Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR GUAMAN SIVIL NO: WA–A52NCC–21–01/2022 ANTARA JOHNNY ANG (NO. K/P: 760412-07-5597) …PLAINTIF
WA-A52NCC-21-01/2022
Sessions Court of Malaysia10 Oct 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“at person or party has been forced or coerced into the contract. If this coercion can be shown to be true then the contract entered into cannot be considered a valid agreement. [26] section 15 of the Contracts Act 1950 on coercion reads as follows: **Note : Serial number will be used to verify the originality of this d”
“ads as follows: **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 13 “Coercion” is the committing, or threatening to commit any act forbidden by the Penal Code, or the unlawful detaining or threatening to detain, any property, to the prejudice of any person whatever, with”
“fendan pertama telah bersetuju untuk membayar balik Pinjaman tersebut tanpa faedah pada atau sebelum 23.04.2021. [77] Definisi pinjaman mesra telah dijelaskan dalam kes Tan Aik Teck v Tang Soon Chye [2007] MLJU 407 seperti berikut : A friendly loan is opposed to the normal borrowing from a moneylender or financial inst”
“ka ia akan melemahkan pembelaan bahawa paksaan terlibat di dalam menandatangani perjanjian. Rujukan di buat kepada kes Tan Tai Bian v Tan Shiau Yieng (berniaga sebagai ‘Intelligent Wealth Solutions’) [2021] MLJU 2974 (MT) yang mempunyai fakta latar belakang yang seiras dengan kita di sini, di mana telah diputuskan sepe”
“ahawa paksaan dan penculikan ini hanyalah rekaan Defendan pertama semata-mata. [56] Atas isu paksaan menandatangani dokumen saya merujuk kepada kes Siew Nee v Chiang Dyi Woei & Ors and other appeals [2022] MLJU 2212 yang mana kes ini telah memutuskan bahawa dokumen semasa atau keterangan harus dikemukakan untuk membukt”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR GUAMAN SIVIL NO: WA–A52NCC–21–01/2022 ANTARA JOHNNY ANG (NO. K/P: 760412-07-5597) …PLAINTIF
1
LIM LI LIAN (NO. K/P: 890731-14-5148) [Didakwa dalam keupayaan peribadi dan sebagai satu firma yang dikenali sebagai One Future Network Enterprise [No. Pendaftaran: 201503355114 (002498171-W)]
2
LIM WING WAI (NO. K/P: 910714-14-6013) [Didakwa dalam keupayaan peribadi dan sebagai satu firma yang dikenali sebagai One Future Network Enterprise [No. Pendaftaran: 201503355114 (002498171-W)] …DEFENDAN-DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN PENGENALAN [1] Di dalam kes ini, saya telah membenarkan tuntutan plaintif terhadap defendan pertama dan menolak tuntutan plaintif terhadap defendan kedua di mana tuntutan plaintif adalah bagi suatu pinjaman persahabatan yang telah diberikan kepada defendan pertama dan gagal dibayar. ASAS TUNTUTAN PLAINTIF [2] Defendan pertama telah meminta meminjam wang sebanyak RM179,360.00 daripada plaintif melalui kawan plaintif bernama Michael (SP4) dan Plaintif telah bersetuju untuk meminjamkan jumlah tersebut. [3] Pada atau sekitar 26.01.2021, plaintif bersama SP4 telah berjumpa defendan pertama di luar kawasan perumahannya di Cheras, Kuala Lumpur lalu menyerahkan jumlah tersebut dalam bentuk tunai. [4] Pada masa yang sama, defendan pertama telah memaklumkan kepada plaintif bahawa beliau memerlukan sekitar masa tiga bulan untuk membayar balik pinjaman tersebut. [5] Pada tarikh 23-03-2021, satu perjanjian pinjaman mesra telah ditandatangani antara Plaintif dan Defendan Pertama di sebuah pejabat peguam di Pulau Pinang. [6] Semasa perjanjian ditandatangani, defendan pertama mengeluarkan satu cek bertarikh 24-04-2021 daripada akaun firma perkongsian One Future Network Enterprise bagi tujuan membayar balik pinjaman tersebut. [7] Walau bagaimanapun, cek tersebut telah ditolak oleh bank atas alasan tandatangan berbeza. [8] Maka, plaintif menuntut jumlah RM179,360.00 dan kos daripada defendan-defendan, secara bersama dan berasingan, atas kapasiti mereka peribadi dan juga sebagai rakan kongsi One Future Network Enterprise yakni Firma Perkongsian tersebut. PEMBELAAN DEFENDAN-DEFENDAN [9] Defendan pertama menafikan bahawa beliau pernah menerima pinjaman tersebut daripada Plaintif. Sebaliknya, beliau mendakwa dipaksa dan diancam oleh plaintif dan rakannya, Dong Leong Hua @ Michael (SP4) untuk menandatangani Perjanjian Pinjaman tersebut dan menandatangani serta menyerahkan cek tersebut. [10] Defendan pertama mengatakan bahawa beliau dikurung selama 2 hari di Midlands Court, Pulau Pinang, dan dibawa oleh Plaintif ke firma Tetuan Sim & Sean dan dipaksa oleh Plaintif dan PW4 untuk menandatangani Perjanjian Pinjaman tersebut. [11] Defendan kedua pula menafikan sebarang penglibatan dalam transaksi ini dan menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengenali Plaintif, tidak menandatangani Cek UOB tersebut, serta tidak menerima sebarang balasan daripada pinjaman tersebut. ISU-ISU BICARA [12] Isu-isu untuk dibicarakan yang dikemukakan oleh plaintif seperti berikut: i. Sama ada Defendan Pertama adalah bertanggungjawab untuk membayar kembali pinjaman mesra yang berjumlah RM 179,360.00 (“Pinjaman Tersebut”) yang diberikan oleh Plaintif menurut Perjanjian Pinjaman Mesra yang bertarikh 23.03.2021. ii. Sama ada