Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN PERBICARAAN JENAYAH NO: KA-45A-43-09/2023 ANTARA PENDAKWA RAYA LAWAN KU MUHAMAD IKMAL BIN KU MUHAMAD RAWI (NO. K/P: 970107-02-5089) ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan
KA-45A-43-09/2023
High Court of Malaysia27 Oct 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“ginality of this document via eFILING portal 5 (1-7) berada dalam pemilikan tertuduh kerana ia berada begitu hampir dengan tertuduh. Perhatian mahkamah dibawa kepada keputusan kes Tan Yew Choy v PP [2008] MLJU 667, Haron bin Mukri v PP [2011] 6 MLJ 368 dan Khairuddin bin Hassan v PP [2010] 6 MLJ 145.”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN PERBICARAAN JENAYAH NO: KA-45A-43-09/2023 ANTARA PENDAKWA RAYA LAWAN KU MUHAMAD IKMAL BIN KU MUHAMAD RAWI (NO. K/P: 970107-02-5089) ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan
1
Kes ini melibatkan pertuduhan ke atas tertuduh di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) kerana mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 205.9 gram.
2
Kesalahan dikatakan telah dilakukan pada 21/3/2023 pada jam 6.00 petang di tepi Jalan Masjid Lama, Pekan Jitra dalam daerah Kubang Pasu, Kedah. Fakta kes pendakwaan
3
Pihak Pendakwa Raya (PR) telah memanggil seramai 3 orang saksi. Naratif pihak PR adalah bermula dengan satu maklumat yang diterima oleh SP1 berkaitan aktiviti pengedaran dadah syabu melibatkan seorang lelaki Melayu di Pekan Jitra. Ia diterima pada 21/3/2023 jam 4.00 petang. Berdasarkan maklumat tersebut, SP1 telah menjalankan taklimat kepada pasukannya di BSJN, IPD Kubang Pasu.
4
Selanjutnya SP1 mengetuai pasukan serbuan ke tempat kejadian iaitu di Jalan Masjid Lama, Pekan Jitra dan pada lebih kurang jam 6.00 petang, SP1 telah nampak sebuah kereta Perodua Alza bernombor TCK 3548 telah diparkir di tepi jalan. SP1 turut nampak tertuduh berada dalam kereta tersebut.
5
SP1 kemudiannya telah menghampiri kereta tersebut dan meminta tertuduh turun dari kereta. SP1 telah memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dengan menunjukkan kad kuasa serta membuat pemeriksaan fizikal ke atas tertuduh yang pada ketika itu dikatakan memakai beg pinggang (P19). Dengan disaksikan tertuduh, SP1 telah memeriksa P19 dan menjumpai 7 peket plastik lutsinar (P22 (1-7)) serta kad pengenalan tertuduh (P24).
6
Tertuduh kemudiannya ditangkap dan P22 (1-7) tersebut telah disahkan oleh Ahli Kimia melalui Laporan Kimia (P14) mengandungi dadah methamphetamine seberat 205.9 gram. Analisis dan dapatan mahkamah di akhir kes pendakwaan
7
Peguambela tertuduh telah menyatakan bahawa tiada cabaran yang dibangkitkan ke atas keterangan P14 berkaitan jenis dadah serta beratnya. Dalam masa yang sama, peguambela turut menyatakan bahawa tiada cabaran yang dibangkitkan ke atas rantaian keterangan barang kes dari ianya dirampas oleh SP1 membawa kepada penyerahan kepada SP3 dan salanjutnya kepada Ahli Kimia sehinggalah ianya dibawa dan dikemukakan di mahkamah ini. Dengan kata yang lain, tertuduh tidak mempertikaikan bahawa ia adalah barang kes yang sama yang dirampas oleh SP1 dan berat serta jenis dadah adalah turut tidak dipertikaikan.
