1
Pada 1.10.2021, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam telah mensabitkan perayu bersalah atas kesalahan mengedar dadah berbahaya di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan beliau dikenakan hukuman gantung sampai mati.
B-05(M)-351-10/2021
Court of Appeal of Malaysia15 Feb 2024
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
1
Pada 1.10.2021, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam telah mensabitkan perayu bersalah atas kesalahan mengedar dadah berbahaya di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan beliau dikenakan hukuman gantung sampai mati.
2
Ini adalah rayuan perayu terhadap sabitan dan hukuman.
3
Pertuduhan yang dihadapkan kepada perayu berbunyi seperti berikut:- Bahawa kamu pada 14 Ogos 2018 jam lebih kurang 4.30 petang bertempat di tepi Jalan Lingkaran Sultan Mohamed 1, Bandar Sultan Sulaiman, dalam Daerah Klang, di dalam Negeri Selangor, telah didapati mengedar dadah berbahaya seberat 103.9 grams (69.3 grams Heroin dan 34.6 grams Monoacetylmorphines) dan dengan itu kamu telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.
4
Bertindak atas maklumat, pada 14.8.2018 jam lebih kurang 4.00 petang, ASP Saravanan a/l Diwanatong (SP6) telah mengetuai satu pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPK Selangor, membuat pemerhatian di lokasi tepi Jalan Lingkaran Sultan Mohamed 1, Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Utara, Selangor. Maklumat mengatakan suspek adalah seorang lelaki India yang menggunakan motosikal bernombor BPJ 2467.
5
Setelah membuat pemerhatian selama 30 minit, SP6 melihat sebuah motosikal No.BPJ 2467 yang ditunggang oleh seorang lelaki India (dicamkan sebagai perayu) telah sampai dan berhenti di tepi jalan dalam kawasan pemerhatian. Serta merta SP6 dan pasukan serbuan menghampiri motosikal tersebut dan menahan perayu. Semasa SP6 memperkenalkan diri sebagai polis, perayu cuba melarikan diri. Tetapi berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan.
6
Pemeriksaan ke atas tubuh badan perayu tidak menemukan apa-apa barang salah.
7
SP6 seterusnya membuat pemeriksaan ke atas raga motosikal BPJ 2467 dan menjumpai satu (1) beg plastik warna hijau bertulisan “thank you” yang mana di dalamnya terdapat 5 bungkusan kertas warna coklat dan setiap bungkusan kertas tersebut mengandungi 1 peket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin.
8
SP6 telah menangkap perayu dan merampas kesemua barang kes untuk dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Klang Utara untuk tindakan selanjutnya.
9
Barang kes yang disyaki dadah yang dijumpai di dalam raga motosikal BPJ 2467 telah dianalisa oleh Ahli Kimia, Dr. Saravanan Kumar a/l Jayaram (SP3) dan disahkan sebagai dadah berbahaya jenis heroin 4 dengan berat bersih 103.9 gram (69.3 gram heroin dan 34.6 gram monoacetylmorphines).
10
Atas asas hanya perayu seorang sahaja yang menunggang motosikal BPJ 2467 dan dadah di dalam raga motosikal itu bukan sahaja sangat dekat dengan perayu, tetapi juga tidak tersembunyi, Hakim Bicara mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa perayu mempunyai milikan secara langsung ke atas dadah. Dengan jumlah berat dadah heroin melebihi 15 gram, anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da) ADB 1952 terpakai terhadap perayu.
11
Setelah membuat penilaian maksima semua keterangan yang dikemukakan, Hakim Bicara mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie dan memanggil perayu membela diri.
12
Perayu memberi keterangan bersumpah. Versi beliau mengenai insiden jumpaan dadah dan tangkapan beliau adalah seperti berikut. Beliau bekerja sebagai pengawal keselamatan kilang di Jalan Kapar, Klang. Pada hari kejadian, beliau telah keluar dari tempat kerja dengan menaiki bas menuju ke bandar Klang. Dari Klang, beliau mengambil teksi menuju ke stor kilang Kolki di Bandar Sultan Suleiman untuk mencari kerja sebagai pemandu lori.
13
Setelah keluar dari stor tersebut, beliau berdiri di tepi jalan, menunggu teksi untuk pulang. Pada masa sedang berdiri menunggu teksi itulah, sepasukan anggota polis telah datang serbu dan menangkap beliau. Perayu tidak menafikan pada masa beliau ditangkap, beliau 5 berada bersebelahan dengan motosikal BPJ 2467, dalam jarak 10 kaki sahaja. Tetapi beliau mendakwa tidak tahu siapa pemilik motosikal. Beliau menafikan ada menunggang atau duduk di atas motosikal tersebut. Beliau juga menafikan beliau meminjam motosikal itu daripada Devindran kerana beliau tidak kenal Devindran.