kegagalan Defendan Pertama untuk membuat laporan polis membawa maut kepada dakwaan paksaannya dalam guaman ini? iii. Sama ada Defendan Pertama telah membuktikan dakwaan paksaannya pada imbangan kebarangkalian? iv. Sama ada, Defendan-Defendan adalah secara bersesama dan berasingan bertanggungjawab sebagai rakan-rakan kongsi One Future Network Enterprise (“Firma tersebut”) terhadap pembayaran RM 179,360.00 berdasarkan cek pasca-tarikh UOB Firma tersebut yang ditolak yang dikeluarkan, menurut Seksyen 11 Akta Perkongsian 1961 dan/atau Seksyen 43 Akta Bil Pertukaran 1949. ANALISA DAN DAPATAN ISU VIDEO DAN TRANSKRIP [13] Antara isu yang perlu diputuskan adalah sama ada rakaman video yang dikemukakan oleh pihak plaintif dan dipertikaikan oleh pihak defendan boleh diterima sebagai keterangan. [14] Di dalam hujahannya, peguam cara defendan yang bijaksana membangkitkan isu penerimaan video rakaman yang dikemukakan oleh pihak plaintif dan menyatakan bahawa pihak plaintif gagal membuktikannya secara teratur. [15] Prinsip-prinsip yang diputus dalam kes MOHD ALI JAAFAR v PUBLIC PROSECUTOR [1998] 4 MLJ 210 berkenaan keperluan untuk membuktikan keaslian dan kebolehpercayaan rakaman tersebut gagal dipatuhi. [16] Tiada bukti yang dikemukakan untuk mengesahkan bahawa rakaman video tidak diubahsuai, di manipulasi atau diedit. [17] Selain itu Plaintif gagal memanggil mana-mana pakar forensik digital atau pakar teknikal bagi mengesahkan keaslian dan ketulenan rakaman video tersebut seperti yang diputus dalam kes Mahkamah Rayuan, Dato’ Kanagalingam Velluppillai v Majlis Peguam Malaysia. [18] Seterusnya, rakaman video tersebut hanya menunjuk sebahagian daripada kejadian yang didakwa tanpa merangkumi keseluruhan peristiwa yang berlaku dalam tempoh material. Seterusnya, rakaman video tersebut mengandungi banyak bahagian yang tidak dapat didengar dengan jelas. [19] Isu ini telah dibangkitkan sebelum ini semasa bicara sebelum rakaman ini diterima sebagai bukti, di mana bantahan Peguam cara Defendan yang terpelajar telah ditolak. Mahkamah berpuas hati dengan keterangan SP3 lalu membenarkan video-video tersebut diterima sebagai keterangan. [20] SP3 selaku pembuat (maker) telah hadir sebagai saksi, memberikan keterangan dan telah menyediakan sijil perakuan berdasarkan Seksyen 90A Akta Keterangan 1950 dengan sewajarnya. [21] Video P3 boleh dibezakan secara ketara daripada nas-nas autoriti rujukan pihak defendan. Berbeza dengan Mohd Ali Jaafar v PP di mana pengadu tidak memberi keterangan perbualan, PW3 telah menjelaskan peristiwa yang berlaku dan menerangkan beliau yang membuat rakaman tersebut. [22] Di dalam kes Mohd Ali Jaafar v PP, intipati keputusan mengenai kebolehterimaan rakaman adalah dinyatakan antara lain boleh diringkaskan seperti berikut: a. It is admissible upon being tendered through its maker after proof of the matters referred to in Parsons. The maker would be the person who participated in the recorded conversation. In this case, it would be the complainant. b. Thus, the tape recording must be played over in court before it can be admitted in evidence. c. When the tape recording is played in court, the voices and the accuracy of the conversation must be proved d. A tape recording can also be used to corroborate the oral testimony of a witness e. Proof of identity of the conversation which comes within the ambit of item (f) above is the most important element to be established when introducing evidence of a tape recording. In ZB Bulkhari v BR Mehra AIR 1973 SC 1788 , it was held that the accuracy of what was actually recorded had to be proved by the maker of the record (see also Maqsud Ali). It is desirable that a witness who participated in a conversation that has been recorded gives an oral account of it. He may refer to the taped conversation to refresh his memory (see R v Mills [1962] 3 All ER 298 ). f. In R v Chen , the Supreme Court of Victoria considered the evidence that must be led in introducing a tape recording and said that it depends on the circumstances of each case. Marks, Southwell and Harper JJ in delivering the judgment of the court added at p 150: The test is whether there is sufficient material before the court to allow the tribunal of fact acting reasonably to conclude that the recorded sounds reproduce those originally made by the persons identified by the evidence. In other words, there must be evidence, which the tribunal of fact is entitled to accept, that the recording is of a conversation which occurred and which would be admissible if proved by oral testimony. In our opinion, admissibility does not depend on the party tendering the tapes having removed absolutely any chance that they are inaccurate. (Emphasis added.) g. I agree with this view as evidence to show that the recording tendered is an accurate reproduction of a conversation which occurred would remove any doubt that the recording is inaccurate due to failure to fully establish the other matters that are required to be proved [23] Kes Mohd Ali Jaafar v PP melibatkan rakaman menggunakan kaset perakam iaitu satu teknologi yang sudah lapuk dan tidak lagi terpakai di era ini. Ia hanya tertumpu kepada suara