a
(a) Defendan Pertama hendaklah membayar kepada Plaintiff sejumlah RM800,000.00;
/akn/my/judgment/high-court/2026/a1453a8b-43e0-46d0-ac46-c4b5dd19b85c
High Court of Malaysia19 Jun 2026CA-22NCvC-35-10/2021
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“iding dan akhirnya mengelirukan perbezaan di antara fakta material dengan fakta pembuktian. [19] Tambahan pula, Mahkamah Persekutuan dalam Gurbachan Singh s/o Bagawan Singh v Vellasamy s/o Pennusamy [2015] MLRH 107, telah mengiktiraf bahawa sesuatu isu yang telah dibicarakan sepenuhnya serta menjadi subjek pemeriksaan”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Text
CA-22NCvC-35-10/2021 Kand. 72 15/07/2026 14:29:26 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUANTAN DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR, MALAYSIA KES SIVIL NO. CA-22NCvC-35-10/2021 ANTARA KASTURI DUTASINERGI SDN. BHD. (No. Syarikat: 882134-U) ...PLAINTIF DAN
section
1. PENGURUSAN PASIR PAHANG BERHAD (No. Syarikat: 1319608-W)
section
2. PENGARAH GALIAN DAN TANAH NEGERI PAHANG
section
3. PEJABAT DAERAH DAN TANAH ROMPIN
section
4. KERAJAAN NEGERI PAHANG ...DEFENDAN-DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Ini merupakan suatu tindakan yang difailkan oleh Plaintif bagi menuntut pemulangan sejumlah RM1,659,605.00 yang telah dibayar berhubung tawaran pelantikan Plaintif sebagai pemegang konsesi bagi aktiviti pengeluaran bahan batuan pasir di Blok E, Muara Sungai Rompin. [2] Tuntutan tersebut pada asalnya dikemukakan terhadap Defendan Pertama, Pengurusan Pasir Pahang Berhad ("PPPB"), bersama-sama Defendan Kedua hingga Defendan Keempat. Semasa prosiding ini berlangsung, Plaintiff telah mencapai penyelesaian dengan Defendan Kedua hingga Defendan Keempat. [3] Oleh yang demikian, tuntutan yang masih berbaki untuk diputuskan oleh Mahkamah ialah tuntutan terhadap Defendan Pertama bagi pemulangan sejumlah RM800,000.00. [4] Keputusan Mahkamah ini dibuat setelah meneliti keseluruhan pliding, fakta-fakta yang dipersetujui, isu-isu yang dipersetujui untuk dibicarakan, keterangan lisan semua saksi, dokumen-dokumen yang diterima sebagai ekshibit serta hujahan bertulis dan lisan pihak-pihak. Latar Belakang Fakta [5] Melalui surat bertarikh 6 Februari 2020, Defendan Pertama menawarkan kepada Plaintif pelantikan sebagai pemegang konsesi bagi kawasan Blok E, Muara Sungai Rompin. Surat tersebut memperincikan beberapa bayaran yang perlu dijelaskan sebelum Permit Bahan Batuan (Borang 4B) dapat dikeluarkan. [6] Plaintif menerima tawaran tersebut dan menjelaskan bayaran bayaran yang ditetapkan. Selepas pembayaran dibuat, Permit Bahan Batuan (Borang 4B) bagi tahun 2020 telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tanah. [7] Walau bagaimanapun, sepanjang tempoh permit tersebut berkuat kuasa sehingga tamat pada 31 Disember 2020, Plaintif tidak menjalankan sebarang operasi pengeluaran pasir di kawasan konsesi berkenaan. [8] Selepas itu, Defendan Pertama mengeluarkan surat-surat tawaran baharu bertarikh 26 November 2020 dan 19 Mac 2021. Plaintif menerima surat-surat tersebut tetapi tidak membuat pembayaran lanjut sebagaimana yang dikehendaki di bawah tawaran-tawaran berkenaan. [9] Plaintif kemudiannya menuntut supaya wang yang telah dibayar di bawah surat tawaran pertama dipulangkan atas alasan projek tersebut tidak pernah dapat dilaksanakan. Defendan Pertama menolak tuntutan tersebut dengan alasan bahawa segala obligasinya di bawah surat tawaran telah dipenuhi sebaik sahaja Permit Borang 4B dikeluarkan dan oleh yang demikian, bayaran yang dibuat tidak lagi boleh dituntut kembali. [10] Berdasarkan pliding dan isu-isu yang dipersetujui untuk dibicarakan, pertikaian sebenar antara pihak-pihak bukanlah mengenai sama ada pembayaran telah dibuat atau Permit Borang 4B telah dikeluarkan. Pertikaian tersebut ialah mengenai kesan undang-undang yang lahir daripada fakta-fakta tersebut dan khususnya, sama ada Defendan Pertama telah membuktikan suatu hak kontraktual untuk terus mengekalkan bayaran berkenaan. Isu Awalan: Bantahan Defendan Pertama Mengenai Fakta Yang Dikatakan Tidak Diplidkan [11] Sebelum Mahkamah menimbangkan merit pertikaian di antara pihak-pihak, terdapat satu isu awalan yang perlu diputuskan terlebih dahulu. Sepanjang perbicaraan, Defendan Pertama telah berulang kali membantah beberapa soalan yang dikemukakan kepada saksi-saksi Plaintif atas alasan bahawa perkara-perkara