CHONG HO SIONG (NO. K/P: 880719-06-5699) (Berniaga di bawah nama dan gaya SEPADU MESRA ENTERPRISE) …DEFENDAN- (No. Pendaftaran: 202003114158 (003112044-V) DEFENDAN 05/07/2024 12:23:11 CB-22NCvC-10-08/2023 Kand. 58 ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Ini adalah permohonan Plaintif untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Defendan-Defendan untuk jumlah RM320,000.00. [2] Plaintif dalam penyataan tuntutan menunjukkan bahawa Plaintif memohon perintah injunksi pengisytiharan bahawa Perjanjian Jual Beli Kayu Balak bertarikh 25.11.2020 dibatalkan. Secara alternatifnya Defendan-Defendan membayar kepada Plaintif wang tertunggak berjumlah RM320,000.00. [3] Fakta di dalam kes ini menunjukkan bahawa terdapat Perjanjian Jual Beli Kayu Balak di antara Plaintif dan Sepadu Mesra Enterprise bertarikh 25.05.2020 di Eksibit “A-1” affidavit Ku Kam Sang. [4] Pada Fasal 1 (d) perjanjian tersebut terdapat terma yang menyatakan seperti berikut: d. Baki sejumlah RM640,000.00 (Ringgit Malaysia: Enam Ratus Empat Puluh Ribu) sahaja akan dibayar selepas (3) bulan dari Pihak Pertama memperolehi Kelulusan Pelan Pindaan Baru dari ASPA. [5] Plaintif mengesahkan bahawa bayaran RM320,000.00 telah dibayar oleh Defendan-Defendan, namun baki RM320,000.00 masih belum dijelaskan bagi menggenapkan jumlah keseluruhannya RM640,000.00. [6] Pihak Defendan di dalam affidavit jawapan menyatakan bahawa bayaran RM640,000.00 yang terdapat pada Fasal 1 (d) perjanjian jual beli tersebut adalah tidak bertanggungan untuk dibayar kepada Plaintif disebabkan kawasan balak yang dipersetujui adalah seluas 800 ekar sedangkan kawasan yang boleh dilakukan pembalakan hanya 228.02 ekar. Pembalakan hanya 228.02 ekar. Ini dinyatakan di para 22.3 affidavit Chong Ho Siong yang diikrarkan pada 05.03.2024. Analisa [7] Plaintif boleh memohon untuk mendapatkan penghakiman terus terhadap Defendan seperti yang diperuntukkan di bawah Aturan 14 Kaedah-kaedah Mahkamah (KKM) 2012. Penghakiman terus dibenarkan di bawah prosedur sivil bagi membolehkan Plaintif yang mengemukakan tuntutan di mana tiada isu-isu boleh bicara memperolehi penghakiman terus tanpa melalui pengendalian perbicaraan penuh. Namun begitu, Mahkamah perlu memahami bahawa dengan membenarkan penghakiman terus, ia telah tidak memungkinkan Defendan mengemukakan keterangan dan didengar kes mereka di Mahkamah. [8] Prinsip berkenaan penghakiman terus boleh diberikan kepada Plaintif seperti yang telah dinyatakan dalam kes-kes yang mantap yang tidak wajar diperpanjangkan di sini. Misalnya dalam kes National Company for Foreign Trade v Kayu Raya Sdn Bhd [1984] 2 MLJ 300, Bank Negara Malaysia v Mohd Ismail & Ors [1992] 1 MLJ 400 serta deretan kes-kes lain yang menjadi sebahagian daripada khazanah perundangan berkenaan dengan penghakiman terus. Adakah terdapat isu boleh bicara dalam kes ini? [9] Penelitian kepada affidavit sokongan, affidavit jawapan, affidavit balasan dan eksibit-eksibit yang dikemukakan kepada Mahkamah adalah didapati bahawa terdapat perjanjian jual beli di antara Plaintif dengan pihak Defendan. Terma-terma berkaitan dengan tanggungjawab Plaintif dan pihak Defendan telah dinyatakan di dalam perjanjian jual beli tersebut. Bayaran yang kena dibayar oleh pihak Defendan kepada Plaintif juga turut dinyatakan. [10] Adakah timbul isu yang memerlukan kepada perbicaraan? Adakah terdapat apa-apa kemungkiran perjanjian yang perlu dibuktikan di Mahkamah melalui keterangan saksi-saksi bagi membolehkan remedi yang sewajarnya diperolehi oleh Plaintif? Adakah pembayaran yang dikatakan perlu dibuat oleh Defendan kepada Plaintif boleh diputuskan hanya berdasarkan kepada penelitian kepada dokumen-dokumen yang dikemukakan? Bagi memutuskan perkara ini, Mahkamah juga perlu mengenalpasti sama ada terdapat tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Plaintif yang perlu dibuktikan di Mahkamah sebelum mendapatkan bayaran RM320,000.00 seperti yang dipohon dalam kes ini. [11] Mahkamah juga perlu memberikan penelitian kepada fakta bahawa sebahagian bayaran RM320,000.00 telah dijelaskan oleh pihak Defendan kepada Plaintif yang merupakan separuh daripada bayaran RM640,000.00 yang telah dipersetujui di dalam perjanjian jual beli tersebut. [12] Dalam kes ini Mahkamah berpendapat tuntutan Plaintif adalah berkaitan dengan pelaksanaan terma perjanjian tersebut yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Ini jelas dapat dilihat di Fasal 1 perjanjian jual beli tersebut. [13] Penelitian kepada affidavit-affidavit menunjukkan bahawa pihak Defendan bersetuju untuk membayar jumlah RM640,000.00 kepada Plaintif seperti yang dinyatakan di dalam perjanjian jual beli tersebut. [14] Mahkamah ini juga mendapati melalui affidavit yang difailkan bahawa Plaintif telah menunaikan tanggungjawab di bawah perjanjian jual beli tersebut bagi mewajarkan Plaintif memperolehi RM320,000.00. Defendan-Defendan tidak dapat menunjukkan sebaliknya bagi menyanggah keterangan tersebut yang membawa kepada terdapatnya isu-isu boleh bicara. Ini dapat dilihat di perenggan 14 (a) hingga (f) Affidavit Ku Kam Sung seperti berikut: 14) (a) Saya menegaskan bahawa Defendan-Defendan telahpun menyempurnakan pembayaran premium, kuota, deposit, proses, pelan dan pengesahan sempadan kepada JPNP bagi kawasan tersebut; (Merujuk kepada KM16, "Pernyataan Pembelaan dan Tuntutan Balas" bertarikh 24/10/2023, m.s. 6 & 7,