yang ada di dalam kaset yakni audio tanpa video. [24] Jadi, kes sandaran ini boleh dibezakan dengan kes kita di sini di mana di dalam kes kita di sini, rakaman di buat menggunakan telefon bimbit plaintif iaitu satu telefon bimbit pintar (smartphone) yang mempunyai kualiti gambar dan suara yang jelas. [25] Plaintif iaitu SP2 telah memberikan keterangan bahawa telefon bimbit beliau telah digunakan untuk merakam peristiwa semasa perjanjian disediakan dan ditandatangani. Beliau meminta Edwin membuat rakaman. [26] Edwin mengesahkan perkara ini bila memberi keterangan sebagai saksi SP3 dan mengesahkan Encik Johnny yang membuat pindahan video-video ini kepada bentuk CD untuk kegunaan Mahkamah. [27] Keperluan untuk pembuat memberi keterangan mengenai dokumen iaitu rakaman video di dalam kes ini telah dipenuhi. Selain dari itu, plaintif memberi keterangan juga bahawa telefon bimbit beliau di dalam keadaan berfungsi dengan baik. Beliau juga mengemukakan sijil di bawah Seksyen 90A Akta Keterangan. [28] Transkrip juga disediakan dan penyedia transkrip dipanggil sebagai saksi dan beliau mengesahkannya. Walaupun terdapat sedikit bahagian yang kurang jelas, bahagian tersebut bukanlah yang material. Bahagian yang material adalah bahagian di mana plaintif dan defendan pertama dan peguam serta beberapa orang lagi ada dalam rakaman berbincang mengenai terma perjanjian, peguam menjelaskan kandungan perjanjian kepada defendan pertama di mana penjelasan diberikan dalam Bahasa Mandarin, defendan pertama telah menandatangani perjanjian tersebut dengan menurukan cap jari. [29] Bagi saya, ini sudah mencukupi untuk video ini diterima sebagai bukti dan diberikan penilaian sewajarnya. Watak-watak yang ada di dalam video adalah amat jelas dan boleh dikenali dengan mudah apatah lagi dengan gambar berwarna yang mempunyai resolusi tinggi [30] Rakaman yang terlibat melibatkan suara dan gambar di mana semua jelas kelihatan dan suara dapat dipastikan dengan tepat. Personaliti yang ada di dalam video dapat dikenal pasti tanpa ragu-ragu. Malah defendan pertama sendiri mengesahkan kewujudan beliau di dalam rakaman video tersebut. [32] Maka, saya mendapati prinsip-prinsip yang perlu, telah dipatuhi sebelum rakaman video itu diterima sebagai bukti. [33] Mengenai kes Dato’ Kanalingam Veluppillai v Majlis Peguam Malaysia [2022] 2 MLRA 680, yang dijadikan sandaran, saya mendapati ia mempunyai perbezaan yang ketara dengan kes kita di sini. Ini kerana isu siapa yang menjadi perakam adalah isu tonggak yang dipertikaikan dari awal lagi. Maka, ia berkait dengan isu kacau ganggu (tampering) dan rekaan kerana Perayu di sana mengambil kedudukan beliau bukanlah individu yang dikatakan ditunjuk dalam video yang berkenaan di sana. Di dalam kes kita tidak ada isu siapa perakam iaitu SP3. [34] Kes Dato’ Kanalingam Veluppillai v Majlis Peguam Malaysia juga boleh dibezakan kerana video subjek di sana dimuat turun daripada laman web dan bukannya daripada peranti saksi di sana. Keadaan tersebut amat berbeza di sini kerana video-video tersebut terutamanya P3 adalah direkodkan dan disimpan dalam peranti (telefon bimbit) SP3 sendiri. [35] Di dalam kes ini pula, Defendan tidak pernah membangkitkan pertikaian bahawa beliau tidak wujud dalam video tersebut. Defendan juga tidak menafikan beliau telah menandatangani perjanjian tersebut seperti mana dinyatakan oleh saksi-saksi plaintif dan rakaman video. [36] Pada pandangan saya, pihak defendan gagal menunjukkan sebarang asas untuk menyatakan bahawa terdapat kacau ganggu terhadap rakaman video ini. Jika tidak sudah tentu dengan senang pihak defendan akan membuktikannya kerana Defendan pertama berada di dalam video dan defendan pertama mengakui berada di tempat lokasi rakaman. [37] Video ini telah dibekalkan terlebih awal sebelum bicara pada tahap pengurusan kes dan defendan pertama mempunyai masa yang mencukupi untuk meneliti dan mengesahkan samada rakaman ini mencerminkan apa yang sebenarnya berlaku. Ini gagal dilakukan oleh pihak defendan dan memilih untuk membantah penerimaan rakaman video ini. [38] Saya terpanggil untuk menurunkan petikan kes Damansara Realty (Pahang) Sdn Bhd v. Om Cahaya [2021] 5 CLJ 283 berkaitan motif mengapa video ini tidak diletakkan di bahagian B Ikatan Dokumen dan bantahan berterusan dengan kuatnya. Adalah amat malang perkara ini berlaku. Ini kerana, jika rakaman ini diletakkan di bahagian B, ia akan menjimatkan masa semua pihak. Petikan yang dimaksudkan adalah seperti berikut: [152] Part C documents are documents which are disputed as to their authenticity, existence and contents. Thus, the original documents have to be produced and marked as “ID” and later converted to exhibits. The process requires the maker to be called to establish the authenticity and contents of the documents. Part C documents are usually for documents which are of suspicious or dubious provenance. As a rule of thumb, Part C documents are for documents which are said to be fake, forged or fictitious. But in practice, it is not unusual for parties to insist on innocuous or benign documents being placed in Part C. [153] The reasons for doing so may be spurious, strategic or tactical. It is also