Content
1 DI DALAM MAHKAMAH TINGGI DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA RAYUAN SIVIL NO: JA-12B-69-11/2023 ANTARA KIRUBAKARAN A/L MUNIANDY ...PERAYU
JA-12B-69-11/2023
High Court of Malaysia23 Jan 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DI DALAM MAHKAMAH TINGGI DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA RAYUAN SIVIL NO: JA-12B-69-11/2023 ANTARA KIRUBAKARAN A/L MUNIANDY ...PERAYU
1
NADARAJAN A/L CHEN CHIAH
2
SUGUMARAN A/L KRISHNAN
3
AM GENERAL INSURANCE BERHAD [(Company No. 44191-P) Dahulunya dikenali sebagai Kurnia Insurans Malaysia Berhad] ...RESPONDEN KETIGA DI DALAM MAHKAMAH SESYEN DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA WRIT SAMAN NO: JA-A53KJ-365-05/2021 ANTARA KIRUBAKARAN A/L MUNIANDY ...PLAINTIF
1
NADARAJAN A/L CHEN CHIAH
2
SUGUMARAN A/L KRISHNAN
3
AM GENERAL INSURANCE BERHAD [(Company No. 44191-P) Dahulunya dikenali sebagai Kurnia Insurans Malaysia Berhad] ...DEFENDAN KETIGA ALASAN PENGHAKIMAN
1
Rayuan ini adalah satu rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru (selepas ini dirujukkan sebagai “HMS”) yang telah, selepas perbicaraan penuh, menolak tuntutan Plaintif terhadap Defendan-Defendan dengan kos, serta seterusnya membuat taksiran gantirugi secara bersyarat.
2
Plaintif kini sebagai Perayu telah merayu terhadap keseluruhan keputusan tersebut, merangkumi dapatan berhubung liabiliti dan kuantum. Pada masa yang sama, Responden Ketiga (penanggung insurans) telah memfailkan rayuan balas terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak tuntutan deklarasinya.
3
Mahkamah ini telah meneliti dengan cermat keseluruhan Rekod Rayuan, Rekod Rayuan Tambahan termasuk Alasan Penghakiman Mahkamah Sesyen, keterangan saksi-saksi, hujahan bertulis dan hujahan balas semua pihak, serta autoriti yang dirujuk. Setelah mempertimbangkan keseluruhan rekod dan hujahan, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan dan kesimpulan HMS, khususnya dapatan fakta dan penilaian keterangan yang membawa kepada penolakan tuntutan Plaintif atas isu liabiliti.
4
Berikut adalah alasan-alasan Mahkamah ini dalam menolak kedua-dua rayuan dan rayuan balas. Pihak-pihak akan dirujuk sebagaimana mereka dirujuk semasa di Mahkamah Sesyen. LATAR BELAKANG RINGKAS DAN KEPUTUSAN MAHKAMAH
5
Tuntutan asal Plaintif adalah berasaskan dakwaan bahawa suatu kemalangan jalan raya telah berlaku pada tarikh material yang melibatkan motosikal bernombor pendaftaran PKA 2836 yang ditunggang oleh Plaintif dan motosikal bernombor pendaftaran JPQ 3957 yang ditunggang oleh Defendan Pertama serta dimiliki oleh Defendan Kedua, yang seterusnya menimbulkan liabiliti terhadap Defendan Ketiga selaku penanggung insurans. Plaintif mendakwa bahawa beliau telah dilanggar oleh motosikal JPQ 3957 yang dipandu dengan cuainya oleh Defendan Pertama ketika sedang menunggang motosikal PKA 2836 di KM 8, Jalan Johor Bahru–Air Hitam, sehingga menyebabkan Plaintif terjatuh.
6
Isu utama di hadapan Mahkamah Sesyen adalah sama ada Plaintif telah berjaya, atas imbangan kebarangkalian, membuktikan bahawa kemalangan tersebut melibatkan Defendan-Defendan Pertama dan Kedua, serta bahawa kecuaian Defendan-Defendan Pertama dan Kedua telah menyebabkan kecederaan yang dialami oleh Plaintif.
