Preamble
menurut beliau dalam pemeriksaan utama (selepas ini disebut EIC, RR Jilid 2 m/surat 7 di para 124-133) ” …masa kejadian, saya dari Tanah Merah nak balik ke rumah saya di Kuala Krai. Lori itu mari alik (sebelah/arah) depan saya. Dia dari Kuala Krai…Laluan lori ada dua Lorong. Lori itu masuk Lorong saya. Saya rasa dia di lorong dekat dengan saya sebab dia bidas saya…Lori itu gerak ke kiri dan masuk ke lorong saya (macam bentuk S berdasarkan pergerakan yang ditunjuk SP2). “Masa kejadian, saya menghala ke Kuala Krai. Saya di lorong B-C. Lori itu dari arah Kuala Krai ke Kota Bharu. Dia berada di lorong C-D. Saya kaba-kaba, lori itu masuk lorong saya doh. Dia mari mengejut gitu.” [28] Mahkamah ini mendapati pihak pendakwaan telah berjaya mengemukakan elemen pertuduhan iaitu Perayu memandu dengan cara yang merbahaya dengan memanggil saksi yang terlibat secara langsung (SP2) dan juga saksi melihat “eye-witness” (SP4 dan SP6) yang berada tidak jauh dari tempat KJR berlaku. [29] Setelah diteliti, Mahkamah ini mendapati, sekiranya kesemua keterangan lisan saksi-saksi pendakwaan dan pembelaan; baik daripada SP2 sendiri, saksi SP4, SP6, SP7 dan SD1 (Perayu) digabungkan dan dinilai secara ‘in toto’, Mahkamah ini mendapati Majistret yang bijaksana telah membuat dapatan yang betul. [30] Daripada pemerhatian dan penelitian Mahkamah ini ke atas rakaman “dashcam” (P15), didapati m/treler telah memasuki lorong di sebelah kirinya beberapa detik dan secara tiba-tiba terus memasuki lorong beretentangan lalu berlaku KJR tersebut. (Rujuk eksibit P15; rakaman “dashcam” pada durasi 4.04 hingga 4.40). [31] Jika diperhatikan pada rakaman “dashcam” pada durasi 4.04, didapati m/treler telah memotong sebuah kereta Perodua Viva beberapa ketika sebelum berlaku KJR. Perayu boleh dilihat memotong kenderaan tersebut di garisan putus-putus; bermaksud kenderaan boleh dibenarkan memotong kenderaan lain. [32] Namun faktor yang perlu diambil kira oleh Mahkamah ini ialah keadaan jalan raya yang basah akibat hujan masih turun di sepanjang perjalanan yang dilalui Perayu sebelum dan selepas m/treler memotong kereta Perodua Viva itu. Mahkamah ini berpendapat dalam keadaan permukaan jalan raya dan cuaca yang sebegitu sangat memungkinkan jalan raya akan menjadi lebih licin dan bahaya daripada biasa. Dengan keadaan muatan dan beban m/treler itu sendiri; Mahkamah ini berpendapat, Perayu telah mewujudkan keadaan merbahaya kepada pengguna jalan raya lain pada masa dan tempat laluan dilalui Perayu seawal di durasi 4.04 itu lagi hingga berlakunya KJR seperti rakaman “dahcam” pada durasi 4.40. [33] Mahkamah ini mendapati Majistret yang bijaksana telah membuat dapatan di akhir kes pendakwaan yang betul dengan membuat rumusannya di para 24 Alasan Penghakiman beliau (rujuk muka surat 26 RR Jilid 1): “Keadaan ini pada pandangan mahkamah menunjukkan fakta bahawa m/treler yang dipandu oleh tertuduh, telah dipandu dalam keadaan laju lalu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan. Ini telah menjadi fakta yang tidak boleh disangkal mana-mana pihak. Namun mahkamah perlu menilai apakah punca m/treler tersebut hilang kawalan sehingga masuk ke laluan bertentangan. Pihak pendakwaan telah mengemukakan P15 iaitu rakaman dashcam kepada mahkamah dan mahkamah telah merujuk kepada rakaman dashcam (P15) tersebut semasa perbicaraan kes ini. Berdasarkan rakaman dashcam tersebut, mahkamah mendapati bahawa m/treler yang dipandu oleh tertuduh berada dalam keadaan laju semasa di kawasan berselekoh dan menurun