tersebut tidak diplidkan di dalam Penyata Tuntutan Plaintif. [12] Antara perkara yang menjadi subjek bantahan ialah keterangan berhubung penyediaan perjanjian formal, komunikasi di antara pihak-pihak selepas surat tawaran bertarikh 6 Februari 2020, kandungan perbualan WhatsApp, surat-surat tawaran berikutnya serta beberapa fakta lain yang menurut Defendan Pertama berada di luar skop pliding Plaintiff. [13] Semasa perbicaraan, Mahkamah telah membenarkan kebanyakan soalan tersebut diteruskan tertakluk kepada bantahan (subject to objection), dengan keputusan mengenai kebolehterimaan keterangan tersebut ditangguhkan sehingga penghakiman ini. Pendekatan sedemikian pada hemat Mahkamah adalah sesuai kerana ia membolehkan Mahkamah menilai keseluruhan konteks keterangan sebelum membuat keputusan muktamad mengenai bantahan yang dibangkitkan. [14] Prinsip bahawa pihak-pihak adalah terikat kepada pliding masing-masing merupakan suatu prinsip asas dalam litigasi civil. Tujuan pliding adalah untuk mengenal pasti isu sebenar yang dipertikaikan, memaklumkan pihak lawan mengenai kes yang perlu dijawab serta mengelakkan kejutan kepada pihak lain semasa perbicaraan. [15] Walau bagaimanapun, prinsip tersebut tidak boleh difahami sehingga menghendaki setiap fakta pembuktian atau setiap butiran keterangan yang bakal dikemukakan semasa perbicaraan diperincikan terlebih dahulu di dalam pliding. Seperti yang ditegaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam Samuel Naik Siang Ting v Public Bank Bhd [2015] 6 MLJ 1 FC, pliding hanya perlu mengandungi fakta-fakta material yang membentuk asas tuntutan atau pembelaan, manakala cara fakta-fakta tersebut dibuktikan merupakan perkara yang lazimnya ditentukan melalui keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan. [16] Setelah meneliti Penyata Tuntutan Terpinda, Pembelaan Terpinda serta Jawapan Kepada Pembelaan Terpinda, Mahkamah ini berpuas hati bahawa fakta-fakta material yang menjadi asas tuntutan Plaintif telah pun diplidkan dengan secukupnya. Plaintif dengan jelas memplidkan bahawa bayaran telah dibuat kepada Defendan Pertama, projek tersebut akhirnya tidak dapat dilaksanakan, Defendan Pertama enggan memulangkan wang tersebut dan Plaintif mendakwa Defendan Pertama tidak mempunyai hak untuk terus mengekalkan bayaran berkenaan. [17] Keterangan yang dibangkitkan semasa perbicaraan mengenai penyediaan perjanjian formal, komunikasi di antara pihak-pihak, kandungan perbualan WhatsApp, surat-surat tawaran berikutnya serta perjalanan urusan selepas surat tawaran bertarikh 6 Februari 2020 bukanlah merupakan kausa tindakan baharu ataupun fakta material yang mengubah asas tuntutan Plaintif. Sebaliknya, keterangan tersebut dikemukakan sebagai fakta pembuktian bagi menyokong atau menjelaskan fakta-fakta material yang telah pun diplidkan. [18] Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah ini tidak menerima hujahan bahawa keterangan-keterangan tersebut tidak boleh dipertimbangkan semata-mata hanya kerana tidak dinyatakan secara khusus di dalam pliding. Pendekatan sedemikian akan meletakkan suatu beban yang melampaui kehendak undangundang pliding dan akhirnya mengelirukan perbezaan di antara fakta material dengan fakta pembuktian. [19] Tambahan pula, Mahkamah Persekutuan dalam Gurbachan Singh s/o Bagawan Singh v Vellasamy s/o Pennusamy [2015] MLRH 107, telah mengiktiraf bahawa sesuatu isu yang telah dibicarakan sepenuhnya serta menjadi subjek pemeriksaan dan pemeriksaan balas tanpa menimbulkan prejudis kepada pihak lawan boleh dipertimbangkan oleh Mahkamah walaupun isu tersebut tidak dihuraikan secara terperinci di dalam pliding. [20] Dalam tindakan ini, bantahan Defendan Pertama telah direkodkan sejak awal, pemeriksaan balas dijalankan secara meluas dan Defendan Pertama sendiri telah mengemukakan keterangan bagi menjawab perkara-perkara tersebut. Oleh itu, Defendan Pertama tidak boleh dikatakan telah diberi kejutan atau dinafikan peluang untuk menjawabnya. [21] Walau bagaimanapun, Mahkamah menegaskan bahawa keputusan ini bukanlah diasaskan semata-mata atas alasan bahawa isu-isu tersebut telah dibicarakan secara meluas. Sebab utama Mahkamah menerima keterangan-keterangan tersebut adalah kerana ia merupakan fakta pembuktian yang relevan kepada isu-isu material yang sememangnya telah diplidkan oleh pihak-pihak. Pertimbangan bahawa isu-isu tersebut turut dibicarakan secara menyeluruh hanyalah