Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN, MALAYSIA, DI PUTRAJAYA (BIDANGKUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO. B-05(M)-58-01/2017 ANTARA JOSEPH IFEANYI OBA …PERAYU DAN PENDAKWA RAYA …RESPONDEN (DALAM PERKARA MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM PERBICARAAN JENAYAH NO.45A-139-07/2013 ANTARA PENDAKWA RAYA DAN JOSEPH IFEANYI OBA) KORUM: MOHD. ZAWAWI SALLEH, HMR AHMADI HAJI ASNAWI, HMR KAMARDIN HASHIM, HMR 2 PENGHAKIMAN [1] Di hadapan Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam, perayu telah dituduh dengan pertuduhan yang berikut: “Bahawa kamu pada 4.7.2012 hingga 14.7.2012 di tandas Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, Aras 3, MTB, KLIA, Tandas Wad 6C Bilik 27, Hospital Serdang dan Dewan Bedah Hospital Serdang di dalam Daerah Serdang, dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah didapati mengedar dadah berbahaya, iaitu 521.8 gram Methamphetamine dan oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama”. [2] Di akhir kes pembelaan, perayu telah didapati bersalah dan telah disabitkan di atas pertuduhan tersebut dan dijatuhi dengan hukuman gantung sampai mati. [3] Rayuan di hadapan kami adalah berkaitan dengan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atas perayu tersebut. [4] Kami telah mendengar dan seterusnya telah menolak rayuan perayu. [5] Sekarang kami perturunkan alasan-alasan kami. 3 Naratif Kes Pihak Pendakwaan [6] Pada 4.7.2012, kira-kira jam 10.40 malam, D/Sjn. Zulkifli b. Hj. Zainal (SP-2) yang ketika itu sedang membuat tugasan pemantauan di Bahagian Tuntutan Bagasi, KLIA bersama-sama 8 orang anggota lain telah menahan perayu di mesin pengimbasan Jabatan Kastam kerana kelakuannya yang mencurigakan. [7] Perayu kemudiannya telah dibawa ke Pejabat Narkotik KLIA untuk pemeriksaan lanjut. Pemeriksaan fizikal ke atas perayu tidak menemui apa-apa barang salah. [8] Semasa proses pemeriksaan tersebut, perayu telah meminta untuk membuang air besar. Perayu lalu dibawa oleh SP-2 ke tandas yang berhampiran. Di atas lantai di dalam tandas tersebut, perayu telah mengeluarkan 5 ketulan bungkusan plastik (kapsul) yang disyaki dadah melalui duburnya bersama-sama dengan najisnya. [9] Setelah kelima-lima kapsul tersebut dibersihkan oleh perayu, SP-2 telah merampas kapsul-kapsul tersebut, seraya menyerahkannya kepada 4 pegawai penyiasat, Insp. Mohd. Firdaus bin Ali (SP-12), bersama-sama dengan perayu sekali. [10] SP-12 telah mengarahkan SP-3 membawa perayu ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan lanjut. Dr. Shamsinar dari Hospital tersebut telah mengesahkan, melalui x-ray yang diambil ke atas perayu, wujudnya benda-benda asing dalam abdomen perayu. [11] Berdasarkan kepada dapatan Dr. Shamsinar tersebut, perayu telah dimasukkan ke Wad 6C, Bilik 27, Hospital tersebut (Hospital Serdang). [12] Di hospital tersebut, perayu telah mengeluarkan sebanyak 47 ketulan kapsul mengandungi bahan disyaki dadah melalui duburnya di antara jam 4.00 pagi pada 5.7.2012 hingga jam 2.45 petang pada 6.7.2012. [13] Pada 14.7.2012, perayu telah dibedah oleh Dr. Shahruniza bin Md Shahir (SP-14) untuk mengeluarkan 1 ketulan kapsul dari abdomennya yang juga mengandungi bahan yang disyaki dadah. 5 [14] Kesemua 53 ketulan kapsul (5+47+1) yang dikeluarkan oleh perayu melalui duburnya tersebut telah dihantar oleh SP-12 kepada ahli kimia untuk dianalisis. [15] Ahli Kimia, Puan Norhaya binti Jaafar (SP-1), mengesahkan bahawa kesemua 53 kapsul tersebut mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat 521.8 gram (selepas ini dirujuk sebagai ‘dadah tersebut’). Laporan analisisnya ialah eksibit P6 yang boleh dilihat di Jilid 4, Rekod Rayuan (‘RR’). SP-1 turut mengesahkan bahawa dadah Methamphetamine disenaraikan di dalam Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya, 1952 (selepas ini disebut sebagai ‘ADB, 1952’). [16] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara yang bijaksana mendapati bahawa fakta-fakta