(D) Dakwaan Ketidakselarasan Dokumen [32] Perayu juga berhujah bahawa ketidakselarasan dalam dokumen-dokumen yang dikemukakan memerlukan suatu perbicaraan penuh. [33] Walau bagaimanapun, setelah diteliti dengan mendalam, dakwaan ketidakselarasan tersebut adalah bersifat samar, tidak khusus serta tidak disokong oleh keterangan yang kukuh. [34] Prinsip yang dinyatakan dalam Bank Negara Malaysia v Mohd Ismail Ali Johor & Ors [1992] 1 CLJ 627 adalah amat relevan. Penafian semata-mata atau dakwaan yang bercanggah dengan dokumen kontemporari yang tidak dipertikaikan tidak secara automatik mewujudkan isu yang boleh dibicarakan. [35] Dalam kes ini, dokumen-dokumen kontemporari secara konsisten menyokong tuntutan Responden manakala dakwaan Perayu kekal bersifat spekulatif dan tidak disokong oleh keterangan yang meyakinkan. Penghakiman Terus Sebahagian [36] Dalam apa jua keadaan, sekalipun wujud pertikaian terhadap sebahagian daripada tuntutan tersebut, Responden tetap berhak sekurang-kurangnya kepada penghakiman terus bagi jumlah yang telah diakui. [37] Aturan 14 Kaedah 1 KKM 2012 secara jelas membenarkan Mahkamah memasukkan penghakiman bagi keseluruhan atau sebahagian tuntutan sekiranya tiada pembelaan bona fide dikemukakan. [38] Prinsip ini turut disokong oleh autoriti termasuk Chong Hin Trading Co Sdn Bhd & Ors v Malayan Banking Bhd [2004] 4 MLJ 453. [39] Mahkamah ini turut mendapati bahawa tuntutan alternatif yang dinyatakan dalam Notis Permohonan tidak memperkenalkan kausa tindakan baharu ataupun asas fakta yang berlainan daripada yang telah diplidkan dalam Pernyataan Tuntutan. Tuntutan tersebut masih berpunca daripada transaksi dan dokumen yang sama, iaitu invois, Purchase Orders dan SRS yang menjadi asas tuntutan asal Responden. [40] Oleh yang demikian, Mahkamah ini tidak menerima hujahan bahawa Responden telah mengubah atau menambahbaik tuntutannya secara tidak sah melalui permohonan penghakiman terus tersebut. [41] Kebergantungan Perayu kepada kes Lim Beng Kuan v Helms Geomarine Sdn Bhd [2023] 9 MLJ 155 adalah tersasar. Kes tersebut diputuskan berdasarkan fakta-fakta yang berbeza secara material melibatkan tuntutan yang berasingan dan boleh dipisahkan. [42] Sebaliknya, kes di hadapan Mahkamah ini melibatkan satu transaksi komersial tunggal yang disokong oleh dokumen kontemporari serta pengakuan liabiliti yang jelas. Penolakan Tuntutan Balas [43] Perayu turut mencabar keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang menolak tuntutan balasnya. [44] Meskipun benar bahawa suatu tuntutan balas lazimnya merupakan suatu tindakan yang berasingan, tuntutan balas dalam kes ini pada hakikatnya bersandarkan sepenuhnya kepada fakta dan dakwaan yang sama seperti pembelaan Perayu. [45] Setelah pembelaan tersebut didapati tidak mempunyai merit dan gagal menimbulkan sebarang isu bona fide untuk dibicarakan, tuntutan balas tersebut secara tidak langsung menerima nasib yang sama. [46] Mahkamah ini juga mengambil perhatian terhadap hujahan Perayu bahawa tuntutan balas tidak boleh ditolak tanpa suatu permohonan khusus untuk membatalkannya. Walau bagaimanapun, prinsip tersebut tidak boleh dilihat secara mekanikal atau terasing daripada realiti pliding dan isu-isu yang telah diputuskan oleh Mahkamah. [47] Dalam kes ini, tuntutan balas Perayu tidak memperkenalkan sebarang kausa tindakan bebas atau isu berasingan yang terpisah daripada pembelaannya. Sebaliknya, tuntutan balas tersebut sepenuhnya bergantung kepada dakwaan yang sama iaitu kononnya terdapat pertikaian terhadap invois, pengiraan dan faedah lewat yang telahpun diteliti serta diputuskan oleh Mahkamah dalam menentukan permohonan penghakiman terus. [48] Setelah Mahkamah mendapati bahawa pembelaan tersebut tidak menimbulkan sebarang isu bona fide untuk dibicarakan, tuntutan balas yang berasaskan premis yang sama secara tidak langsung menjadi tidak mampan. Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah tidak terhalang daripada menolak tuntutan balas tersebut sebagai suatu konsekuesi langsung kepada dapatan bahawa tiada isu yang layak dibicarakan. [49] Oleh itu, Mahkamah ini tidak mendapati bahawa sebarang ketidakadilan prosedural atau pelanggaran prinsip keadilan asasi telah berlaku terhadap Perayu. [50] Oleh itu, Hakim Mahkamah Sesyen adalah berhak untuk memutuskan bahawa tuntutan balas tersebut juga tidak mampan. [51] Pendekatan ini adalah selaras dengan prinsip-prinsip yang digariskan dalam Lonpac Insurance Bhd v Koridor Padu Sdn Bhd [2021] MLJU 1084. [52] Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah ini mendapati tiada prejudis atau ketidakadilan yang berlaku terhadap Perayu. Kesimpulan [53] Setelah mempertimbangkan rayuan ini secara keseluruhan, Mahkamah berpuas hati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah menilai fakta dan mengaplikasikan prinsip undang-undang dengan betul. [54] Responden berjaya membuktikan tuntutannya melalui dokumen-dokumen kontemporari yang jelas, bayaran sebahagian oleh Perayu serta pengakuan nyata terhadap kewujudan hutang tersebut. [55] Sebaliknya, Perayu gagal membangkitkan sebarang isu bona fide yang memerlukan perkara ini dibicarakan di peringkat perbicaraan penuh. Pertikaian yang cuba dibangkitkan sama ada tidak disokong oleh keterangan, bercanggah dengan dokumen kontemporari, atau jelas merupakan suatu fikiran terkemudian yang hanya dibangkitkan di peringkat rayuan.