14
Mengenai dadah pula, perayu mengatakan beliau tidak tahu mengenainya. Kes perayu ialah polis hanya menunjukkan motosikal sahaja di tempat kejadian. Kali pertama beliau ditunjukkan dadah berkenaan ialah di balai polis dan SP6 mengatakan dadah itu kepunyaan perayu.
15
Di akhir kes pembelaan, Hakim Bicara menolak pembelaan perayu atas alasan pembelaan adalah penafian semata-mata dan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
16
Perayu membangkitkan 5 isu berikut:
i
Hakim Bicara telah tersalah arah (misdirection) apabila mengambilkira eksibit yang tidak wujud.
II
(ii) Kegagalan pendakwaan memanggil saksi material, Devindran a/l Vimbadi.
III
(iii) Keterangan SP6 bercanggah dengan laporan polis, eksibit P26.
IV
(iv) Kegagalan memanggil atau menawarkan penama Richard a/l Arokiam, Kumagan a/l Selvarajah dan Pathmanaban.
v
Pembelaan perayu bukanlah penafian semata-mata. Isu Hakim Bicara Tersalah Arah [17] Di dalam alasan penghakiman beliau (Rekod Rayuan Jilid 1 muka surat 19), Hakim Bicara menyatakan: “Lantas pihak pendakwaan memohon di bawah Seksyen 32(1)(i) Akta Keterangan 1950 untuk mengemukakan rakaman percakapan penama Devindran a/l Vimbadi sebagai eksibit. Namun dibantah oleh pembelaan. Pegawai Penyiasat SP7 mengesahkan bahawa semasa peringkat siasatan, penama ini iaitu Devindran a/l Vimbadi telah diambil keterangan. Meneliti kepada permohonan oleh pihak pendakwaan ini, Mahkamah berpuashati bahawa segala usaha bagi memenuhi kehendak Seksyen 32(1)(i) Akta Keterangan 1950 telah dipenuhi. Oleh yang demikian, permohonan pihak pendakwaan diizinkan dan rakaman percakapan Devindran a/l Vimbadi boleh dikemukakan sebagai eksibit. Ia ditandakan sebagai eksibit P40”. [18] Komplen perayu ialah:-
a
Semasa perbicaraan, pendakwaan tidak pernah memohon untuk mengemukakan pernyataan Devindran a/l Vimbadi sebagai keterangan di bawah Seksyen 32(1)(i) Akta Keterangan 1950; dan
b
Eksibit P40 tidak ada di dalam Rekod Rayuan. Eksibit P40 disahkan oleh pendakwaan sebagai tidak wujud. P40 adalah rekaan Hakim Bicara dalam alasan penghakimannya. [19] Peguam perayu menghujahkan bahawa perbuatan Hakim Bicara merujuk dan mengambilkira eksibit yang tidak wujud adalah terjumlah kepada satu salah arah (misdirection) yang menyebabkan berlakunya salah laksana keadilan. Peguam perayu menghujahkan bahawa sabitan ke atas perayu telah dikompromi. Peguam merujuk kepada kes Yap Wai Yean v PP [2010] 4 ML J 386. Dalam kes itu, Mahkamah Rayuan memutuskan: “(3) The trial judge adopted an over simplistic approach to the case for the prosecution and the defence, in that he failed to take into account or to give proper weight to or draw proper inferences from every fact in favour of the appellant and thus failed to review the evidence from all angles, with the result that a miscarriage of justice had occurred. The trial judge’s failure to consider the appellant’s explanation, which was sufficient to create a reasonable doubt as to his guilt, meant that there had been little or no judicial appreciation of the evidence and necessitated the appellate interference.” [20] Kami tidak bersetuju dengan hujahan peguam perayu. Pada hemat kami kes Yap Wai Yean v PP tidak terpakai dalam kes di hadapan kami kerana fakta dalam kes Yap sangat berbeza dengan kes perayu. Dalam kes Yap, perayu ditangkap bersama seorang lagi lelaki Cina iaitu PW3. Pada masa perayu ditangkap, beliau memegang satu beg plastik berisi dadah. Pembelaan perayu ialah beg berisi dadah itu adalah kepunyaan PW3; PW3 telah meminta perayu memegang beg itu sementara waktu kerana PW3 hendak membuat panggilan telefon. Hakim Bicara memutuskan pembelaan perayu adalah penafian semata-mata dan mensabitkan perayu. Atas rayuan oleh perayu, Mahkamah