kes menunjukkan semasa perayu ditahan, dadah tersebut sememangnya berada di dalam perut perayu dan fakta ini dengan sendirinya membuktikan bahawa perayu sememangnya mempunyai kawalan dan jagaan ke atas dadah tersebut. Seterusnya, berpandukan kepada nas-nas Teh Hock Leong v PP [2008] 4 CLJ 764 (Mahkamah Persekutuan), Emmanual Yaw Teiku v PP [2006] 3 CLJ 567 (Mahkamah Persekutuan), Arshad Mohammad Senjedeh v Pendakwa Raya (Rayuan Jenayah No. B-05-317-11/2011) (Mahkamah Rayuan) dan 6 Kwok Weng Fatt v Pendakwa Raya (Rayuan Jenayah No. P-05-270- 10/2011) (Mahkamah Rayuan), hakim bicara yang bijaksana mendapati bahawa perayu turut mempunyai pengetahuan tentang wujudnya dadah dalam kapsul-kapsul yang ditelan olehnya. Beliau turut memetik nas Mahkamah Agong dalam kes Tunde Apatira & Ors v PP [2001] 1 CLJ 381, yang memutuskan seperti berikut: “Tiada terdapat pertikaian mengenai fakta-fakta berkenaan milikkan dadah tersebut. Ia telah dibuktikan melalui keterangan dan diterima oleh hakim yang arif, bahawa dadah yang dipersoalkan di dalam peket-peket di dalam perut perayu. Setiap perayu menelan peket yang mengandungi dadah tersebut. Keseluruhan keterangan yang munasabah menyokong kesimpulan bahawa perayu-perayu di dalam milikan sebenar dadah yang diharamkan pada masa penahanan awal….walaupun tanpa bergantung kepada anggapan di dalam sek. 37(d) Akta tersebut”. [17] Dalam erti kata lain, hakim bicara mendapati bahawa perayu mempunyai milikkan mens rea dadah tersebut. Kami bersetuju sepenuhnya dengan dapatan ini. [18] Mengenai elemen pengedaran pula, hakim bicara yang bijaksana telah merujuk kepada nas Teh Hock Leong v PP (supra) mengenai modus operandi yang diambil oleh perayu untuk membawa dadah tersebut ke negara ini. Selanjutnya, jumlah dadah yang banyak jelas menunjukkan bahawa dadah tersebut bukanlah untuk kegunaan sendiri 7 tetapi untuk diperedarkan di negara ini. Pada akhirnya, hakim bicara yang bijaksana mendapati bahawa fakta-fakta yang telah dibuktikan menunjukkan bahawa perayu telah mengedar dadah tersebut secara ‘direct trafficking’ di bawah s.2 ADB, 1952. [19] Akhirnya, hakim bicara berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie terhadap perayu di atas pertuduhan sebagaimana dipertuduhkan ke atasnya. Dengan itu, perayu telah dipanggil untuk membela diri. Kes Pembelaan [20] Perayu memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi. [21] Perayu menyatakan dia datang ke Malaysia pada 3.12.2011 untuk belajar Bahasa Inggeris di Pusat Atlantik Language, Cheras, untuk tempoh selama 2 tahun. [22] Di dalam bulan Julai 2012, perayu balik ke Nigeria untuk menziarahi neneknya yang meninggal dunia. 8 [23] Beberapa hari sebelum balik semula ke Malaysia, perayu telah menelefon kawannya, Paul, di mana Paul tersebut kemudian telah meminta perayu untuk berjumpa dengannya di Lagos. Perayu sendiri berasal dari Anambara State. [24] Menurut Paul, kawannya (kawan Paul) ingin mengirimkan sejenis herba kepada adik perempuannya yang berada di Malaysia. [25] Perayu kemudiannya telah pergi ke Lagos dan berjumpa dengan Paul. Walau bagaimana pun, dia diberitahu oleh Paul bahawa herba tersebut berada dengan kawannya di Abuja City. [26] Paul dan perayu kemudian telah pergi ke Abuja City. Mereka menginap di Hallmark Hotel, Abuja City. [27] Keesokan harinya kawan Paul telah datang ke hotel tersebut bersama-sama dengan 2 lelaki yang lain dengan membawa sebuah (1) beg. Mereka telah membuka beg tersebut dan setelah Paul berbincang dengan kawannya, Paul meminta perayu supaya membawa beg tersebut 9 ke Malaysia untuk diserahkan kepada adik perempuan kawan Paul tersebut. [28] Namun begitu, kawan Paul tidak bersetuju kerana beg tersebut mengandungi barang berharga, iaitu, herba dan ‘raw steroid powder’ untuk mengubati penyakit kanser. [29] Kawan Paul tersebut kemudian menyuruh perayu menelan barang-barang tersebut (dalam bentuk kapsul) kerana menurutnya, barang-barang tersebut ‘tidak boleh lepas mengikut kaunter dan