7
Selepas menilai keseluruhan keterangan lisan dan dokumentar, HMS telah membuat dapatan bahawa Plaintif gagal membuktikan penglibatan Defendan-Defendan Pertama dan Kedua dalam kemalangan tersebut, dan bahawa keterangan yang dikemukakan oleh Plaintif tidak mencukupi untuk menyokong versi kesnya.
8
HMS telah, antara lain, memberikan perhatian kepada: i. Percanggahan material dalam keterangan saksi-saksi Plaintif; ii. ketiadaan keterangan sokongan yang bebas dan kontemporari yang menyokong dakwaan penglibatan Defendan-Defendan Pertama dan Kedua; iii. dokumen-dokumen awal dan keterangan perubatan yang tidak menyokong berlakunya kemalangan melibatkan dua kenderaan sebagaimana dihujahkan oleh Plaintif.
9
Berdasarkan penilaian keseluruhan keterangan tersebut, HMS telah memutuskan bahawa Plaintif tidak berjaya melepasi beban pembuktian yang dituntut oleh undang-undang, dan oleh itu tuntutan Plaintif terhadap Defendan-Defendan ditolak dengan kos.
10
Walau bagaimanapun, HMS telah, sebagai langkah berhati-hati dan untuk tujuan rekod rayuan, meneruskan untuk membuat taksiran gantirugi secara bersyarat, sekiranya dapatan mengenai liabiliti tersebut kemudiannya diganggu oleh Mahkamah Tinggi .
11
Prinsip undang-undang yang mengawal tahap dan skop campur tangan Mahkamah Rayuan terhadap dapatan fakta oleh Mahkamah perbicaraan adalah mantap dan telah lama dimuktamadkan.
12
Mahkamah ini, apabila menjalankan bidang kuasa rayuannya, secara amnya tidak akan mengganggu dapatan fakta dan penilaian kredibiliti saksi yang dibuat oleh Hakim perbicaraan, melainkan dapat ditunjukkan bahawa dapatan tersebut adalah: i. dibuat atas prinsip undang-undang yang salah; ii. nyata tersalah (‘plainly wrong’); atau iii. dibuat tanpa atau dengan ketidakcukupan penilaian kehakiman terhadap keterangan (‘insufficient judicial appreciation of evidence’).
13
Prinsip ini telah diputuskan dengan jelas oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Lee Eng Chin & Ors v Gan Yook Chin & Anor [2003] 2 CLJ 19; [2003] 2 MLJ 97, dan kemudiannya ditegaskan semula oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Gan Yook Chin & Anor v Lee Ing Chin & Ors [2004] 4 CLJ 309, di mana Mahkamah menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan hanya wajar campur tangan sekiranya dapatan Hakim perbicaraan adalah nyata tersalah atau dibuat tanpa penilaian kehakiman yang mencukupi terhadap keseluruhan keterangan.
14
Prinsip yang sama turut ditegaskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes UMW Toyota Motor Sdn Bhd & Anor v Allan Chong Teck Khin & Anor [2021] 5 CLJ 193, di mana Mahkamah Rayuan mengingatkan bahawa dua ujian utama bagi campur tangan rayuan ialah: a) ujian ‘plainly wrong’; dan b) ujian ‘insufficient judicial appreciation of evidence’.
15
Selanjutnya, dalam kes Ong Leong Chiou & Anor v Keller (M) Sdn Bhd & Ors [2019] 1 LNS 26, Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa dapatan fakta oleh Mahkamah perbicaraan yang berasaskan penilaian terhadap keterangan lisan, kredibiliti saksi dan kebarangkalian keseluruhan kes tidak seharusnya diganggu semata-mata kerana Mahkamah Rayuan mempunyai pandangan berbeza, kecuali dapatan tersebut dapat dibuktikan sebagai nyata tersalah.
16
Prinsip ini beroperasi dengan lebih ketat dalam kes-kes yang bergantung secara signifikan kepada penilaian keterangan kontemporari dan kebolehpercayaan versi pihak-pihak, di mana Hakim perbicaraan berada pada kedudukan terbaik untuk menilai keseluruhan keterangan yang dikemukakan.