merupakan faktor tambahan yang mengukuhkan lagi keputusan Mahkamah mengenai kebolehterimaannya. [22] Oleh yang demikian, Mahkamah menolak bantahan Defendan Pertama berhubung perkara tersebut dan memutuskan bahawa keterangan-keterangan yang diterima tertakluk kepada bantahan semasa perbicaraan adalah keterangan yang boleh diterima dan boleh dipertimbangkan oleh Mahkamah dalam menentukan merit tindakan ini. Fakta-Fakta Yang Tidak Dipertikaikan [23] Sebelum Mahkamah menilai keterangan saksi-saksi yang dipanggil semasa perbicaraan, adalah wajar terlebih dahulu dikenal pasti beberapa fakta material yang sebenarnya tidak lagi dipertikaikan oleh pihak-pihak. [24] Pertama, adalah tidak dipertikaikan bahawa melalui surat bertarikh 6 Februari 2020, Defendan Pertama telah menawarkan kepada Plaintif suatu konsesi bagi menjalankan aktiviti pengeluaran bahan batuan pasir di kawasan yang dinyatakan di dalam surat tersebut. [25] Kedua, adalah tidak dipertikaikan bahawa Plaintif telah menerima tawaran tersebut dan telah membuat bayaran sebagaimana yang ditetapkan oleh Defendan Pertama. [26] Ketiga, adalah tidak dipertikaikan bahawa selepas pembayaran tersebut dibuat, Permit Bahan Batuan (Borang 4B) bagi tahun 2020 telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan. [27] Keempat, adalah juga tidak dipertikaikan bahawa sepanjang tempoh Permit Borang 4B tersebut berkuat kuasa sehingga tamat pada 31 Disember 2020, Plaintif tidak pernah menjalankan sebarang aktiviti pengeluaran pasir di kawasan konsesi tersebut dan tiada hasil pasir dikeluarkan daripadanya. [28] Kelima, adalah tidak dipertikaikan bahawa selepas tamatnya tempoh Permit Borang 4B tersebut, Defendan Pertama telah mengeluarkan surat-surat tawaran baharu bertarikh 26 November 2020 dan 19 Mac 2021 kepada Plaintiff. [29] Akhir sekali, adalah tidak dipertikaikan bahawa Defendan Pertama tidak pernah memulangkan baki wang berjumlah RM800,000.00 yang menjadi subjek tuntutan dalam tindakan ini. [30] Dengan itu, pertikaian sebenar di antara pihak-pihak bukanlah mengenai kewujudan fakta-fakta tersebut. Sebaliknya, pertikaian tertumpu kepada kesan undang-undang yang lahir daripadanya, khususnya sama ada Defendan Pertama mempunyai hak di sisi kontrak untuk terus mengekalkan wang yang diterimanya walaupun projek yang menjadi asas pembayaran tersebut tidak pernah direalisasikan. Isu-Isu Yang Perlu Diputuskan [31] Setelah meneliti pliding, fakta-fakta yang dipersetujui, isu-isu yang dipersetujui untuk dibicarakan, keterangan lisan saksi-saksi, dokumen-dokumen yang diterima sebagai ekshibit serta hujahan kedua-dua pihak, saya berpendapat bahawa pertikaian sebenar di antara pihak-pihak dapat dirumuskan kepada beberapa persoalan utama. [32] Mahkamah ini mengambil maklum bahawa pihak-pihak telah memfailkan dan mempersetujui beberapa isu untuk dibicarakan. Walau bagaimanapun, isu-isu tersebut sebahagiannya bertindih dan saling berkait rapat. Dalam menjalankan fungsi kehakiman untuk menentukan pertikaian sebenar di antara pihak-pihak, adalah lebih sesuai isu-isu tersebut disusun semula mengikut urutan logik supaya analisis Mahkamah dapat dibuat secara lebih tersusun dan mengelakkan pertindihan. [33] Pada hemat Mahkamah, tindakan ini akhirnya bergantung kepada empat persoalan utama berikut: i. Sama ada hubungan kontraktual telah diwujudkan di antara Plaintif dan Defendan Pertama melalui surat tawaran bertarikh 6 Februari 2020. ii. Sekiranya hubungan kontraktual telah diwujudkan, apakah skop sebenar hak dan obligasi pihak-pihak di bawah hubungan kontraktual tersebut. iii. Sama ada Plaintif telah gagal melaksanakan obligasinya sehingga memberikan hak kepada Defendan Pertama untuk mengekalkan wang yang telah diterimanya. iv. Sekiranya tidak, sama ada Defendan Pertama telah membuktikan bahawa kontrak tersebut memberikan hak kepadanya untuk terus mengekalkan wang sejumlah RM800,000.00 yang telah dibayar oleh Plaintif. Walaupun isu-isu di atas disusun semula oleh Mahkamah, kesemuanya masih merangkumi persoalan-persoalan yang telah dipersetujui oleh pihak-pihak untuk dibicarakan. Penyusunan semula ini tidak memperkenalkan isu baharu di luar pliding. Sebaliknya, ia bertujuan memastikan setiap persoalan material diputuskan secara sistematik berdasarkan fakta yang terbukti dan prinsip undang-undang yang terpakai. Analisis Mahkamah Isu Pertama Sama ada hubungan kontraktual telah diwujudkan antara Plaintif