8
Oleh itu, mahkamah merumuskan bahawa pihak PR telah berjaya membuktikan elemen yang pertama iaitu dadah yang dipersoalkan adalah dadah methamphetamine seberat 205.9 gram. Pihak PR turut telah berjaya membuktikan bahawa tiada pecahan ke atas rantaian keterangan barang kes.
9
Isu yang menjadi hujahan serta petikaian peguambela tertuduh hanyalah tertumpu kepada sama ada pihak PR telah berjaya membuktikan bahawa P22 (1-7) yang berada dalam P19 tersebut adalah berada dalam pemilikan tertuduh.
10
Menurut Puan TPR, teras pembuktian pihak PR berkaitan pemilikan adalah bergantung kepada keterangan-keterangan berikut: a) P22 (1-7) ditemui dalam beg pinggang P19 yang sedang dipakai oleh tertuduh; b) terdapat kad pengenalan tertuduh (P24) dalam P19; c) tertuduh kelihatan panik apabila SP1 menemui P22 (1- 7) dalam P19; d) hanya tertuduh yang berada dalam kereta tersebut; e) SP2 mengesahkan bahawa tertuduh meminjam keretanya pada petang tersebut; f) semasa serahan kereta kepada tertuduh, tiada barang-barang lain dalam kereta termasuk P19; dan g) kali terakhir SP2 menggunakan kereta tersebut adalah pada jam 2.00 petang hari yang sama.
11
Puan TPR menghujahkan bahawa keterangan-keterangan ini membuktikan bahawa P19 yang di dalamnya mengandungi P22 (1-7) berada dalam pemilikan tertuduh kerana ia berada begitu hampir dengan tertuduh. Perhatian mahkamah dibawa kepada keputusan kes Tan Yew Choy v PP [2008] MLJU 667, Haron bin Mukri v PP [2011] 6 MLJ 368 dan Khairuddin bin Hassan v PP [2010] 6 MLJ 145.
12
Peguam tertuduh walaubagaimanapun mencabar keterangan SP1 dalam aspek-aspek berikut: a) tempat tangkapan tertuduh adalah sebenarnya di hadapan kedai Jitra Auto iaitu di kawasan letak kereta; b) semasa ditangkap, terdapat seorang lagi tangkapan iaitu Mohd Khair Abdul Rasheed; c) pihak polis juga dikatakan telah menemui wang tunai sebanyak RM9,000.00 hingga RM10,000.00; dan d) selepas tangkapan, tertuduh telah dibawa ke rumahnya dan ini diakui oleh ibu tertuduh iaitu SP2.
13
Cabaran peguam tertuduh diperkuat oleh keterangan SP2 seperti berikut: a) tertuduh telah keluar dari rumah menaiki kereta Perodua Alza miliknya bersama-sama Mohd Khair Abdul Rasheed untuk ke kedai alat ganti kereta (spare part); b) identiti Mohd Khair Abdul Rasheed ditunjukkan melalui aplikasi whatsapp yang menunjukkan nama serta gambar penama tersebut; c) SP2 mengesahkan bahawa bapa tertuduh telah menyerahkan wang sebanyak RM2,000.00 untuk membeli alat ganti lori; d) pihak polis telah membawa tertuduh ke rumah mereka pada malam hari kejadian di mana pihak polis dikatakan masuk ke dalam rumah selama 5 minit melalui pintu dapur dan SP2 diarahkan memadamkan lampu rumah; dan e) dompet duit tertuduh (D26) dan isi kandungannya iaitu kad Watson (D27), kad minyak Miles (D28), lesen memandu tertuduh (D29), 1 gambar ukuran passport milik tertuduh (D30), 1 kad vaksinasi (D31) dan duit syiling (D32) telah dipulangkan semula oleh pihak polis kepada bapa tertuduh.
