that evidence which could be and is not produced would if produced be unfavourable to the person who withholds it;” [24] Di dalam kes Munusamy v PP [1987] 1 MLJ 492 YA Hakim Mohd Azmi menyatakan: “Adverse inference under that illustration can only be drawn if there is withholding or suppression of evidence and not merely on account of failure to obtain evidence. It may be drawn from withholding not just any document, but material document by a party in his possession, or for non-production of not just any witness but an important and material witness to the case.” [25] Di dalam kes ini adakah Vijayan adalah saksi yang penting? Adakah dengan ketiadaan Vijayan pendakwaan tidak dapat membuktikan kesnya? Adakah ketiadaan Vijayan menyebabkan naratif kes tidak dapat dikemukakan di hadapan 17 mahkamah? Berdasarkan nota keterangan adalah didapati bahawa Vijayan telah disebut di peringkat awal kes ini. Di dalam keterangan SP3 di halaman 41 Jilid 1 Rekod Rayuan semasa pemeriksaan balas SP3 telah menyatakan bahawa Vijayan ada meminta supaya SP3 memasukkan wang ke dalam akaun Perayu. Di halaman 42 Rekod Rayuan Jilid 1 SP3 menyatakan bahawa pada 26.10.2016 Vijayan menyuruh SP3 masukkan amaun dalam akaun Perayu dan selepas itu ada lagi bayaran dibuat dalam akaun Perayu atas arahan Vijayan. Semasa pemeriksaan utama ada memberitahu mahkamah bahawa Vijayan yang memperkenalkan Perayu kepadanya dan menyatakan bahawa Perayu adalah bertugas di Universiti Malaya. [26] Di halaman 45 Rekod Rayuan Jilid 1 semasa pemeriksaan semula SP3, SP3 ada menyatakan seperti berikut: “TPR: Boleh jelaskan kenapa Vijayan minta Encik masukkan duit dalam akaun Kamini? Vijayan kata anak akan dapat tempat di UM dan sebelum itu Kamini meminta saya masukkan duit dalam akaun bagi pembayaran hostel dan atas dasar kepercayaan saya masukkan duit tersebut. Maksudnya Kamini bagitahu dulu untuk masukkan duit kemudian baru Vijayan bagitahu masukkan duit? Iya. Encik bagitahu 6 kemasukkan duit itu Kamini suruh, dengan peguam Encik bagitahu Vijayan yang suruh masukkan duit, boleh jelaskan? Kedua-dua mereka Kamini dan Vijayan menghubungi saya dan suruh masukkan duit ke dalam akaun Kamini. 18 Kalau Vijayan yang hubungi dan masukkan duit ke dalam akaun Kamini, Encik masukkan ke tak? Saya saya masukkan. Tadi bagitahu Encik percaya dengan kata-kata dan dorongan Vijayan dan Kamini? Saya percaya sebab mereka berjanji anak akan dapat tempat di Universiti dan duit yang dibayar akan dapat semula selepas anak dapat masuk ke Universiti. Encik setuju tiada sebarang dokumen tentang anak dikemukakan? Ya. [27] Ini bermakna Vijayan berhubung dengan SP3 sehingga menyebabkan berlakunya pembayaran SP3 kepada Perayu ke dalam akaun Perayu. Kehadiran Vijayan sebagai saksi di dalam kes ini dapat menunjukkan bahawa SP3 diperkenalkan oleh Vijayan kepada Perayu dan berlakulah transaksi-transksi yang seterusnya. Ketiadaan Vijayan tidak dapat menolak hakikat bahawa SP3 telah memindahkan wang-wang tersebut kepada akaun Perayu atas dorongan daripada perayu dan bukannya berdasarkan kepada dorongan daripada Vijayan. Ini adalah disebabkan keterangan menunjukkan bahawa perayu yang didakwa mempunyai hubungan dengan pihak Universiti Malaya bukannya Vijayan. Namun demikian kehadiran Vijayan sebagai saksi akan lebih menjelaskan keadaan atau menguatkan kes pendakwaan terhadap perayu. Persoalannya adakah Vijayan ini adalah material saksi utama dan adakah pihak pendakwaan boleh dikatakan cuba melindungi Vijayan daripada dijadikan saksi dalam kes pendakwaan. Ini disebabkan Vijayan tidak dipanggil semasa perbicaraan dan tidak ditawarkan kepada pembelaan. Ia seolah-olah ingin 19 melindungi ataupun menghalang keterangan yang dikemukakan oleh Vijayan. Adalah didapati bahawa sekiranya Vijayan memberi keterangan ia tidak dapat menolak keterangan bahawa Perayu telah meminta SP3 memasukkan wang-wangnya ke dalam akaun Perayu dan memasukkannya setelah menerima penyataan Perayu bahawa ia adalah untuk tujuan urusan kemasukan anak SP3 Eswari ke Fakulti Perubatan Universiti Malaya. [28] Mahkamah berpendapat bahawa dalam konteks kes