Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANGKUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO.W-05(M)-209-07/2020
W-05(M)-211-07/2020
Court of Appeal of Malaysia14 Mar 2024
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANGKUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO.W-05(M)-209-07/2020
1
1.
2
2.
3
3.
4
4.
5
RAVI CHANDRAN A/L SUBRAMANIAM - PERAYU-PERAYU DAN PENDAKWA RAYA - RESPONDEN [Mahkamah Tinggi Malaya Di Kuala Lumpur Dalam Negeri Wilayah Persekutuan, Malaysia
1
1.
2
2.
3
3.
4
4.
5
RAVI CHANDRAN A/L SUBRAMANIAM] DI DENGAR BERSAMA DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANGKUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO.W-05 (M)-211-07/2020 ANTARA KUNASEEGARAN A/L RAGAVANAIDU - PERAYU DAN PENDAKWA RAYA - RESPONDEN [Dalam Perkara Mahkamah Tinggi Jenayah di Kuala Lumpur Perbicaraan Jenayah No.:45B-3-1/2016 Pendakwa Raya Lawan Kunaseegaran a/l Ragavanaidu] KORAM: HADHARIAH BINTI SYED ISMAIL, HMR AHMAD ZAIDI BIN IBRAHIM, HMR AZMI BIN ARIFFIN, HMR PENGHAKIMAN Pengenalan [1] Kedua-dua rayuan ini berbangkit daripada keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 10.7.2020 yang mensabitkan kesemua enam perayu bersalah atas pertuduhan membunuh Anthony Kevin Morais a/l Francis Albert Morais, suatu kesalahan dibawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 Kanun yang sama dan telah dikenakan hukuman gantung sampai mati. Kesemua perayu merayu terhadap sabitan dan hukuman. [2] Dalam penghakiman ini, perayu-perayu akan dirujuk sebagai OKT, mengikut kedudukan asal mereka di Mahkamah Tinggi iaitu:
i
Kunaseegaran a/l Ragavanaidu - OKT 1
II
(ii) Dinishwaran a/l Raman - OKT 3
III
(iii) Thinesh Kumar a/l Ashok Kumar - OKT 4
IV
(iv) Vishwanath a/l Murugaya - OKT 5
v
Nimalan a/l Sasikaran - OKT 6
VI
(vi) Ravi Chandran a/l Subramaniam - OKT 7 Pertuduhan Pindaan Terhadap OKT 1 Bahawa kamu pada 4.9.2015 di antara jam 7.00 pagi hingga jam 8.00 malam di dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1 di dalam Daerah Sentul di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke No.1 Jalan USJ 1/6D Subang Jaya di dalam Daerah Petaling di dalam Negeri Selangor bagi mencapai niat bersama, kamu bersama-sama dengan Dinishwaran a/l Raman, Thinesh Kumar a/l Ashok Kumar, Vishwanath a/l Murugaya, Nimalan a/l Sasikaran dan Ravi Chandran a/l Subramaniam telah melakukan bunuh ke atas Anthony Kevin Morais a/l Francis Albert Morais dan oleh yang demikian kamu telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun yang sama. Pertuduhan Terhadap OKT 3 hingga OKT 7 Bahawa kamu pada 4.9.2015 di antara jam 7.00 pagi hingga jam 8.00 malam di dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1 di dalam Daerah Sentul di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke No.1 Jalan USJ 1/6D Subang Jaya di dalam Daerah Petaling di dalam Negeri Selangor bagi mencapai niat bersama kamu semua telah melakukan bunuh ke atas Anthony Kevin Morais a/l Francis Albert Morais dan oleh yang demikian kamu telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun yang sama. Kes Pendakwaan [3] Fakta menunjukkan Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais (kemudian dari ini dirujuk sebagai simati) telah dilaporkan hilang pada 4.9.2015. Mayat beliau ditemui pada 16.9.2015. [4] Keadaan mayat simati ketika dijumpai. Mayat berpakaian lengkap tanpa kasut. Tangan diikat ke belakang dengan tali leher (tie). Terdapat 7 kesan tekanan atau himpitan di bahagian dada, bahu dan belakang badan simati. Mayat simati dimasukkan ke dalam guni dalam posisi janin (fetus position). Guni diikat dengan dawai besi. Guni dimasukkan ke dalam tong drum. Kemudian simen dicurahkan ke dalam tong drum. Akhir sekali, tong drum dibuang ke dalam paya berair. [5] Saksi pakar forensic, SP11 memberi keterangan bahawa punca kematian simati ialah simati tidak boleh bernafas (asphyxia). SP11 menjelaskan simati bukan mati kerana lemas di dalam air. Menurut SP11, simati telah pun mati sebelum dimasukkan ke dalam guni. Pendapat SP11 ialah simati tidak boleh bernafas mungkin kerana muka simati diserkup dengan beg plastik, beg plastik diketatkan atau diikat dileher menyebabkan simati tidak boleh bernafas. Menurut SP11 lagi kecederaan yang diakibatkan kepada simati tidak boleh dilakukan oleh seorang pelaku sahaja. [6] Bagi membuktikan kes prima facie terhadap kesemua OKT bagi pertuduhan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 Kanun yang sama, pendakwaan haruslah membuktikan intipati-intipati berikut:
i
bahawa Anthony Kevin Morais a/l Francis Albert Morais telah mati;
II
(ii) bahawa kematian simati adalah akibat dari kecederaan yang dialaminya;
III
(iii) bahawa kematian simati adalah disebabkan oleh perlakuan OKT-OKT; dan
IV
(iv) bahawa OKT-OKT, dengan perbuatan mereka, berniat secara bersama untuk menyebabkan kecederaan yang pada lazimnya boleh menyebabkan kematian mengikut takrifan di bawah seksyen 300 (c) Kanun Keseksaan. [7] Tidak ada isu bahawa intipati (i) dan (ii) telah dibuktikan oleh pendakwaan. Bagi membuktikan intipati (iii) dan (iv) iaitu OKT-OKT adalah pelaku-pelaku yang menyebabkan simati mengalami asphyxia dan mereka mempunyai niat bersama untuk menyebabkan kematian kepada simati, pendakwaan bergantung kepada keterangan SP54 (Gunasekaran a/l Govindan). [8] Pada asalnya SP54 turut dituduh sebagai OKT 2 bersama-sama dengan OKT 3-OKT 7 dibawah seksyen 302 Kanun Keseksaan. Pada 20.12.2016, OKT 2 telah ditawarkan dengan satu pertuduhan pilihan di bawah seksyen 201 Kanun Keseksaan. OKT 2 mengaku salah kepada pertuduhan pilihan dan dikenakan hukuman 2 tahun penjara. OKT 2 kemudiannya dijadikan sebagai saksi pendakwaan yang ke 54 (SP54). SP54 juga dikenali oleh OKT-OKT lain sebagai Jay. Dalam penghakiman ini, beliau akan dirujuk sebagai SP54. [9] Sedikit latar belakang SP54. Beliau adalah tuan punya kedai makan di No.1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya Selangor. Beliau diperkenalkan kepada OKT 1 oleh OKT 7. Beliau mengenali OKT 1 lebih kurang empat bulan sebelum kejadian kes ini. Fakta menunjukkan SP54 menjadi rakan kepada OKT 1 dan mereka selalu minum bersama. [10] Sebelum menyentuh keterangan SP54, adalah baik juga dinyatakan secara ringkas latar belakang OKT 3 hingga OKT 7. Pada 3.9.2015, OKT 3 hingga OKT 7 datang dari Kedah ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta pacuan 4 roda iaitu Mitsubishi Triton No.PEP 1135. Kesemua mereka mengenali antara satu sama lain. Mereka sampai di Kuala Lumpur pada jam lebih kurang 5.00 pagi 3.9.2015. [11] Sedikit latar belakang OKT 1. Sebelum kejadian kes ini, beliau berkhidmat sebagai Consultant Histopathologist dengan Angkatan Tentera. Kemudian, beliau menubuhkan Syarikat Genomad Laboratory di Klang, Selangor. OKT 1 telah dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor dengan kesalahan rasuah dan beberapa