i
(i) Permohonan Semakan Kehakiman Pemohon bertarikh 30.05.2025 dalam Lampiran1 ("Permohonan Semakan Kehakiman");
/akn/my/judgment/high-court/2026/d14daf39-4c79-4533-bdb6-f89afc280c2e
High Court of Malaysia25 Jun 2026WA-25-134-05/2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“61. Mahkamah ini bersetuju dengan hujahan Peguam Respoden Yang Bijaksana telah bergantung kepada kes Milann Bridge Sdn Bhd v Miniso (M) Sdn Bhd & Anor [2024] MLJU 1912 yang mana Mahkamah ini telah memutuskan bahawa di bawah Seksyen 64 Akta Kontrak 1956, terma asal kontrak kekal berkuatkuasa sehingga diubah atau ditamat”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Text
WA-25-134-05/2025 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, MALAYSIA (BAHAGIAN KUASA-KUASA KHAS) PERMOHONAN BAGI SEMAKAN KEHAKIMAN NO.: WA-25-134-05/2025 Dalam Perkara permohonan oleh Koh Ming Kwang untuk suatu perintah untuk Semakan Kehakiman; Dan Dalam Perkara mengenai kes Tribunal Tuntutan Pengguna Putrajaya Kes No. TTPM-WPPJ-(P)- 304-2025; Dan Dalam Perkara mengenai Award Selepas Pendengaran dalam Tribunal Tuntutan Pengguna Putrajaya Malaysia Tuntutan No. TTPM-WPPJ-(P)-304-2025 pada 22 Mei 2025; Dan Dalam Perkara mengenai Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah, 2012. ANTARA KOH MING KWANG (No. K/P: 780725-10-5441) PEMOHON DAN SRI WAHYU BINTI TAHER (NO K/P: 651224-05-5270) RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN (Lampiran 12-Keputusan Pendengaran Substantif) Pengenalan
section
1. Ini adalah alasan penghakiman terhadap keputusan Mahkamah ini yang telah membenarkan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Pemohon dan mengetepikan keseluruhan keputusan Award Tribunal Tuntutan Pengguna pada 22.05.2025.
section
2. Mahkamah ini juga seterusnya telah memutuskan bahawa Tuntutan oleh Pemohon terhadap Responden didengar atau dibicarakan semula di hadapan Tribunal yang lain.
section
3. Pihak-pihak dalam Alasan Penghakiman ini dirujuk sebagaimana kedudukan mereka di peringkat Mahkamah Tinggi. Kertas Kausa
section
4. Pihak-pihak telah merujuk kepada kertas-kertas kausa serta dokumen-dokumen berikut semasa pebicaraan:
i
(i) Permohonan Semakan Kehakiman Pemohon bertarikh 30.05.2025 dalam Lampiran1 ("Permohonan Semakan Kehakiman");
subparagraph
(ii) Afidavit Sokongan Pemohon yang dideposkan oleh Pemohon pada 28.05.2024 dalam Lampiran 2 ("Afidavit Sokongan Pemohon");
subparagraph
(iii) Surat Pemohon bertarikh 02.10.2025 dalam Lampiran 13;
subparagraph
(iv) Perintah Kebenaran Permohonan Semakan Kehakiman bertarikh 08.09.2025 dalam Lampiran 14 ("Perintah Kebenaran");
v
(v) Affidavit Jawapan Responden yang dideposkan oleh Responden pada 28.10.2025 dalam Lampiran 16 ("Affidavit Responden");
subparagraph
(vi) Affidavit Balasan Pemohon yang dideposkan oleh Pemohon pada 17.11.2025 ("Affidavit Balasan Pemohon"); dan
subparagraph
(vii) Affidavit Tambahan Pemohon yang dideposkan oleh Pemohon pada 06.01.2026 ("Affidavit Tambahan Pemohon"). Ringkasan Latar Belakang Kes
section
5. Ringkasan latar belakang kes ini dipetik daripada penghujahan kedua-dua pihak di mana tiada pertikaian fakta berkenaannya.