14
Peguam menghujahkan bahawa keterangan-keterangan SP1 dan SP2 ini tidak disiasat sepenuhnya oleh Pegawai Penyiasat iaitu SP3 dan menimbulkan keraguan ke atas pembuktian elemen pemilikan dadah tersebut. Aspek-aspek siasatan yang dipertikaikan adalah seperti berikut: a) identiti Mohd Khair Abdul Rasheed tidak disiasat; b) wang yang dirampas daripada tertuduh tidak disiasat; c) dompet tertuduh iaitu D26 tidak disiasat; dan d) tiada keterangan forensik yang dapat mengaitkan tertuduh ke atas barang-barang kes yang dirampas.
15
Mahkamah telah menjalankan penilaian maksimum ke atas keterangan-keterangan yang diberikan dan mendapati bahawa SP1 dan SP3 semasa diperiksa balas menafikan tempat tangkapan tertuduh adalah di hadapan kedai Jitra Auto serta terdapat seorang lagi tangkapan iaitu Mohd Khair Abdul Rasheed yang turut ditangkap. Atas alasan inilah, maka siasatan SP3 hanyalah ke atas tempat tangkapan yang dinyatakan dalam laporan polis (P5 dan P6) dan tidak menyiasat langsung penama Mohd Khair Abdul Rasheed.
16
Kedua-dua SP1 dan SP3 adalah merupakan pegawai polis yang tidak pernah mengenali tertuduh. Tiada sebarang alasan setakat ini untuk mebuat satu inferens bahawa keterangan mereka adalah diragui. Pemeriksaan utama serta balas yang dijalankan ke atas mereka tidak menggugat kredibiliti mereka setakat ini.
17
Berbalik kepada keterangan SP2, mahkamah berpandangan bahawa keterangan SP2 perlu dinilai dengan berhati-hati memandangkan status SP2 sebagai ibu kepada tertuduh. Walaupun SP2 merupakan saksi pihak PR, namun keterangan SP2 berkaitan kewujudan D26 serta wang yang diserahkan kepada tertuduh oleh bapa tertuduh adalah merupakan keterangan dengar cakap yang tidak wajar diterima masuk oleh mahkamah di peringkat ini.
18
Ini kerana ternyata D26 dikatakan diserahkan oleh polis kepada bapa tertuduh dan bukannya SP2. Manakala bagi wang sebanyak RM2,000.00, SP2 menyatakan bahawa ianya diserahkan oleh bapa tertuduh.
19
Berkaitan penama Mohd Khair Abdul Rasheed, walaupun ianya ditunjukkan kepada mahkamah gambar dan profilnya dalam telefon bimbit milik SP2, namun nama ini tidak pernah didedahkan oleh tertuduh mahupun SP2 kepada SP3 untuk disiasat. Oleh itu, tidak timbul isu berkaitan kegagalan SP3 untuk menyiasat penama ini.
20
Peguambela tertuduh membangkitkan berkenaan tindakan Puan TPR tidak memeriksa semula SP2 berkaitan aspek ini. Ini dihujahkan sebagai pihak PR menerima seadanya keterangan yang berbangkit dari pemeriksaan balas oleh peguam ke atas SP2. Mahkamah walaubagaimanapun berpendirian bahawa ketiadaan pemeriksaan semula oleh Puan TPR bukan bermaksud apa sahaja keterangan SP2 semasa pemeriksaan balas adalah diterima sebulatnya. Ia perlu dibandingkan dengan keterangan SP2 semasa pemeriksaan utama serta keterangan-keterangan lain. Pada hemat mahkamah, jika ditimbangi sebegitu, mahkamah berpandangan bahawa keterangan SP2 setakat ini tidak menimbulkan apa-apa keraguan ke atas kes pihak PR.