dan Defendan Pertama [35] Plaintif berhujah bahawa oleh sebab tiada suatu perjanjian formal pernah dimeterai, maka hubungan kontraktual di antara pihak-pihak tidak pernah lengkap. Sebaliknya, Defendan Pertama menegaskan bahawa surat tawaran bertarikh 6 Februari 2020 telah mewujudkan suatu kontrak yang mengikat sebaik sahaja Plaintif menerima tawaran tersebut, menjelaskan bayaran yang ditetapkan dan Permit Bahan Batuan (Borang 4B) dikeluarkan. [36] Dalam menimbangkan isu ini, Mahkamah telah meneliti bukan sahaja kandungan surat tawaran tersebut tetapi juga keterangan SP1, SD1 serta dokumen-dokumen yang dikemukakan sepanjang perbicaraan. Pada pemerhatian Mahkamah, tiada pertikaian bahawa Plaintif menerima tawaran tersebut, membuat pembayaran sebagaimana yang dikehendaki dan Permit Bahan Batuan (Borang 4B) kemudiannya dikeluarkan. [37] Mahkamah ini menerima keterangan SP1 setakat mana beliau mengesahkan fakta-fakta tersebut kerana ia disokong sepenuhnya oleh dokumen-dokumen kontemporari yang dikemukakan di hadapan Mahkamah. SD1 pula tidak mempertikaikan bahawa keseluruhan proses tersebut telah berlaku. Oleh yang demikian, Mahkamah tidak menghadapi sebarang kesukaran untuk menerima bahawa elemen-elemen asas pembentukan kontrak, iaitu tawaran, penerimaan dan balasan, telah dipenuhi. [38] Pada hemat Mahkamah ini, hujahan Plaintif bahawa ketiadaan suatu perjanjian formal dengan sendirinya menyebabkan tiada hubungan kontraktual pernah wujud tidak dapat diterima. Kewujudan sesuatu kontrak tidak semestinya bergantung kepada pelaksanaan suatu dokumen formal sekiranya daripada keseluruhan fakta dapat disimpulkan bahawa pihak-pihak telah mencapai persetujuan yang mengikat di sisi undang-undang. [39] Oleh yang demikian, Mahkamah ini memutuskan bahawa suatu hubungan kontraktual memang telah diwujudkan di antara Plaintif dan Defendan Pertama melalui surat tawaran bertarikh 6 Februari 2020. Walau bagaimanapun, dapatan tersebut tidak dengan sendirinya menentukan hak Defendan Pertama untuk mengekalkan wang yang telah diterimanya. Persoalan tersebut bergantung kepada skop sebenar hak dan obligasi yang lahir daripada hubungan kontraktual tersebut, yang akan saya pertimbangkan seterusnya. Isu Kedua Apakah skop sebenar hak dan obligasi pihak-pihak di bawah hubungan kontraktual tersebut [40] Setelah memutuskan bahawa suatu hubungan kontraktual telah diwujudkan antara Plaintif dan Defendan Pertama, persoalan seterusnya ialah apakah skop sebenar hak dan obligasi yang lahir daripada hubungan tersebut. Inilah isu yang menjadi teras kepada keseluruhan tindakan ini. [41] Defendan Pertama berhujah bahawa sebaik sahaja Plaintif menjelaskan bayaran yang ditetapkan dan Permit Bahan Batuan (Borang 4B) dikeluarkan, segala obligasi yang dipikul oleh Defendan Pertama telah pun disempurnakan. Menurut Defendan Pertama, selepas itu segala risiko dan tanggungjawab untuk memulakan operasi terletak sepenuhnya di atas bahu Plaintif. [42] Mahkamah ini tidak dapat menerima hujahan tersebut dalam bentuk yang dikemukakan. Pada hemat Mahkamah, hujahan itu berasaskan andaian bahawa pengeluaran Permit Borang 4B dengan sendirinya telah menyempurnakan keseluruhan hubungan kontraktual di antara pihak-pihak. Andaian tersebut tidak disokong oleh keseluruhan keterangan yang diterima di hadapan Mahkamah. [43] Dalam mentafsir skop hak dan obligasi pihak-pihak, Mahkamah tidak boleh menumpukan perhatian kepada surat tawaran bertarikh 6 Februari 2020 secara terasing. Hubungan kontraktual tersebut hendaklah dinilai berdasarkan keseluruhan dokumen yang berkaitan serta perlakuan pihak-pihak dalam melaksanakan hubungan komersial tersebut. [44] Dalam melaksanakan tugas tersebut, Mahkamah tidak boleh meneliti sesuatu fasal atau sesuatu dokumen secara berasingan sehingga mengabaikan keseluruhan struktur hubungan kontraktual yang diwujudkan oleh pihak-pihak. Mahkamah tidak boleh dalam melalui proses pentafsiran tersebut menulis semula kontrak atau memasukkan hak dan obligasi yang tidak pernah dipersetujui oleh pihak-pihak. [45] Prinsip tersebut turut tercermin dalam keputusan Mahkamah Persekutuan dalam Ayer Hitam Tin Dredging Malaysia Bhd v YC Chin Enterprise Sdn Bhd [1994] 2 MLJ 754, yang menekankan bahawa pentafsiran kontrak hendaklah dibuat secara komersial dan realistik dengan mengambil kira keseluruhan transaksi, dan bukannya melalui pembacaan yang bersifat terasing terhadap satu dokumen