Content
Rayuan Jenayah No: B-05(M)-278-07/2017 1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA [BIDANG KUASA RAYUAN] RAYUAN JENAYAH NO: B-05(M)-278-07/2017 ANTARA JULIUS YAO KUDJORDJI … PERAYU DAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN [Dalam Perkara Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam Perbicaraan Jenayah No. 45A-46-02/2013 Antara Pendakwa Raya Lawan Julius Yao Kudjordji] KORUM: AHMADI HAJI ASNAWI, HMR ABDUL RAHMAN SEBLI, HMR KAMARDIN HASHIM, HMR Rayuan Jenayah No: B-05(M)-278-07/2017 2 PENGHAKIMAN MAHKAMAH Pendahuluan [1] Perayu, seorang warganegara Ghana dan menetap di Bangkok oleh sebab perkahwinan dengan wanita Thailand, telah dihadapkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan satu pertuduhan atas kesalahan mengedar dadah berbahaya di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya, 1952 (‘Akta’). Pertuduhan terhadap Perayu ialah seperti berikut: “Bahawa kamu pada 2.7.2012, jam lebih kurang 7.40 malam di kawasan laluan keluar di Kaunter Pemeriksaan Kastam, Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, MTB KLIA, di dalam daerah Sepang di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, telah mengedar dadah berbahaya iaitu Methamphetamine seberat 756.1 gram, dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.” [2] Di akhir perbicaraan, Hakim Mahkamah Tinggi (‘hakim bicara’) telah mendapati Perayu bersalah dan disabitkan atas pertuduhan. Perayu seterusnya telah dijatuhkan dengan hukuman gantung di leher sehingga mati. Terkilan dengan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh hakim bicara tersebut, Perayu telah merayu ke Mahkamah ini. [3] Kami telah mendengar dan mempertimbangkan rayuan Perayu pada 5.9.2018. Setelah meneliti dan mempertimbangkan hujahan pihak-pihak serta rekod rayuan, kami sebulat suara mendapati rayuan Perayu tidak Rayuan Jenayah No: B-05(M)-278-07/2017 3 bermerit. Kami telah menolak rayuan Perayu. Berikut ialah alasan kami menolak rayuan Perayu. Kes Pendakwaan [4] Fakta kes pendakwaan secara ringkasnya adalah seperti berikut. Pada 2.7.2012 jam lebih kurang 7.40 malam, D/Sjn. Nor Reshiam Bin Kassim (SP4) bersama-sama dengan 8 orang lagi anggota dan pegawai polis, termasuk Sjn. Zulkefli Bin Hj. Zainal (SP5) sedang menjalankan tugas pemantauan di kawasan Tuntutan Bagasi F, Balai Ketibaan Antarabangsa, Aras 3, Main Terminal Building, KLIA. Semasa menjalankan tugas, SP4 nampak seorang lelaki (kemudiannya dicamkan sebagai Perayu) sedang berjalan sambil membimbit sebuah beg berwarna hitam (P22) dalam keadaan yang mencurigakan. Perayu dilihat menoleh ke kiri dan ke kanan serta berjalan berhenti-henti semasa menuju ke kaunter pemeriksaan kastam. [5] SP4 telah menahan Perayu dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis sambil menunjukkan kad kuasanya. SP4 meminta Perayu menunjukkan pasportnya dan telah mengarahkan Perayu untuk mengimbas beg P22 yang sedang dibimbit oleh Perayu di mesin pengimbas kastam. Setelah imbasan dibuat, didapati tiada apa-apa imej yang mencurigakan. SP4 kemudian mengarahkan Perayu untuk membawa beg P22 ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA untuk pemeriksaan rapi. [6] Di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA, SP4 telah memeriksa tubuh badan Perayu tetapi tidak ada menjumpai apa-apa barang salah. Kemudiannya SP4 telah membuat pemeriksaan ke atas beg Rayuan Jenayah No: B-05(M)-278-07/2017 4 P22 dengan disaksikan oleh lain-lain anggota termasuk SP5. SP4 mendapati P22 mengandungi beberapa helai pakaian, kasut serta beberapa barangan peribadi milik