BANTAHAN GARNISI Pihak Garnisi melalui Afidavit Jawapannya di Kandungan 8 telah membangkitkan bantahan bahawa Perintah Garnisi Mutlak tidak sewajarnya dibuat terhadapnya, atas alasan-alasan berikut: a. Deposit yang dipegang oleh Garnisi tersebut adalah satu keperluan statutori di bawah: i. Seksyen 87(1) Akta Perkhidmatan Air 2006; ii. Peraturan 3,4 dan 5 Peraturan-peraturan Industri Perkhidmatan Air (Deposit, Fi dan Caj) 2014; iii. Peraturan 85 Peraturan-peraturan Industri Perkhidmatan Air (Deposit, Fi dan Caj) 2014 b. Deposit bukan dipegang secara mutlak oleh Garnisi sebaliknya dipegang sebagai cagaran statutori bagi tujuan keselamatan dan kelangsungan bekalan air. Oleh itu, ianya bukan dalam kategori “hutang yang kena dibayar atau terakru yang kena dibayar” menurut Aturan 49 Kaedah 1(1) KKM 2012; c. Garnisi bukan dalam kategori bank atau institusi kewangan menurut Aturan 49 Kaedah 1(3) KKM 2012 sebaliknya merupakan sebuah syarikat utiliti; d. Sekiranya satu Perintah Garnisi Mutlak dibuat dan wang tersebut perlu diserahkan kepada pihak JC, akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna-pengguna premis tersebut; e. Deposit tersebut dipegang sebagai amanah bagi pihak pembeli/pengguna premis tersebut selaras Seksyen 10(4) Akta Pengurusan Strata 2013, untuk tujuan pengurusan harta bersama dan diletakkan di dalam akaun amanah. Oleh itu, deposit cagaran tidak boleh dianggap sebagai aset milik Defendan dan tidak tertakluk kepada prosiding Garnisi. f. Sebarang pemindahan amaun tertunggak dan deposit atas nama pemaju kepada JMB (pertukaran akaun) hanya boleh dilakukan dengan persetujuan bertulis kedua-dua pihak. Namun jika tiada persetujuan kedua-dua pihak, deposit yang dipegang atas akaun Pemaju tersebut hanya boleh digunakan bagi tujuan set-off amaun tertunggak. g. Deposit perlu dikekalkan bagi memastikan akaun kekal aktif; h. Berkenaan Ekshibit “TDS-1” yang dikemukakan JC, Garnisi tidak membantah Perintah Garnisi Mutlak yang direkodkan kerana terdapat lebihan kredit (excess fund) dan telah membayar kepada JC di dalam kes tersebut RM 62,923.90 pada 5/9/2024. i. Pada masa kini, tiada lagi lebihan kredit (excess fund) dan baki yang tinggal adalah deposit cagaran mandatori untuk mengekalkan akaun tersebut. j. Deposit hanya boleh dikembalikan kepada Defendan selepas penamatan akaun sepenuhnya, yang sehingga kini belum dilaksanakan.