atau satu fasal semata mata. [46] Oleh yang demikian, walaupun surat-surat bertarikh 26 November 2020 dan 19 Mac 2021 bukan sebahagian daripada kontrak asal dan tidak meminda terma-terma surat tawaran bertarikh 6 Februari 2020, kandungannya tetap relevan sebagai sebahagian daripada latar belakang fakta hubungan kontraktual di antara pihak-pihak dan bukannya bagi tujuan mengubah atau menambah terma-terma kontrak yang telah dipersetujui. [47] Berpandukan prinsip-prinsip tersebut, Mahkamah memberi perhatian kepada surat Defendan Pertama bertarikh 26 November 2020 yang antara lainnya merujuk kepada "terma dan syarat perjanjian" di antara Defendan Pertama dan pemegang konsesi serta mengarahkan Plaintif supaya berhubung dengan panel peguam Defendan Pertama bagi tujuan penyediaan perjanjian tersebut. [48] Mahkamah ini menerima hujahan Defendan Pertama bahawa surat bertarikh 26 November 2020 merupakan suatu tawaran yang berasingan dan bukan suatu pindaan kepada surat tawaran bertarikh 6 Februari 2020. Namun demikian, hakikat tersebut tidak menghalang Mahkamah daripada mengambil kira kandungannya sebagai sebahagian daripada latar belakang fakta hubungan kontraktual di antara pihak-pihak. [49] Surat tersebut bukan digunakan untuk menambah atau mengubah terma kontrak asal, tetapi sebagai sebahagian daripada konteks objektif yang membantu Mahkamah memahami bagaimana Defendan Pertama sendiri melaksanakan dan mentafsir hubungan kontraktual tersebut. [50] Mahkamah turut memberi perhatian kepada fakta bahawa di bawah surat-surat tawaran berikutnya, Defendan Pertama sendiri telah mengambil kira bayaran yang telah dibuat oleh Plaintif di bawah tawaran terdahulu dalam menentukan jumlah bayaran yang perlu dijelaskan bagi tawaran baharu. [51] Bayaran yang telah dibuat itu tidak diketepikan atau dianggap telah luput, sebaliknya diambil kira sebagai sebahagian daripada struktur pembayaran bagi tawaran berikutnya, dengan Plaintif hanya dikehendaki menjelaskan bayaran tambahan yang berkaitan dengan keluasan kawasan atau kuantiti yang ditawarkan. Fakta ini disokong oleh kandungan surat-surat tersebut dan turut diperkukuhkan melalui pemeriksaan balas Defendan Pertama sendiri. [52] Pada hemat Mahkamah, perlakuan kontemporari Defendan Pertama ini mempunyai nilai probatif yang signifikan. Ia menunjukkan bahawa Defendan Pertama sendiri tidak memperlakukan bayaran yang dibuat di bawah surat tawaran terdahulu sebagai suatu bayaran yang telah luput atau menjadi hak mutlaknya secara muktamad. [53] Walaupun fakta ini tidak dengan sendirinya menentukan hak Plaintif untuk mendapatkan bayaran balik, ia merupakan suatu keadaan yang tidak selaras dengan pendirian Defendan Pertama dalam tindakan ini bahawa keseluruhan bayaran tersebut telah menjadi hak mutlaknya sebaik sahaja Permit Borang 4B dikeluarkan. [54] Mahkamah turut meneliti komunikasi di antara pihak-pihak selepas pengeluaran Permit Borang 4B. Keterangan SP1 mengenai usaha mendapatkan perkembangan berhubung penyediaan perjanjian serta komunikasi WhatsApp yang dikemukakan adalah pada hemat Mahkamah konsisten dengan kandungan surat-surat tersebut. Keterangan tersebut tidak tercabar secara material dan disokong oleh dokumen-dokumen kontemporari yang dikemukakan di hadapan Mahkamah. [55] Keterangan tersebut diperkukuhkan lagi oleh SD2 yang mengesahkan bahawa panel peguam tidak akan menyediakan sesuatu perjanjian melainkan setelah menerima arahan daripada Defendan Pertama. [56] Mahkamah ini menerima keterangan SD2 dalam aspek ini kerana ia merupakan penjelasan yang bersifat neutral mengenai prosedur penyediaan perjanjian dan tidak digugat secara material semasa pemeriksaan balas. Keterangan tersebut menunjukkan bahawa penyediaan perjanjian itu bukanlah suatu perkara yang berada di bawah kawalan Plaintif semata-mata, tetapi bergantung kepada tindakan lanjut Defendan Pertama sendiri. [57] Mahkamah ini juga mengambil kira prinsip yang dihuraikan dalam Von Hatzfeldt-Wildenburg v Alexander [1912] 1 CL 284. Persoalan sama ada sesuatu transaksi telah lengkap atau sama ada pihak-pihak masih menjangkakan dokumentasi lanjut hendaklah ditentukan secara objektif berdasarkan keseluruhan komunikasi dan perlakuan mereka. [58] Dalam tindakan ini, Mahkamah tidak mendapati bahawa penyediaan suatu perjanjian formal merupakan syarat kepada kewujudan kontrak. Sebaliknya, dokumen-dokumen dan perlakuan pihak-pihak menunjukkan bahawa