17
Sehubungan itu, beban yang dipikul oleh Plaintif sebagai Perayu dalam rayuan ini adalah suatu beban yang berat, iaitu untuk menunjukkan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah: i. tersalah arah dalam prinsip undang-undang; ii. gagal menilai keterangan material secara kehakiman; atau iii. mencapai dapatan yang nyata tersalah.
18
Tanpa pembuktian sedemikian, Mahkamah ini terikat untuk menghormati dan mengekalkan dapatan fakta yang dibuat oleh HMS. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH Isu Liabiliti – Diperincikan dengan Autoriti, Peruntukan Undang-Undang dan Hujahan Defendan-Defendan
a
Beban pembuktian dan piawaian undang-undang (statut dan autoriti)
19
Seperti dihujahkan oleh Defendan-Defendan Pertama dan Kedua, beban pembuktian dalam kes ini terletak sepenuhnya ke atas Plaintif untuk membuktikan, atas imbangan kebarangkalian, bahawa kemalangan yang didakwa melibatkan Defendan-Defendan Pertama dan Kedua benar-benar berlaku.
20
Prinsip ini diperuntukkan secara jelas di bawah Seksyen 101 dan Seksyen 102 Akta Keterangan 1950, yang meletakkan beban membuktikan kewujudan fakta ke atas pihak yang menegaskan fakta tersebut. Plaintif, sebagai pihak yang mendakwa kecuaian dan penglibatan Defendan, wajib membuktikan fakta asas itu terlebih dahulu sebelum Mahkamah boleh beralih kepada isu seterusnya.
21
Pendekatan ini adalah selaras dengan autoriti Mahkamah Rayuan dalam kes UMW Toyota Motor Sdn Bhd & Anor v Allan Chong Teck Khin & Anor [2021] 5 CLJ 193, di mana Mahkamah menegaskan bahawa kegagalan plaintif membuktikan fakta teras tuntutan adalah fatal, dan Mahkamah tidak boleh menggantikan kekurangan bukti tersebut dengan inferens atau andaian.
22
Mahkamah ini mendapati bahawa HMS telah menggunakan kerangka ini dengan tepat apabila memfokuskan kepada persoalan sama ada Plaintif berjaya membuktikan penglibatan Defendan-Defendan Pertama dan Kedua, dan bukan sekadar kewujudan kecederaan semata-mata [rujuk mukasurat 27–29 Rekod Rayuan Tambahan (selepas ini dirujukkan sebagai (“RRT”)].
b
Penilaian kredibiliti saksi dan percanggahan material 23. Defendan-Defendan Pertama dan Kedua telah menghujahkan bahawa keterangan saksi-saksi Plaintif mengandungi percanggahan material berhubung mekanisme kejadian, masa kejadian dan peranan kenderaan Defendan, yang menjejaskan kebolehpercayaan versi Plaintif secara keseluruhan.
24
Defendan Ketiga menyokong hujahan ini dengan menegaskan bahawa percanggahan tersebut menyentuh teras dakwaan kemalangan, bukan isu remeh atau sampingan, dan oleh itu tidak boleh diketepikan.
25
HMS menerima pendekatan ini dan mendapati bahawa percanggahan tersebut adalah material dan menjejaskan nilai probatif keterangan Plaintif (rujuk mukasurat 30–36 Rekod Rayuan Tambahan).
26
Prinsip campur tangan rayuan berhubung dapatan fakta dan kredibiliti saksi telah ditegaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Gan Yook Chin & Anor v Lee Ing Chin & Ors [2004] 4 CLJ 309, bahawa Mahkamah Rayuan tidak wajar mengganggu dapatan fakta melainkan dapatan tersebut adalah ‘plainly wrong’ atau dibuat tanpa penilaian kehakiman yang mencukupi.
27
Mahkamah ini mendapati tiada keadaan sedemikian ditunjukkan oleh Plaintif. Sebaliknya, dapatan HMS adalah hasil penilaian kehakiman yang munasabah terhadap keterangan yang bercanggah.
c
Dokumen kontemporari dan kebarangkalian keseluruhan kes 28. Satu teras hujahan Defendan-Defendan ialah pergantungan kepada dokumen kontemporari, termasuk laporan awal dan rekod perubatan, yang menurut mereka tidak menyokong dakwaan kemalangan antara dua kenderaan sebagaimana diplidkan oleh Plaintif.