Rayuan mendapati pembelaan perayu bukanlah penafian semata-mata kerana ada cukup keterangan yang membuktikan pengedar dadah yang sebenar ialah PW3 kerana dadah dijumpai didalam kereta PW3 bersama wang tunai RM2000.00 sedangkan PW3 tidak bekerja. Malah PW3 juga telah ditangkap dan dituduh atas kesalahan dadah. [21] Dalam kes di hadapan kami, pada masa perayu ditangkap, hanya ada perayu seorang sahaja bersama motosikal BPJ 2467 di tempat kejadian. Pada hemat kami, walaupun Hakim Bicara telah tersalah arah mengambilkira eksibit P40 yang tidak wujud, ia sama sekali tidak mengakibatkan salah laksana keadilan kerana sabitan dibuat berasaskan fakta yang betul iaitu perayu memiliki dadah secara fizikal dan pembelaan beliau adalah menafikan keseluruhan kes pendakwaan. Keterangan terhadap perayu adalah kukuh dan sabitan adalah selamat. Isu Kegagalan Pendakwaan Memanggil Saksi Material, Devindran A/L Vimbadi [22] Nama Devindran a/l Vimbadi ini timbul semasa Muniandy a/l Balakrishnan (SP4) memberi keterangan. Menurut SP4, Devindran adalah abang ipar beliau dan nama SP4 telah digunakan oleh Devindran untuk membeli motosikal BPJ 2467 kerana nama Devindran telah disenarai hitamkan. Sebaik dibeli, motosikal itu diserahkan kepada Devindran. Devindran membayar ansuran motosikal dan selepas itu, SP4 tidak pernah melihat Devindran. [23] Pegawai penyiasat, SP7 telah memberi keterangan bahawa beliau ada merakamkan percakapan Devindran. Devindran menyatakan beliau telah meminjamkan motosikal itu kepada perayu. Malangnya segala usaha untuk mengesan Devindran telah gagal. [24] Peguam perayu menghujahkan bahawa Devindran adalah saksi yang material. Jika Devindran tidak ada kaitan dengan dadah yang dijumpai dalam kes ini, tidak ada sebab untuk beliau menghilangkan diri. [25] Kami tidak bersetuju dengan hujahan peguam perayu. Pada hemat kami, tanpa keterangan daripada Devindran sekalipun, kes pendakwaan tetap kukuh dan tidak terjejas. Kewujudan motosikal itu di tempat kejadian tidak dinafikan oleh perayu. Tidak ada sebab untuk pihak polis mereka cerita mengenai perayu menunggang dan duduk di atas motosikal sebelum beliau ditangkap. Isu Keterangan SP6 Bercanggah Dengan Laporan Polis P26 [26] Kami telah meneliti kedua-dua keterangan lisan SP6 dan laporan polis P26. Memang benar, di dalam P26, SP6 tidak menyebut dua perkara ini:- (a) beliau membuat pemerhatian selama 30 minit dan
b
perayu menunggang motosikal dan berhenti di tepi jalan. Tetapi, di dalam keterangan, SP6 mengatakan beliau dan pasukan serbuan telah berada di lokasi kejadian pada jam 4.00 petang dan perayu datang ke lokasi tersebut pada jam 4.30 petang dengan menunggang motosikal dan kemudiannya perayu memberhentikan motosikal itu di tepi jalan. Semasa ditangkap, perayu sedang duduk di atas motosikal. [27] Apabila disoal balas oleh peguam perayu mengenai percanggahan-percanggahan ini, SP6 memberi penjelasan berikut. Beliau hanya memberi fakta ringkas sahaja dalam laporan polis dan akan memberikan fakta yang terperinci semasa memberi keterangan di mahkamah. Kami mendapati penjelasan SP6 itu adalah munasabah dan boleh diterima oleh mahkamah. Bukanlah keperluan undang-undang bahawa laporan polis perlu menghuraikan dengan terperinci berapa lama pemerhatian dibuat dan bagaimana OKT boleh berada di lokasi kejadian untuk mengelakkan laporan polis menjadi terlalu panjang. Apa yang perlu dinyatakan dalam laporan polis adalah fakta yang material sahaja. Dalam kes ini, fakta yang material ialah kewujudan motosikal tidak dipertikaikan. [28] Laporan polis bukanlah keterangan substantif dan bukan satu ensaiklopedia. Ia hanya satu prosedur untuk memulakan siasatan; Herchun Singh v PP [1969] 1 LNS 52; Timber Jimdani Ong & Anor v