mereka sendiri masih menjangkakan suatu dokumentasi yang lebih lengkap bagi mengawal pelaksanaan hubungan kontraktual tersebut. [59] Mahkamah ini ingin menegaskan bahawa Mahkamah tidak memutuskan bahawa suatu perjanjian formal merupakan syarat terdahulu kepada kewujudan kontrak. Dapatan Mahkamah kekal bahawa kontrak telah pun diwujudkan melalui surat tawaran bertarikh 6 Februari 2020. [60] Apa yang diputuskan ialah bahawa berdasarkan keseluruhan dokumen dan perlakuan pihak-pihak, Defendan Pertama gagal membuktikan bahawa pengeluaran Permit Borang 4B sahaja telah menyempurnakan keseluruhan obligasi yang dipikul olehnya sehingga membolehkan Defendan Pertama mengekalkan wang yang diterima tanpa perlu menunjukkan asas kontraktual yang lebih jelas. [61] Dengan itu, Mahkamah ini menjawab Isu Kedua dengan memutuskan bahawa Defendan Pertama tidak berjaya membuktikan bahawa skop kontrak tersebut adalah sebagaimana yang dihujahkan olehnya. Sebaliknya, keseluruhan hubungan kontraktual yang terbukti melalui dokumen dan perlakuan pihak-pihak menunjukkan bahawa pengeluaran Permit Borang 4B hanyalah sebahagian daripada pelaksanaan hubungan tersebut dan bukan penentu mutlak kepada hak Defendan Pertama untuk terus mengekalkan bayaran Plaintif. Isu Ketiga Sama ada Defendan Pertama berjaya membuktikan bahawa kegagalan projek tersebut berpunca daripada kemungkiran Plaintif sehingga mewujudkan hak kepada Defendan Pertama untuk mengekalkan bayaran yang telah diterima [62] Defendan Pertama berhujah bahawa selepas Plaintiff menjelaskan bayaran yang ditetapkan dan Permit Bahan Batuan (Borang 4B) dikeluarkan, Plaintiff pada setiap masa mempunyai peluang untuk memulakan operasi di kawasan konsesi tersebut. Menurut Defendan Pertama, kegagalan Plaintiff berbuat demikian merupakan suatu kemungkiran di pihak Plaintiff sendiri dan segala akibat yang timbul hendaklah ditanggung oleh Plaintiff. [63] Mahkamah ini telah menimbangkan hujahan tersebut dengan teliti. Walau bagaimanapun, setelah menilai keseluruhan keterangan yang dikemukakan, Mahkamah tidak berpuas hati bahawa Defendan Pertama telah berjaya membuktikan bahawa kegagalan projek tersebut berpunca semata-mata daripada kemungkiran Plaintif. [64] Dapatan ini tidak diasaskan kepada satu faktor sahaja. Sebaliknya, ia merupakan kesimpulan yang lahir daripada keseluruhan perjalanan hubungan kontraktual antara pihak-pihak sebagaimana dibuktikan melalui dokumen-dokumen kontemporari, komunikasi selepas pengeluaran Permit Borang 4B serta perlakuan Defendan Pertama sendiri yang telah dibincangkan di bawah Isu Kedua. [65] Mahkamah ini telah pun mendapati bahawa hubungan kontraktual antara pihak-pihak tidak boleh ditafsirkan sebagai telah selesai sepenuhnya sebaik sahaja Permit Borang 4B dikeluarkan. Sebaliknya, keseluruhan dokumen menunjukkan bahawa pelaksanaan projek tersebut masih melibatkan beberapa perkara yang terus dibincangkan oleh pihak-pihak selepas itu. [66] Mahkamah ini turut mengambil kira bahawa Defendan Pertama sendiri kemudiannya mengeluarkan surat-surat tawaran bertarikh 26 November 2020 dan 19 Mac 2021. Walaupun Mahkamah menerima bahawa surat-surat tersebut merupakan tawaran yang berasingan, kewujudan surat-surat tersebut tetap menunjukkan bahawa hubungan komersial di antara pihak-pihak tidak dianggap oleh Defendan Pertama sebagai telah berakhir sepenuhnya dengan pelaksanaan surat tawaran bertarikh 6 Februari 2020. [67] Defendan Pertama pula tidak mengemukakan apa-apa peruntukan kontrak yang memperuntukkan bahawa kegagalan Plaintif memulakan operasi dalam tempoh tertentu akan secara automatik menyebabkan segala bayaran yang telah dibuat menjadi hak mutlak Defendan Pertama. [68] Pada hemat Mahkamah ini, hujahan Defendan Pertama akhirnya bergantung kepada andaian bahawa oleh sebab Plaintif tidak memulakan operasi selepas Permit Borang 4B dikeluarkan, maka segala bayaran yang telah dibuat secara automatik menjadi hak Defendan Pertama. Walau bagaimanapun, andaian tersebut tidak disokong oleh manamana terma kontrak yang telah dikemukakan kepada Mahkamah. [69] Sehubungan itu, Mahkamah ini tidak dapat menerima hujahan bahawa Defendan Pertama telah berjaya membuktikan suatu kemungkiran oleh Plaintif yang di sisi kontrak, memberikan hak kepada Defendan Pertama untuk terus mengekalkan wang yang diterimanya. [70] Apa yang dibuktikan oleh keterangan hanyalah bahawa projek tersebut akhirnya tidak