section
6. Hubungan di antara Pemohon dan Responden adalah sebagai penjual dan pembeli kepada urusan jual beli sebuah MPV Hyundai Starex bernombor pendaftaran KDF 5858 milik Responden. Kenderaan tersebut diiklankan oleh suami Responden pada 09.01.2025 di laman web Mudah.my. Lanjutan itu, pemohon telah menghubungi suami Responden melalui Aplikasi WhatsApp bagi menyatakan minatnya untuk membeli kenderaan tersebut buat kegunaan OKU Network yang diwakili oleh dirinya sendiri.
section
7. Setelah beberapa siri perbincangan melalui WhatsApp pada 21.01.2025, 23.01.2025 dan 25.01.2025, Pemohon telah bersetuju untuk membeli kenderaan tersebut pada harga RM25,000.00. Memandangkan Responden berada di Alor Setar, Responden bersetuju untuk menghantar kereta ke Ipoh atas permintaan Pemohon bagi memudahkan urusan jual beli.
section
8. Pada 31.01.2025, Pemohon telah berjumpa dengan Responden dan suami Responden di Tambun, Ipoh, Perak, di mana Pemohon telah membuat pemeriksaan sendiri ke atas kenderaan tersebut serta menjalankan pandu uji selama kira-kira 20 minit.
section
9. Pada hari yang sama, 31.01.2025, Pemohon telah bersetuju untuk membeli kenderaan tersebut pada harga RM25,000.00. Pemohon menyediakan perjanjian jual beli yang kemudiannya telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak. Setelah perjanjian jual beli ditandatangani, Pemohon telah membayar RM5,000 secara tunai dan baki RM20,000.00 dibayar melaluicek atas nama OKUNetwork. Lanjutan itu, Responden telah menyerahkan kenderaan tersebut kepada Pemohon termasuk geran asal, salinan kelulusan Puspakom serta kunci utama dan kunci tambahan.
section
10. Pada 01.02.2025, iaitu sehari selepas pemilikan diserahkan, Pemohon telah mengemukakan beberapa aduan berhubung keadaan kenderaan termasuk calar pada badan, pintu tidak boleh dikunci, lampu rosak dan kerosakan kecil lain yang bersifat kosmetik yang tidak menjejaskan fungsi keseluruhan kenderaan.
section
11. Pada 02.02.2025, Pemohon memaklumkan bahawa beliau telah mendapatkan pandangan seorang foreman yang kononnya menyatakan bahawa enjin kenderaan hampir rosak dan memerlukan pembaikan besar ("major repairs").
section
12. Berdasarkan alasan tersebut, Pemohon menyatakan keputusan untuk tidak meneruskan pembelian kenderaan berkenaan. Melalui perbualan yang sama, Pemohon menuntut pemulangan wang tunai RM5,000.00 dan memaklumkan bahawa cek bernilai RM20,000.00 telah dibatalkan oleh OKU Network.
section
13. Sebagai respons, Responden memaklumkan bahawa sekiranya Pemohon membatalkan pembelian selepas menggunakan kenderaan, RM300.00 akan ditolak daripada wang tunai RM5,000.00 untuk menampung kos penghantaran dari Alor Setar ke lpoh pada 31.01.2025 dan RM300.00 lagi dituntut sebagai pampasan bagi penggunaan kenderaan selama 5 hari oleh Pemohon iaitu dari 29.01.2025 hingga 02.02.2025.
section
14. Dalam komunikasi WhatsApp yang sama, Pemohon telah didakwa mengugut untuk merujuk perkara tersebut ke Mahkamah, walaupun pada ketika itu kenderaan masih berada dalam milikan dan kawalan Pemohon dan pembatalan pembelian dibuat atas kehendak Pemohon sendiri.
section
15. Pemohon seterusnya enggan memulangkan kenderaan dan sebaliknya menuntut agar Responden mengambil semula kenderaan tersebut sendiri serta memulangkan wang tunai RM5,000.00 tanpa sebarang potongan kos.
section
16. Pada 03.02.2025, Pemohon telah menghantar satu Writ Saman kepada Responden. Meskipun Writ Saman tersebut tidak pernah difailkan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Pemohon menjadikannya sebagai alasan untuk tidak memulangkan kenderaan tersebut.
section
17. Walaupun telah diminta berulang kali, Pemohon enggan mendedahkan lokasi kenderaan dan berkeras bahawa Responden perlu menunggu keputusan Mahkamah sebelum sebarang tindakan boleh diambil.
section
18. Pada 04.02.2025, Responden menerima notis daripada pihak bank yang mengesahkan bahawacek bernilai RM20,000.00 tersebut telah dipulangkan bukan kerana dibatalkan, tetapi kerana tandatangan padacek tidak sepadan dengan tandatangan pihak yang diberi kuasa.
section
19. Responden mendakwa beliau dan keluarganya telah berulang kali cuba mendapatkan semula kenderaan tersebut secara aman, termasuk hadir ke alamat OKU Network dan alamat kediaman Pemohon di Seri Kembangan, Selangor dari Alor Setar, Kedah, namun usaha tersebut gagal dan Pemohon mengelak serta didakwa bertindak secara agresif dan berbahaya.
section
20. Sepanjang tempoh tersebut, Responden juga mendakwa turut menanggung kerugian tambahan termasuk saman trafik yang dikeluarkan atas kenderaan tersebut ketika berada dalam milikan Pemohon walaupun Responden bukan pihak yang memandu atau mengawal kenderaan berkenaan.
section
21. Disebabkan keengganan Pemohon memulangkan kenderaan, Responden terpaksa mengambil langkah untuk mendapatkan semula kenderaan dengan melantik penarik kereta bagi menarik kereta tersebut dan membawa pulang kereta tersebut kepada Responden di Alor Setar pada 08.03.2025.
section
22. Pada 13.03.2025, bekas peguamcara Responden telah mengeluarkan satu surat kepada Pemohon yang menyatakan bahawa pemilikan Kenderaan tersebut akan dipindah milik kepada Pemohon sekiranya Pemohon menjelaskan bayaran sebanyak RM12,000.00. Pemohon kemudiannya telah membuat bayaran berjumlah RM12,000.00 kepada Responden melalui dua transaksi iaitu RM6,000 pada 13.03.2025 dan RM6,000 pada 17.03.2025.
section
23. Responden mendakwa jumlah bayaran tersebut adalah jauh lebih besar berbanding kos-kos yang ditanggung oleh Responden untuk mendapatkan semula kenderaan tersebut. Pada 21.03.2025, bekas peguamcara Responden telah menghantar satu lagi surat kepada Pemohon bagi menuntut kos pembaikan starter, kos pembaikan front dan rear bumper, kos proses imbasan system kenderaan, kos penarikan dan kos penggantian lower arm front dan service air compressor.
section
24. Pada 27.03.2025, Pemohon telah memfailkan satu tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, Putrajaya di bawah No. Tuntutan TTPM-WPPJ-(P)-304-2025 menuntut pemulangan bayaran yang telah dibuat kepada Responden dan Responden telah memfailkan tuntutan balas terhadap Pemohon bagi menuntut pampasan atas kerugian yang dialami, termasuk kos penggunaan kenderaan, kos pembaikan, kos perjalanan, kos saman trafik dan kos guaman berjumlah RM42,020.00.
section
25. Satu pendengaran telah diadakan di hadapan Tribunal pada 22.04.2025. Tribunal telah mendengar keterangan dan meneliti bukti yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak. Selepas mempertimbangkan keseluruhan fakta, Tribunal mendapati bahawa Pemohon telah menggunakan kenderaan tersebut tanpa hak bagi suatu tempoh masa dan bahawa Responden telah menanggung kos sebenar untuk mendapatkan semula kenderaan tersebut.
section
26. Tribunal seterusnya telah dinyatakan memberikan dua pilihan kepada Pemohon, iaitu sama ada:
i
(i) Pemohon membayar kepada Responden sejumlah RM14,375.00 dan pemilikan Kenderaan dipindahkan kepada Pemohon ("Pilihan Pertama"); atau
subparagraph
(ii) Responden membayar semula RM2,625.00 kepada Pemohon dan Kenderaan tersebut dikekalkan sebagai milik Responden ("Pilihan Kedua").
section
27. Pemohon dikatakan telah memilih pilihan pertama, iaitu untuk membayar kepada Responden sebanyak RM14,375.00 bagi mendapatkan pemindahan milikan Kenderaan tersebut. Walau bagaimanapun, Pemohon gagal melaksanakan pembayaran tersebut. Dapatan Mahkamah
section
28. Dalam kes ini, terdapat pelbagai isu yang telah dibangkitkan oleh kedua-dua pihak dan mahkamah merumuskan terdapat 3 isu utama yang akan mempengaruhi keseluruhan kes ini iaitu: Pertama: Sama ada tindakan Tribunal yang telah menerima keterangan Responden tidak hadir secara peribadi semasa prosiding Tribunal tetapi telah diwakili oleh suaminya telah menafikan hak Pemohon untuk pendengaran yang adil; Kedua: Sama ada surat daripada Responden bertarikh 13.3.2025 merupakan suatu pengenepian ("waiver") terhadap terma asal perjanjian; dan Ketiga: Sama ada kegagalan Tribunal dalam mengambil kira bahawa Pemohon merupakan seorang OKU mental menjejaskan keputusan Tribunal.
section
29. Isu-isu sampingan lain juga telah dipertimbangkan dan ianya tidak menjejaskan dapatan Tribunal. Namun dalam kes ini, Mahkamah ini mendapati tiga isu utama ini yang perlu diputuskan dan diberikan tumpuan oleh Mahkamah. Hujahan lisan dan bertulis kedua-dua pihak telah dipertimbangkan sepenuhnya, Harus ditekankan di sini bahawa Pemohon tidak diwakili oleh peguam manakala Responden diwakili oleh 2 orang Peguam semasa perbicaraan kes ini.
section
30. Dengan mengambilkira bahawa Pemohon adalah orang awam yang tidak diwakili Peguam, Mahkamah ini telah memberikan peluang kepada Pemohon untuk membentangkan kesnya. termasuklah membenarkan Pemohon untuk menggunakan "white board" semasa pembentangan hujahan. Isu Pertama: Sama ada tindakan Tribunal yang telah menerima keterangan Responden tidak hadir secara peribadi semasa prosiding Tribunal tetapi telah diwakili oleh suaminya telah menafikan hak Pemohon untuk pendengaran yang adil.
section
31. Mahkamah mendapati isu pertama yang dihujahkan oleh keduadua pihak sebenarnya akan memutuskan keseluruhan Semakan Kehakiman ini. Ini kerana Isu penafian hak untuk didengar secara adil oleh Pemohon adalah berkaitan ketidakpatuhan prosedur pendengaran di hadapan Tribunal dan keputusan Tribunal seolah olah dibuat "sepihak".
section
32. Mahkamah akan memutuskan Isu Pertama ini terlebih dahulu. Dakwaan Pihak Pemohon bahawa beliau telah dinafikan hak untuk menyoal balas Responden kerana ketidakhadiran Responden secara kendiri, tetapi hanya diwakili oleh suami Responden yang telah bertindak bagi pihak Responden semasa pendengaran di hadapan Tribunal.
section
33. Tidak dinafikan bahawa Responden tidak hadir semasa pendengaran di hadapan Tribunal, tetapi telah menulis surat bertarikh 21.04.2025 menyatakan bahawa "tidak dapat hadir bagi pendengaran pada 22.04.2025 atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan" dan mewakilkannya kepada suami Responden untuk hadir bagi pihaknya.
section
34. Pemohon telah menyatakan bahawa Responden langsung tidak hadir sepanjang pendengaran tetapi hanya suami beliau sahaja yang hadir dan memberikan keterangan selaku pihak Responden. Mahkamah merujuk kepada Nota Keterangan bertarikh 22.04.2025. Dalam Nota keterangan telah mencatatkan bahawa "Pihak Tribunal memberikan kebenaran untuk Responden diwakili oleh suami beliau kerana urusan sepenuhya dilakukan oleh suami beliau."
section
35. Adalah jelas bahawa fakta Responden tidak hadir dan diwakili oleh suami beliau adalah benar berlaku dan alasan bahawa segala urusan dilakukan oleh suami Responden merupakan alasan oleh Tribunal dalam membenarkan kes diteruskan tanpa kehadiran Responden sendiri bagi menjawab segala tuntutan Pemohon untuk didengar secara fizikal.
section
36. Persoalan sama ada Responden boleh dilepaskan terus daripada memberikan keterangan hanya berdasarkan surat Responden tersebut hendaklah dijawab oleh Mahkamah ini terlebih dahulu kerana ini akan memberi kesan kepada keseluruhan Award Tribunal berkaitan.
section
37. Dalam kes ini juga semasa pendengaran, pihak Pemohon telah berjaya membuktikan bahawa haknya untuk menyoal-balas terhadap Responden telah dinafikan. Harus diingat, Responden adalah pihak yang dituntut dan membuat tuntutan balas. Melepaskan Responden daripada memberikan keterangan adalah tidak wajar kerana terdapat fakta kukuh bahawa Responden juga terlibat secara langsung dengan urusan jual beli ini pada peringkat awal; tambahan pula, pendaftaran kenderaan tersebut adalah atas nama Responden sendiri. Segala keterangan berkaitan tuntutan balas pula perlu bagi membolehkan Pemohon mencabarnya.
section
38. Atas isu ini, Mahkamah mendapati bahawa hak untuk didengar bagi pihak Pemohon telah dinafikan oleh Tribunal. Kecacatan prosedur perbicaraan ini telah menjejaskan serta mencacatkan keseluruhan kes Pemohon.
section
39. Atas isu ini juga Mahkamah mendapati bahawa ianya tidak boleh dijadikan alasan oleh Pemohon untuk mengatakan bahawa hak beliau telah dinafikan oleh Tribunal. Pemohon disahkan OKU Mental (tidak dinafikan kerana mempunyai Kad OKU Mental), namun, fakta ini tidak akan menjejaskan keupayaan Pemohon untuk mengendalikan kes di Pejabat Tribunal. Apa yang Mahkamah ini pertimbangkan adakah hak Pemohon telah dinafikan; tidak kira OKU atau tidak.
section
40. Dalam Afidavit tersebut, Responden sendiri telah menyatakan bahawa: “... Oleh itu dipercayai bahawa mikrofon Pemohon dimatikan bagi mengawal perjalan prosiding dan bagi memastikan ianya berjalan dengan teratur, dan bukan dengan sebarang niat bagi menfikan sebarang hak untuk didengar. Pada setiap masa material saya percaya bahawa Pemohon telah diberikan peluang untuk mengemukakan tuntutanya terhadap Responden…”
section
41. Berdasarkan kepada affidavit tersebut, adalah jelas bahawa terdapat asas untuk Pemohon membangkitan isu penafian hak beliau (selaku Penuntut pada peringkat Tribunal) pada perbicaraan tersebut terutama hak untuk menyoal Responden sendiri dan bukan wakil beliau. Hak ini tidak dipertimbangkan sewajarnya oleh Tribunal.
section
42. Dalam isu ini, Peguam Pemohon Yang Bijaksana telah berhujah bahawa kehadiran suami yang telah dibenarkan mewaklil Responden adalah mencukupi dan tindakan Tribunal dalam meneruskan pendengaran adalah tidak cacat dan Pemohon masih dibenarkan untuk menyoal wakil Responden yang mana adalah lebih layak untuk memberikan keterangan berbanding Responden sendiri.
section
43. Namun, apa yang perlu dilihat oleh Mahkamah bukan sekadar isu kebenaran yang telah diberikan oleh Tribunal untuk wakil Responden meneruskan kes yang menjadikan segala pendengaran tersebut seolah-olah dihadiri oleh Responden sendiri; tetapi sama ada ianya bertentangan dengan prinsip keadilan asasi iaitu hak untuk mencabar keterangan Responden sendiri berkaitan pengetahuan peribadi Responden dan bukan secara keterangan dengar cakap melalui wakil Responden.
section
44. Adalah ditegaskan bahawa Tribunal tidak tertakluk kepada Akta Keterangan 1950 secara ketat tetapi keadilan asasi mesti dipenuhi dalam pendengaran di hadapannya. Sekiranya tidak dipatuhi, akan wujud "procedural unfairness atau denial of a fair hearing."
