Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN PERBICARAAN JENAYAH NO: KA-45A-45-10/2023 ANTARA PENDAKWA RAYA DAN KHAIRIL SYAMSUL BIN CHE LAH [NO. KP: 810824-03-5631] ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan
/akn/my/judgment/high-court/2026/bdb2be72-f55c-486c-b5d6-8c212301d4a8
High Court of Malaysia14 Jan 2026KA-45A-45-10/2023
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“id Emmy Jefri v. PP [2023] CLJU 444 telah merujuk kepada kes Mazlan bin Mustaffa v. PP [2015] CLJU 192 dan menyatakan: “[13] The Court in Mazlan bin Mustaffa v. PP [2015] CLJU 192; [2015] 1 LNS 192; [2015] MLJU 2127 held that there was no doubt that the drug exhibits seized from the appellant and as examined by the che”
“hom statements have been taken is to prevent the defence from commenting upon the honesty of the prosecution and thus invoking the often-quoted presumption of adverse inference under s. 114(g) of the Evidence Act. But where the prosecution's evidence falls short of proving prima facie case at the end of its case, the r”
“but. Bagi perkara ini terdapat dua perkara utama iaitu berkaitan jagaan serta kawalan dan selanjutnya berkaitan elemen pengetahuan. Ini bersandarkan kepada kes-kes duluan seperti Chan Pean Leon v. PP [1956] CLJU 17; [1956] MLJ 237, Ibrahim Mohamad & Anor v. PP [2011] 4 CLJ 113 dan Romi Amora Amir v. PP [2011] 1 CLJ 870”
“a ini terdapat dua perkara utama iaitu berkaitan jagaan serta kawalan dan selanjutnya berkaitan elemen pengetahuan. Ini bersandarkan kepada kes-kes duluan seperti Chan Pean Leon v. PP [1956] CLJU 17; [1956] MLJ 237, Ibrahim Mohamad & Anor v. PP [2011] 4 CLJ 113 dan Romi Amora Amir v. PP [2011] 1 CLJ 870.”
“an hukuman mati, dihukum sebat tidak kurang daripada dua belas sebatan. Ini bermakna, budi bicara diberi sepenuhnya kepada mahkamah untuk menentukan pilihan hukuman (rujuk: Loh Hock Seng & anor v. PP [1979] CLJU 48; [1980] 2 MLJ 13 dan DA Duncan v. PP [1980] CLJU 12; [1980] 2 MLJ 195).”
“dua belas sebatan. Ini bermakna, budi bicara diberi sepenuhnya kepada mahkamah untuk menentukan pilihan hukuman (rujuk: Loh Hock Seng & anor v. PP [1979] CLJU 48; [1980] 2 MLJ 13 dan DA Duncan v. PP [1980] CLJU 12; [1980] 2 MLJ 195).”
“*Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 16 (Lihat juga PP v. Mansor Md Rashid & Anor [1997] 1 CLJ 233; [1996] 3 MLJ 560; Muharam Anson v. PP [1980] CLJU 137; [1980] 1 LNS 137; [1981] 1 MLJ 222; Ti Chuee Hiang v. PP [1995] 3 CLJ 1; [1995] 2 MLJ 433; Namasiyiam Dor”
“h untuk beranggapan bahawa keterangan seseorang isteri tidak akan menjejaskan suaminya. Mahkamah Rayuan telah merujuk kepada keputusan dalam kes Haji Abdul Ghani bin Ishak & Anor v. Public Prosecutor [1981] CLJU 96; [1981] 1 LNS 96; [1981] 2 MLJ 230 dan menyatakan seperti berikut: “[42] As for the evidence of DW2, the”
“14. Mahkamah Rayuan dalam kes Mohammad Hafizul Rashid Emmy Jefri v. PP [2023] CLJU 444 telah merujuk kepada kes Mazlan bin Mustaffa v. PP [2015] CLJU 192 dan menyatakan: “[13] The Court in Mazlan bin Mustaffa v. PP [2015] CLJU 192; [2015] 1 LNS 192; [2015] MLJU 2127 held that there was no doubt that the drug exhibits s”
“14. Mahkamah Rayuan dalam kes Mohammad Hafizul Rashid Emmy Jefri v. PP [2023] CLJU 444 telah merujuk kepada kes Mazlan bin Mustaffa v. PP [2015] CLJU 192 dan menyatakan: “[13] The Court in Mazlan bin Mustaffa v. PP [2015] CLJU 192; [2015] 1 LNS 192; [2015] MLJU 2127 held that there wa”
“41. Apatah lagi, ia bukan merupakan beban pihak PR untuk membuktikan eksklusiviti ke atas barang kes sepertimana yang diputuskan oleh beberapa kes duluan termasuk kes PP v Ragunathan Thangiah [2024] CLJU 2110 dan Hemankumar Subramaniam v PP [2020] 3 CLJ 844.”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN PERBICARAAN JENAYAH NO: KA-45A-45-10/2023 ANTARA PENDAKWA RAYA DAN KHAIRIL SYAMSUL BIN CHE LAH [NO. KP: 810824-03-5631] ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan
1
Kes ini melibatkan satu pertuduhan ke atas tertuduh di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) kerana mengedar dadah berbahaya methamphetamine seberat 180.6 gram.
2
Pertuduhan ke atas tertuduh adalah seperti berikut: “Bahawa kamu pada 11/5/2023, jam lebih kurang 2.30 petang, di rumah beralamat 27, Jalan Sungai Korok, Kampung Aman, 06000 Jitra, dalam daerah Kubang Pasu, di dalam negeri Kedah, telah didapati mengedar dadah berbahaya iaitu methamphetamine seberat 180.6 gram. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39(2) Akta yang sama.” Fakta kes pihak pendakwaan
3
Seramai 3 orang saksi telah dipanggil oleh pihak Pendakwa Raya (PR) di mana paksi keterangan adalah berdasarkan kepada keterangan SP2 yang merupakan Pegawai Serbuan.