direalisasikan. Namun demikian, Defendan Pertama gagal membuktikan bahawa fakta tersebut, tanpa lebih daripada itu, mewujudkan hak kontraktual yang dihujahkannya. [71] Oleh yang demikian, Mahkamah menjawab Isu Ketiga dengan memutuskan bahawa Defendan Pertama gagal membuktikan bahawa kegagalan projek tersebut berpunca daripada suatu kemungkiran Plaintif yang memberikan hak kepada Defendan Pertama untuk mengekalkan bayaran yang telah diterima. Isu Keempat Sama ada Defendan Pertama telah membuktikan bahawa kontrak tersebut memberikan hak kepadanya untuk terus mengekalkan wang sejumlah RM800,000.00 yang telah dibayar oleh Plaintif [72] Persoalan terakhir yang menentukan tindakan ini ialah sama ada Defendan Pertama telah berjaya membuktikan bahawa, berdasarkan kontrak yang mengawal hubungan pihak-pihak, ia berhak untuk terus mengekalkan wang sejumlah RM800,000.00 yang telah diterima daripada Plaintif walaupun projek yang menjadi asas pembayaran tersebut tidak pernah direalisasikan. [73] Adalah tidak dipertikaikan bahawa Plaintif telah menjelaskan bayaran sebagaimana yang dikehendaki di bawah surat tawaran bertarikh 6 Februari 2020 dan bahawa Defendan Pertama telah menerima bayaran tersebut. Mahkamah juga telah mendapati bahawa projek tersebut akhirnya tidak pernah dilaksanakan dan Defendan Pertama masih mengekalkan baki wang yang menjadi subjek tindakan ini. [74] Setelah fakta-fakta tersebut dibuktikan, persoalan yang tinggal bukan lagi sama ada pembayaran telah dibuat ataupun sama ada Permit Bahan Batuan (Borang 4B) telah dikeluarkan. Persoalan sebenar ialah sama ada Defendan Pertama telah menunjukkan suatu asas kontraktual atau undang-undang yang membolehkannya terus mengekalkan wang tersebut. Dalam keadaan sedemikian, beban keterangan beralih kepada Defendan Pertama untuk menunjukkan sumber hak yang dihujahkannya. [75] Defendan Pertama berhujah bahawa hak tersebut lahir secara semula jadi daripada pelaksanaan obligasinya di bawah surat tawaran bertarikh 6 Februari 2020. Mahkamah ini tidak dapat menerima hujahan tersebut. [76] Seperti yang telah diputuskan di bawah Isu Kedua dan Isu Ketiga, Defendan Pertama gagal membuktikan bahawa pengeluaran Permit Bahan Batuan (Borang 4B) dengan sendirinya telah menyempurnakan keseluruhan obligasi yang dipikul olehnya ataupun bahawa kegagalan projek tersebut berpunca daripada suatu kemungkiran Plaintiff yang mewujudkan hak sedemikian. [77] Setelah meneliti keseluruhan surat tawaran bertarikh 6 Februari 2020, surat-surat berikutnya serta dokumen-dokumen lain yang mengawal hubungan kontraktual pihak-pihak, Mahkamah tidak menemui apa-apa terma nyata ataupun terma tersirat yang memperuntukkan bahawa bayaran yang dibuat oleh Plaintif adalah bersifat tidak boleh dipulangkan ataupun boleh dilucuthakkan dalam keadaan yang berlaku di dalam tindakan ini. [78] Mahkamah ini menerima bahawa pihak-pihak kepada sesuatu kontrak bebas untuk memperuntukkan bahawa sesuatu bayaran adalah bersifat non-refundable, boleh dilucuthakkan atau menjadi hak mutlak salah satu pihak apabila berlakunya sesuatu keadaan yang dipersetujui. Walau bagaimanapun, hak sedemikian mestilah lahir daripada kontrak itu sendiri. Mahkamah tidak boleh mengiktiraf suatu hak yang tidak dapat disandarkan kepada mana-mana terma yang telah dipersetujui oleh pihak-pihak. [79] Mahkamah tidak berperanan untuk menulis semula kontrak atau memasukkan suatu hak yang tidak pernah dipersetujui, walaupun hak tersebut mungkin dilihat munasabah atau selaras dengan kepentingan komersial salah satu pihak. [80] Dalam tindakan ini, hujahan Defendan Pertama pada akhirnya menghendaki Mahkamah membuat suatu inferens bahawa oleh sebab Permit Bahan Batuan (Borang 4B) telah dikeluarkan dan Plaintif tidak memulakan operasi, maka bayaran yang telah diterima secara automatik menjadi hak mutlak Defendan Pertama. [81] Pada hemat Mahkamah ini, inferens tersebut tidak mempunyai asas di dalam kontrak yang dikemukakan kepada Mahkamah. [82] Mahkamah ini turut mengambil kira bahawa Defendan Pertama tidak mengemukakan sebarang keterangan mengenai kerugian sebenar yang didakwa ditanggung akibat kegagalan projek tersebut ataupun bahawa jumlah RM800,000.00 itu merupakan suatu jumlah pampasan yang telah dipersetujui oleh pihak-pihak sekiranya projek tersebut tidak diteruskan. [83] Walaupun perkara tersebut bukan merupakan asas utama keputusan Mahkamah, ketiadaan keterangan sedemikian mengukuhkan lagi dapatan bahawa Defendan Pertama gagal membuktikan hak yang dihujahkannya. [84] Pada akhirnya, kedudukan Defendan Pertama ialah ia telah menerima bayaran daripada Plaintif, projek tersebut tidak pernah direalisasikan, namun ia tetap ingin mengekalkan wang tersebut tanpa dapat menunjukkan suatu terma kontrak yang memberikan hak sedemikian. Pada hemat Mahkamah ini, kedudukan tersebut tidak dapat dipertahankan di sisi undang-undang kontrak. [85] Oleh yang demikian, Mahkamah ini memutuskan bahawa Defendan Pertama gagal membuktikan bahawa ia mempunyai hak kontraktual atau hak di sisi undang-undang untuk terus mengekalkan wang sejumlah RM800,000.00 yang telah dibayar oleh Plaintif. Rumusan Dan Keputusan Mahkamah [86] Setelah meneliti keseluruhan pliding, keterangan lisan saksi saksi, dokumen-dokumen yang diterima sebagai ekshibit serta hujahan kedua-dua pihak, Mahkamah berpuas hati bahawa Plaintif telah berjaya membuktikan tuntutannya di atas imbangan kebarangkalian. [87] Mahkamah ini telah memutuskan bahawa suatu hubungan kontraktual memang telah diwujudkan antara Plaintiff dan Defendan Pertama melalui surat tawaran bertarikh 6 Februari 2020. Oleh itu, tindakan ini tidak diputuskan atas premis bahawa tiada kontrak pernah wujud antara pihak-pihak. [88] Walau bagaimanapun, kewujudan kontrak itu sendiri bukanlah persoalan yang menentukan tindakan ini. Persoalan sebenar ialah sama ada Defendan Pertama telah berjaya membuktikan bahawa kontrak tersebut memberikan hak kepadanya untuk terus mengekalkan wang yang telah diterima daripada Plaintiff walaupun projek yang menjadi tujuan pembayaran tersebut tidak pernah direalisasikan. [89] Setelah meneliti keseluruhan hubungan kontraktual antara pihak-pihak, termasuk dokumen-dokumen yang berkaitan, komunikasi selepas pengeluaran Permit Bahan Batuan (Borang 4B) serta perlakuan kontemporari Defendan Pertama sendiri, Mahkamah mendapati Defendan Pertama gagal membuktikan bahawa pengeluaran Permit Borang 4B sahaja telah menyempurnakan keseluruhan obligasi yang dipikul olehnya ataupun bahawa keadaan yang berlaku selepas itu mewujudkan suatu hak kontraktual untuk terus mengekalkan bayaran Plaintif. [90] Mahkamah turut mendapati bahawa Defendan Pertama gagal menunjukkan mana-mana terma nyata atau tersirat dalam kontrak yang memperuntukkan bahawa bayaran yang telah dibuat oleh Plaintif adalah bersifat tidak boleh dipulangkan ataupun boleh dilucuthakkan dalam keadaan yang berlaku di dalam tindakan ini. Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah tidak mempunyai asas untuk mengiktiraf suatu hak yang tidak dapat disandarkan kepada kontrak yang dipersetujui oleh pihak-pihak. [91] Keputusan Mahkamah ini bukanlah berasaskan pertimbangan mengenai apa yang dianggap adil atau tidak adil semata-mata. Sebaliknya, ia diasaskan kepada prinsip bahawa hak dan liabiliti pihak-pihak hendaklah ditentukan menurut kontrak yang mereka persetujui. [92] Apabila Defendan Pertama gagal membuktikan bahawa kontrak tersebut memberikan hak kepadanya untuk terus mengekalkan wang Plaintif dalam keadaan yang berlaku di sini, Mahkamah tidak boleh mewujudkan hak sedemikian melalui tafsiran atau andaian semata-mata. [93] Atas keseluruhan alasan yang telah dihuraikan, Mahkamah ini berpuas hati bahawa Defendan Pertama tidak mempunyai hak di sisi kontrak atau undang-undang untuk terus mengekalkan wang sejumlah RM800,000.00 yang masih berada dalam pegangannya. Oleh yang demikian, Plaintif berhak mendapatkan semula jumlah tersebut. Perintah [94] Sehubungan dengan itu, Mahkamah membuat perintah-perintah berikut:
a
(a) Defendan Pertama hendaklah membayar kepada Plaintiff sejumlah RM800,000.00;
b
(b) jumlah tersebut hendaklah dikenakan faedah pada kadar 5% setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh; dan
c
(c) Defendan Pertama hendaklah membayar kos sebanyak RM30,000.00, tertakluk kepada alokatur. Tarikh: 15 Julai 2026 (SAMRY BIN MASRI) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuantan Peguam Bagi Pihak Plaintif : Tetuan Omar Ismail Hazman & Co Peguambela dan Peguamcara Lot 152-3-10 & 152-3-11 Kompleks Maluri, Jalan Jejaka Taman Maluri 55100 Cheras Kuala Lumpur Peguam Bagi Pihak Defendan : Tetuan Andrew-David Wong & Ong Peguambela dan Peguamcara Bilik 102-103, Tingkat 1 Bangunan Tokio Marine Life Jalan Teluk Sisek 25020 Kuantan Pahang Darul Makmur
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.