Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET JENAYAH 2, TRAFIK DAN SAMAN JABATAN GEORGETOWN DALAM NEGERI PULAU PINANG NO. KES: PA-83-1047-08/2020 ANTARA PENDAKWA RAYA LAWAN KHAIRIL AZHAR BIN AHMAD ALASAN PENGHAKIMAN Pertuduhan [1] OKT dalam kes ini telah dituduh di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan pertuduhan sebagaimana yang berikut; “Bahawa kamu pada 14/08/2020 jam lebih kurang 1030mlm di JALAN SULTAN AZLAN SHAH di dalam Daerah Timur Laut (G’town) di Negeri Pulau Pinang sebagai pemandu M/LORI VAU9518 telah memandu kenderaan tersebut dengan cara melulu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan dan mendatangkan kecederaan kepada (HARIHAREN A/L THIAGARAJA, NO. KP: 900307- 07-5765, WAN NURZAARA DANIA BINTI WAN YUSRY HAZREIL, NO. KP: 080227-07-0218, ELPI SUSANTI HUTAGAOL, NO. PASSPORT: C0355753) dan oleh yang demikian itu, kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 44(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) .” [2] Kesalahan di bawah Seskyen 44(1)(a) APJ 1987 memperuntukkan hukuman sebagaimana berikut; “penjara selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada lapan ribu ringgit dan tidak lebih daripada dua puluh ribu ringgit” ISU SEKSYEN YANG DIRUJUK DALAM PERTUDUHAN Pihak pembelaan telah membangkitkan isu bahawa pertuduhan didalam kes ini adalah cacat memandangkan tertuduh dituduh di bawah Seksyen 44(1)(A) APJ 1987 yang tidak wujud dan menyatakan bahawa Seksyen yang terpakai sebenarnya adalah Seksyen 44(1A) APJ 1987. Penelitian Mahkamah ini mendapati bahawa wujud kesilapan menaip (clerical mistakes) dalam pertuduhan yang dirangka oleh pihak pendakwaan yang mana peruntukan yang sebenarnya adalah S.44(1)(a) APJ 1987 dan bukannya S.44(1)(A) APJ 1987. Perkara ini adalah jelas setelah dirujuk kepada hukuman yang dinyatakan dalam pertuduhan yang selari dengan hukuman bagi S.44(1)(a) APJ. Maka, oleh itu Mahkamah ini berpendapat bahawa kesilapan tersebut adalah boleh dipulihkan (curable) di bawah S.422 Kanun Tatacara Jenayah. Mahkamah ini juga menolak hujahan pembelaan yang menyatakan bahawa pertuduhan yang relevan adalah S.44(1A) APJ 1987, memandangkan peruntukan tersebut masih belum wujud dan berkuatkuasa pada tarikh kejadian berlaku iaitu pada 14.8.2020. S.44(1A) APJ 1987 ini hanyalah dimasukkan ke dalam APJ 1987 melalui Akta A1618 yang hanya mula berkuatkuasa pada 23 Oktober 2020 PU(B) 533/2020 setelah diwartakan pada 22 Oktober 2020 dan tidaklah terpakai secara retrospektif. ISU PENDUAAN DALAM PERTUDUHAN (‘DUPLICITY OF CHARGE’) Dalam meneliti pertuduhan yang dirangka oleh pihak Pendakwaan, Mahkamah ini mendapati bahawa wujud penduaan kesalahan didalam pertuduhan tersebut. Hal ini kerana, Mahkamah ini mendapati bahawa kandungan di dalam pertuduhan pada bahagian “..telah memandu kenderaan tersebut dengan cara melulu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan dan mendatangkan kecederaan..” merujuk kepada dua kesalahan yang berbeza. Untuk memudahkan rujukan, dilampirkan Seksyen 44(1)(a) APJ 1987 yang menyatakan sebagaimana berikut;