Preamble
Menurut SP2, pada hari kejadian SP2 telah menerima maklumat mengenai pengedaran dadah oleh seorang lelaki Melayu di sebuah rumah beralamat di 27, Jalan Sungai Korok, Kampung Aman, 06000 Jitra, Kedah (rumah tersebut). Satu taklimat telah dijalankan dan seusai taklimat, SP2 dan anggota serbuan bergerak ke rumah tersebut.
4
Setelah sampai di rumah tersebut, SP2 telah membuat pemerhatian selama lebih kurang 5 minit dalam jarak 10 meter dari rumah tersebut. Hasil pemerhatian, SP2 mendapati tiada pergerakan keluar masuk dari mana-mana individu dari rumah tersebut.
5
SP2 telah kemudiannya membuat serbuan di bahagian belakang rumah tersebut. Apabila sampai di pintu belakang rumah, SP2 dapati pintu belakang dalam keadaan bertutup namun tidak berkunci. Seterusnya SP2 dan anggota serbuan terus masuk ke dalam rumah tersebut melalui pintu belakang.
6
Sebaik sahaja SP2 dan anggota masuk ke dalam rumah, SP2 melihat tertuduh sedang berdiri di hadapan bilik keempat rumah tersebut sambil memegang 1 beg bercorak bunga berwarna biru (P16) di tangan kanannya. Semasa SP2 kenalkan diri sebagai polis tertuduh kelihatan takut dan gelisah.
7
SP2 seterusnya membuat pemeriksaan terhadap P16 dan mendapati di dalamnya mengandungi 3 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki syabu (P17(1-3)). Menurut SP2, setelah SP2 menjumpai barang kes, tertuduh kelihatan takut. Tertuduh kemudiannya telah ditangkap.
8
P17 (1-3) telah diserahkan kepada pegawai penyiasat iaitu SP3 yang telah menyerahkannya kepada ahli kimia iaitu SP1. SP1 telah menjalankan analisis dan mengesahkan dadah yang diserahkan oleh SP3 kepadanya adalah dadah jenis methamphetamine seberat 180.6 gram sepertimana dinyatakan di dalam laporan kimia SP1 iaitu P11. Beban pembuktian di akhir kes pendakwaan
9
Beban pembuktian di akhir kes pendakwaan adalah sepertimana yang telah dinyatakan di bawah seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) iaitu untuk menentukan berdasarkan kepada keterangan-keterangan yang kredibel wujudnya satu kes prima facie.
10
Mahkamah berpandukan kepada 2 kes utama berkaitan prima facie iaitu kes Balachandran v. PP [2005] 1 CLJ 85 dan kes PP v. Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457. Mahkamah dengan ini merumuskan bahawa di akhir kes pendakwaan bermakna mahkamah ini hendaklah membuat penilaian maksimum ke atas keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan termasuk menilai kredibiliti keterangan-keterangan oleh saksi-saksi pendakwaan. Mahkamah sedar jika terdapat lebih dari satu inferens yang boleh dibuat, maka mahkamah perlu memberi kelebihan kepada inferens yang memihak kepada kedua-dua tertuduh.
11
Berpandukan kepada kes Muhammad Lukman Mohamad v. PP [2021] 7 CLJ 524 elemen yang perlu dipenuhi bagi satu kesalahan pengedaran dadah berbahaya di bawah seksyen 39B Akta 234 adalah seperti berikut: “In our view, there is force in the submission. The requisites that must be satisfied to sustain conviction for the offence of trafficking in dangerous drugs under s. 39B(1)(a) of DDA 1952 are well-settled. The following elements must be established: a. The impugned drugs are dangerous drugs as listed in the First Schedule of DDA 1952; b. The impugned drugs are under the custody, control and possession of the appellant; and c. The appellant trafficked in the said impugned drugs.” Analisis dan dapatan mahkamah di akhir kes pendakwaan Sama ada dadah berbahaya yang dirampas adalah disenaraikan di bawah Jadual 1 Akta 234 dan rantaian keterangan
12
Secara amnya, tiada sebarang pertikaian berkenaan jenis dadah yang telah dirampas. Bagi pandangan mahkamah, apa yang penting ialah rantai keterangan dari masa dadah tersebut ditemui oleh SP2, diserah kepada SP3 dan sehinggalah selesai dianalisis oleh SP1 adalah tidak terputus.
13
SP1 hingga SP3 merupakan saksi-saksi utama yang mengendalikan barang kes dadah telah dapat mengecam dadah tersebut berdasarkan kepada tandaan-tandaan yang telah dibuat sendiri oleh mereka.
14
Mahkamah Rayuan dalam kes Mohammad Hafizul Rashid Emmy Jefri v. PP [2023] CLJU 444 telah merujuk kepada kes Mazlan bin Mustaffa v. PP [2015] CLJU 192 dan menyatakan: “[13] The Court in Mazlan bin Mustaffa v. PP [2015] CLJU 192; [2015] 1 LNS 192; [2015] MLJU 2127 held that there was no doubt that the drug exhibits seized from the appellant and as examined by the chemist were the same drugs exhibits that the appellant was charged with. There was no break in the chain of evidence and the drug exhibits were positively identified by the prosecution witnesses. ...... The High Court as well as the Court of Appeal found it as a fact that there was no doubt in the identity of the drug exhibits because the evidence before the court showed there was no break in the chain of evidence. The movement of exhibits was clearly explained, and the markings on the drug exhibits were positively identified by the witnesses. The courts below were satisfied that the drug exhibits that were seized from the appellant were the same exhibits produced in the High Court.”