ini Vijayan tidaklah boleh dikategorikan sebagai saksi utama yang membawa maksud dengan ketiadaan keterangan Vijayan kes pendakwaan tidak dapat dibuktikan. Tindakan pendakwaan tidak memanggil Vijayan tidak menjejaskan atau bertujuan melindungi ataupun menghalang keterangan dikemukakan. Dalam erti kata lain pandangan Puan Majistret berkenaan kepentingan Vijayan sebagai saksi yang sepatutnya dipanggil oleh pembelaan tidaklah menjadikan Vijayan sebagai saksi utama. Ini disokong dengan fakta bahawa Mahkamah Majistret telah berpuas hati dengan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan di akhir kes pendakwaan. Ia membawa maksud bahawa ketiadaan Vijayan tidak menjejaskan kes pendakwaan yang mana mahkamah bersetuju dengan dapatan Puan Majistret tersebut. Ini bermakna kes pendakwaan tidak bergantung semata-mata kepada keterangan Vijayan. Tetapi saksi-saksi lain telah dikemukakan dengan sewajarnya. Pada masa yang sama mahkamah juga perlu melihat keterangan Perayu semasa pembelaan yang menyatakan bahawa beliau telah menyerahkan kad ATM kepada Vijayan. Malahan Perayu 20 sendiri dalam keterangan bahawa beliau menyatakan bahawa tidak dapat berhubung dengan Vijayan sehingga kini kerana nombor telefonnya telah diblok. Ini dapat dilihat di halaman 72 Rekod Rayuan Jilid 1. Perayu tidak memanggil Vijayan sebagai saksi pembelaan. [29] Pada masa yang sama pembelaan pihak Perayu dalam kes ini tidaklah boleh dianggap sebagai fikir semula (afterthought) disebabkan perkara ini telah dibangkitkan sewaktu kes pendakwaan. Ia harus ditimbangkan dengan sewajarnya oleh mahkamah bicara dalam ke sini. Keterangan bahawa kewujudan Vijayan bukannya satu yang direka. Namun apa yang perlu dilihat dalam kes ini ialah tiada sebarang keterangan yang dapat menunjukkan bahawa Vijayan telah menggunakan Perayu untuk SP3 memasukkan wang-wang ke dalam akaun Perayu. Apa yang ada ialah keterangan menunjukkan bahawa wang-wang tersebut telah dimasukkan oleh SP3 ke dalam akaun Perayu. Malahan di dalam pembelaan Perayu juga iaitu daripada halaman 65 – 73 Rekod Rayuan Jilid 1 tiada sebarang keterangan daripada Perayu yang menyatakan bahawa wang-wang yang dimasukkan melalui 6 transkasi seperti di P6 an P7 yang berkaitan telah dimasukkan ke dalam akaun Perayu. Tiada keterangan yang menujukkan bahawa ada pada bila-bila masa Vijayan menyatakan bahawa wang-wang yang dimasukkan tersebut adalah hanya menggunakan akaun Perayu dan perlu diserahkan kembali kepada Vijayan. Selain daripada itu alasan Perayu bahawa kad ATM Perayu dipegang oleh Vijayan adalah disebabkan Perayu mempunyai wang pinjaman sebanyak 21 RM22,000.00 seperti yang dinyatakan di halaman 6 Rekod Rayuan Jilid 1 adalah sesuatu yang tidak wajar dipertimbangkan oleh mahkamah bicara. Ini adalah disebabkan jumlah wang yang dimasukkan oleh SP3 ke akaun Perayu adalah lebih kurang RM235,000.00 adalah lebih besar daripada jumlah RM22,000.00 yang dikatakan hutang Perayu kepada Vijayan. Ini bermakna bahawa perbezaan jumlah tersebut tiada keterangan menunjukkan mempunyai kaitan dengan Vijayan dan menjadi asbab kepada Perayu tidak boleh dikaitkan dengan pemindahan wang-wang tersebut oleh SP3 ke dalam akaun Perayu. [30] Adalah menjadi prinsip umum undang-undang bahawa mahkamah yang mendengar rayuan tidak akan cmapur tangan di dalam dapatan yang dilakukan oleh mahkamah bicara. Campur tangan akan dilakukan sekiranya dapatan Hakim Bicara bertentangan dengan keterangan-keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan, rujuk Periasamy s/o Sinnappan & Anor v Public Prosecutor (1996) 2 MLJ 557 di halaman 579 para (h) hingga (i), Public Prosecutor v Vijaya Raj (1981) 1 MLJ 43 di halaman 44, Public Prosecutor v Ma’arof (1969) 2 MLJ 56 di halaman 66. [31] Mahkamah mendapati bahawa dapatan yang dibuat oleh Puan Majistret yang menbicarakan kes ini tidak mengundang kepada campur tangan mahkamah dalam dapatan yang dilakukan oleh beliau. Dapatan tersebut adalah berdasarkan keterangan-keterangan yang diwujudkan semasa perbicaraan dan telah diteliti oleh mahkamah ini di dalam rekod rayuan di hadapan 22 mahkamah ini. Oleh yang