21
Berkaitan keterangan SP1 semasa pemeriksaan balas bahawa selepas tangkapan tertuduh telah dibawa pulang ke rumahnya, mahkamah menerima penjelasan oleh SP1 bahawa ianya tidak dimasukkan dalam P5 mahupun dinyatakan dalam PSSP1 kerana SP1 berpandangan bahawa ia tidak relevan kerana ia tidak menemukan apa-apa barang salah. Bagi mahkamah penjelasan ini adalah munasabah dan wajar diterima. Kes di hadapan mahkamah adalah hanya ke atas dadah dalam P19 yang ditemui semasa tangkapan tertuduh.
22
Berdasarkan kepada penilaian maksimum mahkamah ke atas keterangan saksi-saksi pihak PR termasuk menilai kredibiliti mereka, mahkamah merumuskan bahawa pihak PR telah berjaya membuktikan bahawa dadah di P22 (1-7) yang ditemui dalam P19 adalah dalam pemilikan tertuduh.
23
Berdasarkan dapatan tersebut, maka mahkamah adalah dibolehkan untuk menggunapakai peruntukan andaian di bawah seksyen 37(da) Akta 234 bahawa tertuduh boleh diandaikan mengedar dadah tersebut. Keputusan di akhir kes pendakwaan
24
Sehubungan dengan itu, tertuduh telah diperintahkan untuk membela diri ke atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. Tertuduh diterangkan berkaitan 3 pilihan yang ada untuk membela diri. Kes pembelaan
25
Tertuduh telah memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dan telah mengemukakan seramai tiga orang saksi untuk menyokong pembelaannya. Pembelaan yang dikemukakan oleh tertuduh secara amnya adalah membentangkan naratif yang sama sekali berbeza sepertimana yang dikemukakan oleh pihak PR.
26
Menurut tertuduh, semasa tertuduh diserbu dan ditangkap, tiada sebarang dadah ditemui dalam beg miliknya. Sebaliknya hanya ditemui wang tunai sebanyak RM9,000.00. Selain itu, tertuduh menyatakan bahawa serbuan serta tangkapan ke atasnya bukanlah berlaku di hadapan masjid tetapi sebaliknya di kawasan parkir kereta berhadapan kedai Jitra Auto. Menurut tertuduh, serbuan dan tangkapan tersebut disaksikan oleh rakannya yang bernama Mohd Khair Abdul Rasheed iaitu SD3.
27
Keterangan tertuduh ini disokong oleh keterangan bapanya iaitu SD2 yang menyatakan bahawa tertuduh telah keluar menggunakan kereta milik SP2 untuk membeli barang alat ganti kenderaan kerana tertuduh hendak membaiki lori miliknya. SD2 turut menjelaskan bahawa SD2 telah menyediakan wang untuk tujuan tersebut.
28
SD3 pula tampil dengan menyokong naratif tertuduh apabila menyatakan bahawa pada masa tersebut, SD3 ada bersama-sama tertuduh dan SD3 nampak pihak polis menahan tertuduh di hadapan kedai Jitra Auto dan bukannya di hadapan masjid seperti yang didakwa oleh pihak PR. SD3 mengesahkan bahawa dia dan tertuduh hendak ke kedai Jitra Auto bagi membeli alat ganti untuk membaiki kereta.
29
SD4 yang merupakan Pegawai Penyiasat Polis di Bahagian Perlucutan Harta, JSJN pula ditampilkan bagi menjelaskan bahawa terdapat wang berjumlah RM9,000.00 yang telah diserahkan kepadanya oleh SP1 yang dikatakan dirampas daripada tertuduh semasa serbuan. Keterangan SD4 ini disokong oleh laporan polis sepertimana di D34. Analisis dan dapatan mahkamah di akhir kes pembelaan
30
Apabila berhadapan dengan dua naratif yang berbeza, maka mahkamah ini perlu berhati-hati menilai keterangan dan perlu mengkaji keseluruhan keterangan secara objektif. Mahkamah perlu membandingkan keterangan di peringkat pembelaan dengan keterangan-keterangan yang telah dikemukakan di peringkat pendakwaan.