29
Defendan Ketiga secara khusus menghujahkan bahawa ketiadaan catatan awal mengenai penglibatan Defendan Pertama dalam dokumen-dokumen tersebut adalah petunjuk objektif bahawa versi Plaintif adalah tidak munasabah.
30
HMS menerima hujahan ini dan menggunakan dokumen kontemporari sebagai ukuran objektif untuk menilai kebarangkalian keseluruhan kes (rujuk mukasurat 36–43 RRT).
31
Pendekatan ini selaras dengan prinsip yang dinyatakan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Ong Leong Chiou & Anor v Keller (M) Sdn Bhd & Ors [2019] 1 LNS 26, bahawa keterangan lisan perlu diuji terhadap bukti objektif dan kebarangkalian keseluruhan kes, dan Mahkamah berhak menolak versi yang tidak disokong oleh dokumen kontemporari.
d
Kegagalan pembuktian vs larangan spekulasi kehakiman 32. Defendan-Defendan turut menghujahkan bahawa HMS tidak membuat dapatan spekulatif mengenai punca alternatif kemalangan, sebaliknya mengekalkan fokus kepada prinsip asas bahawa kegagalan Plaintif membuktikan kesnya sendiri adalah mencukupi untuk menolak tuntutan.
33
Prinsip ini telah digariskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Lee Eng Chin & Ors v Gan Yook Chin & Anor [2003] 2 CLJ 19; [2003] 2 MLJ 97, bahawa Mahkamah tidak wajar menggantikan dapatan Mahkamah perbicaraan dengan teori atau andaian alternatif yang tidak dibuktikan oleh pihak yang menanggung beban pembuktian.
34
Mahkamah ini bersetuju dengan hujahan Defendan-Defendan bahawa pendekatan HMS adalah pendekatan kegagalan pembuktian, dan bukannya dapatan afirmatif yang melangkaui pliding atau keterangan.
e
Rumusan bersepadu: dapatan HMS diperkukuh oleh hujahan Defendan-Defendan 35. Apabila dapatan HMS dibaca bersama hujahan Defendan-Defendan dan autoriti yang dirujuk, Mahkamah ini mendapati bahawa:
a
Plaintif gagal membuktikan penglibatan Defendan Pertama dalam kemalangan yang didakwa;
b
Keterangan Plaintif adalah bercanggah dan tidak disokong oleh bukti objektif; dan
c
HMS telah menilai keterangan secara kehakiman dan selaras dengan Akta Keterangan 1950 serta autoriti Mahkamah Rayuan dan Persekutuan.
36
Plaintif gagal menunjukkan sebarang salah arah prinsip atau kesilapan nyata yang membolehkan Mahkamah ini mencampuri dapatan fakta HMS.
37
Justeru itu, Mahkamah ini mengekalkan sepenuhnya dapatan HMS berhubung liabiliti, dan rayuan Plaintif terhadap isu ini adalah ditolak.
II
(ii) Isu Kuantum – Taksiran Gantirugi Secara Bersyarat
a
Kedudukan undang-undang berhubung taksiran apabila liabiliti gagal 38. Sebagai prinsip umum, Mahkamah hanya beralih kepada isu kuantum setelah liabiliti dibuktikan. Namun demikian, adalah dibenarkan bagi Mahkamah perbicaraan untuk membuat taksiran gantirugi secara bersyarat, sebagai langkah berhati-hati dan bagi tujuan rekod rayuan, sekiranya dapatan liabiliti kemudiannya diganggu oleh Mahkamah Atasan.
39
Dalam kes ini, HMS telah dengan jelas menyatakan bahawa taksiran kuantum dibuat tanpa prejudis kepada dapatan bahawa liabiliti gagal, dan semata-mata sebagai langkah alternatif.
