Dalam memutuskan isu ini, Mahkamah ini mendapati keraguan hanya dapat berjaya ditimbulkan sekiranya dalam keadaan saiz pakaian menjadi terlalu longgar sehingga tidak boleh dipakai oleh Tertuduh yang mana tidak berlaku di dalam kes ini. Berikutnya melalui P12 yang dikemukakan, pada hemat Mahkamah ini, Tertuduh yang diuji pakai pakaian tersebut pada bila-bila masa boleh memberitahu kepada SP5 bahawa pakaian itu bukan miliknya dan tidak dapat dipakainya sebelum diambil gambar acu pakai berkaitan pada 17/2/2013”. [19] Setelah meneliti keterangan yang ada secara keseluruhan, kami berpendapat tidak salah untuk Hakim bicara bijaksana, setelah meneliti gambar eksibit P12, memutuskan untuk menerima keterangan SP5 yang menjalankan uji pakai pakaian itu yang menyatakan pakaian yang diuji pakai padan dengan Perayu. Walau apa pun, seperti dinyatakan di awal tadi, dapatan Hakim bicara bijaksana dalam isu milikan ini bukan hanya bergantung atas uji pakai pakaian ini semata-mata. Pembelaan Perayu hanya satu penafian semata-mata. Tidak menimbulkan sebarang keraguan munasabah [20] Berhubung perkara ini, Peguam bela terpelajar mendakwa Hakim bicara bijaksana telah tersilap apabila merumuskan bahawa pembelaan Perayu adalah penafian semata-mata sedangkan keterangan yang dikemukakan oleh Perayu telah membuktikan sebaliknya. Peguam bela terpelajar berhujah seorang yang disebut Salim Bashir memang wujud mengikut senarai “manifest” penumpang (Eksibit P21) maka “Salim Bashir” 14 bukan yang direka-reka. Apabila Perayu ditangkap, telefon bimbit Perayu (Eksibit P31) jenis Samsung juga dirampas. SP5 [Pegawai Penyiasat] langsung tidak memeriksa panggilan-panggilan yang dibuat oleh Perayu. Oleh itu, mengikut hujahan peguam bela terpelajar, kegagalan SP5 untuk membuat siasatan lanjut ke atas panggilan telefon atau menyemak butiran telefon Perayu telah menimbulkan prejudis kepada Perayu dan kegagalan itu perlulah diberikan manfaatnya kepada Perayu. Peguam bela terpelajar seterusnya berhujah Hakim bicara bijaksana terkhilaf apabila gagal memberikan pertimbangan bahawa keterangan-keterangan pembelaan yang telah dikemukakan oleh SD1 telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pihak pendakwaan apabila Perayu telah memberikan penjelasan yang penuh berkenaan beg P28 bahawa beg itu bukan miliknya. Penjelasan oleh Perayu adalah benar atas alasan bahawa pakaian dan seluar yang di padankan pada Perayu adalah di luar saiz Perayu sendiri. Keterangan pembelaan yang telah dikemukakan oleh Perayu telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pihak pendakwaan. [21] Setelah pembelaan diteliti secara keseluruhannya, kami dengan penuh hormat kepada peguam bela terpelajar, tidak dapat bersetuju dengan peguam bela terpelajar dalam isu ini. Memang benar untuk berhak dilepas dan dibebaskan, Perayu hanya perlu menimbulkan satu keraguan yang munasabah dalam kes pendakwaan. Hakim bicara bijaksana dalam kes ini, jelas memahami dan menghayati apa yang dimaksudkan “keraguan munasabah” apabila Hakim bicara bijaksana merujuk kepada kes PP v Teh Eng Wah [1999] 8 CLJ 451 yang menyatakan: 15 "It would not do any violence to the above if the difference between 'fanciful' and 'reasonable' is viewed as whether the evidence is credible, probable, plausible or logical that a reasonable person, having regard to the ordinary course of nature or natural events, human conduct, and in the particular circumstances of the particular case, would accept it as to act upon it as having occurred or been proven to have occurred, or as truthful or accurate; and not any doubt that could, with the application of some ingenuity, be conjured up, envisioned or visualized.” [22] Mengguna pakai prinsip undang-undang yang ditafsirkan dalam kes Teh Eng Wah di atas, Hakim bicara bijaksana mendapati keterangan yang menjadi asas pembelaan Perayu adalah tidak munasabah dan merupakan penafian semata-mata dan pembelaan pembawa tidak bersalah yang cuba diketengahkan oleh Perayu tiada sebarang merit. [23] Dari keterangan yang ada, kami dapati, tidak salah untuk Hakim bicara bijaksana membuat kesimpulan bahawa pembelaan Perayu hanya satu penafian semata-mata. Sepertimana dapatan Hakim bicara bijaksana, kami turut mendapati alasan yang diberikan oleh Perayu bahawa Perayu datang ke Malaysia untuk bekerja adalah mustahil memandangkan Perayu membuat tempahan hotel (P20) untuk 15.2.2013 hingga 20.2.2013 sahaja iaitu 6 hari. Selain dari itu, Perayu juga telah membeli tiket untuk pulang pada 20.2.2013 seperti yang dibuktikan dengan e-tiket P19. [24] Berkenaan dengan status beg P28 yang dikatakan oleh Perayu di “check-in” oleh Salim Bashir, kami sependapat dengan Hakim bicara bijaksana bahawa adalah tidak logik untuk Perayu tidak mengetahui urusan “check-in” bagasi kerana Perayu sendiri mengakui ini bukan kali pertama 16 beliau datang ke Malaysia. Ini bermakna bukan perkara asing untuk Perayu memastikan tag beg yang tertera namanya adalah untuk beg miliknya sahaja. Apabila di tahan, Perayu tidak pernah menimbulkan nama Salim Basir. Jika benar beg tersebut milik Salim Bashir, walaupun tertera nama Perayu, sudah semestinya Salim Bashir mengetahui itu beg beliau dan akan mengambilnya, bukan Perayu. Tiada maklumat dibekalkan oleh Perayu berkenaan penama Salim Bashir kepada pihak polis, sedangkan menurut Perayu Salim Basir yang kononnya mencari pekerjaan untuk Perayu di Malaysia. [25] Berhubung “pembelaan pembawa tidak bersalah” yang cuba dibangkitkan oleh Perayu dalam kes ini, kami mendapati Hakim bicara telah dengan secara betul menggariskan prinsip pembelaan pembawa tidak bersalah. Isu berhubung Salim Bashir telah diberi perhatian dan diambil maklum oleh Hakim bicara bijaksana dan seterusnya mendapati pembelaan pembawa tidak bersalah tidak bermerit. Hakim bicara menulis dengan panjang lebar kenapa beliau mendapati pembelaan pembawa tidak bersalah tidak bermerit dalam kes ini dan kami dapati tiada sebab untuk kami menolak dapatan Hakim bicara bijaksana berhubung perkara ini. Di perenggan 37-