cukainya sangat tinggi’. [30] Perayu enggan untuk menelan kapsul-kapsul tersebut. Akibatnya dia telah ditumbuk di bibirnya. Selain itu keselamatan ahli-ahli keluarganya turut diancam. Mereka juga mengambil dokumen-dokumen perjalanan perayu, alamat rumah perayu dan nama isteri perayu untuk dibuat salinan fotostat. [31] Apabila perayu masih enggan untuk menelan kapsul-kapsul tersebut, salah seorang daripada lelaki-lelaki tersebut mengeluarkan 10 sepucuk pistol dan meletakkan di atas meja dan memaksa perayu supaya menelan semua kapsul-kapsul tersebut sambil mengancam keselamatan ahli-ahli keluarganya. Akhirnya perayu akur lalu menelan kesemua kapsul-kapsul tersebut. [32] Sesampainya di KLIA, adik kawan Paul bernama ‘Nkairu’ telah menelefonnya, menyatakan dia akan datang ke KLIA. [33] Perayu seterusnya menyatakan dia berasa amat tidak selesa (uncomfortable) lalu mendapatkan bantuan seorang pegawai keselamatan yang membawa dia ke Kaunter Imigresen dan kemudiannya ke klinik. Selepas itu dia dibawa oleh pegawai keselamatan tersebut ke Balai Polis dan dibiarkan di situ. [34] Perayu menyatakan pihak polis telah mengimbas beg serta tubuh beliau tetapi tidak menjumpai apa-apa barang salah. [35] Pada masa yang sama, telefon bimbitnya telah berdering tetapi pihak polis tidak membenarkannya menjawab panggilan tersebut. Apabila polis bertanya siapa pemanggil, perayu menjawab mungkin 11 daripada ‘Nkairu’. Pihak polis kemudiannya bertanya sama ada perempuan itu boleh bayar. Perayu menjawab dia tidak tahu. Selepas itu, perayu telah dibawa ke Balai Polis dan diserahkan kepada ketua mereka bersama-sama dengan dokumen-dokumennya. [36] Perayu menyatakan dia telah memberitahu pihak polis bahawa dia telah dipaksa oleh sekumpulan lelaki yang merupakan kawan-kawan Paul, untuk menelan kapsul-kapsul tersebut. Seterusnya, perayu menyatakan dia tidak diberi peluang untuk bertemu dengan pegawai penyiasat. [37] Perayu menunjukkan kepada pihak polis tentang luka di bibirnya seperti dalam gambar No. 26. Tetapi, menurutnya, SP-14 tidak mengambil apa-apa maklumat berkenaan dengan kecederaan tersebut daripada perayu. Namun, SP-14, yang dipanggil oleh perayu sebagai SD- 2, menyatakan tidak ingat sama ada terdapat kecederaan pada bibir perayu dan mengakui tidak membuat apa-apa rawatan ke atas perayu selain dari pembedahan untuk mengeluarkan 1 biji kapsul dari abdomen perayu tersebut. 12 [38] Perayu turut menyatakan kawannya Paul telah membuat laporan polis di Nigeria. Percubaannya untuk memanggil Paul sebagai saksi gagal walaupun selepas 4 kali kes ditangguhkan. [39] Hakim bicara yang bijaksana mendapati bahawa isu bahawa perayu telah dipukul dan diugut supaya menelan kapsul-kapsul tersebut tidak pernah ditimbulkan kepada saksi-saksi pihak pendakwaan. Demikian juga isu luka di bibir juga tidak pernah diketengahkan kepada saksi-saksi pihak pendakwaan, khususnya SP-12, SP-14 dan saksi-saksi lain yang relevan seperti beberapa orang sentri yang menjaga perayu sepanjang perayu di tahan di Wad 6C. Dengan demikian, hakim bicara mendapati bahawa keterangan tersebut merupakan rekaan semata-mata dan ‘afterthought’. [40] Hakim bicara yang bijaksana juga mendapati watak ‘Paul’ adalah meragukan dan adalah tidak munasabah bagi perayu untuk pergi ke Abuja City 2 hari sebelum balik ke Malaysia semata-mata untuk memenuhi permintaan Paul. Jika benar perayu telah diugut dan dipaksa untuk menelan kapsul-kapsul tersebut, perayu boleh sahaja melakukan sesuatu untuk menyelamat dirinya semasa berada di Lapangan Terbang 13 Lagos atau sebaik sahaja tiba di KLIA dengan terus berjumpa pihak berkuasa. [41] Hakim bicara yang bijaksana lantas mendapati bahawa perayu gagal untuk menimbulkan apa-apa keraguan yang munasabah ke atas kes pihak pendakwaan. Dengan demikian, perayu telah didapati bersalah dan sabit di atas kesalahan tersebut dan dihukum gantung di leher sampai mati dengan menggunakan tali. Rayuan Perayu [42] Perayu telah mengemukakan 2 alasan rayuan berikut: