only activities of a public nature can be the subject of judicial review. The cases from which I have distilled the above principles are: Associated Provincial Picture Houses v. Wednesbury Corporation, 1 Ridge v. Baldwin, 2 Padfield v. Minister of Agriculture, Fisheries & Food, 3 Anisminic v. Foreign Compensation Commission, 4 Secretary of State for Education & Science v. Tameside BC, 5 Chief Constable of the North Wales Police v. Evans, 6 O'Reilly v. Mackman, 7 Law v. National Greyhound Racing Club Ltd, 8 Square Meals Frozen Foods Ltd v. Dunstable Corporation, 9 R v. Crown Court at Ipswich, ex p Baldwin, 10 and Council of Civil Service Unions v. Minister for the Civil Service.” [12] Berdasarkan kepada prinsip-prinsip asas ini, Mahkamah menegaskan bahawa Permohonan Semakan Kehakiman bukan bertujuan untuk menyemak keputusan tetapi untuk menyemak proses keputusan itu dibuat, dan bahawa di dalam Permohonan Semakan Kehakiman, Mahkamah tidak menjalankan bidang kuasa rayuan tetapi bidang kuasa penyeliaan. Adalah menjadi kewajipan Mahkamah untuk melihat sama ada keputusan yang dibuat oleh Lembaga Tatatertib itu telah mengikut prosedur yang ditetapkan di bawah PPPA (rujuk; Lt Kol Yusof bin Abdul Rahman v Kol Anuar bin Md Amin & anor [1997] 1 MLJ 562). [13] Selain itu, Mahkamah turut mengambil maklum bahawa kes ini melibatkan skim perjawatan di Angkatan Tentera Malaysia yang mempunyai prinsip yang berbeza. Perkara ini pernah dijelaskan oleh Hakim Yaacob Md Sam HMT (pada ketika itu) di dalam kes Kapten Rizal bin Dollah and Others v Pihak Berkuasa Bersidang and Others [2009] 9 MLJ 736 yang memutuskan seperti berikut : “Mahkamah ini melihat Akta Angkatan Tentera 1972 lebih bersifat sebagai suatu skim khusus perundangan dalam mengawal perkhidmatan dan tatatertib penjawat/pegawai dan anggota angkatan tentera Malaysia. Bagi tujuan tersebut satu mahkamah khusus ditubuhkan yang dipanggil mahkamah tentera dengan tatacara dan kaedahnya sendiri. Keistimewaan mahkamah tentera dari campurtangan pihak berkuasa awam yang lain telah digambarkan dengan jelas melalui Perlembagaan Persekutuan apabila Peguam Negara yang juga pendakwa raya turut dikecualikan daripada mempunyai apa-apa kuasa dalam pendakwaan, perjalanan dan prosiding yang melibatkan mahkamah tentera.” Isu-isu yang perlu diputuskan [14] Terdapat 4 isu yang telah dibangkitkan oleh Pemohon di dalam kes ini seperti berikut; a) sama ada Mahkamah Tentera telah melangkaui bidang kuasa dan khilaf dalam menjatuhkan hukuman bukan berdasarkan Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972, tetapi di bawah Seksyen 90(5) Akta Angkatan Tentera 1972; b) sama ada terdapat pelanggaran terhadap Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan berkenaan kesilapan pada dokumen penting; c) sama ada Mahkamah Tentera gagal mengambilkira bahawa prosedur pengambilan urin adalah tidak dipatuhi; dan d) sama ada Pemohon telah dinafikan hak untuk mendapatkan rekod perbicaraan bagi tujuan penyediaan Petisyen Rayuan. Analisis Dan Dapatan Mahkamah Isu (a); sama ada Mahkamah Tentera telah melangkaui bidang kuasa dan khilaf dalam menjatuhkan hukuman bukan berdasarkan Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972, tetapi di bawah Seksyen 90(5) Akta Angkatan Tentera 1972 [15] Asas ke atas isu ini adalah berdasarkan kepada pertuduhan yang dikenakan ke atas Pemohon. Pertuduhan tersebut adalah di bawah seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 dan seksyen 87 Akta Angkatan Tentera 1972 yang menyatakan seperti berikut: Sidituduh 119085 Koperal Mohd Marzuki Bin Mat Jusoh Batalion Keenam Belas, Rejimen Askar Melayu Diraja, seorang Askar Laskar Angkatan Tetap yang tertakluk kepada Undang-Undang Perkhidmatan di bawah Seksyen 209 (1) (c) Akta Angkatan Tentera 1972, adalah dipertuduhkan atas: Pertuduhan Pertama Tidak mematuhi perintah tetap, yang bertentangan dengan seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972. Iaitu ia, di dalam Pejabat Cawangan Siasatan Jenayah (CSJ) Kota Bharu/Kuala Terengganu, Kem Desa Pahlawan 16500 Kota Bharu Kelantan pada 22 November 2019 jam lebih kurang 1300 telah memberikan sampel air kencingnya untuk diuji dan apabila diuji oleh Jabatan Patalogi, Hospital Raja Perempuan Zainab II, 15586 Kota Bharu Kelantan melalui Nombor Makmal D0270530 bertarikh 27 November 2019 mengesahkan bahawa sampel air kencing tersebut mengandungi terbitan Dadah Berbahaya jenis 3,4-Methylenedioxy methamphetamine (MDMA) yang bertentangan dengan Perintah Bahagian Pertama Pasukan Bilangan 25 bertarikh 21 Jun 2019 Bilangan 40.c.(5) iaitu suatu perintah yang telah diketahuinya atau dijangka dengan munasabah diketahuinya dengan mempunyai kesan terbitan dadah dalam air kencingnya adalah menjadi satu kesalahan. Pertuduhan Kedua (Alternatif Kepada Pertuduhan Pertama) Suatu perbuatan yang memudaratkan keadaan baik dan tatatertib perkhidmatan, yang bertentangan dengan seksyen 87 Akta Angkatan Tentera. Iaitu ia, di dalam Pejabat Cawangan Siasatan Jenayah (CSJ) Kota Bharu/Kuala Terengganu, Kem Desa Pahlawan 16500 Kota Bharu Kelantan pada 22 November 2019 jam lebih kurang 1300 telah memberikan sampel air kencingnya untuk diuji dan apabila diuji oleh Jabatan Patalogi, Hospital Raja Perempuan Zainab II, 15586 Kota Bharu Kelantan melalui Nombor Makmal D0270530 bertarikh 27 November 2019 mengesahkan bahawa sampel air kencing tersebut ada mengandungi terbitan dadah jenis 3,4-Methylenedioxy methamphetamine (MDMA) yang disenaraikan di dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu suatu perbuatan yang memudaratkan keadaan baik dan tatatertib Perkhidamtan. [16] Isu yang berbangkit adalah apabila Pemohon dikatakan telah dihukum penjara oleh Mahkamah Tentera di bawah seksyen 90(5) Akta Angkatan Tentera 1972. Ini dihujahkan oleh peguam Pemohon bertentangan dengan prinsip berkaitan pertuduhan yang memerlukan ianya jelas (rujuk; PP v Magarita B Cruz [1987] 2 MLRHA 228 dan Goh Keat Peng v PP [2001] 2 CLJ 498). [17] Peguam Pemohon menghujahkan bahawa Pemohon tidak pernah dimaklumkan berkenaan hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Tentera di bawah seksyen 90(5) Akta Angkatan Tentera 1972 ini dan sehubungan itu, Mahkamah Tentera telah dihujahkan sebagai melampaui bidangkuasanya. [18] Peguam Pemohon turut menghujahkan bahawa di bawah seksyen 51 dan 87 Akta Angkatan Tentera 1972, ia menyatakan peruntukan mandatori berkaitan hukuman dan oleh itu, Mahkamah Tentera adalah terikat untuk hanya menjatuhkan hukuman sepertimana yang diperuntukkan di bawah kedua-dua seksyen tersebut sahaja. [19] Bagi menjawab isu ini, Tuan Peguam Persekutuan telah membawa perhatian Mahkamah ini kepada Afidavit Jawapan oleh Kolonel Haji Mohd Tajaharull bin Ismail di K10 yang telah menyatakan: “9.1 Bagi menjawab kepada perenggan 19 a. Afidavit Sokongan Pemohon, Responden-responden sesungguhnya percaya dan ingin menyatakan bahawa hukuman 4 bulan penjara dan dibuang kerja dari perkhidmatan telah dibuat mengikut lunas undang-undang yang sah dan selari dengan peruntukkan di bawah Seskyen 90 (5) Akta Angkatan Tentera 1972”. [20] Berdasarkan kepada pengataan ini, Mahkamah berpandangan bahawa ianya bukanlah menyatakan bahawa hukuman penjara tersebut adalah di bawah seksyen 90(5) Akta Angkatan Tentera