15
Selain itu, SP1 merupakan seorang ahli kimia yang berada dalam perkhidmatan. Keterangan SP1 ini boleh diterima oleh mahkamah pada nilai zahirnya. Ini kerana ia sempurna dan tiada kecacatan. SP1 merupakan seorang ahli kimia yang bertauliah dan menjelaskan secara terperinci analisis yang telah dijalankan oleh beliau. Tiada alasan bagi mahkamah ini mempertikaikan keterangan SP1 berkaitan jenis dadah serta beratnya.
16
Berdasarkan kepada keterangan-keterangan ini, mahkamah memutuskan bahawa pihak PR telah berjaya membuktikan elemen pertama berkaitan jenis dadah berbahaya dan beratnya serta identiti dadah tersebut. Sama ada dadah tersebut berada dalam milikan tertuduh
17
Ini membawa kepada elemen asas iaitu sama ada dadah tersebut berada dalam milikan tertuduh yang melibatkan elemen jagaan atau kawalan serta pengetahuan tertuduh ke atas dadah tersebut. Bagi perkara ini terdapat dua perkara utama iaitu berkaitan jagaan serta kawalan dan selanjutnya berkaitan elemen pengetahuan. Ini bersandarkan kepada kes-kes duluan seperti Chan Pean Leon v. PP [1956] CLJU 17; [1956] MLJ 237, Ibrahim Mohamad & Anor v. PP [2011] 4 CLJ 113 dan Romi Amora Amir v. PP [2011] 1 CLJ 870.
18
Teras keterangan pihak PR adalah dadah tersebut dijumpai dari tangan tertuduh. Perhatian mahkamah dibawa kepada beberapa kes seperti berikut: a) PP v Lam Peng Hoa & Anor [1996] 3 CLJ 747 “[6] With regards the issue of whether the prosecution has proved the element of possession, the fact that both the accused were holding a packet of the drugs at the material time is highly significant. For possession to be made out, two elements must be satisfied ie the accused must have been so situated that he can deal with the thing in question as if it belonged to him (the physical element) and it must also be shown that the accused had the intention of dealing with the thing as if it belonged to him (the mental element).” b) Chan Kim Seng v PP [2016] 3 MLJ 80 “In my view, the accused by physically holding on to exhibit P11 (a) raises the logical inference that the accused has not only knowledge of the contents in exhibit P11(a) and control over them, but also their composition. Thus, the prosecution has proven element of possession.”
19
Mahkamah berpandangan bahawa kedudukan P16 yang berada di tangan tertuduh dengan jelas menunjukkan bahawa dadah yang ditemui di dalamnya adalah berada dalam jagaan serta milikan tertuduh. Malahan bagi mahkamah, kedudukan ini membuktikan bahawa tertuduh mempunyai kuasa untuk berurusan dengannya serta berupaya menghalang orang lain dari berurusan dengannya.
20
Dalam kes Adib Nafis bin Hassane Nafis lwn Public Prosecutor [2020] 1 LNS 1240 ia melibatkan perayu ditangkap semasa sedang memegang sebuah beg dan dalamnya ditemui dadah berbahaya jenis cannabis. Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya memutuskan bahawa; “Taking note of the above case, since the Appellant was slinging the bag alone and there was no one else with him at that point of time, he too had the power to exclude other persons from the enjoyment of the contents of the bag. That would constitute possession of the drug by the Appellant. It is also in evidence that the Appellant admitted he had carried the bag (Page 288 Volume 2 (4) of the Appeal Record).”
21
Berkaitan pengetahuan tertuduh, satu inferens dapat dibuat bahawa tertuduh mempunyai pengetahuan terhadap barang kes tersebut apabila tertuduh kelihatan takut dan gelisah ketika SP2 memperkenalkan diri sebagai polis, malah ketika SP2 membuat pemeriksaan terhadap beg P16, tertuduh juga kelihatan takut. Mahkamah berpandangan perasaan takut tertuduh wujud kerana tertuduh mempunyai pengetahuan terhadap isi kandungan P16.
22
Mahkamah Persekutuan dalam kes Parlan Dadeh v. PP [2009] 1 CLJ 717 telah membincangkan bagaimana satu inferens boleh dibuat berkaitan pengetahuan. Mahkamah Persekutuan menegaskan: “Proof of knowledge is very often a matter of inference. The material from which the inference of knowledge can be drawn varies from case to case. It would be sufficient for the prosecution to prove facts from which it could properly be inferred that the accused had the necessary knowledge.”
23
Manakala dalam kes Zainuddin bin Abbas v. PP [2014] 1 LNS 1356, perayu dilihat menyandang sebuah beg berwarna coklat yang di dalamnya terdapat beg berwarna kelabu yang mengandungi dadah dan Mahkamah Rayuan telah menyatakan: “Di dalam membuat dapatan bahawa perayu mempunyai pengetahuan tentang dadah di dalam beg yang disandang oleh perayu, Hakim bicara telah mengambilkira keterangan SP3 dan SP4 seperti dinyatakan di atas yang menunjukkan bahawa ketika pihak polis sampai di hadapan restoran tersebut, tidak terdapat sesiapa melainkan perayu yang sedang menyandang beg ekshibit P7; bahawa tidak terdapat motosikal di sekitar kawasan itu; bahawa ketika polis memperkenalkan diri, perayu terkejut dan cuba melarikan diri dan bahawa perayu berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan. Kami berpendapat Hakim bicara tidak khilaf dalam menerima keterangan SP3 dan SP4 dan membuat inferens bahawa dalam keadaan itu, perayu mempunyai pengetahuan tentang dadah berbahaya tersebut.”
24
Manakala dalam kes Chan Kim Seng (supra), ketika serbuan, perayu telah dilihat memegang di tangannya sebuah beg yang apabila dibuka telah ditemui dadah. Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya merumuskan: “In my view, the accused by physically holding on to exhibit P11 (a) raises the logical inference that the accused has not only knowledge of the contents in exhibit P11 (a) and control over them, but also their composition. Thus, the prosecution has proven the element of possession.”
