(f) Perayu juga diingatkan melalui surat bertarikh 9.7.2018 untuk mematuhi persetujuan yang dibuat di dalam mesyuarat bertarikh 2.5.2018 tetapi gagal untuk memperbetulkan keadaan sehinggalah notis penamatan dikeluarkan pada 17.9.2018. [23] Atas alasan-alasan tersebut, HMS yang bijaksana telah menolak tuntutan perayu dan memutuskan bahawa notis penamatan bertarikh 17.9.2018 adalah sah. Di Mahkamah Tinggi [24] Di Mahkamah Tinggi, peguam terpelajar perayu mengulangi hujahnya surat tawaran yang diterima pakai ialah surat tawaran ketiga. Menurut peguam terpelajar perayu, responden sendiri telah mengiktiraf kewujudan dan keabsahan surat tawaran ketiga berdasarkan kepada minit mesyuarat bertarikh 2.5.2018. [25] Peguam terpelajar seterusnya menghujahkan bahawa surat tawaran ketiga adalah terjumlah kepada satu tawaran di bawah s 2(a) Akta Kontrak 1950. Menurut peguam terpelajar lagi, apa-apa penerimaan mengikut s 7(a) Akta Kontrak mestilah “mutlak dan tak bersyarat”. Oleh itu adalah menjadi hujah perayu bahawa oleh kerana surat tawaran ketiga diterima oleh perayu maka kontrak hanya terbentuk berasaskan kepada surat tersebut dan bukannya surat tawaran pertama. [26] Peguam terpelajar kemudian merujuk kepada kes Ayer Hitam Tin Dredging Malaysia Bhd v YC Chin Enterprises [1994] 3 CLJ 133 MP. Di dalam kes tersebut Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa mengikut prinsip umum, adalah termaktub bahawa apabila sesuatu perjanjian dibuat "tertakluk kepada kontrak" akan ditafsirkan sebagai bermakna bahawa pihak-pihak berkenaan masih lagi berada dalam keadaan rundingan dan tidak berhasrat untuk terikat melainkan dan sehingga suatu kontrak rasmi dibuat. Walaubagaimanapun, adalah juga benar bahawa, hanya kerana pihak-pihak tersebut bercadang untuk menyediakan suatu kontrak rasmi, perkara itu sendiri tidak akan menghalang kewujudan suatu kontrak yang mengikat sebelum kontrak berkenaan ditandatangani. [27] Oleh itu adalah menjadi hujah peguam terpelajar bahawa walaupun tiada perjanjian formal ditandatangani oleh pihak-pihak, tetapi surat tawaran ketiga adalah memadai untuk membentuk kontrak yang sah sebelum kontrak formal ditandatangani. [28] Akhirnya, peguam terpelajar menghujahkan bahawa HMS yang bijaksana telah khilaf di dalam mengiktiraf penamatan kontrak tersebut. Menurut peguam terpelajar, penamatan kontrak tersebut telah secara salah dibuat oleh responden. Penamatan tersebut adalah salah kerana menurut peguam terpelajar, tidak ada alasan diberikan berhubung dengan penamatan tersebut. Analisis [29] Pada hemat Mahkamah ini, isu pertama yang perlu diputuskan ialah sementara satu kontrak rasmi ditandatangani oleh pihak-pihak, surat tawaran yang manakah yang boleh diterimapakai. Untuk menjawab soalan ini pada hemat Mahkamah ini, hanya dokumen yang mempunyai elemen consensus id idem sahaja yang boleh diterima pakai. [30] Daripada dokumen yang berada di dalam rekod rayuan, akuan setuju terima yang ditandatangani oleh perayu adalah merujuk kepada surat responden bertarikh 1.2.2018 iaitu surat tawaran ketiga. Bahkan terdapat surat daripada responden bertarikh 26.2.2018 kepada perayu yang antara lainnya menyebut: Adalah saya dengan hormatnya merujuk surat MPKB-BRI (PB) 13/2017 (16) bertarikh 1 Februari 2018 mengenai perkara di atas.