section
45. Tindakan ini adalah jelas bertentangan dengan Peraturan 21(3) Peraturan-Peraturan Pelindungan Tribunal (Tribunal Tuntutan Pengguna 1999) kerana Responden juga adalah pihak yang memfailkan tuntutan balas sewajarnya hadir. Tambahan pula dalam kes ini, tiada alasan kukuh yang telah diberikan untuk ketidakhadiran semasa pendengaran di hadapan Tribunal.
section
46. Memandangkan terdapat juga tuntutan balas daripada Responden, Tribunal sewajarnya menggunakan budibicara jika Responden tidak dapat hadir dalam keadaan kecemasan, permohonan penangguhan boleh dibuat oleh Presiden pada tarikh pendengaran ini dibenarkan di bawah Peraturan 21(3) tersebut seperti berikut: Peraturan 21. Ketidakhadiran pihak
subsection
(1)
subsection
(2)
subsection
(3) Jika penentang tidak hadir pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan untuk pendengaran tetapi pihak yang menuntut hadir, Presiden boleh, jika dia berpuas hati bahawa notis pendengaran telah diserahkan dengan sepatutnya-
a
(a) meneruskan pendengaran tanpa kehadiran penentang; atau
b
(b) menangguhkan pendengaran ke suatu tarikh kemudian
section
47. Bagi tujuan tersebut, Pihak Yang Menuntut atau Penentang boleh menghantar wakil untuk berbuat demikian semasa pendengaran dan memohon penangguhan tambahan pula tiada alasan kukuh daripada Responden untuk dikecuaikan tanpa mengemukakan dokumen sokongan, sebagai contoh sijil cuti sakit. Budibicara untuk menangguhkan adalah wajar daripada meneruskan kes ini dan memutuskan tuntutan balas Responden pada tarikh tersebut.
section
48. Tindakan ini adalah bertentangan dengan prinsip audi alteram partem kerana tiada berpeluang membela kes dengan menyoal keterangan Responden. Ini telah menafikan haknya untuk mencabar keterangan Responden. Paling tidak sekali pun, wakil Responden hanya boleh memberikan keterangan sebagai saksi sahaja dan tidak boleh mengambil tanggungjawab sebagai Responden dalam membuat tuntutan di hadapan Tribunal.
section
49. Apa yang ada hanyalah versi wakil Responden sahaja untuk diputuskan yang mana ini adalah tidak adil untuk Pemohon dalam kes ini. Tribunal boleh bergantung dan menggunapakai Peraturan 23 Peraturan-Peraturan Pelindungan Tribunal (Tribunal Tuntutan Pengguna 1999 yang menjelaskan seperti berikut: "Peraturan 23. Pendengaran"
subsection
(1) Semasa pendengaran di hadapan Tribunal, pihak yang menuntut berhak untuk mengemukakan keterangan, memanggil mana-mana saksi atau mengemukakan apa-apa dokumen, rekod atau benda bagi menyokong kesnya.
subsection
(2) Selepas pihak yang menuntut membentangkan kesnya, penentang hendaklah membentangkan kesnya dan boleh mengemukakan keterangan, memanggil manama saksi atau mengemukakan apa-apa dokumen, rekod atau benda bagi menyokong kesnya.
subsection
(3) Selepas pihak yang menuntut dan penentang menutup kes masing-masing, suatu penghujahan lisanatau bertulis yang ringkas boleh dibuat oleh penentang dan selepas itu oleh pihak yang menuntut.
subsection
(4) Presiden boleh pada bila-bila masa membantu pihak-pihak dalam menjalankan kes mereka.
subsection
(5) Suatu award yang dibuat di bawah peraturan ini hendaklah dalam Borang 10”
section
50. Segala tindakan ini telah mewujudkan prejudis yang teruk kepada Pemohon kerana kredibiliti dan keterangan Responden tidak dapat disoal balas dan dicabar oleh Pemohon, lebih-lebih lagi Responden juga terlibat dalam urusan ini dan bukannya langsung tidak mempunyai pengetahuan berkaitannya untuk dicabar atau disoal balas oleh Pemohon. Sekiranya suami Responden dikatakan turut terlibat, beliau masih boleh dipanggil oleh Responden untuk memberikan keterangan sebagai saksi Responden. Suami kepada Responden tidak boleh mengambilalih peranan Responden sepenuhnya dalam kes ini.
