Bagi dokumen kontemporari, Mahkamah mengambil panduan daripada prinsip dalam Tindok Bersatu Sdn Bhd v Jurukur Premier Sdn Bhd [1997] 4 CLJ 738 bahawa dokumen kontemporari lazimnya mempunyai nilai pembuktian yang lebih tinggi berbanding keterangan lisan yang diberikan kemudian selepas pertikaian timbul. Prinsip utama dalam Tindok Bersatu Sdn Bhd v Jurukur Premier Sdn Bhd [1997] 4 CLJ 738 ialah prinsip parol evidence rule di bawah seksyen 91 dan 92 Akta Keterangan 1950 secara ringkasnya menggariskan yang berikut; a) Apabila terma sesuatu kontrak telah direkodkan secara bertulis, pihak-pihak pada lazimnya tidak boleh membawa keterangan lisan untuk mempertikaikan, mengubah, menambah atau mengurangkan terma-terma bertulis tersebut. b) Prinsip ini selaras dengan seksyen 91 Akta Keterangan 1950, iaitu apabila terma sesuatu kontrak telah dijadikan dalam bentuk dokumen, maka dokumen itu sendiri menjadi bukti utama terma kontrak tersebut. c) Prinsip ini juga selaras dengan seksyen 92 Akta Keterangan 1950, iaitu setelah terma kontrak bertulis dibuktikan, keterangan lisan mengenai apa-apa perjanjian atau pernyataan lisan tidak boleh diterima bagi maksud mengubah, menambah, mengurangkan atau bercanggah dengan terma bertulis tersebut. d) Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian penting. Di bawah proviso kepada seksyen 92, keterangan lisan masih boleh diterima untuk membuktikan perkara seperti fraud, intimidation, illegality, want of due execution, failure of consideration, mistake of fact or law, atau apa-apa fakta yang boleh membatalkan dokumen atau memberi hak kepada pihak untuk mendapatkan relif terhadap dokumen tersebut. e) Dalam kes ini, WhatsApp, penyata akaun, invois dan bukti bayaran RM3,000.00 adalah dokumen kontemporari yang perlu diberi penilaian dan pertimbangan sewajarnya oleh Mahkamah ini. Fakta kes ini tidak membawa kepada pengecualian di bawah proviso seksyen 92 Akta disebabkan keterangan yang telah dibuktikan tidak pada mana-mana keterangan mengandungi keterangan berbentuk dan/atau berunsur fraud, intimidation, illegality, want of due execution, failure of consideration, mistake of fact or law, atau apa-apa fakta yang boleh membatalkan dokumen atau memberi hak kepada pihak untuk mendapatkan relif terhadap dokumen tersebut.