40
Oleh itu, isu kuantum di hadapan Mahkamah ini tidak timbul sebagai suatu ‘award’ yang boleh dikuatkuasakan, tetapi terhad kepada persoalan sama ada taksiran bersyarat yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen adalah wajar dari segi prinsip dan kiraan, sekiranya isu liabiliti diputuskan sebaliknya oleh Mahkamah ini.
b
Pendekatan Hakim Mahkamah Sesyen terhadap taksiran kuantum 41. Mahkamah ini meneliti bahagian taksiran kuantum dalam Alasan Penghakiman HMS dan mendapati bahawa pendekatan yang diambil adalah berstruktur dan berasaskan keterangan.
42
HMS telah membezakan dengan jelas antara: i. gantirugi am, termasuk kesakitan dan penderitaan; ii. gantirugi khas, yang memerlukan pembuktian khusus; dan iii. tuntutan-tuntutan lain yang berkaitan, termasuk kos rawatan dan perbelanjaan berkaitan, setakat mana ia disokong oleh keterangan dokumentari.
43
Dalam menilai setiap ‘heading’ tuntutan, HMS telah: i. merujuk kepada keterangan perubatan yang dikemukakan; ii. menilai tempoh rawatan dan kesan kecederaan; dan iii. menolak atau mengurangkan tuntutan yang tidak disokong oleh bukti yang mencukupi.
44
Pendekatan ini menunjukkan bahawa HMS tidak menerima tuntutan Plaintif secara membuta tuli, tetapi menjalankan penilaian kehakiman terhadap setiap komponen kuantum.
c
Penilaian Mahkamah Tinggi terhadap metodologi dan kiraan 45. Setelah meneliti kiraan yang dibuat oleh HMS, Mahkamah ini mendapati bahawa: a) metodologi yang digunakan adalah selaras dengan prinsip undang-undang berkaitan taksiran gantirugi; dan b) jumlah yang ditaksirkan adalah munasabah dan seimbang berdasarkan keterangan yang diterima oleh Mahkamah Sesyen.
46
Plaintif gagal menunjukkan bahawa taksiran tersebut: a) dibuat atas salah arah prinsip; b) melibatkan kiraan yang nyata tersalah; atau c) berasaskan keterangan yang tidak wajar diterima.
47
Oleh itu, walaupun isu kuantum dibangkitkan dalam rayuan ini, Mahkamah ini tidak mendapati sebarang asas yang membolehkan campur tangan terhadap taksiran bersyarat yang dibuat oleh HMS.
d
Sifat bersyarat dan kesan perundangan taksiran 48. Adalah penting untuk ditegaskan bahawa, memandangkan dapatan Mahkamah ini bahawa liabiliti gagal dikekalkan, taksiran kuantum yang dipersetujui ini: i. tidak memberi kesan kepada apa-apa ‘award’; ii. tidak boleh dikuatkuasakan terhadap Defendan-Defendan Pertama dan Kedua atau Defendan Ketiga; dan iii. kekal sebagai akademik dan bersyarat sepenuhnya.
49
Taksiran tersebut hanya akan mempunyai kesan praktikal sekiranya dapatan mengenai liabiliti kemudiannya dibalikkan oleh Mahkamah Rayuan.
e
Kesimpulan Mahkamah Tinggi mengenai kuantum 50. Sehubungan itu, Mahkamah ini: i. bersetuju dengan metodologi dan kiraan taksiran kuantum yang dibuat oleh HMS; ii. mengekalkan taksiran tersebut semata-mata sebagai taksiran bersyarat; dan iii. menolak rayuan Plaintif berhubung isu kuantum.
III
(iii) Rayuan Balas Defendan/Responden Ketiga (penanggung Insurans)
a
Latar belakang ringkas rayuan balas 51. Defendan Ketiga, selaku penanggung insurans kepada motosikal yang ditunggang oleh Defendan Pertama dan dimiliki oleh Defendan Kedua, telah memfailkan rayuan balas terhadap keputusan HMS yang menolak tuntutan balas Defendan Ketiga bagi suatu deklarasi bahawa polisi insurans motor berkenaan adalah tidak sah dan/atau tidak boleh dikuatkuasakan.