section
51. Secara keseluruhan, hasil daripada penelitian Award dan juga Nota Keterangan, adalah jelas bahawa Award ini telah tercemar oleh ketidakadilan prosidur. Tribunal hanya bergantung kepada keterangan wakil Responden dan Responden telah dilepaskan daripada menjawab dan dicabar keterangannya oleh Pemohon. Hak untuk mendapat perbicaraan dan prinsip natural justice telah dinafikan terutama apabila tuntutan balas dibenarkan tanpa Pemohon berpeluang menyoal balas Responden sendiri.
section
52. Prinsip ini telah dijelaskan dalam kes Pengarah Tanah Galian, Wilayah Persekutuan v Sri Lempah Enterprise Sdn Bhd [1979] 1 MLJ 135, iaitu kuasa statutori mesti dilaksanakan secara adil oleh pihak Tribunal.
section
53. Sepertimana kes yang dirujuk oleh Responden sendiri iaitu R. Rama Chandran v Industrial Court of Malaysia [1997] 1 MLJ 145 iaitu Mahkamah dalam memutuskan semakan Kehakiman boleh campurtangan apabila berlaku ketidakadilan atau kesilapan yang telah menjejaskan keputusan Tribunal. Prinsip ini ditegaskan lagi dalam kes Majlis Perbandaran Pulau Pinang v Syarikat Berkerjasama - sama Serbaguna Sungai Gelugor [1979] 1 MLJ 135 iaitu pematuhan keadilan asasi dalam sebarang keputusan adalah penting dan tidak boleh dipandang remeh.
section
54. Walaupun pendengaran telah dibuat dan Award diberikan kepada Responden, tindakan Semakan Kehakiman yang dibawa oleh Pemohon mempunyai merits bagi Award diketepikan.
section
55. Mengambilkira fakta ini, adalah wajar bagi kes ini dibicarakan semula di hadapan Tribunal yang lain kerana telah berlaku ketidakadilan prosidur yang material. Walaupun Tribunal mempunyai budibicara untuk meneruskan kes ini tanpa kehadiran Responden; namun penafian Pemohon kepada hak soal balas terhadap Responden adalah material untuk pengenepian award tersebut.
section
56. Tribunal telah memberi pilihan kepada Pemohon dan Pemohon dikatakan memilih pilihan pertama, iaitu untuk membayar kepada Responden sebanyak RM14,375.00 bagi mendapatkan pemindahan milikan Kenderaan tersebut. Walau bagaimanapun, Pemohon gagal melaksanakan pembayaran tersebut. Namun, berdasarkan keterangan didapati bahawa Pemohon tidak membuat sebarang pilihan, sebaliknya Award ini diputuskan sendiri oleh Tribunal dan hujahan Peguam Responden yang bijaksana adalah tersasar kerana Pemohon telah memilih pilihan pertama sedangkan nota keterangan menunjukkan sebaliknya.
section
57. Walaupun setelah memutuskan bahawa atas isu Pertama ini sahaja sudah mencukupi bagi Award ini diketepikan tanpa perlu menilai isu Kedua dan Ketiga, namun Mahkamah tetap juga akan memutuskan Isu Kedua dan Isu Ketiga, Isu Kedua: Sama ada surat daripada Responden bertarikh 13.3.2025 merupakan suatu pengenepian ("waiver") terhadap terma asal perjanjian.
section
58. Mahkamah ini juga telah menimbangkan dapatan Tribunal dalam isu kedua iaitu yang telah memutuskan bahawa Responden berhak menuntut kos-kos yang diminta melalui tuntutan balas kerana kerugian yang dialami Responden berpunca daripada tindakan Pemohon sendiri yang enggan memulangkan semula setelah membatalkan urusan jual beli serta gagal membayar baki-baki bayaran berjumlah RM25,000 kepada Responden.