25
Nas-nas duluan ini menjadi panduan mahkamah ini di dalam merumuskan bahawa P16 tersebut sememangnya berada di dalam jagaan serta kawalan tertuduh dan sehubungan dengan itu, dadah yang ditemui di dalamnya semestinyalah berada di dalam jagaan serta kawalan tertuduh.
26
Peguam tertuduh sebaliknya menghujahkan bahawa mahkamah perlu mengambil kira beberapa aspek dalam keterangan SP2 seperti berikut: a) serbuan hanya dibuat setelah 2 jam maklumat diterima oleh SP2. Oleh itu, apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh tersebut; b) ini termasuk kemungkinan ada orang lain yang berada di rumah tersebut sebelum pihak polis melakukan serbuan; c) tiada keterangan menunjukkan berapa lama tertuduh berada dalam rumah tersebut sebelum serbuan dilakukan; d) malahan terdapat percanggahan keterangan di antara SP2 dan SP3 berkaitan tempoh masa SP2 membuat pemerhatian ke atas rumah tersebut; dan e) isteri tertuduh bernama Nor Shatirah binti Abd Karim berada di rumah tersebut semasa serbuan dan keterangan isteri tertuduh adalah material dalam merungkai kesahihan keterangan SP2.
27
Mahkamah sebaliknya berpandangan bahawa di peringkat ini, tiada alasan munasabah bagi mahkamah untuk mempertikaikan keterangan SP2. Walaupun terdapat sedikit percanggahan berkenaan tempoh masa pemerhatian, namun ia adalah sangat kecil dan tidak material.
28
Fakta yang ditegaskan oleh pihak PR melalui SP2 adalah P16 sedang dipegang di tangan tertuduh semasa rumah tersebut diserbu. Bagi mahkamah, apa yang berlaku dalam tempoh 2 jam sebelum SP2 dan pasukan polis tiba di rumah tersebut dan siapa yang berada di dalam rumah tersebut sebelum serbuan, adalah tidak lagi relevan apabila P16 dilihat oleh SP2 sedang dipegang oleh tertuduh.
29
Berkaitan cadangan peguam bahawa terdapat kemungkinan orang lain berada dalam rumah tersebut, mahkamah berpandangan bahawa ia masih merupakan cadangan pihak peguam semata-mata. Siasatan SP3 sebaliknya mendedahkan bahawa rumah tersebut hanya didiami oleh tertuduh bersama isterinya serta seorang anak mereka. Malahan bilik-bilik dalam rumah tersebut telah dijelaskan oleh SP3.
30
Apa yang dibangkitkan oleh peguam hanya kekal sebagai cadangan dan ia tidak sama sekali boleh menjejaskan kebolehterimaan keterangan oleh SP2.
31
Berkaitan isteri tertuduh yang tidak dipanggil memberi keterangan, mahkamah merekodkan bahawa pihak PR telah menawarkan saksi ini kepada pihak tertuduh sebelum PR menutup kes mereka. Naratif yang dikemukakan oleh pihak PR adalah jelas iaitu P16 ditemui sedang dipegang oleh tertuduh ketika serbuan dilakukan ke atas rumah tersebut.
32
Di dalam naratif pihak PR, tiada sebarang peranan yang dimainkan oleh isteri tertuduh malahan menurut SP2, isteri tertuduh tidak berada bersama-sama SP2 semasa pemeriksaan dijalankan oleh SP2 ke atas tertuduh.
33
Mahkamah berpandangan bahawa pihak PR telah merungkai naratif mereka dengan jelas dan naratif pihak PR langsung tidak melibatkan isteri tertuduh.
34
Peguam tertuduh menghujahkan bahawa apabila pihak PR tidak memanggil isteri tertuduh, maka peruntukan seksyen 114 Akta Keterangan 1950 (Akta 56) di misalan (g) adalah terpakai ke atas pihak PR. Perhatian mahkamah dibawa kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Abdullah Zawawi Omar v PP [1985] CLJ Rep 19 yang menyatakan: “The practice of making available a witness or witnesses from whom statements have been taken is to prevent the defence from commenting upon the honesty of the prosecution and thus invoking the often-quoted presumption of adverse inference under s. 114(g) of the Evidence Act. But where the prosecution's evidence falls short of proving prima facie case at the end of its case, the right not to call such witness/witnesses and to make him/them available to the defence will be of no avail. If the doubt consists of the gap arising out of the matters adumbrated earlier, the prosecution must close this gap. It is not for the defence to call the offered witness/witnesses to supplement the prosecution's case.”
35
Bagi mahkamah, ujian yang perlu ditentukan oleh mahkamah adalah sama ada isteri tertuduh adalah saksi material dan sama ada pihak PR telah merungkai naratif kes mereka sehingga membuktikan satu kes prima facie ke atas tertuduh. Pandangan mahkamah ini berdasarkan rujukan mahkamah kepada apa yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Muhammad Akmal Zuhairi bin Azmal dan lain-lain v PR [2025] 4 CLJ 837 seperti berikut: “[126] Undang-undang mantap adalah jelas bahawa peruntukan s. 114(g) terpakai jika terdapat kegagalan mengemukakan dokumen atau saksi yang material dalam sesuatu kes tersebut. Lebih-lebih lagi jika kegagalan memanggil saksi-saksi ini menyebabkan kelompangan kepada kes pendakwaan atau amat memprejudis kes pembelaan. “[127] Dalam kes yang sering dirujuk berhubung isu ini, iaitu Munusamy Vengadasalam v. PP [1987] 1 CLJ 250; [1987] CLJ (Rep) 221; [1987] 1 MLJ 492, Mahkamah Agung ketika itu menjelaskan: It is essential to appreciate the scope of section 114(g) of the Evidence Act,1950, lest it be carried too far outside its limit. Adverse inference under that illustration can only be drawn if there is withholding or suppression of evidence and not merely on account of failure to obtain evidence. It may be drawn from with holding nor just any document, but a material document by a party in his possession, nor for non-production of not just any witness but only an important and material witness to the case. (penekanan ditambah) (Lihat juga PP v. Mansor Md Rashid & Anor [1997] 1 CLJ 233; [1996] 3 MLJ 560; Muharam Anson v. PP [1980] CLJU 137; [1980] 1 LNS 137; [1981] 1 MLJ 222; Ti Chuee Hiang v. PP [1995] 3 CLJ 1; [1995] 2 MLJ 433; Namasiyiam Doraisamy v. PP & Other Cases [1987] 1 CLJ 540; [1987] CLJ (Rep) 241; [1987] 2 MLJ 336; Seneviratne v. R [1936] 3 All ER 36).”