pertuduhan lain di bawah Kanun Keseksaan. Pegawai pendakwa dalam kes-kes terhadap OKT 1 ialah mendiang Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais. Fakta menunjukkan OKT 1 tidak senang hati dengan mendiang simati sebagai pegawai pendakwa kerana dikatakan telah menyusahkan hidupnya apabila simati menambah pertuduhan terhadap OKT 1. Fakta kes menunjukkan OKT 1 hanya mengenali dan berkomunikasi dengan SP54 dan OKT 7 sahaja. [12] Naratif fakta oleh SP54 seperti yang dinyatakan oleh Hakim Bicara dalam alasan penghakiman beliau adalah seperti berikut. [13] Pada 3.9.2015, jam lebih kurang 5.30 pagi, OKT 7 telah menghubungi SP54 untuk datang mengambil OKT 7 di rumahnya di Seksyen 8, Petaling Jaya, Selangor. SP54 pergi ke rumah OKT 7 dengan memandu kereta Proton Perdana WHS 9771. Kereta WHS 9771 adalah kepunyaan OKT 7 yang ditinggalkan kepada SP54 untuk memudahkan SP54 mengambil OKT 7 apabila OKT 7 datang ke Kuala Lumpur. [14] Selepas mengambil OKT 7, SP54 dan OKT 7 pergi ke Restoran Syed Bistro untuk sarapan pagi. Turut berada di restoran tersebut ialah OKT 3 hingga OKT 6. OKT 7 telah memperkenalkan OKT 3 hingga OKT 6 kepada SP54. [15] Selesai sarapan, OKT 7 telah mengajak SP54 untuk pergi ke Menara Duta Condominium iaitu tempat tinggal simati atas alasan OKT 7 hendak memungut pinjaman wang. SP54 dan OKT 7 bergerak ke kondominium tersebut dengan menaiki kereta Perdana WHS 9771. Manakala OKT 3 hingga OKT 6 pula menaiki kereta Triton PEP 1135 yang dipandu oleh OKT 6. [16] SP54 bersama OKT 3 hingga OKT 7 sampai di kondominium simati pada jam lebih kurang 7.15 pagi dan berhenti di bahu jalan berhadapan dengan kondominium tersebut. Mereka membuat pemerhatian selama 10 hingga 15 minit. [17] Kemudian, OKT 7 telah mengarahkan SP54 beredar dari tempat tersebut dengan mengekori Triton yang dinaiki OKT 3 - OKT 6 menuju ke Petaling Jaya untuk mencari hotel penginapan bagi OKT 3 - OKT 6. SP54 membantu OKT 7 membuat tempahan bilik di New Town Hotel. Tempahan bilik hotel dibuat atas nama SP54. Tetapi bayaran hotel sebanyak RM150 dibayar oleh OKT 7. Setelah OKT 3 - OKT 6 daftar masuk bilik hotel, SP54 dan OKT 7 meninggalkan tempat itu dan SP54 menghantar OKT 7 balik ke rumahnya. [18] Pada 4.9.2015 jam lebih kurang 5.30 pagi, setelah menerima panggilan daripada OKT 7 untuk mengambilnya di rumahnya, SP54 telah pergi ke rumah OKT 7. Semasa dalam perjalanan untuk mengambil OKT 7, SP54 menerima panggilan sekali lagi dari OKT 7 mengarahkan SP54 untuk terus berjumpa dengannya di restoran Syed Bistro. [19] Semasa SP54 sampai di restoran tersebut, kesemua OKT 3 - OKT 7 telah berada di situ. Kemudiannya, OKT 7 memberitahu SP54 bahawa mereka perlu pergi semula ke Menara Duta Condominium dan kali ini untuk menangkap simati sebelum simati ke pejabatnya. Selesai bersarapan, SP54 bersama OKT 7 menaiki kereta Perdana WHS 9771. Manakala OKT 3 - OKT 6 menaiki Triton. Kedua-dua kenderaan bergerak ke kondominium simati di Menara Duta Condominium. [20] Setibanya di luar Menara Duta Condominium, kesemua mereka menunggu untuk beberapa minit sebelum bergerak mengekori kereta simati setelah simati telah keluar dari kondominium tersebut. Adalah suatu fakta yang telah dibuktikan bahawa pada masa material, simati memandu kereta Perdana dengan nombor pendaftaran WA 6264 Q. Apabila tiba di satu lampu isyarat, OKT 7 telah turun dari Perdana WHS 9771 yang dipandu SP54 dan berjalan ke arah Triton yang sedang mengekori kereta simati. Kereta simati kemudiannya telah dilanggar oleh Triton itu pada jam lebih kurang 7.38 pagi. [21] Setelah OKT 7 turun dari kereta, SP54 telah beredar dari situ dan pergi bersarapan di sebuah restoran di Petaling Jaya. Semasa bersarapan, SP54 telah menerima panggilan telefon dari OKT 7 bertanyakan lokasi SP54. Lebih kurang 20 minit kemudian, OKT 6 tiba dengan Triton di restoran tempat SP54 bersarapan. Semasa berada di restoran tersebut, OKT 6 telah menerima satu panggilan telefon. Selepas itu, OKT 6 memberitahu SP54 bahawa mereka perlu menghantar Perdana WHS 9771 yang dipandu SP54 ke sebuah bengkel yang terletak di Desa Mentari. [22] OKT 6 dan SP54 kemudian bergerak ke bengkel tersebut. SP54 memandu Perdana WHS 9771 dan OKT 6 memandu Triton. Semasa tiba di bengkel di Desa Mentari, SP54 nampak OKT 7 sedang berdiri disebelah kereta Perdana WA 6264 Q (kereta simati). OKT 7 datang kepada SP54 dan mengambil kunci kereta WHS 9771. SP54 kemudian meminta OKT 6 menghantarnya pulang ke rumah kerana SP54 tiada kenderaan. Sebelum SP54 dan OKT 6 bergerak keluar dari bengkel tersebut, SP54 melihat OKT 7 membawa masuk kereta simati ke dalam bengkel tersebut. [23] OKT 6 telah menghantar SP54 ke kedai SP54 di alamat No.1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya (kemudian dari ini dirujuk sebagai kedai SP54) yang masih dalam pengubahsuaian. OKT 6 meninggalkan SP54 di kedainya. [24] Tiga jam kemudian, OKT 6 datang semula ke kedai SP54 dan memberitahu SP54 bahawa OKT 7 meminta bantuan untuk mencari satu tong drum. Di antara jam 11.00 pagi hingga jam 12.00 tengahari, SP54 bersama OKT 6 telah keluar mencari tong drum di kawasan SS7, Petaling Jaya, Selangor. Mereka telah membeli satu tong drum daripada seorang lelaki Cina bernama Lim Khai Meng (SP53) dengan harga RM20.00. Dengan menggunakan Triton, tong drum itu dibawa balik dan diletakkan di kedai SP54. [25] Setelah OKT 6 balik, SP54 menyambung kerja-kerja pengubahsuaian di kedainya. Tidak lama kemudian, SP54 dihubungi oleh OKT 7 memberitahu beliau hendak datang ke kedai SP54. Tetapi, SP54 memberitahu OKT 7 bahawa beliau hendak keluar membeli simen untuk ditabur di tempat air bertakung di hadapan kedainya. [26] Apabila kembali dari membeli simen, SP54 mendapati OKT 6 dan OKT 7 telah berada di kedainya. Tidak lama kemudian, lori yang membawa konkrit simen tiba dan menuangkan simen. SP54 membayarnya sebanyak RM50.00. [27] Semasa SP54 dan pekerjanya Ramesh (SD9) meratakan simen di hadapan kedai, OKT 7 telah meminta SP54 untuk memasukkan sedikit simen ke dalam tong drum yang diletakkan di kedainya sebelum itu. SP54 bersama OKT 6 dan Ramesh telah memasukkan simen ke dalam tong drum itu. Semasa memasukkan simen ke dalam tong drum tersebut, SP54 nampak satu guni yang tidak diketahui isi kandungannya telah ada di dalam tong drum tersebut. Kemudian, OKT 6 dan OKT 7 telah mengecat tong drum tersebut dengan warna merah dan putih. [28] Setelah selesai memasukkan simen ke dalam tong drum dan mengecatnya, OKT 6 dan OKT 7 beredar dari kedai SP54. Tong drum itu ditinggalkan di kedai SP54. SP54 telah menumpang OKT 7 untuk balik ke rumahnya kerana beliau tiada kenderaan. Semasa dalam perjalanan balik ke rumah, SP54 bersama OKT 6 dan OKT 7 telah singgah di kedai Mydin kerana OKT 7 hendak membeli baju bagi menukarkan bajunya yang telah kotor. [29] Selepas singgah di kedai Mydin, SP54, OKT 6 dan OKT 7 telah pergi ke bengkel di Desa Mentari. Semasa berada di bengkel tersebut, SP54 telah nampak OKT 7 dan pemilik bengkel itu iatu Murugan (SD8) seperti sedang berbincang sesuatu dan kemudiannya Murugan beredar dari bengkel itu. Lebih kurang 20 minit kemudian, Murugan telah kembali semula ke bengkel itu dengan membawa 4 buah tong yang berisi minyak petrol. Kesemua tong petrol itu dimasukkan ke dalam Triton. [30] Selepas itu, OKT 7 bersama SP54 dan OKT 6 menaiki Triton yang telah diisi dengan 4 tong petrol pergi ke sebuah taman perumahan berdekatan Lapangan Terbang Subang. Triton itu dipandu oleh OKT 6. Pada masa ini, SP54 meminta hendak balik ke rumah kerana telah keletihan, tetapi OKT 7 menyatakan akan hantar SP54 balik selepas menghantar sebuah kereta kepada pemiliknya. Sampai di taman perumahan itu, OKT 7 turun dari Triton menuju ke arah kereta WA 6264 Q (kereta simati). OKT 7 telah mengambil kesemua tong berisi petrol dari Triton dan meletakkannya ke dalam kereta simati. OKT 7 kemudian memandu kereta simati itu ke Hutan Melintang, Perak. OKT 6 memandu Triton mengekori OKT 7. SP54 ada bersama OKT 6 di dalam Triton. [31] Dalam perjalanan menuju ke Hutan Melintang, OKT 7 telah singgah di dua tempat. Kali pertama, OKT 7 telah berhenti di bawah sebuah jambatan. OKT 7 kemudian turun dari kereta simati yang dipandunya, datang kepada OKT 6, meminta telefon bimbit OKT 6. OKT 7 mengambil telefon OKT 6 dan meninggalkannya di bahu jalan. Mereka kemudian meneruskan perjalanan. Kali kedua, OKT 7 telah singgah di sebuah jeti yang terletak di Kuala Selangor di mana OKT 7 telah turun dari kereta simati dengan membawa satu bungkusan ke jeti dan membuangnya berdekatan sungai itu. [32] Mereka kemudiannya telah meneruskan perjalanan ke arah Sabak Bernam sehingga ke Hutan Melintang, Perak. Setibanya di Hutan Melintang, mereka telah masuk dan berhenti dalam sebuah ladang kelapa sawit. OKT 7 mengarahkan OKT 6 dan SP54 untuk menunggu di bahu jalan manakala OKT 7 memandu kereta simati terus masuk ke dalam ladang kelapa sawit. Lebih kurang 20 - 30 minit kemudian, OKT 7 kembali ke Triton dengan berjalan kaki dan memberitahu OKT 6 dan SP54 bahawa kereta simati telah dibakar. Akhirnya, mereka bergerak pulang ke Subang Jaya dengan Triton dan menghantar SP54 balik ke rumah. [33] Pada keesokan harinya iaitu 5.9.2015, OKT 7 telah menghubungi SP54, memberitahu SP54 bahawa ada orang membuat kacau di kedai SP54 dan meminta SP54 untuk datang ke kedainya dengan segera. SP54 serta merta pergi ke kedainya. Apabila tiba di kedainya, SP54 nampak OKT 3 dan OKT 6 sedang berdiri berhampiran dengan tong drum yang mereka telah masukkan simen sehari sebelum itu. OKT 3 dan OKT 6 telah menunjukkan ke arah tong drum itu dan SP54 nampak ada sedikit darah mengalir keluar dari tong drum tersebut. SP54 menggigil ketakutan setelah nampak darah itu dan pada masa yang sama OKT 7 sampai di kedai tersebut. [34] Dalam ketakutan, SP54 beredar meninggalkan kedainya. Sebelum meninggalkan kedai, SP54 sempat bertanya dengan nada suara tinggi kepada OKT 3, OKT6 dan OKT 7 apa yang telah mereka lakukan dan apa yang ada di dalam tong drum itu. Walaupun SP54 ditenangkan oleh mereka, SP54 terus beredar meninggalkan kedainya. [35] Lebih kurang 10 minit setelah SP54 meninggalkan kedainya, SP54 telah menerima panggilan telefon daripada OKT 1 bertanyakan di mana SP54 berada ketika itu kerana OKT 1 hendak datang ke kedainya. SP54 meminta OKT 1 supaya tidak datang ke kedainya dan mencadangkan OKT 1 datang berjumpa dengannya di Stesen Minyak Petronas yang terletak di hadapan Summit USJ. [36] Mereka kemudiannya berjumpa di Stesen Minyak Petronas berkenaan. Di stesen minyak itu, SP54 memberitahu OKT 1 bahawa dia ada nampak darah dari tong drum yang diletak di kedainya dan mengesyaki ada sesuatu berlaku kepada seseorang dan SP54 takut jika terjadi sesuatu perkara yang tidak boleh diterima. [37] Dalam keadaan tersenyum, OKT 1 menasihatkan SP54 untuk tidak mengambil tahu dan tidak masuk campur dengan apa yang telah berlaku di kedainya dan hanya mengambil tahu berkenaan pengubahsuaian kedainya sahaja. OKT 1, kemudiannya telah membawa SP54 menaiki kereta OKT 1 dan mereka pergi berjalan-jalan ke Rawang dan Tanjung Malim. Dalam perjalanan itu, OKT 1 ada membelikan untuk SP54 6 tin minuman keras. Selesai berjalan-jalan, OKT 1 menghantar SP54 ke Stesen Minyak Petronas semula. [38] Setelah sampai rumah, SP54 keluar makan bersama dengan isterinya. Selepas makan, SP54 singgah di kedainya dan mendapati tong drum tadi telah tiada dan tempat itu telah dibersihkan. [39] Pada keesokan harinya 6.9.2015, jam lebih kurang 8.30 pagi, OKT 1 telah datang ke rumah SP54, mengajak SP54 berjalan-jalan. Mereka keluar ke arah Banting dan sampai ke Tanjung Sepat. Dalam perjalanan itu, OKT 1 telah menunjukkan dari telefon bimbitnya satu gambar kereta terbakar sambil memberitahu SP54 bahawa kereta tersebut adalah kereta Pendakwa Raya yang hilang. SP54 bertanya kepada OKT 1, siapakah Pendakwa Raya yang hilang itu dan OKT 1 menjawab Pendakwa Raya Kevin iaitu simati. SP54 tidak bertanya siapa yang membakar kereta itu. Sebaliknya, SP54 menanya OKT1 sama ada OKT 1 ada kaitan dengan apa yang berlaku semalam dan kelmarin. OKT 1 cuma senyum dan menasihatkan SP54 supaya tidak ambil tahu semua itu. Kemudian, OKT 1 menghantar SP54 pulang. [40] Selesai dengan versi SP54, kami beralih kepada penemuan kereta simati. Konsisten dengan penceritaan SP54, kereta simati ditemui di dalam ladang kelapa sawit di Hutan Melintang, Perak. Ahli kimia (SP13) yang memeriksa kereta simati mendapati:
i
kereta itu terbakar 100%;
II
(ii) kawasan yang ada nombor chasis (panjang 15 cm dan lebar 5 cm) telah dipotong dan dibuang; dan
III
(iii) kawasan yang distampkan nombor enjin ada kesan kikisan yang dalam. [41] Beralih kepada hasil siasatan pihak polis. Siasatan yang dibuat oleh pihak polis membawa kepada penemuan fakta-fakta berikut:
i
Terdapat kesan DNA simati pada sarung tangan (P30B) yang dijumpai di dalam Triton.
II
(ii) Terdapat kesan DNA simati, OKT 6 dan OKT 7 pada sehelai T-Shirt bewarna hitam (P44B) yang dijumpai di dalam kereta Perdana WHS 9771.
III
(iii) Terdapat kesan DNA simati pada pintu tandas di bengkel milik Murugan (SD8) yang terletak di Desa Mentari.
IV
(iv) Sebuah grinder (P109B) telah dijumpai di dalam sungai di Kuala Selangor.
v
Sekeping kad Touch n go milik simati (P160) telah dijumpai di dalam sungai di Kuala Selangor.
VI
(vi) Tong drum (P106) yang mengandungi guni dan mayat simati telah dijumpai di dalam paya di USJ.
VII
(vii) Berdasarkan semakan dengan pihak Telco, kesemua OKT (kecuali OKT 1) berada berhampiran dengan tempat perlanggaran di antara kereta simati dan Triton.
VIII
(viii) Rakaman CCTV yang diambil dari Suria Condominium menunjukkan kereta simati telah dilanggar dari arah belakang oleh Triton selepas lampu isyarat.