Perayu. SP4 telah mengeluarkan kesemua barangan yang terdapat di dalam beg itu dan membuat pemeriksaan rapi terhadap beg P22 tersebut. Walaupun barangan di dalam beg itu telah dikeluarkan, SP4 mendapati beg itu masih mempunyai berat yang luar biasa. [7] Seterusnya SP4 telah memeriksa bahagian hadapan beg itu dan mendapati dinding beg dalam keadaan sedikit kembung. SP4 mengesyaki ada sesuatu dalam celahan beg itu dan SP4 telah membuat sedikit torehan pada jahitan beg bahagian hadapan dan mendapati terdapat barangan pada celahan beg itu. SP4 kemudiannya telah membuat torehan pada keseluruhan jahitan bahagian hadapan beg dan mendapati di dalamnya terdapat dua (2) bungkusan plastik lut sinar bersalotape berwarna coklat (P10 dan P11). Setelah dibuat sedikit torehan, dua (2) bungkusan plastik lut sinar tersebut mengandungi bahan serbuk kristal jernih disyaki dadah berbahaya. [8] Kemudiannya SP4 membuat pemeriksaan di celahan bahagian belakang beg dengan membuat torehan pada bahagian jahitan. SP4 telah menemui dua (2) lagi bungkusan plastik lut sinar bersalotape berwarna coklat yang di dalamnya mengandungi serbuh kristal jernih disyaki dadah berbahaya (P12 dan P13). SP4 seterusnya membuat rampasan barang kes dan menahan Perayu. Perayu dan barang-barang rampasan kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Amrin Bin Mohammad Arif (SP7) untuk tindakan selanjutnya. Rayuan Jenayah No: B-05(M)-278-07/2017 5 [9] Barang-barang kes P10, P11, P12 dan P13 telah dihantar oleh SP7 ke Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya untuk dianalisis. Ahli kimia, Puan Norhaya Binti Jaafar (SP2) mengesahkan setelah membuat analisis, P10 mengandungi Methamphetamine seberat 137.7 gram, P11 mengandungi Methamphetamine seberat 228.5 gram, P12 mengandungi Methamphetamine seberat 165.7 gram dan P13 mengandungi Methamphetamine seberat 224.2 gram. Keseluruhannya berat Methamphetamine dalam P10, P11, P12 dan P13 ialah 756.1 gram, hal perkara pertuduhan. SP2 juga mengesahkan Methamphetamine tersenarai di bawah Jadual Pertama, Akta. SP2 telah menyediakan satu Laporan Kimia yang bertarikh 10.10.2012 (P18). Keputusan hakim bicara di akhir kes pendakwaan [10] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara telah membuat dapatan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap Perayu atas pertuduhan. Hakim bicara menerima keterangan SP2 bahawa serbuk kristal jernih yang terdapat dalam plastik lut sinar P10, P11, P12 dan P13 mengandungi dadah Methamphetamine dengan jumlah keseluruhan berat 756.1 gram, dadah yang dipertuduhkan. [11] Untuk elemen pemilikan, hakim bicara membuat dapatan bahawa Perayu mempunyai kawalan dan jagaan terhadap beg P22 yang mengandungi dadah yang dipertuduhkan. Hakim bicara turut membuat dapatan bahawa Perayu mempunyai pengetahuan terhadap dadah-dadah yang dipertuduhkan berdasarkan kepada kelakuan Perayu yang diterima di bawah seksyen 8 Akta Keterangan 1950. Tingkah laku Perayu yang dilihat menoleh ke kiri dan ke kanan serta berjalan sambil berhenti-henti menuju ke kaunter pemeriksaan kastam dapat dibuat inferen yang Rayuan Jenayah No: B-05(M)-278-07/2017 6 munasabah bahawa Perayu mempunyai pengetahuan terhadap dadah-dadah yang disembunyikan dalam beg P22 yang beliau bimbit ketika itu. [12] Bagi elemen pengedaran, hakim bicara telah menggunapakai anggapan di bawah seksyen 37(da)(xvi) Akta oleh kerana berat dadah Methamphetamine yang terlibat melebihi had berat minimum 50 gram yang diperuntukkan. [13] Setelah berpuas hati bahawa semua elemen pertuduhan telah berjaya dibuktikan terhadap Perayu, hakim