36
Sepertimana yang telah diulas oleh mahkamah di awal penghakiman ini, isteri tertuduh bukanlah merupakan saksi yang material di peringkat kes pendakwaan. Oleh itu ia tidak menjadikan tindakan pihak PR memanggilnya memberi keterangan membangkitkan peruntukan seksyen 114 Akta 56.
37
Isu seterusnya yang dibangkitkan oleh peguam tertuduh adalah berkaitan akses ke atas rumah tersebut di mana dihujahkan bahawa tertuduh tidak mempunyai akses eksklusif terhadap rumah tersebut. Teras hujahan peguam adalah berdasarkan gambar di P8E serta keterangan SP3 yang menunjukkan bahawa terdapat beberapa kasut dewasa pelbagai saiz yang terdapat di rumah tersebut.
38
Peguam turut membawa perhatian mahkamah ke atas keterangan SP3 mengenai keadaan bilik ketiga dalam rumah tersebut yang mempunyai kelengkapan seperti katil dan barangan lain. Ini disokong pula dengan keterangan SP3 yang telah mengarahkan L/Kpl Al Musawir bin Abdul Karim untuk membuat dusting ke atas barang kes namun tidak dapat mengesan cap jari manakala tiada sebarang ujian forensik dijalankan ke atas P16.
39
Keseluruhan ini dihujahkan bahawa pihak PR tidak berjaya mengecualikan kemungkinan akses orang lain ke atas rumah tersebut dan sekaligus menjejaskan pembuktian prima facie pihak PR.
40
Mahkamah sebaliknya berpandangan bahawa isu yang dibangkitkan oleh peguam tertuduh adalah tidak relevan sama sekali. Ini kerana dadah ditemui di dalam P16 yang sedang dipegang di tangan tertuduh. Isu eksklusiviti serta akses oleh tertuduh ke atas rumah tersebut adalah sama sekali tidak relevan dan tidak menjejaskan keterangan yang dikemukakan oleh pihak
41
Apatah lagi, ia bukan merupakan beban pihak PR untuk membuktikan eksklusiviti ke atas barang kes sepertimana yang diputuskan oleh beberapa kes duluan termasuk kes PP v Ragunathan Thangiah [2024] CLJU 2110 dan Hemankumar Subramaniam v PP [2020] 3 CLJ 844.
42
Secara keseluruhannya, mahkamah menegaskan sekali lagi bahawa berdasarkan analisis maksima mahkamah ke atas keterangan-keterangan yang dikemukakan, pihak PR telah secara prima facie membuktikan bahawa dadah tersebut berada dalam pemilikan tertuduh. Sama ada tertuduh mengedar dadah tersebut
43
Berkaitan elemen pengedaran, pihak PR bersandarkan kepada peruntukan andaian di bawah seksyen 37(da) Akta 234 yang bersandarkan kepada elemen pemilikan. Di bawah peruntukan ini, mahkamah berhak membuat dapatan bahawa satu kes prima facie pengedaran dibuktikan di bawah seksyen 180(4) Akta 593, dengan membangkitkan anggapan pengedaran bawah seksyen 37(da) Akta 283. Pendekatan ini telah diputuskan sebagai betul di sisi undang-undang oleh Mahkamah Persekutuan melalui penghakiman oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Abdullah Atan v. PP & Other Appeals [2020] 9 CLJ 151. Keputusan di akhir kes pendakwaan
44
Sehubungan dengan itu, mahkamah dengan ini memutuskan bahawa berdasarkan kepada pertimbangan maksimum mahkamah ke atas keterangan-keterangan yang dikemukakan, pihak PR telah berjaya membuktikan satu kes prima facie ke atas pertuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh.
45
Tertuduh dengan ini diperintahkan untuk membela diri dan 3 pilihan diterangkan kepadanya. Kes Pembelaan
46
Tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dan turut memanggil isterinya iaitu Nor Shatirah binti Abdul Karim (SD2) memberi keterangan. Secara asasnya, tertuduh menafikan bahawa beg P16 telah dirampas oleh pihak polis dari tangannya tetapi sebaliknya ditemui dalam bilik belakang rumah tersebut.
47
Menurut tertuduh, pada hari kejadian dia telah keluar bekerja seperti biasa dan apabila tiba waktu rehat, tertuduh pulang ke rumahnya. Setiba di rumahnya, tertuduh telah masuk melalui pintu dapur dan membancuh air untuk diminum di ruang dapur. SD2 ada datang menjenguknya buat seketika namun masuk semula ke bilik.
48
Semasa sedang minum air, ada orang masuk dari bahagian hadapan rumah dan memperkenalkan diri sebagai polis. Tertuduh sempat melihat SD2 berada bersama-sama dengan pasukan polis tersebut. Pihak polis kemudiannya telah menahan tertuduh dan membawanya masuk ke sebuah bilik di bahagian dapur dan pemeriksaan telah dijalankan di dalam bilik tersebut.