IX
(ix) Kesemua OKT telah ditangkap. Keputusan Di Akhir Kes Pendakwaan [42] Setelah membuat penilaian maksima ke atas semua keterangan yang dikemukakan, Hakim Bicara membuat dapatan fakta berikut:
i
Bahawa kesemua OKT (kecuali OKT 1) berada di tempat Triton berlanggar dengan kereta simati dan mereka adalah orang-orang yang terakhir dilihat berada bersama simati. Prinsip “last seen together” seperti yang diputuskan dalam kes Ashok v State of Maharashtra [2015] 4 Supreme Court 393 diikuti. Keterangan SP54 bersama pemakaian prinsip last seen together menunjukkan OKT 3 - OKT 7 adalah orang-orang yang berpeluang untuk mengenakan kecederaan asphyxia kepada simati.
II
(ii) Niat OKT-OKT untuk menyebabkan kematian adalah persoalan fakta dan boleh disimpulkan dari perlakuan mereka. Tindakan OKT 3 - OKT 7 berkumpul di Restoran Syed Bistro sebelum ke tempat kejadian dan mereka juga ada bersama semasa perlanggaran dan menculik simati menunjukkan mereka ada niat yang sama untuk membunuh simati. Kecederaan-kecederaan yang dikenakan ke atas simati dan keadaan mayat simati tidak boleh dilakukan oleh seorang individu sahaja.
IV
(iv) Kehadiran OKT 1 di setiap tempat kejadian untuk menunjukkan penglibatan beliau dalam pembunuhan simati adalah tidak perlu dan boleh dibuat secara inferen. OKT 1 terlibat dalam kes ini kerana bukan sahaja OKT 1 mengenali simati, tetapi beliau juga mempunyai masaalah dengan simati.
v
OKT 3 - OKT 7 tidak mengenali simati. Mereka tidak ada sebab untuk membunuh simati melainkan atas arahan OKT 1. Tindakan OKT 1 yang menawarkan diri untuk membayar yuran guaman OKT-OKT lain mengukuhkan lagi fakta bahawa OKT 1 terlibat sama dalam kes ini.
VI
(vi) Selain daripada itu, OKT 1 bukan sahaja telah menunjukkan gambar kereta simati terbakar yang berada di dalam telefon bimbitnya kepada SP54, malah memberitahu SP54 bahawa kereta yang terbakar itu adalah kereta simati. Perbuatan OKT 1 itu menunjukkan beliau ada pengetahuan terhadap perlakuan OKT 3-OKT 7 dalam pembunuhan simati.
VII
(vii) Berdasarkan alasan (i) - (v) di atas, Mahkamah berpuashati bahawa OKT 1 dan OKT 3 - OKT 7 mempunyai niat bersama untuk membunuh simati.
VIII
(viii) SP54 adalah rakan sejenayah berdasarkan fakta bahawa beliau berada hampir di setiap tempat bersama OKT-OKT lain. Keterangan SP54 adalah konsisten dengan keterangan sokongan iaitu tempat di mana kereta simati dibakar dan tempat grinder serta barang-barang peribadi simati dijumpai. [43] Dengan bergantung kepada fakta-fakta yang dinyatakan di perenggan (i) - (vii) di atas, Hakim Bicara berpuashati bahawa suatu kes prima facie di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 Kanun yang sama telah dibuktikan terhadap keenam-enam OKT dan mereka dipanggil membela diri. [44] Kesemua OKT dalam kes ini memilih untuk memberi keterangan bersumpah. Pembelaan OKT 1 [45] Pembelaan OKT 1 ialah beliau tidak terlibat dalam pembunuhan simati. OKT 1 menyatakan beliau telah meninggalkan perkhidmatan kerajaan sebagai Histopathologi Tentera pada tahun 2013 apabila ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kemudiannya dituduh dengan kesalahan rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam. [46] OKT 1 mengakui simati adalah Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes rasuahnya di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Beliau menghadapi 4 pertuduhan rasuah di mahkamah. Walaupun simati mengendalikan pendakwaan kes rasuahnya dengan pertuduhan semakin ditambah, beliau tidak berdendam dengan simati malah memuji simati kerana telah banyak membantu meringankan beban jaminan dan sebagainya bagi kes rasuahnya. [47] Beliau menafikan ada memberi arahan kepada OKT 7 untuk mengapa-apakan simati. Kepada beliau, kematian simati tidak memberi apa-apa keuntungan kepada beliau kerana Timbalan Pendakwa Raya silih berganti walaupun simati telah tiada. [48] OKT 1 mengakui beliau kenal OKT 7 dengan nama Selvam. OKT 7 diperkenalkan kepadanya oleh isteri OKT 1 sendiri. Menurut OKT 1, OKT 7 dijemput oleh isterinya bagi mengadakan upacara sembahyang di rumahnya untuk menghilangkan nasib malang beliau dituduh di mahkamah. OKT 1 menafikan beliau yang mengarahkan OKT 7 datang ke mahkamah setiap kali kes rasuah beliau dibicarakan. Sebaliknya, OKT 1 mendakwa isteri beliaulah yang mengarahkan OKT 7 hadir ke mahkamah dan OKT 7 kemudian menyampaikan kepada isterinya apa yang berlaku di mahkamah. [49] OKT 1 mengakui beliau kenal SP54. SP54 diperkenalkan oleh OKT 7 kepadanya pada tahun 2015 iaitu beberapa bulan sebelum kejadian kes ini. OKT 1 mengakui dia ada meminta SP54 untuk menjadi penjamin kepada isterinya bernama Puviyarasi dan pengarah Syarikat Genomad bernama Yap Pek Shyen di dalam kes rasuahnya (No. Kes 63-32- 03/2014) di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Isu jamin ini timbul disebabkan Puviyarasi dan Yap Pek Shyen enggan menerima sapina. Waran tangkap telah dikeluarkan terhadap mereka. Penjamin bagi kedua-dua waran tangkap itu ialah SP54 dengan jumlah wang jamin sebanyak RM20,000 (RM10,000 setiap seorang). Hubungan OKT 1 dengan SP54 adalah rapat. [50] OKT 1 mengakui ada menelefon SP54 sebanyak tiga kali pada 4.9.2015. Beliau mengaku ada berjumpa SP54 di Stesen Minyak Petronas. Tetapi menafikan beliau tersenyum apabila SP54 menceritakan perihal ada darah mengalir dari tong drum yang diletakkan di kedai SP54. OKT 1 juga mengakui beliau ada membawa SP54 berjalan-jalan sehingga ke Rawang. [51] Mengenai OKT 3 - OKT 6, OKT 1 mengatakan beliau tidak mengenali kesemua mereka. Pertama kali OKT 1 berjumpa mereka ialah semasa ditahan di lokap Polis Jinjang Central sehari selepas ditahan pada 15.9.2015. Pembelaan OKT 3 [52] OKT 3 (Dinishwaran) mengakui fakta-fakta berikut:
i
Pada 3.9.2015, beliau datang dari Kedah ke Kuala Lumpur bersama OKT 4 - OKT 7 dengan menaiki kereta Triton.
II
(ii) Beliau ada bersama OKT 4 - OKT 7 dan SP54 bersarapan di Restoran Syed Bistro pada 3.9.2015.
III
(iii) Beliau menaiki Triton bersama OKT 4 - OKT 6 mengekori Perdana WHS 9771 yang dinaiki OKT 7 dan SP54 ke kondominium simati pada 3.9.2015.
IV
(iv) Beliau juga menginap di hotel yang sama dengan OKT 4 - OKT6.
v
Untuk kali kedua, pada pagi 4.9.2015, beliau menaiki Triton bersama OKT 4 - OKT 6 mengekori Perdana WHS yang dinaiki OKT 7 dan SP54 pergi ke Kondominium simati.
VI
(vi) Beliau berada dalam Triton semasa Triton melanggar kereta simati. Beliau mendakwa tidak turun dari Triton dan tidak melihat kemalangan.
VII
(vii) Oleh kerana banyak minum arak, OKT 3 hanya tidur sahaja dalam Triton dan tidak tahu apa yang berlaku.
VIII
(viii) Semasa membersihkan kedai SP54, OKT 3 ada melihat OKT 6 dan OKT 7 mengangkat tong drum berisi simen yang berada di kedai SP54 dengan menggunakan forklift dan meletakkannya ke dalam Triton. Apabila OKT 6 dan OKT 7 datang balik ke kedai SP54 dengan Triton, tong drum itu sudah tiada.