possible that the purpose of placing documents in Part C is just to make life difficult for the other side who intend to rely on those documents. Trial judges have an overriding duty to conduct active case management to ensure that documents in Part C are “genuinely disputed”. Trial judges should not passively allow parties to dictate that documents should be in Part C. Parties who insist on placing documents in Part C must therefore satisfy the judge that there is a valid and acceptable reason for doing so. The reason is obvious. It would be unjust to allow parties to impose an unfair burden on the other side by tactically insisting on documents being placed in Part C. To allow parties to indiscriminately insist on documents being placed in Part C would also be an unfair burden on the court and a waste of judicial time. Watak-Watak di dalam video Jelas dan Suara juga jelas peristiwa yang berlaku juga jelas [39] Di dalam pemerhatian saya semasa rakaman video ini dimainkan di Mahkamah terbuka, dengan jelas kelihatan gambar dan suara yang dirakam. Di dalam rakaman video ini wujud lelaki dengan seluar pendek dan gelang di tangan, muka tidak nampak iaitu Michael. Manakala, plaintif iaitu Johnny Ang duduk di sebelah kanan memakai baju merah. Peguam Miss Neoh juga ada di dalam video menerangkan terma-terma perjanjian kepada D1. [40] Rakaman di buat di bilik firma peguam. Video ini juga menunjukkan D1 menurunkan tandatangan ke atas dokumen. Di bahagian hujung video ini, dia tanya di mana tandas. Dan peguam beritahu tandas di belakang. ISU PAKSAAN, ANCAMAN, DAN PENCULIKAN [41] Defendan pertama bertegas bahawa wujud unsur paksaan atau ancaman demi memaksa beliau untuk menandatangani Perjanjian Pinjaman Persahabatan [42] Video-video tersebut terutamanya P3 adalah satu-satunya keterangan yang memberikan manfaat visual dan audio berkenaan peristiwa yang sebenarnya berlaku semasa Perjanjian Pinjaman Persahabatan tersebut ditandatangani oleh plaintif dan defendan pertama. [43] P3 jelas menunjukkan tindak-tanduk atau gerak-geri defendan pertama yang langsung tidak menunjukkan sebarang keresahan atau kesukaran pada pihak defendan pertama. Malah, ia menunjukkan dengan jelas defendan pertama menggunakan telefon bimbitnya tanpa sebarang halangan. [44] Defendan pertama juga ada bertanya soalan kepada peguam dan diterangkan oleh peguam mengenai soalan-soalan yang dikemukakan. [45] Dari pemerhatian saya, tidak ada aksi di dalam video di mana saksi menangis seperti didakwa oleh defendan pertama. Apa yang kelihatan adalah defendan pertama bertanya soalan dan dijawab. Peguam juga ada memberi penjelasan terhadap soalan-soalan yang dikemukakan oleh defendan pertama. Defendan pertama dilihat dalam duduk dalam keadaan kaki bersilang. Suara yang ada di dalam video adalah pada kadar biasa. Bukan tinggi dan bukan menengking. Defendan pertama dapat dilihat menggunakan telefon bimbit semasa perbincangan dan semasa tandatangan perjanjian di mana defendan pertama memegang handphone dengan tangan kiri dan tidak dilepaskan. [46] Selain dari bukti rakaman video ini, keterangan lisan saksi-saksi plaintif juga menyatakan plaintif tidak memaksa atau mengugut defendan pertama untuk menandatangani perjanjian. Tujuan perjanjian ditandatangani adalah untuk memastikan bahawa defendan pertama menunaikan tanggungjawab beliau untuk membayar balik pinjaman. Manakala cek yang diminta dari defendan pertama adalah sebagai jaminan bahawa defendan pertama akan membayar semula pinjaman. [47] Mengenai isu bahawa D1 diancam atau diugut, saya mendapati ia adalah tidak dibuktikan, kerana Defendan tidak mengambil sebarang tindakan munasabah demi membatalkan tanggungjawab beliau daripada Perjanjian Pinjaman Persahabatan tersebut samada dengan tindakan mahkamah atau mengadu kepada pihak berkuasa walaupun mempunyai banyak peluang dan masa yang banyak untuk berbuat demikian. [48] Persetujuan Defendan pertama terhadap terma-terma Perjanjian Pinjaman Persahabatan disokong dengan pengakuan oleh defendan pertama bahawa Cik Neoh, peguamcara tersebut telah menjelaskan kandungannya kepada defendan pertama. [49] Apabila Cik Neoh bertanya kepada defendan pertama sama ada beliau setuju dengan kandungan Perjanjian Pinjaman Persahabatan tersebut seperti di dalam rakaman video dan keterangan saksi-saksi plaintif, Defendan pertama menjawab bahawa beliau tiada sebarang masalah [50] Jikalau benar Defendan pertama telah diugut atau dipaksa untuk menandatangani, beliau boleh dan sepatutnya menyuarakan ketidaksetujuannya atau bantahannya semasa sesi perbincangan sebelum perjanjian ditandatangani. [51] Semasa menandatangani Perjanjian tersebut, Defendan pertama mengaku bahawa tiada tindakan ugutan dilakukan terhadap beliau. Perkara ini jelas dilihat dalam Video P1, P2 dan P3 di mana tiada tindakan-tindakan paksaan atau ugutan dilihat. Justeru, keterangan-keterangan Defendan pertama adalah dakwaan yang tidak disokong dengan bukti. [52] Defendan pertama tidak mengambil apa-apa tindakan untuk membatalkan perjanjian tersebut selepas menandatanganinya, selain daripada mengadu kepada Cik Neoh, di mana beliau telah berjumpa dengan Cik Neoh selepas dua hari