49
Hasil pemeriksaan dalam bilik tersebut, beg P16 dikatakan telah ditemui. Tertuduh dimaklumkan bahawa P16 tersebut mengandungi dadah.
50
SD2 dalam keterangannya menyatakan telah mendengar orang mengetuk pintu hadapan rumah dan memperkenalkan diri sebagai polis. Apabila SD2 membuka pintu, SP2 telah berlari masuk dan menuju ke bahagian dapur rumah tersebut.
51
SD2 telah menuruti SP2 dan melihat SP2 telah menahan tertuduh. Selepas itu, beberapa orang polis telah masuk melalui pintu dapur rumah tersebut. Tertuduh kemudiannya dilihat dibawa masuk ke bilik di bahagian dapur rumah tersebut. SD2 kemudiannya telah diarahkan untuk masuk ke biliknya kerana dimaklumkan polis ada kerja untuk dilakukan. SD2 tidak tahu apa yang berlaku sehinggalah lebih kurang 4 hingga 5 minit, tertuduh telah dibawa keluar dari rumah tersebut.
52
Menurut SD2, tertuduh hanya memiliki 1 beg silang yang selalu dipakainya dan SD2 tidak pernah melihat beg P16. SD2 turut memaklumkan bahawa selepas tidak berapa lama tertuduh dibawa ke balai polis, pihak polis telah datang ke rumah mereka dan mengambil motosikal jenama Kriss Modenas milik tertuduh. Analisis dan dapatan mahkamah di akhir kes pembelaan
53
Apabila berhadapan dengan dua naratif yang berbeza, maka mahkamah ini perlu berhati-hati menilai keseluruhan keterangan dan perlu mengkaji keseluruhan keterangan secara objektif. Mahkamah perlu membandingkan keterangan di peringkat pembelaan dengan keterangan-keterangan yang telah dikemukakan di peringkat pendakwaan.
54
Mahkamah Rayuan dalam kes Wan Marzuki Wan Abdullah v. PP [2008] 4 CLJ 631 melalui penghakiman Gopal Sri Ram HMR telah menyatakan; “The second point taken by learned counsel for the appellant is that the judge erred in his handling of the facts when evaluating the defence story. It is clear from the record that the defence case was diametrically opposed to the prosecution's case. The issue which fell for the learned judge to decide was whether PW5 was telling the truth as to what was agreed, that is to say, whether the accused's version was reasonably probable. After a careful analysis of the totality of the evidence the learned judge found the defence version to lack credibility. He also held that it did not raise a reasonable doubt in his mind. He found the accused's explanation to be one of recent invention because of the way in which the defence case was put to the witnesses for the prosecution. In our judgment the judge was certainly entitled to do that. On the facts of this case he was justified in so doing.”
55
Perkara utama yang perlu dipertimbangkan secara maksima oleh mahkamah adalah di manakah sebenarnya beg P16 tersebut ditemui. Adakah naratif PR yang mengatakan bahawa ianya ditemui di tangan tertuduh atau naratif tertuduh bahawa P16 sebenarnya dijumpai dalam bilik di bahagian dapur rumah tersebut. Keterangan tertuduh disokong oleh keterangan SD2 yang maklumkan tidak pernah melihat beg seperti mana P16 dipegang oleh tertuduh.
56
Puan TPR dalam penghujahannya menegaskan bahawa mahkamah perlu berhari-hati dalam menilai keterangan SD2 memandangkan status SD2 yang merupakan isteri kepada tertuduh. Ini kerana SD2 dihujahkan sebagai saksi yang berkepentingan.
57
Peguam tertuduh dalam penghujahannya menegaskan bahawa keterangan SD2 yang tidak dicabar kredibilitinya oleh pihak PR menunjukkan SD2 telah sejak awal lagi memberi keterangan yang benar kepada SP3 dan boleh dianggap konsisten dengan keterangannya di mahkamah yang menyokong keterangan tertuduh di peringkat pembelaan.
58
Dalam kes Ibrahim Bakri v PP [2014] 1 LNS 1943, Mahkamah Rayuan telah menyatakan bahawa adalah munasabah untuk beranggapan bahawa keterangan seseorang isteri tidak akan menjejaskan suaminya. Mahkamah Rayuan telah merujuk kepada keputusan dalam kes Haji Abdul Ghani bin Ishak & Anor v. Public Prosecutor [1981] CLJU 96; [1981] 1 LNS 96; [1981] 2 MLJ 230 dan menyatakan seperti berikut: “[42] As for the evidence of DW2, the wife of the accused, the learned Judicial Commissioner found that DW2 is an interested witness whose evidence is tailored not to incriminate the accused who is her husband. DW2's evidence must be weighed against other evidence adduced by the prosecution. DW2 at the material time was the wife of the accused. The accused was charged with an offence punishable with death sentence. As a wife, it is reasonable to expect that she will ensure that her evidence will not incriminate her husband. This can be seen from the evidence she gave to the Court that she never clean the rooms in the house since they moved in and therefore has no knowledge about the black plastic bag and its content. DW2's evidence must be weighed against other evidence adduced by the prosecution. The approach to be taken by the Court in dealing with evidence of this nature is found in the judgment of Wan Yahya J (as he then was) in Haji Abdul Ghani bin Ishak & Anor v. Public Prosecutor [1981] CLJU 96; [1981] 1 LNS 96; [1981] 2 MLJ 230. His Lordship said that: “As a wife testifying in a serious case against her husband, she could not be expected to be entirely immune from being unbiased, or in any event, uninterested. Moreover, when there are other evidences to the contrary, this court is not bound to accept each and every word in her evidence. If what was suggested is to be followed in the unqualified form, the function of a trial judge or jury will become obsolete and such function could be better decided by computer. There is nothing to deter the trial judge or jury picking or choosing any piece of evidence from a witness while rejecting others which he or they felt not credible enough. After all a witness is capable of saying both truths and untruths. If, for any good reason, the court feels that part of his evidence should be preferred to the other, then it is at liberty to accept that part and reject the others. Indeed this has to be so when dealing with human as opposed to mechanical factors. This is partly why we are here to adjudge a case.” [43] On the above principle, we are of the view that the Judicial Commissioner is therefore correct to treat DW2's evidence with great caution; and in light of other relevant evidence had placed very little probative value on her evidence.”