IX
(ix) Selepas itu, OKT 3 balik ke Kedah.
x
Beliau menafikan ada kaitan dengan kematian simati. Beliau mendakwa tidak mengetahui apa-apa berkenaan pembunuhan simati. Pembelaan OKT 4 [53] OKT 4 (Thinesh Kumar) mengakui beliau datang dari Kedah ke Kuala Lumpur bersama OKT 3 dan OKT 5 - OKT 7 dengan Triton. Kronologi peristiwa yang berlaku dari perjumpaan di Restoran Syed Bistro hingga perlanggaran dengan kereta simati adalah sama dengan versi OKT3. OKT 4 mendakwa beliau tidak melihat perlanggaran antara Triton dengan kereta simati kerana sedang bermain game di telefonnya. [54] Pada pagi 5.9.2015, OKT 6 menghantar beliau dan OKT 5 ke stesen bas untuk pulang ke Kedah. OKT 4 menyatakan bapanya mengarahkan dia pulang kerana dia akan masuk kerja pada 6.9.2015. Pembelaan OKT 5 [55] OKT 5 (Viswanath) tinggal di Kulim. Beliau datang ke Kuala Lumpur bersama OKT3 - OKT 4 dan OKT 6 - OKT 7 dengan tujuan hendak membeli kereta OKT 7. [56] OKT 5 mengakui berada di dalam Triton semasa Triton berlanggar dengan kereta simati. Seperti OKT 3, OKT 5 kata beliau tidak tahu mengenai kemalangan tersebut kerana beliau mabuk dan tidur sahaja dalam Triton. Pembelaan OKT 6 [57] OKT 6 adalah anak saudara OKT 7. Versi OKT 6 ialah beliau datang ke Kuala Lumpur bersama OKT 3, OKT 4, OKT 5 dan OKT 7 dengan tujuan untuk menghantar datuknya pergi ke India. [58] Cerita OKT 6 mengenai kesemua mereka berjumpa dengan SP54 di Restoran Syed Bistro sebanyak dua kali, beredar ke hotel dan perlanggaran dengan kereta simati adalah sama dengan cerita OKT 3, OKT 4 dan OKT 5. OKT 6 yang memandu Triton telah berlanggar dengan kereta Perdana simati. [59] Selepas perlanggran, OKT 7 telah memandu kereta simati dan OKT 6 mengekori OKT 7 sebelum terpisah di lampu isyarat. [60] OKT 6 mengatakan beliau telah diarahkan oleh SP54 untuk mengikut SP54 pergi membeli sebuah tong drum dan dibawa balik ke kedai SP54 untuk dijadikan tong sekuriti. OKT 6 juga menyatakan bahawa dia dan OKT 7 telah membuang tong drum itu setelah diisi dengan simen dan dicat merah putih berdekatan tempat tong mayat simati dijumpai. OKT 6 menyatakan dia dan OKT 7 diarahkan oleh SP54 untuk membuang tong itu kerana SP54 tidak lagi hendak menggunakannya. [61] OKT 6 mengakui bahawa pada keesokan harinya, dia diarahkan oleh OKT 7, atas arahan SP54 untuk membersihkan kedai SP54. Kemudian OKT 6 ada mengekori SP54 dan OKT 7 pergi ke Hutan Melintang dan ada melihat api terbakar. Pembelaan OKT 7 [62] Versi OKT 7 ialah beliau datang dari Sungai Petani, Kedah ke Kuala Lumpur pada 2.9.2015 menaiki Triton bersama-sama dengan OKT 3 - OKT 6 dan bapa mertuanya. Tujuan beliau datang ke Kuala Lumpur ialah untuk menghantar bapa mertuanya pergi ke India dan urusan menjual kereta Perdana WHS 9771 yang berada dengan SP54 kepada OKT 5. [63] Cerita OKT 7 mengenai kesemua mereka (kecuali OKT 1) pergi ke kondominium simati sebanyak dua kali dan perlanggaran antara Triton dengan kereta simati berlaku pada kali kedua mereka ke kondominium tersebut adalah sama dengan cerita OKT 3 - OKT 6. [64] OKT 7 mengakui semasa bergerak ke kondominium simati pada 4.9.2015, beliau menaiki Perdana WHS 9771 bersama SP54. Manakala OKT 3 - OKT 6 menaiki Triton yang dipandu OKT 6. Pada masa material Perdana WHS 9771 mengekori Triton. [65] Apabila Triton berlanggar dengan kereta simati, OKT 7 keluar dari Perdana WHS 9771 dan pergi ke Triton. OKT 7 mendakwa beliau tidak dapat melihat kemalangan kerana terhalang oleh sebuah kereta Estima. Pada masa sampai ditempat kemalangan, SP54 memberitahu OKT 7 bahawa kereta yang dilanggar Triton adalah kereta Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes OKT
1
SP54 kemudian menyuruh OKT 7 membawa kereta simati ke workshop. [66] OKT 7 mengakui beliau membawa kereta simati ke workshop Murugan (SD8) di Desa Mentari. Setengah jam kemudian, SP54 sampai di bengkel SD8 dengan Perdana WHS 9771. SP54 ada memaklumkan bahawa dia telah menghantar simati dan kawan-kawannya dengan kereta Estima tadi. [67] OKT 7 mengakui beliau telah menghilangkan nombor chasis dan nombor enjin kereta simati dengan menggunakan grinder (P109B). OKT 7 mendakwa beliau berbuat demikian atas desakan SP54. Selepas itu, beliau menyerahkan kunci kereta Perdana WHS 9771 kepada SD8 untuk kereta itu dibaiki. Beliau dan SP54 meninggalkan bengkel SD8 dengan menaiki kereta simati. Menurut OKT 7, SP54 mengarahkannya untuk meletakkan kereta simati di mana-mana. Beliau telah memandu kereta simati dan telah meletakkannya di Kampung Subang U5. Setelah itu, OKT 7 menelefon OKT 6 untuk datang mengambilnya dan SP54 dan membawa mereka ke kedai SP54. [68] Setelah meninggalkan SP54 di kedainya, OKT 7 dan OKT 6 pergi ke Sunway Hotel untuk mengambil OKT3 - OKT 5 pergi ke hotel di Subang Jaya, USJ. Setelah menempah bilik hotel, OKT 7 dan OKT 6 pergi ke bengkel SD8 untuk mengambil Perdana WHS 9771. Oleh kerana kereta itu belum siap dibaiki, OKT 7 telah keluar membeli berus, cat dan penceduk simen untuk membuat tong drum security bagi kedai SP54 sebagaimana yang diarahkan oleh SP54. Barang-barang yang dibeli diletakkan di dalam kereta WHS 9771. [69] OKT 7 juga menyatakan beliau mengarahkan OKT 6 untuk membantu SP54 membeli tong drum untuk security. Manakala beliau menaiki teksi pergi ke pejabat OKT1 untuk berbincang tentang SP54 yang mencurigakan. Pada masa itu, OKT 7 mengaku beliau ada melontarkan kunci kereta simati kepada OKT 1 dan memberitahu bahawa itu adalah kunci kereta DPP yang mengendalikan kes OKT1. [70] Selepas itu, OKT 7 kembali ke bengkel SD8 dan mengambil Perdana WHS 9771 walaupun belum siap dibaiki dan terus ke kedai SP54. Apabila sampai di kedai SP54, OKT 7 melihat tong drum sudah ada. SP54 memaklumkan bahawa dia akan keluar membeli simen. Tidak lama selepas itu, SP54 kembali bersama lori simen. OKT 7, OKT 6 dan SP54 mengambil simen yang dicurahkan di depan kedai dan memasukkannya ke dalam tong drum. OKT 7 kemudian mengecat tong drum. Selesai mengecat, hari sudah malam. SP54 memberitahu OKT 7 bahawa dia hendak pulangkan kereta simati di Kuala Selangor. [71] OKT 7, OKT 6 dan SP54 menaiki Triton pergi mengambil kereta simati, meninggalkan Perdana WHS 9771 di kedai SP54. Mereka singgah di kedai Mydin untuk membeli baju kepada OKT 7 kerana baju OKT 7 telah kotor. Mereka kemudian pergi ke hotel untuk OKT 7 memberitahu OKT 5 bahawa kereta yang hendak dibeli (Perdana WHS 9771) belum dapat diserahkan lagi untuk sehari dua ini dan kereta itu akan dibawa dan diserahkan kepada OKT 5 di Kedah. [72] Selepas itu, OKT 7, OKT 6 dan SP54 pergi ke tempat kereta simati diletak untuk mengambil kereta itu. Dalam perjalanan, OKT 7 memberitahu SP54 bahawa kereta simati kekurangan minyak. Oleh itu, mereka pergi ke bengkel SD8 untuk menyuruh SD8 membelikan minyak petrol. SP54 telah memberikan wang dan mengarahkan SD8 membeli 4 tin minyak petrol. Minyak petrol itu diletakkan ke dalam Triton. OKT 7, OKT 6 dan SP54 bergerak pergi mengambil kereta simati. [73] OKT 7 mengakui beliau memandu kereta simati dari tempat kereta itu diletakkan hingga ke dalam ladang kelapa sawit di Hutan Melintang, Perak. Dalam perjalanan itu, mereka berhenti untuk membuang bungkusan barang-barang. OKT 7 mendakwa semua perbuatan beliau itu adalah atas arahan SP54. [74] OKT 7 menyatakan beliau melihat SP54 membakar kereta simati. Selepas itu, mereka menaiki Triton yang dipandu OKT 6 balik ke kedai SP54. [75] Selain daripada itu, OKT 7 juga mengakui beliau telah menghilangkan nombor chasis dan nombor enjin kereta simati di bengkel SD8 menggunakan grinder (P109B) dan mengakui menunjukkan tempat beliau membuang grinder di Kuala Selangor. [76] OKT 7 juga turut mengakui bahawa baju P44B yang terdapat DNA simati adalah baju yang dipakainya atas alasan memegang stering kereta yang dipegang oleh simati sebelum itu boleh menyebabkan DNA berpindah. Namun OKT 7 gagal memberi penjelasan mengenai kesan DNA darah simati yang terdapat di pintu tandas bengkel SD8. Keputusan Di Akhir Kes Pembelaan [77] Di akhir kes pembelaan, Hakim Bicara mendapati pembelaan kesemua OKT adalah bersifat pemikiran terkemudian dan tidak menimbulkan apa-apa keraguan munasabah kepada kes pendakwaan. Dengan kata lain, pendakwaan telah berjaya membuktikan tanpa keraguan munasabah bahawa kesemua OKT telah melakukan kesalahan membunuh simati sebagaimana pertuduhan. Kesemua OKT didapati bersalah dan setiap dari mereka dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Rayuan [78] Secara umumnya, kesemua perayu membangkitkan isu-isu berikut:
i
Mereka tiada motif untuk membunuh simati.