demikian dapatan dan sabitan Puan Majistret ke atas Perayu disahkan. Hukuman [32] Sementara itu berkenaan rayuan silang pihak pendakwaan terhadap hukuman dijatuhkan kepada Perayu, mahkamah telah meneliti alasan penghakiman Puan Majistret dan penilaian beliau sebelum menjatuhkan hukuman di halaman 42 Rekod Rayuan Jilid 1 dan didapati bahawa Puan Majistret telah mengambil kira bahawa pengadu telah kehilangan wang sebanyak RM235,000.00 ekoran daripada tindakan Perayu. Pada masa yang sama mahkamah juga telah mengambil kira bahawa ini adalah merupakan kesalahan pertama Perayu. Perayu mempunyai seorang ibu yang tua di samping itu mahkamah juga telah mengambil kira bahawa perbicaraan yang mengambil tempoh yang lama. [33] Penentuan kadar hukuman yang sewajarnya dijatuhi dalam satu kesalahan adalah terikat dengan prinsip-prinsip penghukuman. Mahkamah yang mendengar rayuan tidak sewajarnya mengganggu hukuman tersebut melainkan ianya sesuatu yang berlebih-lebihan atau terlampau ringan sehingga tidak mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan. Di dalam kes ini mahkamah mendapati bahawa Puan Majistret telah mempertimbangkan faktor peringanan dan pemberatan sebelum menjatuhkan hukuman. Ianya dilakukan di dalam ruang lingkup tempoh pemenjaraan yang dibenarkan. 23 [34] Hukuman yang boleh dikenakan bagi seseorang yang disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan ialah hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda. [35] Pendakwa Raya di dalam hujahannya memohon supaya hukuman yang dikenakan oleh Puan Majistret ditingkatkan dan telah menukilkan nas-nas undang-undang yang berkaitan dengan hukuman yang dijatuhkan di dalam kes-kes di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan. Di antaranya ialah kes Mohd Khaizad Hashim lwn PP (2015) 1 LNS 693. Di dalam kes tersebut mahkamah tinggi telah mengekalkan hukuman 4 tahun penjara yang dijatuhkan oleh mahkamah sesyen bagi satu pertuduhan di bawah seksyen 420 di mana nilai kerugian adalah RM3,000.00. Sementara itu di dalam kes Loh Liang Gun & Anor v. PP [2007] 4 CLJ 467 hukuman di dalam kes tersebut penjara 4 tahun bagi pertuduhan pertama dan 5 tahun bagi 5 pertuduhan kedua yang berjalan serantak. Sementara dalam kes Mohamad Zulkaria Mohamad Sebli v. PP [2015] 1 LNS 925 di mana mahkamah tinggi telah mengekalkan hukuman penjara 42 bulan yang dijatuhan oleh mahkamah bagi kesalahan di bawah seksyen 420 yang melibatkan nilai RM700.00. [36] Persoalan yang perlu diteliti oleh mahkamah ini yang mendengar rayuan, ialah bagaimana pendekatan yang perlu dibuat mahkamah terhadap hukuman oleh mahkamah bicara. Adakah mahkamah bicara terikat dengan hukuman-hukuman 24 yang dijatuhkan tersebut? Adakah mahkamah bicara terikat dengan corak hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah-mahkamah lain dalam kesalahan yang sama yang sedang dibicarakan di mahkamah mereka? Pada masa yang sama mahkamah yang mendengar rayuan tidak boleh semata-mata disebabkan tidak bersetuju dengan kadar hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah bicara mengubah hukuman tersebut. Ia jelas dinyatakan dalam kes Bhandulanand Jayatilake v PP [1981] 1 LNS 139 dan Datuk Sahar bin Arpan v PP [2007] 1 CLJ 326. [37] Corak hukuman (trend of sentencing) adalah merupakan himpunan kepada keputusan-keputusan mahkamah berkaitan dengan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan yang tertentu. Adalah menjadi amalan yang baik untuk menjadikan corak hukuman itu sebagai panduan kepada hakim atau majistret yang ingin menjatuhkan hukuman meneliti corak hukuman tersebut agar hukuman yang dikenakan tidak tersasar sehingga tidak selari dengan corak hukuman semasa bagi sesuatu kesalahan tersebut. Ini adalah disebabkan tiada peruntukan undang-undang setakat ini yang mewujudkan garis panduan berkenaan hukuman di dalam kes jenayah seperti yang terdapat di United Kingdom di bawah seksyen 120 Coroners and Justice Act 2009 yang dikeluarkan oleh Sentencing Council for England and Wales yang ditubuhkan di bawah seksyen 118 Coroners and Justice Act 2009 seperti berikut: 25 120 Sentencing guidelines