bukit. Ini pada pandangan mahkamah menunjukkan tertuduh selaku pemandu m/treler telah memandu secara merbahaya sebelum kemalangan berlaku kerana pemandu yang mahir sudah pasti tidak akan memandu dengan laju di Kawasan berselekoh dan sedkit menurun. Apatah lagi dalam kes ini, tertuduh memandu kenderaan berat dan besar yang turut membawa muatan yang berat dalam keadaan hujan renyai-renyai” [34] Malah keterangan pemanduan laju di atas dengan selari dengan keterangan Perayu yang mengaku telah memandu “laju sedikit” semasa dan selepas memotong kereta Perodua Viva. (Sila rujuk di para 2088 m/surat 70 RR Jilid 2): “Keadaan cuaca masa tu hujan. Kelajuan treler lepas saya potong tu agak laju sikit sebab saya takut kereta belakang tu marah balik sebab kita dah potong dia. Secara umumnya kalau kita dah potong dia, kita kena laju sikit daripadanya” [35] Mahkamah ini mendapati fakta kewujudan fakta-fakta berikut: i. keadaan jalan raya licin, ii. hujan yang renyai ketika KJR, iii. saiz m/treller yang dipandu Perayu, iv. memotong kenderaan lain selepas satu selekoh dan menuruni bukit sebelum lokasi KJR [33] Adalah sangat munasabah, seorang pemandu (seperti Perayu) yang sebelum dan selepas mengambil selekoh unuk mengambil tindakan memandu dan mengawal m/treller beliau dengan berhati-hati. Namun menerusi keterangan SD1 sendiri, Perayu mengambil tindakan yang lazimnya tidak dilakukan oleh seorang pemandu (kenderaan berat) yang berpengalaman. [34] Mahkamah menganggap tindakan Perayu memotong kenderaan Perodua Viva di hadapannya sebelum satu selekoh sebagai tindakan yang merbahaya berdasarkan kepada keadaan jalan (sejurus sebelum selekoh). Tindakan pemandu m/treller (Perayu) memotong kenderaan itu juga dilihat oleh Mahkamah ini di luar kebiasaan seorang pemandu yang berhemah dengan mengambil kira faktor jalan raya dan cuaca pada masa itu. [35] Walaupun laluan Perayu sebelum KJR berlaku ada dua lorong namun sejurus sebelum secara tiba-tiba memasuki laluan sah SD2, Perayu telah mengambil selekoh dalam keadaan hujan renyai dan jalan raya basah, kemungkinan berlakunya m/treler Perayu untuk cenderung “makan jalan” (masuk laluan bertentangan) adalah sangat tinggi. [36] Mahkamah ini juga bersetuju dengan dapatan Majistret terpelajar yang mengatakan apabila Perayu mendakwa tayar m/trelernya sebelah kiri meletup / pecah sejurus sebelum badan m/treller senget ke kanan (masuk ke laluan SP2) dan melintang jalan raya sebagai suatu fakta yang bertentangan dengan hukum fizik. [37] Daripada keterangan SP5 (Pegawai Pemeriksa PUSPAKOM) jelas menunjukkan bahawa tayar m/treler yang berkenaan dengan KJR ini cuma kempis sahaja dan bukannya pecah. Keterangan beliau (SP5) tentang fakta ini dizahirkan dalam RR Jilid 2 di muka surat 30 para 846-848 dan muka surat 36 para 1005 dan muka surat 37 para 1031-1032. Laporan Pemeriksaan yang SP5 sediakan juga (P8C) menyokong keterangan beliau. [38] Mahkamah ini turut bersetuju dengan Majistret terpelajar yang mengaitkan hukum fizik apabila berlakunya “tayar pecah sebelah kiri”. Hukum fizik yang Mahkamah ini ambil kira ataupun “judicial notice” ialah; yang sepatutnya dan paling munasabah, apabila sebiji daripada tayar sebelah kiri m/treler tiba-tiba pecah maka ia akan cenderung atau senget ke kiri dan bukannya ke arah kanan, yang seterusnya mendorongnya untuk menggelungsur dan melintang hingga memasuki laluan sah kereta Bezza yang dipandu SP2. [39] Mahkamah ini juga mengambil maklum tentang laporan polis yang dibuat oleh SD1 / Perayu (rujuk eksibit