menandatangani perjanjian [53] Defendan mengakui bahawa telefon bimbit beliau ada bersama beliau sepanjang masa dalam firma guaman untuk tandatangan dan bebas menggunakannya malah telefon juga dibawa pergi ke tandas selepas menandatangani perjanjian. [54] Walaupun begitu, defendan pertama langsung tidak meminta bantuan dari mana-mana pihak di dunia luar termasuk pihak polis mahupun adik beliau sendiri. [55] Kegagalan atau sikap lewa defendan pertama untuk bertindak atas apa yang dikatakan paksaan menandatangani perjanjian dan penculikan terhadap diri beliau tidak diikuti dengan tindakan sewajarnya seperti mengambil tindakan undang-undang untuk membatalkan perjanjian tersebut, melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa mengenai kejadian ini. Ini boleh ditafsirkan bahawa paksaan dan penculikan ini hanyalah rekaan Defendan pertama semata-mata. [56] Atas isu paksaan menandatangani dokumen saya merujuk kepada kes Siew Nee v Chiang Dyi Woei & Ors and other appeals [2022] MLJU 2212 yang mana kes ini telah memutuskan bahawa dokumen semasa atau keterangan harus dikemukakan untuk membuktikan paksaan, seperti berikut : “[96] In my view, the Plaintiff has failed to prove the existence of “coercion”, “undue influence”, “duress”, or “inequality of bargaining power”, as she had failed to adduce contemporaneous or even an iota of evidence to that effect. It is my finding, therefore, that these averments by the Plaintiff were an afterthought in order to extricate herself from the quandary she found herself in.” [57] Jika ada paksaan, satu Laporan Polis perlu di buat oleh defendan pertama. Berkenaan kegagalan untuk membuat laporan polis, kes Lim Keck Eng v Tan Hoo Eng & Anor and another suit [2025] 10 MLJ 477 memutuskan seperti berikut: “[90] This court, in assessing the evidence presented, found no indications in the plaintiffs’ actions that they had been threatened, coerced, or intimidated by the defendants. Firstly, the plaintiffs never filed a police report at the time when such intimidation and coercion were alleged to have occurred. From the timelines of events mentioned above, it is evident that the plaintiffs’ conduct did not align with the purported actions of the defendants. [58] Rujukan juga di buat kepada kes Mayland Lending Sdn Bhd v Rossmaizati bt Mohamad & Anor [2015] 7 MLJ 216 atas isu paksaan atau ugutan, yang memutuskan seperti berikut: “[40] Furthermore it appears necessary from the Court of Appeal case of Soo Lip Hong v Tee Kim Huan [2006] 2 MLJ 49; [2005] 1 MLRA 801 that a contemporaneous police report has to be made reporting the duress. [58] Kelakuan defendan mestilah selaras dengan unsur paksaan yang didakwa. Jika kelakuan defendan tidak mencerminkan wujud unsur paksaan, maka ia akan melemahkan pembelaan bahawa paksaan terlibat di dalam menandatangani perjanjian. Rujukan di buat kepada kes Tan Tai Bian v Tan Shiau Yieng (berniaga sebagai ‘Intelligent Wealth Solutions’) [2021] MLJU 2974 (MT) yang mempunyai fakta latar belakang yang seiras dengan kita di sini, di mana telah diputuskan seperti berikut: Coercion and Duress [24] The Defendant raised a defence claiming that she was coerced and was under duress when she signed the Settlement Agreement. [25] Duress is a means by which a person or party can be released from a contract, where that person or party has been forced or coerced into the contract. If this coercion can be shown to be true then the contract entered into cannot be considered a valid agreement. [26] section 15 of the Contracts Act 1950 on coercion reads as follows: “Coercion” is the committing, or threatening to commit any act forbidden by the Penal Code, or the unlawful detaining or threatening to detain, any property, to the prejudice of any person whatever, with the intention of causing any person to enter into an agreement. Explanation-It is immaterial whether the Penal Code is or is not in force in the place where the coercion is employed.”. [27] It is the view of this Court that the foundation of the Defendant’s claim is weakened by the conduct of the Defendant herself. This Court does not find her actions to be consistent with someone laboring under duress [59] Tindak tanduk Defendan pertama tidak mencerminkan bahawa beliau diculik dan dipaksa ke Pulau Pinang dan dipaksa menandatangani perjanjian tersebut. Bagi saya dakwaan ini adalah dakwaan kosong yang tidak langsung disokong oleh apa-apa bukti. [60] Maka, adalah dapatan saya bahawa defendan pertama tidak dipaksa atau diancam untuk menandatangani perjanjian. ISU PINJAMAN TUNAI DAN KETIADAAN RESIT [61] Berkaitan penerimaan pinjaman, adalah disahkan bahawa wang pinjaman telah diserahkan oleh plaintif dan saksi secara tunai di dalam kereta di luar kawasan perumahan Defendan pertama. [62] Klausa 2 Perjanjian Pinjaman Persahabatan tersebut secara jelas mengandungi pengakuan D1 bahawa beliau telah menerima jumlah tersebut secara tunai pada 26 Januari 2021. [63] Oleh itu, dakwaan bahawa pinjaman tidak diterima adalah bertentangan dengan dokumen yang telah ditandatangani sendiri oleh defendan pertama. ISU DEFENDAN TIDAK DIBENARKAN MEMBANGKIT PERSOALAN ILLEGALITY [64] Mengenai isu ini, adalah tidak tepat untuk menyatakan bahawa mahkamah telah menyekat defendan dari membangkitkan isu perjanjian bertentangan dengan undang-undang (illegality). Jika diteliti nota keterangan dalam pemeriksaan balas terhadap SP2 iaitu plaintif, peguam cara defendan hanya tidak dibenarkan bertanyakan soalan di luar skop pliding kerana tiada asas untuk berbuat demikian. [65] Untuk mengaitkan atau mengatakan perjanjian yang dimasuki adalah menyalahi undang-undang, mestilah ada asas untuk bertanyakan soalan-soalan demikian. Mesti dinyatakan di dalam pliding fakta secara ringkas yang menyebabkan perjanjian adalah menyalahi undang-undang. [66] Ini gagal dilakukan oleh pihak defendan. Adalah jelas setiap pliding mesti mengandungi butiran yang perlu bagi setiap tuntutan atau pembelaan seperti dinyatakan di bawah Aturan 18 Kaedah 12 yang diperturunkan di bawah seperti berikut:
12
A.18 k.12
1
Subject to para (2), every pleading shall contain the necessary particulars of any claim, defence or other matter pleaded…. [67] Setiap pihak adalah terikat dengan pliding, seperti diputuskan di dalam kes ROSITA BTE BAHAROM & ANOR v SABEDIN BIN SALLEH - [1992] 1 MLJ 379 di mana petikan berkaitan adalah seperti berikut: For the sake of certainty and finality, each party is bound by his own pleadings and cannot be allowed to raise a different or fresh case without due amendment properly made. Each party thus knows the case he has to meet and cannot be taken by surprise at the trial. The court itself is as much bound by the pleadings of the parties as they are themselves [68] Di dalam kes ini peguam cara defendan membangkitkan nama seorang individu yang bernama Kevin yang dikatakan pak cik kepada defendan, di mana SP2 ditanya samada beliau mengenali Kevin. Nama Kevin langsung tidak ada di dalam pembelaan dan tidak dinyatakan bagaimana peranan Kevin boleh menjadikan perjanjian tersebut menjadi bertentangan dengan undang-undang. [69] Jika perkara ini dibenarkan maka kesannya adalah peraturan pliding tidak perlu dipatuhi. Bagi saya, mesti ada sekurang-kurangnya fakta ringkas di dalam pliding atau penyataan bahawa perjanjian ini menyalahi undang-undang dan bagaimana ia menyalahi undang-undang. [70] Ini dapat dilihat dari soalan-soalan yang telah dibenarkan untuk disoal sebelum ini berkaitan dengan isu samada plaintif menjalankan perniagaan pemberian pinjaman secara berlesen, adakah plaintif mempunyai lesen meminjamkan wang, adakah faedah dikenakan. Ini dapat difahami dan soalan dibenarkan kerana untuk memberi pinjaman dengan mengenakan faedah, ia bukan lagi dianggap bukan lagi satu pinjaman persahabatan. Malah ia bertentangan dengan Akta Pemberi Pinjam Wang. Maka, soalan-soalan yang berkaitan telah dibenarkan. [71] Mengenai Kelvin, saya tidak membenarkan soalan-soalan ditanya kerana ia tidak diplidkan. Alasan “illegality” hanyalah satu helah untuk memasukkan isu yang tidak diplidkan agar dibenarkan secara pukal semasa membuat pemeriksaan balas. [72] Oleh yang demikian, saya membuat keputusan agar soalan-soalan berkaitan Kelvin tidak dibenarkan. PINJAMAN ADALAH PINJAMAN PERSAHABATAN/MESRA TANPA FAEDAH [73] Saya mendapati bahawa Pinjaman tersebut adalah satu pinjaman persahabatan yang sah kerana tiada faedah yang dikenakan oleh plaintif terhadap Pinjaman tersebut. Pinjaman yang diminta oleh defendan pertama adalah sejumlah wang bernilai RM179,360.00 dan jumlah yang sama perlu dibayar balik. [74] Jumlah duti setem yang dibayar untuk Perjanjian Pinjaman Persahabatan tersebut. Pada sijil setem, balasan yang direkodkan adalah RM179,360.00 iaitu jumlah yang sama yang dipinjamkan kepada Defendan pertama. [75] Disebabkan jumlah balasan yang tersebut, RM 910.00 telah dibayar untuk setem iaitu mengikut kadar Pinjaman tersebut. [76] Di Klausa 3 Perjanjian Pinjaman Persahabatan tersebut, defendan pertama telah bersetuju untuk membayar balik Pinjaman tersebut tanpa faedah pada atau sebelum 23.04.2021. [77] Definisi pinjaman mesra telah dijelaskan dalam kes Tan Aik Teck v Tang Soon Chye [2007] MLJU 407 seperti berikut : A friendly loan is opposed to the normal borrowing from a moneylender or financial institution. A friendly loan is a loan between two persons based on trust. There may be an agreement such as an I.O.U. or security pledged to repayment but most important there will be no interest imposed. It may be true that the plaintiff met the defendant two or three times before the loan transaction but the evidence shows that both of them have a common friend in the form of the plaintiff’s brother-in-law. The evidence shows that the defendant’s request for the loan was made through this brother-in-law, Goh Wai Kah. Both parties must have trusted this Goh Wai Kah. After considering the evidence and the submissions, I am of the view that the defendant was under the misconception that in order to qualify for a friendly loan, the amount advanced by the plaintiff to the defendant must be amongst friends INFERENS BERTENTANGAN TERHADAP DEFENDAN [78] Kegagalan plaintif untuk memanggil Cik Neoh untuk menyokong dakwaan D1 bahawa beliau diugut atau dipaksa, membolehkan Mahkamah untuk membuat satu inferens bertentangan terhadap