Lampiran
Lampiran 22 ini adalah permohonan pihak Defendan untuk mendapatkan suatu perintah bagi penzahiran dokumen di bawah Aturan 24 kaedah 7, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. [2] Daripada senarai dokumen-dokumen yang dimohon oleh Defendan untuk dizahirkan, sebahagiannya telah pun dizahirkan atau dibekalkan oleh pihak Plaintif kepada Defendan. Manakala sebahagiannya lagi yang merupakan minit-minit mesyuarat telah dilepaskan (waived) oleh Defendan kerana tiada sebarang minit mesyuarat disediakan bagi perbincangan secara tidak formal antara pihak-pihak. [3] Permohonan penzahiran ini akhirnya tertumpu hanya kepada satu dokumen iaitu satu kontrak yang telah dimasuki antara Plaintif/Responden dengan pihak Syarikat Spaz Sdn. Bhd. berkenaan projek Menyiapkan Kerja Tertinggal Untuk Projek Menaiktaraf Jalan Pasir Puteh/Gong Kulim/Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan (Selepas ini dirujuk sebagai “Kontrak tersebut”). [4] Pihak-pihak telah memfailkan hujahan bertulis masing-masing di mana Lampiran 38 adalah hujahan bertulis Plaintif/Responden dan Lampiran 40 adalah hujahan bertulis Defendan/Perayu. Kes Defendan/Perayu. [5] Peguam Defendan/Perayu yang bijaksana menghujahkan bahawa antara lainnya: a) bahawa Kontrak tersebut adalah dokumen yang dirujuk dalam pliding Plaintif/Responden; b) ianya relevan memandangkan perkiraan yang dibuat oleh Plaintif/Responden dalam tuntutan yang dibuat bagi tuntutan gantirugi terhadap Defendan/Perayu adalah berdasarkan jumlah Kontrak tersebut; c) ianya bukan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972; d) ianya bukan di bawah “Judicial Notice”; e) Mahkamah mempunyai bidangkuasa di bawah A. 92 k. 4 KKM 2012. Kes Plaintif/Responden [6] Peguam Kanan Persekutuan yang bijaksana telah menghujahkan bahawa permohonan yang dibuat oleh Defendan/Perayu ini adalah cacat dan tidak teratur kerana menurut A.24 k. 7(4) KKM 2012 Defendan/Perayu seharusnya terlebih dahulu mendapatkan suatu perintah di bawah Kaedah 3 sebelum permohonan di bawah Kaedah 7 boleh dibuat. [7] Berkenaan dengan Kontrak tersebut pula, Peguam Kanan Persekutuan yang bijaksana telah menghujahkan bahawa penzahiran Kontrak tersebut tidak patut dibenarkan atas alasan-alasan: a) Kontrak tersebut adalah tidak relevan terhadap tuntutan Plaintif/Responden terhadap Defendan/Perayu; b) Permohonan Defendan/Perayu adalah taktik untuk mendapatkan fakta (fishing expedition) serta keterangan bagi membina kesnya; c) Dokumen Kontrak tersebut adalah dokumen terperingkat; d) Penzahiran dokumen Kontrak tersebut akan menjejaskan kepentingan awam menurut Seksyen 36 Government Proceedings Act 1956 (Revised 1988) Akta 359; dan e) Plaintif/Responden terikat dengan peruntukan di bawah Seksyen 131 Akta Keterangan 1950. Keputusan Mahkamah [8] Mahkamah, setelah meneliti Notis Permohonan (L.22), affidavit sokongan, affidavit-afidavit balasan pihak-pihak serta hujahan dan autoriti kedua-dua pihak, memutuskan bahawa Permohonan di L.22 Defendan/Perayu adalah ditolak dengan kos dalam kausa. [9] Antara alasan-alasan keputusan Mahkamah ini adalah seperti berikut: a) Perintah di bawah A.24, k.7 KKM 2012 ini sepatutnya menjadi perintah berikutnya (subsequent order) selepas satu perintah di bawah A.24, k.3 telah dibuat. b) Sebelum Perintah di bawah A.24 k.7 diberikan, hendaklah terlebih dahulu ada satu perintah di bawah Kaedah 3 memerintahkan supaya Plaintif/Responden membuat senarai dokumen-dokumen yang ada atau pernah ada dalam milikan, jagaan atau kuasanya. c) Perintah penzahiran di bawah A.24, k.7 hendaklah tidak dibuat (shall not be made) sebelum terlebih dahulu mendapatkan perintah di bawah k.3. d) Defendan/Perayu tidak seharusnya melangkau terus ke A. 24, k.7 sebelum melalui proses di bawah A.24, k3. kecuali jika terdapat keadaan khas atau yang pada pandangan mahkamah ini, ianya adalah perlu. e) Dokumen Kontrak tersebut adalah antara Plantif/Responden dengan pihak ketiga iaitu Spaz Sdn Bhd dan ianya tidak patut didedahkan kepada Defedan/Perayu tanpa kebenaran daripada pihak ketiga menurut Seksyen 131 Akta Keterangan 1950. f) Dokumen Kontrak tersebut bukan hanya tidak relevan, tetapi juga tidak perlu (unnecessary) bagi pembelaan dan tuntutan balas Defendan/Perayu. Defendan/Perayu boleh membuktikan pembelaan dan tuntutan balas Defendan/Perayu terhadap Plaintif/Responden tanpa perlu bergantung kepada Dokumen Kontrak tersebut. g) Semata-mata dokumen Kontrak tersebut disebut dalam pliding Plaintif/Responden tidaklah menjadikan ia perlu dizahirkan kepada Defendan/Perayu. h) Berdasarkan kepada autoriti-autoriti yang dikemukakan, penzahiran hanya akan dibenarkan bukan sahaja jika sesuatu dokumen itu relevan tetapi mestilah juga ianya perlu (necessary) bagi memastikan suatu perbicaraan dapat dijalankan dengan adil. i) Defendan/Perayu menghujahkan bahawa dokumen kontrak tersebut adalah relevan kerana perkiraan tuntutan Plaintif/Responden terhadap Defendan/Perayu adalah berdasarkan nilai kontrak tersebut. j) Mahkamah ini berpendapat bahawa walau apa pun dasar perkiraan tuntutan Plaintif/Responden terhadap Defendan/Perayu, Plaintif/Responden haruslah membuktikan tuntutannya terhadap Defendan/Perayu. [10] Oleh itu Permohonan Defendan/Perayu ditolak dengan kos. Tarikh: 8 Februari 2024. (MOHD ROSLI BIN YUSOFF) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi (3), Kota Bharu. PIHAK-PIHAK: Bagi pihak Plaintif: Mohd Izuddin bin Mohd Shukri, Sangari A/P Ponnan & Joy Jothi A/P Nadrarasan, Peguam Kanan Persekutuan, Pejabat Penasihat Undang-Undang, Tingkat 8, Blok B, Kompleks Kerja Raya, Jalan Sultan Salahuddin, 50400 Kuala Lumpur. Bagi pihak Defendan: Farhan Aziz bin Mohamed, Tetuan Ezzah Elia & Associates, No. 1A, 1st Floor, Jalan Tengku Ampuan Zabedah J 9/J, Seksyen 9, 40100 Shah Alam, Selangor.