rumah alamat No. R48, Jalan Umbun, Taman Setapak dalam Daerah Wangsa Maju di dalam Bandaraya Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan telah mengedar dadah berbahaya iaitu cannabis berat bersih adalah 35,621.94 gram. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama. Kes Pendakwaan [7] Naratif kes pendakwaan bolehlah diringkaskan seperti berikut:- Pertuduhan Pertama 7.1. Pada 11.3.2015, lebih kurang jam 12.30 tengah hari, Insp Kumbat Anak Tan (SP9) telah menerima maklumat daripada orang awam berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang melibatkan seorang lelaki Melayu di sekitar Jalan Padang Balang, Setapak.