52
Asas utama rayuan balas tersebut adalah dakwaan bahawa, berdasarkan keterangan dan dapatan fakta di peringkat perbicaraan, Defendan Ketiga berhak mendapatkan suatu perisytiharan awal bagi melindungi dirinya daripada sebarang liabiliti di bawah polisi insurans berkenaan.
b
Prinsip undang-undang berhubung remedi deklaratori 53. Adalah prinsip undang-undang yang mantap bahawa suatu deklarasi adalah remedi berbentuk budi bicara, dan Mahkamah tidak terikat untuk memberikan deklarasi semata-mata kerana ia dipohon oleh sesuatu pihak.
54
Mahkamah hanya akan memberikan deklarasi sekiranya: i. wujud suatu pertikaian sebenar dan hidup (‘real and live controversy’); ii. deklarasi tersebut akan menyelesaikan atau memberi kesan praktikal kepada hak dan tanggungan pihak-pihak dan; iii. deklarasi tersebut bukan bersifat akademik atau hipotetikal.
55
Prinsip ini telah diterima pakai secara konsisten oleh Mahkamah Malaysia, termasuk dalam konteks litigasi sivil yang melibatkan penanggung insurans dan liabiliti pihak ketiga.
c
Kesan dapatan liabiliti terhadap rayuan balas insurans 56. Dalam kes ini, Mahkamah Tinggi telah mengekalkan dapatan HMS bahawa Plaintif gagal membuktikan liabiliti terhadap Defendan-Defendan.
57
Kesan langsung daripada dapatan tersebut ialah: i. tiada penghakiman liabiliti terhadap Defendan Pertama selaku penunggang motorsikal yang diinsuranskan oleh Defendan Ketiga; ii. tiada kewajipan indemniti yang dicetuskan di bawah polisi insurans; dan iii. Defendan Ketiga tidak terdedah kepada sebarang tuntutan pembayaran berdasarkan keputusan muktamad Mahkamah ini.
58
Oleh itu, persoalan kesahan atau kebolehkuatkuasaan polisi insurans tidak timbul secara praktikal dalam keadaan di mana tiada liabiliti asas yang wujud terhadap pihak yang diinsuranskan.
d
Isu akademik dan ketiadaan keperluan deklarasi 59. Defendan-Defendan Pertama dan Kedua, serta Plaintif selaku Perayu dalam jawapan kepada rayuan balas, telah menghujahkan bahawa tuntutan deklarasi oleh Defendan Ketiga menjadi akademik sebaik sahaja Mahkamah mendapati tiada liabiliti terhadap Defendan-Defendan Pertama dan Kedua.
60
Mahkamah ini bersetuju dengan hujahan tersebut. Dalam keadaan di mana: i. tuntutan Plaintif telah ditolak sepenuhnya; dan ii. tiada liabiliti yang boleh dikuatkuasakan terhadap Defendan Pertama, maka sebarang deklarasi berhubung kesahan polisi insurans tidak akan memberi kesan praktikal terhadap hak atau tanggungan pihak-pihak.
61
Memberikan deklarasi dalam keadaan sedemikian berisiko menjadikan Mahkamah terlibat dalam penentuan isu yang bersifat teoritikal, yang tidak lagi perlu bagi penyelesaian pertikaian sebenar antara pihak-pihak.
e
Kedudukan undang-undang dan budi bicara Mahkamah 62. Mahkamah menegaskan bahawa penolakan tuntutan deklarasi oleh HMS bukanlah satu kesilapan prinsip, sebaliknya satu penggunaan budi bicara kehakiman yang wajar dalam konteks dapatan fakta kes ini.
63
Defendan Ketiga masih dilindungi oleh kedudukan undang-undang bahawa: i. tanpa dapatan liabiliti terhadap insured, polisi insurans tidak diaktifkan; dan ii. tiada prejudis sebenar dialami oleh Defendan Ketiga akibat ketiadaan deklarasi tersebut.
64
Tambahan pula, penolakan rayuan balas ini tidak menjejaskan hak Defendan Ketiga dalam mana-mana prosiding lain yang melibatkan fakta berbeza atau tuntutan yang sah di sisi undang-undang.
f
Rumusan Mahkamah Tinggi berhubung rayuan balas 65. Mengambil kira keseluruhan keadaan kes, Mahkamah ini mendapati bahawa: a) tiada isu hidup/aktif yang memerlukan suatu deklarasi; b) rayuan balas Defendan Ketiga adalah bersifat akademik berikutan kegagalan liabiliti asas; dan c) HMS tidak terkhilaf apabila menolak tuntutan deklarasi tersebut.