bicara telah memerintahkan Perayu untuk membela dirinya atas pertuduhan yang dihadapkan. Pembelaan Perayu [14] Perayu memilih untuk memberi keterangan membela diri secara bersumpah. Dalam keterangannya, Perayu menyatakan bahawa dia berkahwin dengan seorang guru warga Thailand dan mereka mempunyai seorang anak, menetap di Bangkok. Perayu menjalankan perniagaan jus buah-buahan terutama sekali jus asam jawa bersama dengan seorang rakan kongsi bernama Nana Yaw. [15] Perayu bercadang untuk pergi ke Malaysia untuk mencari bekalan jus yang lebih murah. Apabila mendapat tahu Perayu mahu pergi ke Malaysia, rakan Perayu yang bernama Moses, seorang warga Nepal ingin mengirim satu beg kepada seorang bernama Chang yang akan menunggu Perayu di KLIA. Moses telah memberikan beg P22 di Lapangan Terbang Bangkok. Moses juga telah memasukkan pakaian Perayu ke dalam beg P22 tersebut. Perayu tidak memeriksa beg P22 itu oleh kerana dia Rayuan Jenayah No: B-05(M)-278-07/2017 7 mempercayai Moses yang dia kenali selama 2 tahun antara 2008 hingga 2010. [16] Apabila sampai di KLIA, beg P22 telah diimbas tetapi tidak ada apa-apa imej yang mencurigakan. Dia telah ditahan dan dibawa ke Pejabat Narkotik dan ditahan di situ selama 3-4 jam sebelum dibawa ke IPD Sepang. Di IPD Sepang barulah dia ditunjukkan oleh SP7 dengan 4 paket plastik berisi serbuk putih yang diambil dari beg P22 yang dia bawa. Perayu menafikan mempunyai pengetahuan terhadap 4 paket plastik dadah yang tersorok di dalam beg P22 tersebut seperti dalam percakapan beramarannya (ID 64). [17] Setelah membuat penelitian dan pertimbangan terhadap keterangan pembelaan Perayu, hakim bicara telah menolak pembelaan Perayu sebagai satu penafian semata-mata dengan meletakkan kesalahan kepada penama Moses. Bagaimanapun Perayu telah gagal untuk memberikan butir-butir yang lengkap tentang penama Moses tersebut supaya satu penyiasatan yang bermakna dapat dilakukan oleh SP7. [18] Hakim bicara tidak mempercayai keterangan Perayu yang mengatakan dia datang ke Malaysia untuk mendapat bekalan jus buah-buahan dengan harga yang lebih murah sedangkan umum mengetahui bahawa barangan sedemikian boleh diperolehi dengan lebih senang dan lebih murah di Thailand berbanding dengan di Malaysia. [19] Hakim bicara turut menyatakan keterangan Perayu tidak memeriksa beg P22 sebagai sesuatu yang tidak lojik walaupun ada banyak masa dan ruang untuk memeriksa beg itu. Keadaan beg yang mengelembung dan Rayuan Jenayah No: B-05(M)-278-07/2017 8 berat yang berlebihan sepatutnya menarik perhatian Perayu untuk memeriksa beg itu. Butir-butir penerima beg itu yang dikatakan sebagai Chang juga tidak dinyatakan secara terperinci. [20] Akhirnya hakim bicara telah merumuskan bahawa pembelaan Perayu gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pihak pendakwaan. Perayu juga didapati gagal untuk mematahkan anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da)(xvi) Akta atas imbangan kebarangkalian. [21] Hakim bicara berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes mereka melampaui sebarang keraguan yang munasabah atas pertuduhan terhadap Perayu. Perayu telah didapati bersalah dan disabitkan atas pertuduhan. Perayu telah dijatuhi hukuman gantung di leher sehingga mati. Rayuan Perayu [22] Di hadapan kami, peguam bela terpelajar Perayu telah membangkitkan hanya satu alasan rayuan sahaja untuk membenarkan rayuan Perayu iaitu berkaitan dengan identiti barang kes dadah yang dipertuduhkan. Peguam bela berhujah bahawa wujud keraguan munasabah terhadap identiti barang kes dadah berdasarkan kepada alasan-alasan berikut: