hak mengemukakan pembelaan tambahan. [58] Rekod rayuan di hadapan Mahkamah ini tidak menunjukkan dengan memuaskan bahawa hak-hak tersebut telah diterangkan secara bermakna kepada Perayu. [59] Ketiadaan permohonan untuk memanggil semula saksi juga tidak boleh dianggap sebagai pengetepian ("waiver") terhadap ketidakadilan struktur yang telah berlaku, khususnya apabila implikasi sebenar pindaan tersebut tidak dijelaskan dengan secukupnya. Prinsip Perbicaraan Adil [60] Mahkamah ini berpendapat bahawa isu ini turut menyentuh prinsip perbicaraan adil di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan. [61] Seseorang tertuduh berhak mengetahui dengan pasti sifat pertuduhan yang perlu dijawab olehnya. [62] Hak tersebut akan terjejas sekiranya keseluruhan sifat pertuduhan boleh diubah hanya selepas pihak pendakwaan menutup kes. [63] Dalam prosiding jenayah, mahkamah di peringkat rayuan tidak boleh menutup mata terhadap suatu ketidakaturan serius yang jelas pada rekod walaupun ia tidak dihujahkan secara teknikal atau sempurna oleh peguam. [64] Di dalam kes Yahya Hussein Mohsen Abdulrab v. PP [2021] MLRAU 168; [2021] 5 MLJ 811; [2021] 9 CLJ 414, Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun di Mahkamah Persekutuan telah merujuk kes Lee Kwan Woh v. PP [2009] 2 MLRA 286; [2009] 5 MLJ 301; [2009] 5 CLJ 631; [2010] 2 AMR 231 yang menyatakan: "Drawing the threads together, it is clear from the authorities that it is a fundamental right guaranteed by art 5(1) that a person's life (in its widest sense) or his or her personal liberty (in its widest sense) may not be deprived save in accordance with state action that is fair both in point of procedure and substance. Whether an impugned state action is substantively or procedurally lair must depend on the fact pattern of each case. However, when the principle is applied to a criminal case, what it means is that an accused bas a constitutionally guaranteed right to receive a fair trial by an impartial tribunal and to have a just decision on the facts. If there is an infraction of any of these rights, the accused in entitled to an acquittal. Whether there has been a fair trial by an impartial tribunal or a just decision on the facts of each case. [65] Selain isu pindaan pertuduhan yang telah dibincangkan terdahulu, Mahkamah ini juga berpendapat bahawa sabitan terhadap Perayu adalah tidak selamat berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan di Mahkamah Bicara. [66] Mahkamah ini mengingatkan diri bahawa dalam kes-kes berbentuk seksual, Mahkamah hendaklah menilai keterangan dengan penuh berhati-hati memandangkan tuduhan sedemikian amat mudah dibuat tetapi amat sukar dipatahkan. [67] Dalam kes Nor Hafiz Hanapi v PP [2024] CLJU 1082, Mahkamah Tinggi menegaskan bahawa walaupun Mahkamah perlu memandang serius dakwaan kesalahan seksual, sabitan tidak boleh diasaskan atas sentimen atau emosi semata-mata tanpa pembuktian kukuh terhadap elemen-elemen kesalahan. [68] Dalam kes rayuan ini, Mahkamah mendapati beberapa kelemahan material dalam kes pendakwaan yang secara kumulatif telah mewujudkan keraguan munasabah terhadap keselamatan sabitan. Percanggahan Material Dalam Keterangan SP3 [69] Mahkamah ini mendapati keterangan SP3 bukan sahaja mengandungi percanggahan, malah percanggahan tersebut menyentuh inti pati kejadian yang didakwa berlaku. [70] Antara percanggahan yang ketara adalah berkaitan bagaimana kejadian tersebut berlaku, kedudukan pihak-pihak, cara sentuhan dilakukan serta reaksi SP3 sendiri selepas kejadian. [71] Sebagai contoh, dalam laporan polis P5, SP3 menyatakan: "Apabila pintu lift terbuka saya segera masuk ke dalam lift sambil diikuti oleh Doktor Khairul Mukhsin." [72] Walau bagaimanapun, dalam keterangannya di Mahkamah, SP3 pula menyatakan bahawa Perayu masuk ke dalam lif terlebih dahulu sebelum beliau mengikut masuk. [73] Apabila percanggahan tersebut dicadangkan kepadanya semasa pemeriksaan balas, SP3 sendiri mengakui bahawa laporan polisnya bercanggah dengan rakaman CCTV. [74] Mahkamah ini berpendapat bahawa percanggahan tersebut bukan sekadar "minor discrepancies" sebagaimana diputuskan oleh Majistret Bicara. [75] Sebaliknya, percanggahan tersebut menyentuh urutan kejadian dan tingkah laku SP3 selepas insiden yang didakwa berlaku. [76] Sekiranya benar SP3 baru sahaja menjadi mangsa suatu serangan seksual, persoalan bagaimana beliau terus mengikuti Perayu masuk ke dalam lif yang sama tanpa menunjukkan sebarang cubaan menjauhkan diri merupakan suatu keadaan yang relevan dan material untuk dinilai oleh Mahkamah. [77] Mahkamah ini juga mendapati terdapat percanggahan berkaitan sifat sentuhan yang didakwa berlaku. Dalam satu keadaan SP3 menyatakan bahawa payudaranya "dipegang", manakala rakaman CCTV yang dirujuk tidak secara jelas menunjukkan sebarang perbuatan memegang sebagaimana yang dihujahkan. [78] Malah, terdapat juga percanggahan mengenai tempoh kejadian yang dikatakan berlaku selama "2-3 saat" sedangkan berdasarkan rakaman CCTV, pergerakan tersebut berlaku dengan amat pantas dan tidak konklusif. [79] Mahkamah ini berpendapat bahawa percanggahan percanggahan tersebut bukan bersifat remeh, sebaliknya menyentuh asas pertuduhan dan kebolehpercayaan versi pendakwaan itu sendiri. Reaksi SP3 Selepas Kejadian [80] Mahkamah ini juga mendapati bahawa reaksi SP3 selepas kejadian adalah tidak selari dengan dakwaan bahawa beliau baru sahaja mengalami suatu bentuk kekerasan jenayah atau pencabulan kehormatan. [81] Keterangan menunjukkan bahawa: