Kos permohonan dibayar oleh Pemohon kepada Responden. A. LATAR BELAKANG [1] Terdapat pertikaian fakta yang besar dalam kes ini dimana pertikaian ini menyentuh kepada keesahan dan asas tuntutan Pemohon dalaam Saman Pemula ini. [2] Pada 1.5.1986, Saman bin Samsudin (“Pembeli tersebut”), iaitu datuk Responden telah memasuki satu perjanjian jual beli bersama Said bin Shamsuddin (“Penjual tersebut”), iaitu bapa kepada Pemohon, bagi penjualan sebahagian daripada hartanah yang menjadi isu dalam Saman Pemula ini iaitu 40 kaki x 162 kaki daripada 7/12 bahagian hartanah yang dikenali sebagai GRN 52630 (dahulunya dikenali sebagai GM No.8427), Lot 6245, Daerah Klang, Selangor (“Hartanah tersebut”). [3] Antara terma-terma relevan didalam perjanjian jual beli tersebut adalah: - i. Klausa 1 - penjual tersebut telah bersetuju untuk menjual hartanah tersebut kepada pembeli denhan harga belian sebanyak RM 14,000.00 sahaja dan penjual tersebut dengan nyata dan tanpa ragu bahawa harga belian tersebut telah diterima sepenuhnya oleh penjual tersebut; ii. Klausa 2 - pendaftaran nama bagi Geran Hartanah tersebut tidak dapat didaftarkan sepenuhnya kepada nama pembeli pada masa material berikutan undang-undang pada masa material tersebut. Dalam keadaan itu, penjual tersebut atau waris-warisnya (termasuklah Pemohon) perlu mendaftarkan nama Pembeli tersebut ke dalam Geran Hartanah tersebut sejurus undang-undang membenarkannya; iii. Klausa 4 - mulai 1.8.1986, hak benefisiari dan penggunaan hartanah tersebut diberikan sepenunhya kepada pembeli tersebut dan/atau waris-warisnnya (termasuklah Responden sebagai cucu kepada pembeli tersebut); dan iv. Klausa 5 dan 6 - penjual tersebut serta waris-warisnya (termasukkan Pemohon) tidak berhak untuk menarik balik hakmilik hartanah tersebut daripada pembeli tersebut dan penjual tersebut serta waris-warisnya (termasuklah Pemohon) wajib memindahkan hakmilik hartanah tersebut kepada pembeli tersebut dan/atau waris-warisnya sejurus selepas undang-undang membenarkan pindah milik hartanah tersebut. [4] Responden menyatakan bahawa terma-terma perjanjian jual beli tersebut adalah jelas dan nyata menunjukkan bahawa hartanah tersebut telah menjadi hakmilik pembeli dan/atau waris-warisnya (selepas pembeli tersebut meninggal dunia). Selepas perjanjian jual beli tersebut ditandatangani, pembeli tersebut bersama ahli keluarganya telah pindah masuk keatas hartanah tersebut dan telah mendiami atas hartanah tersebut sejak 1986 hingga kini. Tiada sebarang bantahan dan /atau halangan yang wujud daripada penjual tersebut dan/atau Pemohon mengenai hal ini dari 1986 sehingga 2021. [5] Sepanjang masa material, Pembeli tersebut dan/atau waris-warisnya (termasukkan Responden sebagai cucu kepada pembeli tersebut) mempercayai bahawa hartanah tersebut telah dipindahmilik kepada pembeli sebelum beliau meninggal dunia pada 9.5.2009. Secara alternatifnya, sekalipun hartanah tersebut tidak dapat dipindahmilik kepada pembeli tersebut atau waris-warisnya atas sebab peruntukan undang-undang pada waktu material, maka hak pembeli tersebut dan waris-warisnya atas hartanah tersebut adalah terlindung di bawah perjanjian jual beli tersebut. [6] Pada tahun 2021, Pemohon telah menghubungi ayah Responden, Zulkifle bin Saman (yang merupakan Pentadbir bagi Harta Pusaka Pembeli tersebut) melalui pesanan WhatsApp menghalau Responden dan/atau waris-waris Pembeli tersebut yang masih tinggal di hartanah tersebut untuk keluar dari hartanah tersebut atas alasan hakmilik hartanah tersebut adalah atas namanya. [7] Responden dan waris-waris pembeli tersebut telah membuat carian dan mendapati Pemohon secara frod dan tipu helah telah memindahkan keseluruhan hartanah GRN 52630, Lot 6245, Daerah Klang, Selangor termasuk bahagian hartanah milik pembeli tersebut dan waris-warisnya kepada dirinya pada 22.2.1993. Ini jelas telah memungkiri terma-terma perjanjian jual beli tersebut secara senyap. [8] Pada Januari 2023, Pemohon telah secara tiba-tiba membangkitkan satu lagi Perjanjian bertarikh 1.5.1986 yang kononnya ditandatangani oleh pembeli tersebut ("perjanjian kedua tersebut”) dimana didalam perjanjian kedua tersebut, kononnya pembeli tersebut mengakui masih ada baki RM 9000.00 daripada harga jualan yang masih belum dibayar. Responden dan waris-waris pembeli tidak mempunyai pengetahuan mengenai perjanjian kedua tersebut dan percaya perjanjian kedua tersebut tidak