defendan-defendan. [79] S. 114(g) Akta Keterangan 1950 dirujuk, yang memperuntukkan seperti berikut: “114. The court may presume the existence of any fact which it thinks likely to have happened, regard being had to the common course of natural events, human conduct, and public and private business, in their relation to the facts of the particular case. … (g) that evidence which could be and is not produced would if produced be unfavourable to the person who withholds it;” [80] Sepanjang keterangan, banyak kali defendan pertama menyatakan beliau dipaksa menandatangani perjanjian dan tidak faham mengenai perjanjian. Justeru, Cik Neoh adalah seorang saksi yang matan di sini untuk menyokong atau menyangkal keterangan ini. [81] Tambahan pula, beliau adalah peguam cara yang menyediakan perjanjian tersebut. Pada mulanya defendan-defendan berniat untuk sepina Cik Neoh. Walaupun begitu, Cik Neoh tidak dipanggil sebagai saksi untuk mengesahkan dakwaan Defendan pertama. [82] Persoalan timbul mengenai apa butiran perbincangan peribadi defendan pertama dengan peguam Cik Neoh dan apakah kandungan perbincangan itu akan mendedahkan bahawa tidak ada unsur paksaan dan fakta ini menyebelahi plaintif , lalu beliau tidak dipanggil sebagai saksi. [83] Bahawa kesan tidak memanggil Cik Neoh telah memberi kesan mudarat kepada kes defendan-defendan kerana inferens bertentangan adalah saksi tersebut akan memberi keterangan yang tidak memihak kepada defendan-defendan. PENGETAHUAN DEFENDAN MENGENAI PINJAMAN YANG DIBERIKAN [84] Defendan pertama mempunyai pengetahuan mengenai pinjaman persahabatan ini dan cuba meletakkan beban membayar pinjaman itu ke atas penama bernama Kevin. [85] Jelas pinjaman ini wujud dan duit pinjaman telah diberikan. D1 cuba mengalihkan perhatian bahawa Kevin yang menerima pinjaman dan Kevin yang patut membayar. Seperti dinyatakan sebelum ini isu Kevin tidak pernah diplidkan, namun keterangan ini memberikan petunjuk bahawa ia sememangnya wujud dan defendan pertama tahu mengenainya. [86] Pelbagai soalan timbul mengenai isu Kevin ini jika betul Kevin yang menerima pinjaman iaitu:
a
kenapa ia tidak diplidkan,
b
kenapa Kevin tidak dipanggil sebagai saksi,
c
kenapa Kevin tidak dijadikan pihak ketiga, dan
d
kenapa tidak ada laporan polis di buat terhadap Kevin yang menjadikan defendan pertama sebagai mangsa untuk membayar hutang yang dipinjamkan kepada Kevin. [87] Saya mendapati defendan pertama adalah saksi yang tidak boleh dipercayai kerana tidak konsisten di dalam keterangan, mengelak dari menjawab soalan yang tidak menguntungkan versi beliau, sering menukar versi, perlu diingatkan beberapa kali untuk menjawab soalan walaupun soalan yang dikemukakan adalah mudah dan senang difahami. [88] Defendan mengakui tandatangan cek. Ini menunjukkan defendan pertama mengakui tanggungjawab membayar hutang. Alasan yang dikemukakan oleh defendan pertama bahawa beliau tidak menerima wang pinjaman tidak disokong oleh bukti. Dua saksi plaintif memberi keterangan berkaitan penyerahan wang kepada defendan pertama. [89] Peristiwa yang berlaku seterusnya menjadi bukti sokongan melimpah ruah bahawa defendan menerima wang pinjaman tersebut seperti berikut:
a
defendan tidak membuat Laporan Polis mengenai apa yang didakwa sebagai penculikan,
b
defendan pertama kembali semula ke Pulau Pinang dan berjumpa dengan peguam yang menyediakan perjanjian, peguam itu tidak dipanggil sebagai saksi. [90] Pihak plaintif telah mengemukakan keterangan lisan dan pelbagai dokumen-dokumen semasa termasuk video-video untuk membuktikan kesnya dan untuk menyangkal kes defendan-defendan. Sebaliknya, tiada dokumen-dokumen semasa dikemukakan oleh defendan-defendan untuk menyokong keterangan lisan mereka. [91] Dalam Citibank Berhad v Pembangunan Cahaya Tulin Sdn Bhd (Receivers and Managers Appointed) & Ors and Other Suits [2012] 9 MLJ 181, Mahkamah Tinggi menjelaskan kelebihan dalam bergantung kepada dokumen-dokumen semasa melampaui keterangan lisan. “It is another way of saying that documents do not lie and they do not suffer from a poor recollection of memory. The print is preserved for posterity; it operates objectively. Human nature on the other hand with its recollection of oral representation so called, falls into the realm of the subjective. It has a tendency to embellish, exaggerate and even extrapolate into existence that which was not there to begin with! All in the exercise of exonerating or excusing oneself from liability.” LAIBILITI DEFENDAN KEDUA [92] Tuntutan plaintif terhadap defendan kedua dalam kes ini adalah semata-mata hanya kerana beliau merupakan rakan kongsi dalam Firma Perkongsian tersebut.. Kewujudan hubungan perkongsian itu dengan sendirinya mewujudkan tanggungjawab undang-undang yang mengikat defendan kedua. Defendan Kedua adalah secara bersama dan secara berasingan bertanggungjawab sebagai rakan kongsi bagi Cek UOB tersebut. [93] Saya mendapati defendan kedua tidak pernah mempunyai sebarang hubungan dengan Plaintif, sama ada sebagai pihak yang berurus niaga ataupun sebagai pihak yang pernah berkenalan. Malah, Plaintif bukan pelanggan kepada Firma Perkongsian tersebut dan juga tidak pernah menjalankan sebarang bentuk