section
59. Tribunal juga telah menerima surat Peguam Responden Yang Bijaksana bertarikh 13.3.2025 merupakan suatu pengenepian ("waiver") terhadap terma asal perjanjian. Oleh itu tindakan Responden mengambil semula kenderaan adalah sah sepertimana diputuskan oleh Tribunal.
section
60. Tribunal juga telah menerima bahawa kandungan surat tersebut membentuk suatu penepian yang sah di sisi undang-undang selaras dengan Seksyen 64 Akta Kontrak 1950 dan ia merupakan hak Responden. Dalam masa yang sama Responden mengambil semula kereta tersebut sebelum surat bertarikh 13.03.2025 dikeluarkan oleh Responden iaitu pada 06.03.2025. Jadi, ketika masa material, terma asal perjanjian masih kekal berkuatkuasa dan Responden masih merupakan pemilik sah kenderaan tersebut.
section
61. Mahkamah ini bersetuju dengan hujahan Peguam Respoden Yang Bijaksana telah bergantung kepada kes Milann Bridge Sdn Bhd v Miniso (M) Sdn Bhd & Anor [2024] MLJU 1912 yang mana Mahkamah ini telah memutuskan bahawa di bawah Seksyen 64 Akta Kontrak 1956, terma asal kontrak kekal berkuatkuasa sehingga diubah atau ditamatkan melalui persetujuan bersama. Dalam kes tersebut, Mahkamah menegaskan bahawa walaupun terdapat surat perjanjian penyelesaian, hak asal pihak-pihak di bawah perjanjian asal kekal terpelihara sehingga surat perjanjian itu diimplimentasikan secara sah.
section
62. Atas isu ini Mahkamah bersetuju dengan Tribunal telah secara munasabah memutuskan bahawa Responden berhak untuk mendapakan balik kenderaan tersebut. Isu Ketiga: Sama ada kegagalan Tribunal dalam mengambil kira bahawa Pemohon merupakan seorang OKU mental
section
63. Mahkamah mendapati bahawa isu ini tidak relevan kerana status Pemohon tidak akan mempengaruhi keputusan Tribunal. Tidak terdapat keterangan bahawa Pemohon diketepikan haknya atas status OKU semasa pendengaran di hadapan Tribunal tetapi atas sebab lain seperti yang diterangkan oleh Mahakamah dalam Isu Pertama di atas. Kesimpulan
section
64. Soalan akhir patut ditanya oleh mahkamah ini: "Adakah ketidakadilan itu benar-benar menjejaskan keputusan Tribunal"
section
65. Bagi soalan tersebut Mahkamah ini menjawab dengan positif iaitu "ya" dan seakibat daripada jawapan tersebut, Mahkamah ini memerintahkan seperti berikut:
i
(i) Award Tribunal diketepikan sepenuhnya;
subparagraph
(ii) Perbicaraan semula diadakan di hadapan Tribunal yang lain; dan
subparagraph
(iii) Tiada perintah atas kos bagi semakan kehakiman ini. Bertarikh pada 25.06.2026 Pemohon (Hadir dan bertindak sendiri): Koh Ming Kwang 9, Jalan PUJ 4/12, Taman Puncak Jalil, 43300 Seri Kembangan, Selangor. Peguamcara bagi Responden: Izzat Asyraf bin Zamri Ammeera Hadi Izzati Syahirah binti Zainuddin Tetuan Azmi & Associates 14th Floor, Menara Keck Seng, 203, Jalan Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur. Rujukan Peruntukan:
section
1. Akta Kontrak 1950
section
2. Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012
section
3. Peraturan-Peraturan Pelindungan Tribunal (Tribunal Tuntutan Pengguna 1999) Rujukan Kes:
section
1. Pengarah Tanah Galian, Wilayah Persekutuan v Sri Lempah Enterprise Sdn Bhd [1979] 1 MLJ 135
section
2. R. Rama Chandran v Industrial Court of Malaysia [1997] 1 MLJ 145
section
3. Majlis Perbandaran Pulau Pinang v Syarikat Berkerjasama - sama Serbaguna Sungai Gelugor [1979] 1 MLJ 135
section
4. Milann Bridge Sdn Bhd v Miniso (M) Sdn Bhd & Anor [2024] MLJU 1912
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.