II
(ii) Tiada niat bersama antara kesemua OKT untuk membunuh simati.
III
(iii) SP54 bukanlah saksi yang kredibel dan beliau memberi keterangan palsu.
IV
(iv) Pembelaan OKT-OKT tidak dipertimbangkan. Motif [79] Adalah undang-undang mantap bahawa motif tidak diperlukan untuk membuktikan suatu kesalahan membunuh. Tetapi, jika motif berjaya dibuktikan oleh pendakwaan, ia akan menyokong kes pendakwaan terhadap OKT (Dato’ Mokhtar bin Hashim & Anor v Public Prosecutor [1983] 2 ML J 232). [80] Berbalik kepada kes ini. Fakta menunjukkan OKT 3 - OKT 7 tidak mengenali simati. Oleh itu, Hakim Bicara membuat keputusan yang betul apabila memutuskan bahawa OKT 3 - OKT 7 tidak ada sebab atau motif untuk membunuh simati. Tetapi, fakta ini semata-mata tidak bermakna mereka tidak terlibat dalam pembunuhan simati. Melihat kepada cara pembunuhan itu dilakukan, mereka ada kaitan dengan OKT 1. OKT 3 - OKT 7 adalah pelaku-pelaku yang melaksanakan niat OKT 1 hendak menghapuskan simati. [81] OKT 1 telah dibuktikan bukan sahaja mengenali simati, tetapi juga mempunyai masaalah emosi dan kewangan dengan simati kerana simati adalah pegawai pendakwa untuk kes rasuah dan beberapa kes lain yang dikenakan terhadap OKT 1. [82] Saksi pendakwaan, SP69 memberi keterangan bahawa terdapat lima kes terhadap OKT 1 dengan pertuduhan-pertuduhan berikut:
i
Kes 61R-3-9/2013 Melibatkan 2 pertuduhan. Pertuduhan pertama di bawah seksyen 16A Akta SPRM 2009. Pertuduhan kedua di bawah seksyen 17A Akta yang sama. Perbicaraan kes ini bermula pada 20.10.2014 dan masih belum selesai.
II
(ii) Kes 61R-8-12/2013 Melibatkan satu pertuduhan di bawah seksyen 168 Kanun keseksaan.
III
(iii) Kes 61R-10-12/2013 Melibatkan 6 pertuduhan, kesemuanya di bawah seksyen 403 Kanun Keseksaan.
IV
(iv) Kes 63-32-03/2014 Melibatkan satu pertuduhan di bawah seksyen 168 Kanun Keseksaan.
v
Kes 63-51-06/2015 Melibatkan dua pertuduhan, kedua-duanya di bawah seksyen 168 Kanun Keseksaan. [83] Akibat daripada pertuduhan-pertuduhan yang dihadapinya, OKT 1 mengalami bebanan kewangan yang berikut:
a
harta OKT 1 yang berbentuk wang tunai lebih kurang RM380,000.00 telah dibekukan;
b
terpaksa mengeluarkan wang jaminan RM20,000.00; dan
c
terpaksa membayar fee peguam yang mencecah ratusan ribu ringgit. [84] OKT 1 juga marah dan tidak suka simati kerana simati menambah pertuduhan, simati mengarahkan beliau ditangkap, simati juga menyoal siasat beliau dan beranggapan beliau tidak boleh menang kes rasuah jika simati adalah pegawai pendakwa. [85] Atas dasar marah dan tidak puashati dengan tindakan simati, OKT 1 telah membuat dua permohonan untuk recuse simati daripada mengendalikan kes-kes OKT 1. Permohonan recusal dibuat dalam kes 61R-03-09/2013 dan kes 63-32-03/2014. Alasan permohonan ialah OKT 1 menyatakan pada asalnya beliau hanya dipanggil untuk dirakamkan percakapan, tetapi akhirnya beliau ditangkap (atas arahan simati) dan simati juga terlibat dalam siasatan kes. [86] Permohonan recusal telah dibenarkan oleh Hakim Sesyen. Atas permohonan semakan oleh responden, Hakim Mahkamah Tinggi telah mengenepikan keputusan Hakim Sesyen. Ini bermakna simati kekal sebagai pegawai pendakwa dalam kes-kes terhadap OKT 1. [87] SP54, dalam keterangannya memberitahu OKT 1 ada memberitahu SP54 bahawa simati menyusahkan OKT 1 sebab ada banyak kes dan terpaksa keluarkan yuran peguam dan mungkin satu hari nanti OKT 1 akan jadi miskin. Keterangan SP54 ini tidak dinafikan oleh OKT 1. [88] Dalam keadaan-keadaan yang dinyatakan di atas, pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa bukan sahaja OKT 1 ada motif untuk membunuh simati kerana simati menyusahkan hidup beliau, tetapi juga OKT 1 adalah master mind disebalik kejadian pembunuhan ini. Keterangan juga menunjukkan pembunuhan ini dilaksanakan dengan OKT 1 memberi arahan kepada OKT 7 dan OKT 7 pula memberi arahan kepada OKT 3 - OKT 6. Niat Bersama [89] Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan: When a criminal act is done by several persons, in furtherance of the common intention of all, each of such persons is liable for that act in the same manner as if the act were done by him alone. [90] Kami bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa seksyen 34 terpakai bukan sahaja kepada perlakuan, tetapi juga merangkumi ketinggalan (omissions). Perkara ini disebut dengan nyata di bawah seksyen 32 Kanun Keseksaan yang berbunyi: In every part of this Code, except where a contrary intention appears from the context, words which refer to acts done also extend to illegal omissions. [91] Mengenai pemakaian seksyen 34, memadailah kami merujuk kepada kes Farose bin Tamure Mohamad Khan v Public Prosecutor and Other Appeals [2016] 6 ML J 277. Dalam kes itu, Mahkamah Persekutuan menjelaskan intipati seksyen 34 seperti berikut: “[49] It is widely acknowledged that s 34 is a rule of evidence which embodies the commonsense principle that if two or more persons intentionally do a thing jointly, it is just the same as if each of them had done it individually (Krishna Rao a/l Gurumurthi v Public Prosecutor and another appeal [2009] 3 ML J 643). [51] The provision is intended to meet a case in which it may be difficult to distinguish between acts of individual members of a party who act in furtherance of the common intention of all or to prove exactly what part was taken by each of them (Hari Ram v State of Uttar Pradesh [2004] 8 SCC 146). In those circumstances, the law makes no distinction between them or between the parts played by them in doing the criminal act (Bashir v State AIR 1953 All 668). [52] Presence is not necessary to constitute participation in every case. It is sufficient for the accused to have done an act with some nexus to the offence (Sabarudin bin non & Ors v Public Prosecutor [2005] 4 ML J 37 and Manikumar Sinappan & Ors v Public Prosecutor [2015] ML JU 1956; [2016] 2 MLRA 1). [53] Common intention, distinguished from the same or similar intention, requires proof that the criminal act was done in pursuance of a pre-arranged plan. Such pre-planning may develop on the spot or in the course of commission of an offence, the crucial test being the plan must precede the commission of the offence. [54] A common intention may be often difficult to prove by way of direct evidence in practice, but it can be inferred from the circumstances of the case and the conduct of the accused. [66] The existence of a common intention is a question of fact in each case to be proved mainly as a matter of inference from the circumstances of the case. Direct evidence as proof is difficult to procure because common intention is essentially a state of mind. Invariably inferences have to be relied upon arising from such acts or conduct of the accused, the manner in which the accused arrived at the scene, the nature of injury caused by one or some of them or such other relevant circumstances available. The totality of the circumstances must be taken into consideration in arriving at a conclusion whether there is a common intention to commit the offence for which the accused could be convicted. The facts and circumstances of each case might vary. As such, each case should be decided based on the facts involved.” [92] Niat bersama hanya boleh dibuktikan dengan membuat inferen daripada keadaan fakta kes dan perlakuan OKT-OKT. Dalam kes ini, perlakuan OKT-OKT yang membolehkan inferen dibuat bahawa wujud niat bersama mereka untuk membunuh simati adalah seperti berikut:
i
OKT 3 - OKT 7 ada bersama-sama semasa perlanggaran yang disengajakan antara kereta Triton dengan kereta mati. Selepas perlanggaran, OKT 7 telah turun dari kereta Perdana WHS 9771 dan menuju ke kereta simati. Kemudian, OKT 7 memandu kereta simati ke bengkel SD8.