pernah dibangkitkan daripada tahun 1986 sehingga Januari 2023. Sehingga kini, Pemohon enggan untuk memberikan salinan Perjanjian Kedua tersebut kepada Responden dan waris-waris pembeli tersebut walaupun diminta beberapa kali. [9] Responden menegaskan bahawa kewujudan Perjanjian Kedua tersebut adalah musykil kerana ianya mempunyai tarikh yang sama dengan perjanjian jual beli. Jika perjanjian kedua tersebut telus dan wujud, mengapa ianya mempunyai terma yang bertentangan dengan perjanjian jual beli tersebut sedangkan ianya ditandatangani pada tarikh yang sama. Responden menegaskan, harga jualan perjanjian jual beli tersebut telah dibayar sepenuhnya menurut Perjanjian jual beli tersebut dan Pemohon gagal untuk membuktikan sebaliknya. [10] Pemohon tidak berhak untuk mengusir Responden, kerana dibawah Seksyen 7 Akta Relif 1950, hakmilik hartanah tersebut secara hakikatnya adalah hak milikmilik hartanah tersebut adalah hak milik estet pembeli tersebut. B. JAWAPAN PEMOHON [11] Pemohon adalah salah seorang pemilik hartanah tersebut yang pada asalnya dimilik oleh bapa Pemohon (Said bin Samsuddin). Pada 1.5.1986, Saman bin Samsudin telah membeli sebahagian hartanah tersebut dengan harga RM 14,000.000. Dia tidak dapat menjelaskan bayaran penuh harga jualan hartanah tersebut seperti yang termaktub dalam perjanjian jual beli dan telah membuat satu surat akuan sumpah pada tarikh yang sama iaitu pada 1.5.1986 bahawa beliau masih berhutang dengan pemilik asal hartanah tersebut dengan harga RM 9,000.00. [12] Ketika menandatangani surat akuan tersebut, Saman bin Samsudin berusia 47 tahun dan didalam Surat Akuan itu, Saman bin Samsudin berjanji akan membayar RM 9,000.00 kepada Said bin Samsuddin apabila dia berumur 50 tahun dengan mengeluarkan simpanan KWSP miliknya. Saman bin Samsudin tidak membuat apa-apa bayaran kepada Said bin Samsuddin seperti yang telah dijanjikan. Kedua-dua mereka kini telah meninggal dunia. Responden asdalah cucu kepada Saman dan dia tinggal di hartanah tersebut bersama dengan ahli keluarganya yang lain. Pemohon dan pemilik bersama hartanah tersebut tidak pernah memberi kebenaran kepada Responden dan ahli keluarganya untuk tinggal di hartanah tersebut. Pemohon dan pemilik bersama hartanah tersebut juga tidak mengutip sewa daripada Responden dan Responden juga tidak pernah membayar sewa selama tinggal di hartanah tersebut. [13] Pemohon perlu mendapatkan milikan kosong atas hartanah tersebut yang dihuni oleh Responden untuk mengelakkan kerugian berterusan kerana tidak dapat menyewakan kepada orang lain. [14] Responden enggan menjawab affidavit sokongan Lampiran 2, sebaliknya membuat permohonan di Lampiran 4 untuk menjadikan Saman Pemula ini dianggap seolah-olah Writ Saman. Responden bergantung kepada isu bahawa terdapatnya unsur frod dan terdapat "substantial issues” yang perlu dibicarakan dan Pemohon menyatakan ianya tidak wujud. C. KEPUTUSAN MAHKAMAH [15] Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa untuk menukar suatu Saman Pemula kepada Tindakan Writ dalam keadaan yang sesuai dibawah Aturan 28 Kaedah 8 KKM 2012. [16] Permohonan Pemohon melalui Saman Pemula (Lampiran 1) adalah untuk mendapatkan kembali milikan kosong hartanah tersebut dari Responden yang menduduki hartanah tersebut dan permohonan ini dibuat oleh Pemohon atas kapasitinya sebagai salah seorang pemilik berdaftar hartanah tersebut. Ianya adalah satu kes yang cukup ringkas, terus terang dan/atau mudah difahami. Jika sifat prosiding ini diambil kira ianya adalah boleh diputuskan melalui keterangan affidavit sahaja dan tidak memerlukan keterangan saksi-saksi melalui perbicaraan penuh. [17] Responden didalam affidavit sokongannya untuk Lampiran 4 membangkitkan alegasi frod yang dilakukan oleh Pemohon yang telah melanggar terma-terma Perjanjian Jual Beli tersebut selain dari terdapatnya percanggahan material didalam perjanjian jual beli tersebut dengan perjanjian kedua dan percanggahan keterangan dan pertikaian serius kepada fakta-fakta material ini hanya boleh diputuskan selepas pendengaran keterangan lisan saksi-saksi. Walaupun Responden membawa isu frod untuk menggagalkan tuntutan Pemohon melalui mode Saman Pemula, namun Mahkamah ini mendapati Responden tidak menjawab kepada affidavit sokongan (Lampiran 2) dengan membekalkan sebarang penjelasan munasabah dan/atau dokumen sokongan untuk menyokong alegasi mereka tetapi memfailkan permohonan di