PP [2010] 3 CL J 939. [29] Oleh itu, penjelasan SP6 bahawa perayu datang ke lokasi kejadian dengan menunggang motosikal sebelum memberhentikan motosikal itu ditepi jalan tidak bercanggah dengan laporan polisnya kerana perayu ditangkap pada ketika motosikal itu telah berhenti dan beliau sedang duduk di atas motosikal. Adalah mustahil perayu boleh duduk di atas motosikal jika beliau tidak menunggang motosikal tersebut. [30] Pada hemat kami, ketinggalan SP6 menyatakan dalam laporan polis mengenai tempoh masa membuat pemerhatian dan perayu menunggang motosikal tidak menjejaskan kes pendakwaan. Oleh itu, kami mendapati isu yang dibangkitkan perayu mengenai keterangan SP6 adalah tidak bermerit. Isu kegagalan memanggil atau menawarkan Richard a/l Arokiam, Komagan a/l Selvarajah dan Pathmanaban a/l Anchane @ Murugiah. [31] Nama ketiga-tiga orang ini dibangkitkan oleh pembelaan. Kes pembelaan ialah ketiga-tiga orang ini ditangkap bersama dengan perayu pada 14.8.2018 dan dadah yang dijumpai di dalam raga motosikal adalah kepunyaan tiga orang ini. Pegawai penyiasat, SP7 menafikan pengataan pembelaan. Keterangan SP7 ialah ketiga-tiga orang ini ditangkap di lokasi yang berbeza, tiada kaitan dengan perayu dan tiada barang kes dadah dirampas dari tangkapan ketiga-tiga penama tersebut. [32] Mengenai isu ini, Hakim Bicara membuat dapatan fakta berikut:- “42. Berkaitan dengan penama Richard dan Komagan, tertuduh juga bersetuju bahawa semasa tangkapan ke atasnya, hanya dia seorang sahaja di tempat kejadian.
43
Pihak pembelaan telah memasukkan eksibit IDD30 iaitu borang bongkar ke atas penama Richard a/l Arokiam, Kumagan a/l Selvarajah dan Pathmanaban. Jika dilihat pada IDD 30 ini, adalah jelas bahawa tempat bongkaran untuk ketiga-tiga penama ini adalah berlainan di antara satu sama lain. Ia juga berlainan dengan tempat tertuduh ditangkap seperti yang kelihatan dalam borang bongkar eksibit P27. Maka, adalah jelas bahawa, tertuduh hanya ditangkap secara berseorangan pada hari kejadian di mana laporan polis eksibit P26 adalah laporan tangkapan terhadapnya.” [33] Setelah melihat borang bongkar perayu (eksibit P27) dan membandingkannya dengan IDD30, kami mendapati dapatan fakta Hakim Bicara adalah tepat dan betul. Ketiga-tiga penama tersebut tiada kaitan dengan kes perayu. Mereka bukanlah saksi yang material dan tiada keperluan untuk pendakwaan menawarkan ketiga-tiga penama ini kepada pembelaan. Atas sebab yang sama, inferen bertentangan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 950 tidak terpakai terhadap pendakwaan. Isu Pembelaan Perayu Bukanlah Penafian Semata-Mata [34] Pembelaan perayu ialah beliau menafikan keseluruhan versi pendakwaan. Kami mendapati Hakim Bicara membuat keputusan yang tepat apabila memutuskan pembelaan perayu adalah penafian semata-mata dan wajar ditolak; D.A Duncan v PP [1980] 1 LNS 12 dirujuk. Adalah undang-undang mantap bahawa pembelaan penafian adalah tidak mencukupi untuk menimbulkan keraguan yang munasabah. Keputusan Kami [35] Atas fakta dan keadaan kes ini, kami mendapati sabitan ke atas perayu adalah selamat. Maka, rayuan atas sabitan ditolak. [36] Mengenai hukuman, kami menggunakan kuasa budibicara di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dengan mengenepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan hukuman penjara selama 30 tahun dari tarikh tangkap dan 12 kali sebatan rotan. Bertarikh: 2 April 2024 - Sgd - Hadhariah binti Syed Ismail Hakim Mahkamah Rayuan. Bagi Pihak Perayu : Visnuvarman a/l Pasupathi, Dinesh Muthal & Biranta Tetuan Pari & Partners. Bagi Pihak Responden : Parvin Hameedah Natchiar; Timbalan Pendakwa Raya; Jabatan Peguam Negara, Malaysia.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.