59
Atas prinsip yang telah dinyatakan oleh Mahkamah Rayuan tersebut, mahkamah mendapati SD2 sendiri telah menyatakan bahawa SD2 terpaksa menyara keluarganya bersendirian selepas tertuduh ditangkap kerana kedudukannya sebagai isteri dan ibu kepada anak mereka. Sehubungan dengan itu, mahkamah merasakan perlu berhati-hati dalam menilai keterangan dan perlu untuk membandingkan keterangannya dengan keterangan-keterangan lain yang telah dikemukakan.
60
Peguam tertuduh menghujahkan bahawa adalah merupakan saksi yang ditawarkan oleh pihak PR dan dalam masa yang sama pihak PR tidak mengambil tindakan untuk mengakaskan keterangan SD2. Oleh itu, ia menjadikan SD2 adalah saksi yang berkredibel dan keterangannya boleh diterima masuk.
61
Mahkamah berpandangan bahawa penentuan kredibiliti seseorang saksi bukanlah tertakluk kepada pemilihan pihak PR sama ada untuk mengakaskan keterangan saksi tersebut berdasarkan rakaman percakapan yang telah diberikan semasa proses siasatan. Ini kerana mahkamah tidak boleh mengagak atau menjangkakan apakah bentuk keterangan yang telah diberikan kepada pegawai penyiasat. Sesuatu proses pengakasan akan hanya wujud apabila wujud percanggahan keterangan yang material. Perkara ini bukan dalam pengetahuan mahkamah dan ia merupakan budi bicara penuh pihak PR.
62
Kewajipan mahkamah sebaliknya adalah untuk menilai keterangan yang dikemukakan di hadapan mahkamah secara objektif untuk menentukan kredibiliti serta nilai keterangannya kepada mahkamah.
63
Mahkamah mendapati bahawa keterangan tertuduh dan SD2 berkaitan bagaimana SP1 masuk dan membawa tertuduh masuk ke dalam bilik di bahagian dapur adalah sangat tidak munasabah. Ini kerana fakta yang tidak dipertikaikan adalah pihak polis tidak mengenali tertuduh dan tidak pernah masuk ke rumah tertuduh. Malahan maklumat yang diterima oleh pihak polis adalah sekadar terdapat aktiviti pengedaran dadah di rumah tersebut.
64
Namun keterangan SD2 dan tertuduh menyatakan bahawa pihak polis sebaik masuk ke rumah tersebut telah menahan tertuduh dan terus membawanya masuk ke bilik di bahagian dapur rumah tersebut. Ia seolah-olah pihak polis telah mengetahui kewujudan bilik tersebut dan keperluan untuk masuk dan mendapatkan sesuatu dalam bilik tersebut.
65
Mahkamah berpandangan bahawa naratif yang dibawa oleh tertuduh dan SD2 adalah sangat mencurigakan dan sukar dipecayai. Ia seoalah-olah mencadangkan pihak polis telah mengetahui kedudukan beg P16 dan dadah di dalamnya sebelum serbuan dibuat. Ia adalah tidak munasabah dan perkara yang sama tidak pula pernah diletakkan kepada SP2 semasa SP2 memberi keterangan.
66
Selanjutnya, mahkamah turut mendapati bahawa keterangan tertuduh dan keterangan SD2 adalah bercanggahan berkaitan bila tertuduh kononnya dibawa masuk ke dalam bilik di bahagian dapur. Ini kerana menurut tertuduh, SD2 terlebih dahulu disuruh masuk ke dalam biliknya sebelum tertuduh dibawa masuk ke bilik di bahagian dapur. Namun menurut SD2, dia melihat tertuduh dibawa masuk ke dalam bilik di bahagian dapur sebelum dia masuk ke dalam biliknya.
67
Perkara ini bagi mahkamah adalah sangat material kerana ia melibatkan teras pembelaan tertuduh bahawa beg P16 tidak ditemui dari tangannya tetapi sebaliknya dari dalam bilik di bahagian dapur rumah tersebut.
68
Apatah lagi keterangan SD2 semasa disoal balas oleh Puan TPR menyatakan baahwa SD2 bersetuju tidak tahu bagaimana tertuduh ditangkap kerana semasa polis masuk ke dalam rumah tersebut, SD2 berada dalam biliknya. SD2 malahan menyatakan semasa disoal balas dia hanya tahu polis berada dalam rumahnya selepas tertuduh ditangkap.
69
Keseluruhan keterangan-keterangan tertuduh dan SD2 ini setelah dibandingkan dengan keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh pihak PR mewajarkan mahkamah merumuskan bahawa pembelaan tertuduh adalah tidak lain cuma suatu pembelaan yang direka-reka. Ia tidak berjaya membangkitkan apa-apa keraguan ke atas keterangan pihak PR dan dalam masa yang sama tidak mendedahkan apa-apa jawapan ke atas andaian pengedaran yang telah dibangkitkan oleh mahkamah di akhir kes pendakwaan.