II
(ii) Rakaman CCTV menunjukkan beberapa orang turun dari Triton menuju ke kereta simati. Walaupun identiti orang-orang ini tidak jelas, inferen boleh dibuat bahawa mereka ialah OKT 3 - OKT 5 kerana OKT 6 yang memandu Triton tidak turun dan meneruskan perjalanan. SP54 juga tidak turun dari kereta dan terus memandu Perdana WHS 9771 meninggalkan tempat tersebut dan beliau tidak terlibat dengan pembunuhan simati.
III
(iii) Inferen bahawa OKT 3 - OKT 5 turun dari Triton dan pergi ke kereta simati disokong oleh dua alasan berikut. Alasan pertama, kecederaan-kecederaan yang dikenakan ke atas simati adalah berbentuk untuk mengakibatkan simati tidak boleh bernafas seperti menyerkup muka simati dengan beg plastik dan menekan serta menghimpit dada simati. Selain daripada itu tangan simati juga diikat ke belakang dengan tali leher. Kesemua perbuatan ini dilakukan dengan cepat dan tidak boleh dilakukan oleh seorang OKT sahaja. Alasan kedua, SD8 telah memberi keterangan bahawa semasa kereta simati sampai ke bengkel SD8 di Desa Mentari, selain OKT 7, beliau nampak ada tiga orang dalam kereta simati dan satu guni dalam bonet kereta simati.
IV
(iv) Perlakuan OKT 3 - OKT 7 sengaja melanggar kereta simati, menculik dan seterusnya membunuh simati menunjukkan mereka telah merancang terlebih dahulu cara pembunuhan ini hendak dilaksanakan. Mereka tahu dimana simati tinggal, pukul berapa simati keluar rumah, jalan yang dilalui simati, bagaimana pembunuhan hendak dilakukan dan berapa orang diperlukan untuk melaksanakannya. Sebab itulah OKT 7 datang dari Kedah dengan membawa bersamanya OKT 3 - OKT 6 dan mereka sentiasa ada bersama-sama di awal pagi pada 3.9.2015 dan 4.9.2015 di Restoran Syed Bistro.
v
OKT 1 turut terlibat kerana beliau hanya tersenyum dan menasihatkan SP54 supaya bertenang dan tidak mencampuri urusan OKT 3 - OKT 7 apabila SP54 memberitahu OKT 1 mengenai darah mengalir dari tong drum. OKT 1 juga menunjukkan gambar kereta simati yang terbakar yang berada dalam telefon bimbitnya kepada SP54. Seterusnya, OKT 7 pula telah membalingkan kunci kereta simati kepada OKT 1. Selain daripada itu, OKT 1 juga menyatakan beliau akan menanggung yuran guaman OKT 3 - OKT 7 kerana semua masalah ini berpunca daripada OKT
1
Kesemua fakta ini menunjukkan OKT 1 tahu apa yang dilakukan oleh OKT 3 - OKT 7. SP54 dan OKT 7 hanya memaklumkan perkara yang telah berlaku kepada OKT 1 kerana OKT 1 adalah master mind yang menghendaki bukan sahaja simati, tetapi juga kereta simati perlu dihapuskan. Maka, tujuan OKT 7 membalingkan kunci kereta simati kepada OKT 1 di pejabat OKT 1 adalah untuk menunjukkan bahawa arahan OKT 1 telah dilaksanakan. [93] Kesemua fakta-fakta ini telah diambilkira oleh Hakim Bicara semasa beliau memutuskan pendakwaan telah berjaya membuktikan wujudnya niat bersama antara kesemua OKT untuk membunuh simati. Kami mendapati tidak ada apa-apa sebab untuk mahkamah ini mengacau ganggu dapatan fakta yang dibuat oleh Hakim Bicara. Keterangan SP54 [94] Hakim Bicara telah memutuskan bahawa SP54 adalah rakan sejenayah (accomplice) kerana beliau berada hampir di setiap tempat kejadian. [95] Seksyen 133 Akta Keterangan memperuntukkan: An accomplice shall be a competent witness against an accused person; and a conviction is not illegal merely because it proceeds upon the uncorroborated testimony of an accomplice. [96] Dalam kes Yap Ee Kong & Anor v Public Prosecutor [1980] 1 LNS 117; [1981] 1 ML J 144, Mahkamah Persekutuan menghuraikan prinsip undang-undang berkaitan keterangan rakan sejenayah seperti berikut: “It is trite law that although an accomplice is a competent witness, a conviction is not illegal merely because it proceeds upon the uncorroborated testimony of an accomplice. All leading authorities have stated in clear terms that it has long been a rule of practice or rule of prudence which has become virtually equivalent to a rule of law for the judge or jury to be warned of the danger of convicting on the uncorroborated testimony of an accomplice.It is a matter of prudence except where circumstances make it safe to dispense with it that there must be corroboration of the evidence of an accomplice...” [97] Dengan merujuk kepada kes Yap Ee Kong, Hakim Bicara menyatakan di perenggan [128] penghakiman beliau seperti berikut: “[128] Walaupun s.133 Akta Keterangan membenarkan tertuduh disabitkan kesalahan berdasarkan keterangan yang diberikan oleh rakan sejenayah tanpa sebarang keterangan sokongan namun mahkamah bicara hendaklah memberi amaran tentang bahaya sabitan tanpa keterangan sokongan terhadap keterangan yang diberikan oleh rakan sejenayah. Mahkamah bicara juga sedar keadaan bahawa tertuduh boleh disabitkan berdasarkan keterangan rakan sejenayah semata-mata. Mahkamah bicara juga perlu rasa selamat untuk membuat sabitan jika berdasarkan keterangan rakan sejenayah tanpa wujudnya sebarang keterangan sokongan.” [98] Dalam kes ini, Hakim Bicara mendapati keterangan SP54 disokong oleh keterangan berikut:
i
DNA simati telah dijumpai di pintu tandas di bengkel SD8;
II
(ii) DNA simati, OKT 6 dan OKT 7 dijumpai pada t-shirt warna hitam yang dipakai oleh OKT 7;
III
(iii) Tempat di mana barang peribadi simati ditemui;
IV
(iv) Tong drum yang dijumpai mengandungi mayat simati; dan
VI
(vi) Tempat di mana kereta simati dibakar. [99] Komplen kesemua OKT ialah SP54 telah memberi keterangan palsu dan adalah tidak selamat untuk mahkamah mensabitkan kesemua OKT dengan keterangan SP54 semata-mata. [100] Kami mendapati komplen OKT-OKT adalah tidak berasas dan ditolak. Kami mendapati keterangan SP54 bukanlah keterangan palsu. Sebaliknya, SP54 bercakap benar mengenai perkara-perkara berikut:
a
OKT 1 ada masalah dengan simati. Fakta ini diakui oleh OKT
1
1.
b
Kereta Triton sengaja langgar kereta simati. Fakta ini diakui benar oleh OKT 3 - OKT 7.
c
OKT 7 memandu kereta simati ke dalam bengkel SD8. Fakta ini diakui oleh OKT 7.
d
Ada darah keluar dari tong drum. Fakta ini konsisten dengan penemuan mayat simati di dalam tong drum.