transaksi dengan Plaintif [94] Plaintif dalam pemeriksaan balas mengakui bahawa beliau tidak mengenali Defendan Kedua dan bahawa Pinjaman tersebut adalah pinjaman peribadi kepada Defendan Pertama sahaja, bukannya kepada Firma Perkongsian tersebut. [95] Seksyen 7 Akta Perkongsian 1961 berbunyi seperti berikut:- “Power of partner to bind firm Every partners is an agent of the firm and his other partners for the purpose of the business of the partnership; and the acts of every partner who does any act for carrying on in the usual way business of the kind carried on by the firm of which he is a member bind the firm and his partners, unless the partner so acting has in fact no authority to act for the firm in the particular matter, and the person with whom he is dealing either knows that he has no authority or does not know or believe him to be a partner.” [96] Dalam kes CIMB Bank Bhd v Lee Kim Kee & Ors and Another Appeal [2018] 9 CLJ 168 Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa:- [51] Thus, we were of the view that a partnership does not ipso facto become liable for all of the liabilities of its partner. What Mr. Leong Sing Cheong did was definitely not within the scope and boundaries of the partnership of the firm and thus, the third party could not be made liable for that fraudulent transaction.” [97] Kes Jasmi Yusof & Satu Lagi v Muhammad Osman Kateran & Yang Lain [2022] 1 LNS 1521, Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa:- “[15] Adalah menarik untuk meneliti huraian seksyen 7 Akta Perkongsian 1961 ini yang dinyatakan di dalam buku Partnership Law In Malaysia oleh Dr. Samsar Kamar Latif, ILBS Reprint 2013 di halaman 39 seperti berikut: ‘Where a partner has no actual authority to bind the firm, the fact of being a partner confers a prima facie authority to do so provided that three conditions are fulfilled: (i) the transaction must be within the scope of the kind of business carried on by the firm;(ii) that transaction must be effected in the usual way; (iii) the other party to the transaction must either know or believe that the person acting is a partner and must not know of his lack of authority. If a partner does not act in his capacity of an agent but as a principal on his own account, his act cannot be imputed to the partnership firm and he alone is liable for them even though the firm may have benefited by them.’ [19] Ini bermakna bagi seorang rakan kongsi di bawah Akta Perkongsian 1961 tindakan yang dilakukan oleh rakan kongsi yang lain tidak secara automatik akan menyebabkan rakan kongsi yang lain dipertanggungjawabkan. Pekongsi tersebut berkemungkinan boleh mengemukakan keterangan bagi menunjukkan bahawa beliau tidak mempunyai kaitan, pengetahuan atau membenarkan tindakan yang menyalahi undang-undang dilakukan oleh rakan kongsi beliau. Pada masa yang sama mahkamah juga perlu melihat apakah tindakan yang dilakukan oleh rakan kongsi beliau adalah sesuatu yang selaras dengan perniagaan dan aktiviti biasa yang dilakukan oleh syarikat perkongsian tersebut. Apa yang jelas ialah perkara-perkara tersebut boleh dijadikan pembelaan kepada pekongsi rakan kongsi di dalam satu perkongsian.” [98] Berdasarkan prinsip undang-undang di atas, maka defendan kedua tidak boleh dipertanggungjawabkan atas hutang yang diambil secara peribadi oleh defendan pertama. [99] Ia adalah jelas bahawa Perjanjian Pinjaman Mesra tersebut tidak ada kaitan langsung dengan perniagaan Firma Perkongsian tersebut, malah Plaintif sendiri mengakui bukan pelanggan Firma Perkongsian tersebut. Kedua, tiada bukti bahawa Defendan Kedua pernah memberi autoriti, pengetahuan, atau kebenaran kepada Defendan Pertama untuk mengikat firma bagi tujuan Pinjaman tersebut. Ketiga, Plaintif juga gagal membuktikan bahawa beliau berurusan dengan Defendan Kedua atau percaya bahawa Defendan Kedua mempunyai sebarang autoriti dalam hal ini. KESIMPULAN [100] Berikut adalah keputusan saya untuk isu-isu untuk dibicarakan i. Sama ada Defendan Pertama adalah bertanggungjawab untuk membayar kembali pinjaman mesra yang berjumlah RM 179,360.00 (“Pinjaman Tersebut”) yang diberikan oleh Plaintif menurut Perjanjian Pinjaman Mesra yang bertarikh 23.03.2021. Jawapan: Ya ii. Sama ada kegagalan Defendan Pertama untuk membuat laporan polis membawa mudarat kepada dakwaan paksaannya dalam guaman ini? Jawapan : Ya iii. Sama ada Defendan Pertama telah membuktikan dakwaan paksaannya pada imbangan kebarangkalian? Jawapan : Tidak iv. Sama ada, Defendan-Defendan adalah secara bersesama dan berasingan bertanggungjawab sebagai rakan-rakan kongsi One Future Network Enterprise (“Firma tersebut”) terhadap pembayaran RM 179,360.00 berdasarkan cek pasca-tarikh UOB Firma tersebut yang ditolak yang dikeluarkan, menurut Seksyen 11 Akta Perkongsian 1961 dan/atau Seksyen 43 Akta Bil Pertukaran 1949? Jawapan: Hanya defendan pertama sahaja yang bertanggungjawab PENUTUP [101] Berdasarkan kepada alasan-alasan yang dinyatakan di atas, tuntutan plaintif terhadap defendan pertama dibenarkan dan tuntutan plaintif terhadap defendan kedua ditolak dengan kos. Bertarikh pada hari ini 6/11/2025.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.