70
Mahkamah berpandangan bahawa pembelaan tertuduh satu yang boleh disifatkan sebagai penafian kosong semata-mata sepertimana yang telah digariskan oleh beberapa nas duluan sepertimana dalam kes D.A Duncan v PP [1980] 2 MLJ 195 dan Magendran Mohan v PP [2010] 5 CLJ 390. Kesimpulan di akhir kes
71
Berdasarkan analisis maksima ini, mahkamah memutuskan bahawa pihak PR telah berjaya membuktikan kes tanpa keraguan yang munasabah ke atas tertuduh. Hukuman
72
Peguam tertuduh telah memohon mahkamah untuk tidak mengenakan hukuman mati dan menyatakan bagi pihak tertuduh perkara-perkara berikut: a) tertuduh adalah berusia 45 tahun dan semasa ditangkap merupakan seorang pemandu lori; b) tertuduh juga telah beristeri dan mempunyai seorang anak; c) berat bersih dadah dalam kes ini hanyalah 180.6 gram methamphetamine iaitu 2 kali ganda berat minima; d) tertuduh turut tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan merupakan seorang warganegara yg baik sebelum ini; e) berdasarkan keterangan yang dikemukakan tiada sebarang cubaan melarikan diri, pergelutan dan tertuduh dikatakan telah memberi kerjasama yang baik; f) tertuduh menyatakan keinsafan dan kekesalan atas apa yang berlaku serta memohon maaf kepada ahli keluarga, mahkamah dan masyarakat; dan g) apa yang berlaku telah menjadi pengajaran kepadanya dan ahli keluarga.
73
Peguam menghujahkan agar mahkamah tidak mengenakan hukuman mati sebaliknya mengenakan hukuman pemenjaraan sebagai altenatif.
74
Puan TPR seperti kebiasaannya telah menegaskan bahawa mahkamah perlu menjatuhkan hukuman bagi menunjukkan ketegasan mahkamah dengan memberi pertimbangan utama ke atas kepentingan awam. Walaubagaimanapun, bagi pihak PR, tiada desakan dikemukakan oleh Puan TPR bagi mahkamah ini mengenakan hukuman mati.
75
Menerusi Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846), hukuman bagi kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta 234 telah dipinda iaitu hendaklah dihukum apabila disabitkan dengan mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika dia tidak dijatuhkan hukuman mati, dihukum sebat tidak kurang daripada dua belas sebatan. Ini bermakna, budi bicara diberi sepenuhnya kepada mahkamah untuk menentukan pilihan hukuman (rujuk: Loh Hock Seng & anor v. PP [1979] CLJU 48; [1980] 2 MLJ 13 dan DA Duncan v. PP [1980] CLJU 12; [1980] 2 MLJ 195).
76
Bagi maksud tersebut, mahkamah telah menimbangkan bahawa ini kesalahan pertama tertuduh dan oleh itu wajar tertuduh diberi peluang kedua. Keterangan kes turut menunjukkan bahawa kes ini tidak melibatkan keterangan pengedaran secara langsung namun sebaliknya berdasarkan andaian pengedaran. Mahkamah bersetuju dengan hujahan peguam tertuduh agar tertuduh diberi pertimbangan untuk tidak dikenakan hukuman mati.
77
Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas tertuduh bermula dari tarikh tangkap dan 12 sebatan rotan. Bertarikh: 11hb. Februari 2026 (DATUK MOHAMAD ABAZAFREE BIN MOHD ABBAS) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Alor Setar, Kedah. Pihak-Pihak: Bagi Pihak Pendakwa Raya : Kamaliza binti Md Zain Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah Darul Aman Aras 4, Blok C, Wisma Darul Aman 05250 Alor Setar Kedah Darul Aman Bagi Pihak Tertuduh : Mohd Khairul Hafizuddin bin Ramli Peguambela & Peguamcara Tetuan Khairul Hafizuddin & Co. No. 15-11, G Residence Alor Setar Jalan Stadium 05100 Alor Setar Kedah Darul Aman Tarikh Keputusan : 14hb. Januari, 2026 Undang-Undang Yang Dirujuk: Akta Dadah Berbahaya 1952 Kanun Tatacara Jenayah Akta Keterangan 1950 Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 Kes-Kes Yang Dirujuk: Balachandran v. PP [2005] 1 CLJ 85 PP v. Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457 Muhammad Lukman Mohamad v. PP [2021] 7 CLJ 524 Mohammad Hafizul Rashid Emmy Jefri v. PP [2023] CLJU 444 Mazlan bin Mustaffa v. PP [2015] CLJU 192 Chan Pean Leon v. PP [1956] CLJU 17; [1956] MLJ 237 Ibrahim Mohamad & Anor v. PP [2011] 4 CLJ 113 Romi Amora Amir v. PP [2011] 1 CLJ 870 PP v Lam Peng Hoa & Anor [1996] 3 CLJ 747 Chan Kim Seng v PP [2016] 3 MLJ 80 Adib Nafis bin Hassane Nafis lwn Public Prosecutor [2020] 1 LNS 1240 Parlan Dadeh v. PP [2009] 1 CLJ 717 Zainuddin bin Abbas v. PP [2014] 1 LNS 1356 Abdullah Zawawi Omar v PP [1985] CLJ Rep 19 Muhammad Akmal Zuhairi bin Azmal dan lain-lain v PR [2025] 4 CLJ 837 PP v Ragunathan Thangiah [2024] CLJU 2110 Hemankumar Subramaniam v PP [2020] 3 CLJ 844 Abdullah Atan v. PP & Other Appeals [2020] 9 CLJ 151 Wan Marzuki Wan Abdullah v. PP [2008] 4 CLJ 631 Ibrahim Bakri v PP [2014] 1 LNS 1943 Haji Abdul Ghani bin Ishak & Anor v. Public Prosecutor [1981] CLJU 96; [1981] 1 LNS 96; [1981] 2 MLJ 230 D.A Duncan v PP [1980] 2 MLJ 195 Magendran Mohan v PP [2010] 5 CLJ 390 Loh Hock Seng & anor v. PP [1979] CLJU 48; [1980] 2 MLJ 13
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.