e
Simen dimasukkan ke dalam tong drum. Tong drum yang dikeluarkan dari paya disahkan mengandungi simen apabila tong drum itu dibuka.
f
OKT 7 membuang barang-barang peribadi simati ke dalam sungai. OKT 7 juga yang menunjukkan kepada polis tempat beliau membuang barang-barang ini. Tempat yang ditunjukkan adalah sama dengan penceritaan SP54.
g
OKT 7 membakar kereta simati di ladang kelapa sawit. Kereta simati ditemui di tempat yang dikatakan oleh SP54.
h
OKT 1 menunjukkan gambar kereta simati yang terbakar dalam telefon bimbitnya. Fakta ini diakui oleh OKT 1. [101] Bila keterangan SP54 mengenai fakta-fakta yang material adalah benar, Hakim Bicara membuat keputusan yang betul bila memutuskan keterangan SP54 disokong oleh keterangan sokongan yang lain dan bahawa sabitan berasaskan keterangan SP54 adalah selamat. Kami mendapati terdapat keterangan yang melimpah ruah yang menyokong dapatan fakta Hakim Bicara dan tidak ada sebab untuk kami mengganggu keputusan beliau itu. Pembelaan OKT-OKT [102] Komplen OKT-OKT ialah pembelaan mereka tidak dipertimbangkan oleh Hakim Bicara. Kami mendapati dakwaan OKT-OKT adalah tidak benar. Hakim Bicara ada mempertimbangkan pembelaan OKT-OKT di perenggan [221] hingga perenggan [272] penghakiman. [103] Hakim Bicara mendapati pembelaan OKT 1 bahawa beliau tiada dendam dengan simati dan tidak memberikan arahan kepada OKT 7 untuk membunuh simati adalah bertentangan dengan fakta yang telah dibuktikan melalui keterangan SP54. Pembelaan OKT 1 hanyalah penafian semata-mata. Mana mungkin mahkamah boleh menerima keterangan OKT 1 bahawa simati dikatakan telah berbuat baik kepada beliau (OKT 1) dengan memberikan jamin kepada isteri OKT 1 dan pengarah syarikat OKT 1. Semua pembelaan ini adalah suatu pemikiran terkemudian untuk menyelamatkan diri. Malah, pembelaan OKT 1 bahawa kononnya SP54 telah meminta OKT 1 menanggung kos guaman juga tidak pernah dicadangkan kepada SP54. [104] Pembelaan OKT 3 dan OKT 4 diambil bersekali. OKT 3 dan OKT 4 kata semasa berlaku perlanggaran antara Triton dengan kereta simati, mereka tidur sahaja dalam Triton dan tidak tahu apa-apa mengenai pembunuhan. Tetapi, pembelaan ini tidak pernah dicadangkan kepada SP54. Selain daripada itu, kami mendapati pembelaan mereka adalah tidak masuk akal. Sebelum berlaku perlanggaran, sudah tentu mereka telah diberitahu oleh OKT 7 bahawa tujuan perlanggaran itu ialah untuk mereka menangkap dan membunuh simati. Hanya tinggal OKT 3, 4 dan 5 sahaja untuk membantu OKT 7 membunuh simati kerana OKT 7 memandu kereta simati. [105] Pembelaan OKT 5 bahawa beliau datang ke Kuala Lumpur kononnya untuk membeli kereta WHS 9771 yang dikatakan kepunyaan OKT 7, tetapi digunakan oleh SP54 adalah tidak masuk akal kerana kereta tersebut bukan didaftarkan atas nama OKT 7. Perkara jual beli kereta WHS 9771 ini juga tidak pernah dicadangkan kepada SP54. Selain daripada itu, OKT 5 hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1500 sebulan. OKT 5 tidak mampu untuk membeli kereta. Beliau juga mengaku tidak membawa wang untuk membeli kereta yang dikatakan berharga antara RM6000 - RM7000. Jika OKT 5 hendak membeli kereta, beliau tidak perlu ada bersama OKT 3, OKT 4, OKT 6, OKT 7 pada jam 5.30 pagi di restoran Syed Bistro sebanyak dua kali dan tidak juga perlu duduk bersama OKT 3, OKT 4 dan OKT 6 di hotel selama dua hari dengan makan minum dan bayaran hotel ditanggung oleh orang lain. Konklusi yang munasabah ialah OKT 5 terlibat sama dengan OKT 3, OKT 4, OKT 6 dan OKT 7 atas kematian simati. [106] OKT 6 adalah anak saudara OKT 7. Keterangan menunjukkan OKT 6 adalah orang yang memandu Triton semasa perlanggaran berlaku. Beliau juga yang pergi membeli tong drum. Beliau juga mengisi simen dalam tong drum. Beliau bersama OKT 7 telah mengecat tong drum dan mereka berdua juga yang membuang tong drum ke dalam paya. OKT 6 juga yang menunjukkan kepada polis tempat tong drum dibuang hingga membawa kepada penemuan tong drum dan mayat simati. Kesemua perlakuan OKT 6 dibuat atas arahan OKT 7. Tetapi, dalam pembelaannya, OKT 6 bukan sahaja menafikan beliau terlibat dalam kejadian pembunuhan, tetapi juga mendakwa bahawa SP54 yang memberikan semua arahan kepada beliau, bukannya OKT 7. Adalah jelas bahawa pembelaan OKT 6 adalah bertentangan dengan fakta yang telah dibuktikan oleh pendakwaan dan bersifat menyalahkan SP54 pula. Pembelaan bahawa semua perlakuan beliau dibuat atas arahan SP54 tidak pernah dicadangkan kepada SP54. Kami mendapati pembelaan OKT 6 adalah pemikiran terkemudian dan tidak menimbulkan keraguan munasabah kepada kes pendakwaan. [107] Seperti OKT 6, pembelaan OKT 7 ialah semua tindakan beliau di semua tempat kejadian dilakukan atas arahan SP54. Setelah mendengar keterangan SP54, OKT 7 mengatakan SP54 adalah master mind. Dengan membangkitkan pembelaan sebegini, OKT 7 sebenarnya sudah terdesak untuk menyelamatkan dirinya dengan membuat cerita rekaan yang tidak masuk akal. Kami mendapati pembelaan OKT 7 juga tidak menimbulkan keraguan munasabah kepada kes pendakwaan. [108] Setelah membaca alasan penghakiman Hakim Bicara, kami mendapati beliau telah membuat konklusi yang tepat bahawa pembelaan OKT-OKT adalah penafian, suatu rekaan dan tidak menimbulkan keraguan munasabah kepada kes pendakwaan. Keputusan Kami [109] Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan di atas, kami sebulat suara mendapati sabitan terhadap OKT-OKT adalah selamat. [110] Mengenai hukuman, kami mendapati kejadian pembunuhan ini telah dirancang dengan rapi. Keadaan mayat simati semasa dijumpai menunjukkan kekejaman OKT-OKT. Tidak cukup dengan membunuh simati, kereta simati juga dibakar dan barang-barang peribadi simati dibuang. Maka, kejadian bunuh ini dikategorikan sebagai luar biasa dari kejadian bunuh yang biasa-biasa. Oleh itu, pada hemat kami hukuman yang sepadan dengan kesalahan yang dilakukan ialah hukuman gantung sampai mati. [111] Dengan itu, rayuan OKT-OKT terhadap sabitan dan hukuman didalam kedua-dua rayuan ditolak. Sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi dalam kedua-dua rayuan dikekalkan. Bertarikh: 5 Februari 2024. - SGD - Hadhariah binti Syed Ismail Hakim Mahkamah Rayuan Peguam OKT 1 : Dato’ N. Sivananthan; Tetuan Sivananthan. Jasmine Cheong & Mithun Raj; Tetuan Cheong & Maman. Peguam OKT 3 : M. Manoharan; M. Hariharan & Subramaniam Paramasivam; Tetuan M. Manoharan & Co. Peguam OKT 4 : Burhanudeen Abdul Wahid; Tetuan Burhan & Co. Peguam OKT 5 : Afifuddin Ahmad Hafifi & Hafizuddin Salehuddin; Tetuan Salehuddin Saidin & Associates. Peguam OKT 6 : Amer Hamzah Arshad; Joshua Tay & Siti Summaiyah Ahmad Jaafar; Tetuan Amer Bon. Peguam OKT 7 : Kitson Foong & Vam Sher Mooi; Tetuan Kit & Associates. Peguam Responden : TPR Dato’ Mohd Dusuki bin Mokhtar; TPR Mohd Fairuz bin Johari & TPR Mohd Fuad bin Abdul Aziz; Jabatan Peguam Negara.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.