66
Oleh itu, rayuan balas Defendan/Responden Ketiga adalah ditolak.
67
Setelah meneliti keseluruhan Rekod Rayuan, Rekod Rayuan Tambahan termasuk Alasan Penghakiman HMS, hujahan bertulis dan hujahan balas pihak-pihak serta autoriti yang dirujuk, Mahkamah ini membuat rumusan keseluruhan seperti berikut.
68
Pertama, berhubung isu liabiliti, Mahkamah ini mendapati bahawa HMS telah dengan betul: i. meletakkan beban pembuktian ke atas Plaintif selaras dengan Akta Keterangan 1950; ii. menilai keterangan saksi-saksi secara kehakiman; iii. mengambil kira dokumen kontemporari dan kebarangkalian keseluruhan kes; dan iv merumuskan bahawa Plaintif gagal membuktikan, atas imbangan kebarangkalian, penglibatan Defendan-Defendan Pertama dan Kedua dalam kemalangan yang didakwa.
69
Mahkamah ini tidak mendapati sebarang salah arah prinsip undang-undang, kegagalan penilaian kehakiman atau kesilapan nyata yang membolehkan campur tangan rayuan terhadap dapatan fakta tersebut. Justeru, dapatan HMS berhubung liabiliti adalah dikekalkan sepenuhnya.
70
Kedua, berhubung isu kuantum, Mahkamah ini bersetuju bahawa HMS telah menjalankan taksiran gantirugi secara teratur, berasaskan keterangan dan prinsip undang-undang yang betul. Walau bagaimanapun, memandangkan dapatan liabiliti telah dikekalkan sebagai gagal, taksiran tersebut kekal sebagai taksiran bersyarat dan akademik, tanpa sebarang kesan penguatkuasaan.
71
Ketiga, berhubung rayuan balas Defendan/Responden Ketiga (penanggung insurans), Mahkamah ini mendapati bahawa, ketiadaan dapatan liabiliti terhadap Defendan Pertama yang menunggang motorsikal yang dilindungi oleh Defendan Ketiga telah menjadikan tuntutan deklarasi berhubung kesahan atau kebolehkuatkuasaan polisi sebagai suatu isu akademik. HMS tidak terkhilaf apabila menolak tuntutan deklarasi tersebut, dan rayuan balas Defendan/Responden Ketiga wajar ditolak.
72
Secara keseluruhan, Mahkamah ini berpuas hati bahawa keputusan HMS pada 31.10.2023 adalah wajar dari segi fakta dan undang-undang, serta tidak memerlukan sebarang campur tangan rayuan.
73
Berdasarkan alasan-alasan yang telah dihuraikan di atas, Mahkamah ini dengan ini memerintahkan seperti berikut:
a
Rayuan Plaintif adalah ditolak sepenuhnya;
b
Dapatan HMS bahawa Plaintif gagal membuktikan tuntutannya terhadap Defendan-Defendan adalah dikekalkan;
c
Taksiran gantirugi yang dibuat oleh HMS adalah dikekalkan sebagai taksiran bersyarat, tanpa sebarang kesan penguatkuasaan memandangkan kegagalan liabiliti;
d
Rayuan balas Defendan Ketiga (penanggung insurans) adalah ditolak; dan
e
Kos rayuan ini adalah diberikan kepada Defendan-Defenden Pertama dan Kedua sahaja sebanyak RM4,000.00 oleh Plaintif, manakala rayuan balas Defendan Ketiga adalah ditolak tanpa perintah kos. BERTARIKH: 10 FEBRUARI 2026 t.t MANIRA BINTI MOHD NOR PESURUHJAYA KEHAKIMAN MAHKAMAH TINGGI SIVIL 4 JOHOR BAHRU Peguam Bagi Pihak Perayu Humavathi bersama Emylia Tetuan S. Raman & Co Peguam Bagi Pihak Responden 1 Dan Responden 2 Tetuan Othman Hashim & Co Johor Bahru Peguam Bagi Pihak Responden 3 Tetuan Gan, Ho & Razlan Hadri
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.