31
Mahkamah Rayuan dalam kes Wan Marzuki Wan Abdullah v. PP [2008] 4 CLJ 631 melalui penghakiman Gopal Sri Ram HMR telah menyatakan; “The second point taken by learned counsel for the appellant is that the judge erred in his handling of the facts when evaluating the defence story. It is clear from the record that the defence case was diametrically opposed to the prosecution's case. The issue which fell for the learned judge to decide was whether PW5 was telling the truth as to what was agreed, that is to say, whether the accused's version was reasonably probable. After a careful analysis of the totality of the evidence the learned judge found the defence version to lack credibility. He also held that it did not raise a reasonable doubt in his mind. He found the accused's explanation to be one of recent invention because of the way in which the defence case was put to the witnesses for the prosecution. In our judgment the judge was certainly entitled to do that. On the facts of this case he was justified in so doing.”
32
Mahkamah merasakan perlu untuk merekodkan bahawa sejak kes di peringkat pendakwaan lagi, pembelaan tertuduh berkaitan di mana tertuduh ditangkap, kehadiran SD3 semasa tertuduh ditangkap, kewujudan wang tunai sebanyak RM9,000.00 dan kewujudan dompet tertuduh dalam begnya telah dibangkitkan. Namun pada ketika itu, nilaian mahkamah hanyalah terhad ke atas keterangan-keterangan yang dikemukakan melalui saksi-saksi pihak PR (rujuk; Tan Kim Ho & anor v PP [2009] 3 CLJ 236).
33
Kini mahkamah berhadapan dengan saksi-saksi yang dikemukakan oleh tertuduh dan oleh itu, mahkamah perlu menjalankan penilaian maksima dengan membandingkan keterangan saksi-saksi pembelaan dengan keterangan saksi-saksi PR dalam memutuskan sama ada pihak PR telah membuktikan kes tanpa keraguan yang munasabah.
34
Mahkamah semasa mendengar keterangan oleh SD2 dan SD3 telah membuat pemerhatian secara audio visual keterangan yang telah mereka berikan dan mendapati bahawa walaupun SD2 adalah bapa tertuduh dan SD3 adalah rakan kepada tertuduh, cara mereka memberi keterangan termasuk dari bahasa badan mereka, mahkamah tidak mendapati apa-apa yang mencurigakan sehingga mewajarkan keterangan mereka ditolak.
35
Sebaliknya keterangan mereka adalah konsisten dan saling menyokong. Apatah lagi mereka turut diperiksa balas oleh Puan TPR dan mahkamah mendapati keterangan mereka adalah tidak berubah dan kukuh. Ini membolehkan mahkamah merumuskan bahawa kedua-dua mereka adalah saksi yang berwibawa.
36
Dalam masa yang sama, SD4 adalah merupakan seorang pegawai polis dan tidak mempunyai apa-apa kaitan hubungan pun dengan tertuduh. Keterangan SD4 turut disokong oleh laporan polis yang dibuat oleh SP1 iaitu D34.
37
Berdasarkan analisis ke atas keterangan-keterangan di pihak pembelaan, mahkamah menilai kembali keterangan SP1 yang menyatakan bahawa tertuduh ditangkap di tepi Jalan Masjid Lama, Pekan Jitra.
38
Mahkamah mendapati bahawa SP1 tidak mendedahkan keseluruhan apa yang berlaku semasa serbuan ke atas tertuduh. SP1 ternyata gagal untuk memaklumkan bahawa terdapat rampasan wang tunai daripada tertuduh. Perkara ini tidak boleh dinafikan apabila SD4 sendiri mengesahkan kewujudan wang tunai ini dan ia disokong oleh laporan polis yang dibuat sendiri oleh SP1 iaitu di D34.