P10; muka surat 24 RR Jilid 3). Menurut SD1 sebagai repot polis “pembetulan” telah dibuat oleh SD1 / Perayu dalam kes ini selepas satu hari selepas tarikh KJR itu. Matan dalam repot polis tersebut ialah penafian Perayu tentang kejadian tayar m/trelernya yang sebelum itu dikatakan meletup (dalam laporan pertama kalinya pada tarikh kejadian). Di dalam P14, SD1 / Perayu menyatakan: “Saya ingin membuat pembetulan repot iaitu pada hari kemalangan jalan raya pada 11/05/2022 cuaca gelap dan jalan licin akibat hujan lebat dan saya dapati dapati tayar belakang sebelah kiri tidak pecah dan tidak meletup…” [40] Pada pendapat Mahkamah ini wujudnya P10 repot penafian itu dengan sendirinya menafikan pembelaan Perayu yang antara lainnya mendakwa sebelum berlaku KJR tayar m/treler meletup hingga menyebabkannya (badan m/treler) berlipat / menolak bahagian kepala m/treler. (Sila rujuk muka surat 70 di baris 2065 dan 2094, RR Jilid2: “Ya, saya dengar letupan. Saya yakin tu bunyi tayar pecah. Kuat bunyinya. Selepas saya dengar bunyi letupan, saya brek, lepas tu treler saya patah ke kiri sikit kemudian dia masuk ke Lorong bertentangan….” [41] Persoalannya di sini; sekiranya, jika fakta tersebut (tayar m/treler Perayu tidak pecah dan tidak meletup) tidak wujud, apa yang menyebabkan Perayu memandu m/treler hingga memasuki laluan sah SD2? [42] Mahkamah ini membuat kesimpulan berdasarkan rakaman “dashcam” pada durasi 4.38 hingga 4.40, di mana, adalah jelas menunjukkan m/treler “mengarah / terdorong” ke kiri sedikit kemudian melencung ke arah kanan laluan bertentangan sejurus melalui permukaan jalan yang bertakung air. [43] Jika dilihat kepada keterangan Perayu sendiri di MMPM, di m/surat 70 para 2065 Jilid 2 RR yang mengatakan “…saya brek, lepas tu treler saya patah ke kiri sikit”. Mahkamah ini berpendapat perbuatan Perayu membrek m/trelernya (di jalan berair) adalah suatu tindakan yang merbahaya dengan ambil kira keadaan jalan (yang basah / licin akibat hujan yang masih turun). Barang diingat, keadaan trafik yang ada pada masa itu masih aktif yang mana kenderaan masih kelihatan menggunakan jalan raya di situ di laluan kedua-dua arah). [44] Tindakan Perayu yang memasuki ke kiri (lorong sebelah arah sama, Kuala Krai ke Kota Bharu) sesungguhnya adalah merbahaya kerana permukaan jalan / lorong itu dipenuhi air. Tindakannya Perayu yang seterusnya membrek yang menyebabkan arah laluan m/treler tersebut “teralih” dan terdorong ke haluan bertentangan yang memasuki arah laluan sah SP1 (arah Kota Bharu ke Kuala Krai.) [45] Mahkamah ini berpendapat tindakan / perbuatan Perayu sebagai pemandu suatu kenderaan berat (m/treler) bukan sahaja merbahaya malah ianya bukan suatu tindakan yang lazim dilakukan oleh seorang pemandu kenderaan berat yang berpengalaman dan berwibawa. [46] Mahkamah ini mendapati apabila semua keterangan dalam kes ini diteliti secara objektif; maka ia menjurus kepada hanya satu kesimpulan sahaja iaitu, pemanduan Perayu sejurus sebelum berlakunya KJR tersebut sememangnya merbahaya dengan mengambil kira faktor-faktor di (i) hingga (iv). [47] Dalam rayuan semasa, keadaan jalan hujan yang menuruni Kawasan agak berbukit, ada lopak air (kelihatn ada lopak air di permukaan jalan raya yang dilalui m/treler di durasi yang disebutkan). Tindakan Perayu membrek sejurus melalui lopak air adalah indikasi / kesimpulan mutlak iaitu pemanduan Perayu pada masa dan tempat seperti dalam Pertuduhan adalah merbahaya dengan mengambilkira elemen (i), (ii), (iii) dan (iv) dalam seksyen 41 (1) APJ 1987 [48] Oleh yang demikian, Mahkamah ini berpendapat Majistret Bicara telah menimbangkan pembelaan Perayu dengan sewajarnya. Mahkamah ini mendapati keputusan Majistret yang bijaksana menolak pembelaan adalah tepat kerana ianya (pembelaan tersebut) gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan (dengan berlandaskan segala keterangan saksi dan keterangan dokumentar yang ada (khususnya rakaman dashcam). [49] Malah pada hemat Mahkamah ini; pembelaan Perayu itu hanya menjurus kepada tahap pemanduan Perayu yang berbahaya yang memenuhi elemen seksyen pertuduhan yang dihadapainya. [50] Mahkamah ini ambil maklum bahawa Perayu sendiri yang telah mewujudkan situasi berbahaya dengan “membrek dan “bahagian ekor berlipat” dan “terkena bahagian kepala dan termasuk ke laluan bertentangan” sehingga menyebabkan m/treler melanggar melanggar kenderaan” (dipandu SD2) yang mana fakta ini telah dimaklumkan dalam repot polis Perayu sendiri (P2). [51] Mahkamah ini turut membuat dapatan fakta bahawa Perayu membrek m/treler iaitu kerana tayar kenderaannya meletup telah ditarik balik dalam repot polis di eksibit P10. Oleh itu, dengan tiadanya kejadian tayar m/treler yang meletup sebelum ia membrek; ini sekaligus menjurus kepada pemanduan berbahaya di pihak Perayu semata-mata. [52] Mahkamah ini berpendapat pemanduan beliau berbahaya apabila Perayu bertindak membrek semasa memandu di permukaan jalan raya yang dipenuhi lopak air seperti yang dizahirkan dalam rakaman “dashcam” pada durasi 4.35-4.40 (di eksibit P15) [53] Oleh itu jika dilihat kepada keseluruhan keterangan baik dalam kes pendakwaan mahupun pembelaan, Mahkamah ini tidak mengesan atau mendapati sebarang “intervening cause” yang menyebabkan berlaku KJR tersebut. Ini kerana segala keterangan yang ada hanya menjurus kepada faktor pemanduan berbahaya Perayu sahaja sebelum berlakunya KJR tersebut. Prinsip Undang-undang [54] Keperluan atau pembuktian sek 41 (1) APJ telah dinyatakan dalam kes Ramiah v PP (1972) CLJU 120, Raja Azlan Shah J (pada masa itu) menyatakan: “It is not the law under s, 34A of the Road Traffic Ordinance that merely because an accident had happened and a person had been killed, danger had in that sense arisen and therefore it must follow, as the night, the day, that the appellant was driving in the manner dangerous to the public. In a case under s.34A, two things must be established. First, there must be a situation created by the accused, which, viewed objectively, is dangerous….” Secondly, the prosecution must prove that when creating such a situation the appellant must be at fault. “fault involves a failure below the care and skill of a competent and experienced driver, in relation to the manner of driving and to the relevant circumstances” [55] Adalah menjadi prinsip matan bahawa, “relevant circumstances” dalam penghakiman Hakim Raja Azlan Shah itu adalah merujuk kepada elemen yang telah pun dijadikan sebahagian daripada pembinaan seksyen 41(1) APJ sejak 1987 lagi iaitu:”… jenis keadaan, saiz jalan dan kesesakan lalulintas yang dijangka ada di jalan itu, telah memandu dengan merbahaya…” (including the nature, condition and size of the road and the amount of traffic which is or might be expected to be on the road) is dangerous to the public) [56] Seperti yang semua sedia maklum, perkataan pemanduan merbahaya (yang menjadi salah satu opsyen atau pilihan selain memandu melulu atau “reckless”) di bawah di bawah seksyen 41 (1) APJ 1987 ada dijelaskan dalam kes PP v Zulkifli b Omar