39
Selain itu, timbul isu berkaitan dompet tertuduh (D26) yang menurut SD2 telah diserahkan kepadanya di balai polis. Dalam D26 terdapat dokumen-dokumen milik tertuduh yang ditandakan sebagai D27, D28, D29 (1-2), D30, D31 dan D32. Bagi mahkamah, keterangan berkaitan kad pengenalan (P24) milik tertuduh yang kononnya ditemui terselit dalam beg pinggang tertuduh (P19) adalah kurang meyakinkan jika dibandingkan dengan naratif tertuduh bahawa P24 tersebut dijumpai dalam
40
Ini membangkitkan keraguan yang nyata mahkamah ini ke atas kewibawaan SP1 sebagai seorang saksi. Apabila terdapat keterangan yang tidak didedahkan dengan sepenuhnya, maka tiada alasan untuk tidak mengandaikan bahawa SP1 turut tidak mendedahkan keterangan yang sebenarnya apa yang berlaku.
41
Ini termasuk berkaitan tempat sebenar di mana tertuduh ditangkap. Ternyata terdapat 2 versi yang bertentangan iaitu versi oleh SP1 dan versi oleh SD3. Seperti yang mahkamah telah ulas, kewibawaan SD3 adalah tidak tergugat walaupun telah diperiksa balas oleh Puan TPR dan tiada sebab untuk mahkamah ini mempertikai apatah lagi menolak keterangan
42
Oleh itu, wujud 2 kemungkinan dalam perkara ini dan undang-undang adalah mantap iaitu apabila wujud 2 kemungkinan, maka mahkamah perlu memberi kelebihan ke atas tertuduh. Dalam aspek ini, terdapat kemungkinan bahawa SP1 tidak bercakap benar berkaitan di mana dan bagaimana sebenarnya tertuduh ditangkap. Apabila ini berlaku, maka kebarangkalian untuk SP1 tidak bercakap benar berkaitan apa yang ditemui dari tertuduh turut berbangkit.
43
Ini membangkitkan keraguan yang munasabah sama ada dadah sepertimana dalam pertuduhan ini benar-benar ditemui dari beg P19 atau sepertimana yang didakwa oleh tertuduh iaitu hanya wang sebanyak RM9,000.00 yang ditemui. Kesimpulan di akhir kes
44
Berdasarkan panduan yang diberikan oleh Suffian H, dalam kes Mat v PP [1963] 1 MLRH 400, maka mahkamah merumuskan bahawa wujud keraguan munasabah dalam kes pihak PR dan oleh itu adalah tidak selamat untuk mensabitkan tertuduh.
45
Mahkamah merumuskan bahawa pihak PR tidak berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah ke atas tertuduh.
46
Oleh yang demikian, tertuduh adalah dilepas dan dibebaskan. Bertarikh: 24hb. Disember 2025 (DATUK MOHAMAD ABAZAFREE BIN MOHD ABBAS) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Pihak-Pihak: Bagi Pihak Pendakwa Raya : Aisyah Al Humayrah binti Kamaruzaman Timbalan Pendakwa Raya Wisma Darul Aman Pejabat Penasihat Undang-Undang Aras 4, Blok C Jalan Tengku Bendahara 05250 Alor setar Kedah Darul Aman Bagi Pihak Responden : Mohd Fadhly bin Yaacob Tetuan Fadhly Yaacob & Co. Peguambela & Peguamcara No.26k, Taman Wira Mergong 05150 Alor Setar Kedah Darul Aman Tarikh Keputusan : 27hb. Oktober, 2025 Undang-Undang Yang Dirujuk: Akta Dadah Berbahaya 1952 Kes-Kes Yang Dirujuk: Tan Yew Choy v PP [2008] MLJU 667 Haron bin Mukri v PP [2011] 6 MLJ 368 Khairuddin bin Hassan v PP [2010] 6 MLJ 145 Wan Marzuki Wan Abdullah v. PP [2008] 4 CLJ 631 Tan Kim Ho & anor v PP [2009] 3 CLJ 236 Mat v PP [1963] 1 MLRH 400
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.