(d) perintah lain atau relief selanjutnya sebagaimana difikirkan sesuai oleh Mahkamah yang Mulia ini. Hubungan pihak-pihak: [2] Plaintif mempunyai 4 orang adik beradik dan Plaintif iaitu – Faris Razali bin Abdullah Anak sulung/Defendan Pertama Arif Sazali bin Abdullah Anak kedua Laili binti Abdullah Anak ketiga/Plaintif Hafizah binti Abdullah Anak bongsu [3] Kedua-dua ibu bapa Plaintif dan Defendan Pertama telah meninggal dunia dan Hartanah tersebut hendak diberikan kepada anak-anak mereka iaitu Plaintif dan adik beradiknya. [4] Pada 19-12-2007 (tarikh Perintah Penghukuman Jabatan Insolvensi Malaysia atas petisyen oleh Che Mokhtar & Ling), Arif Sazali bin Abdullah diisyrtiharkan seorang bankrap dan pada 27-12-2013 (tarikh Perintah Penghukuman Jabatan Insolvensi Malaysia atas petisyen oleh Malaysia Building Society Berhad), Arif Sazali bin Abdullah diisyrtiharkan seorang bankrap. Maka, bahagian daripada Hartanah tersebut tidak dapat dipindahmilik kepada Arif Sazali bin Abdullah. [5] Plaintif membenarkan Arif Sazali bin Abdullah terus tinggal dan menjalankan perniagaan di atas Hartanah tersebut memandangkan Arif Sazali bin Abdullah sudah menetap dan berniaga sejak 25 tahun lalu sewaktu ibubapa mereka masih hidup. [6] Tiada pertalian kekeluargaan di antara Defendan Pertama dengan Defendan Kedua namun begitu, Defendan Pertama menyatakan bahawa mereka mempunyai hubungan yang sangat akrab dan rapat di antara satu sama lain. [7] Pada perenggan 13 afidavit sokongan, Plaintif menyatakan bahawa bahagian Hartanah yang dipegang/dimiliki oleh Defendan Pertama telah dijual kepada Defendan Kedua. Hartanah tersebut: [8] Perkara subjek dalam kes ini ialah mengenai hartanah yang dikenali sebagai Lot 1402, GM 924, Mukim Teluk Panglima Garang, Daerah Langat dalam Negeri Selangor. [9] Dalam afidavit sokongan Plaintif, rekod ketuanpunyaan Hartanah tersebut dilampirkan sebagai Ekshibit LA-1 di mana perihal Hartanah tersebut adalah – • Geran Mukim & No. Hakmilik 924 • Luas Lot: 1.859 hektar • Kategori Penggunaan Tanah: Pertanian • Tanah Simpanan Melayu • Rekod Ketuanpunyaan: Defendan Pertama memegang/memiliki 3/56 bahagian Plaintif memegang/memiliki 3/56 bahagian [10] Pada 3-4-2017, Defendan Pertama telah memindahmilik 3/56 bahagiannya itu kepada Defendan Kedua (Nurul Ain binti Abdul Halim) atas imbuhan kasih sayang. Borang 14 A dilampirkan sebagai Ekshibit LA-2. [11] Plaintif memplidkan bahawa sekitar 18-5-2022, Defendan Kedua dan/atau wakilnya telah menceroboh dan memusnahkan struktur dan/atau bangunan yang dibina oleh Arif Sazali bin Abdullah di atas Hartanah tersebut yang mengakibatkan Arif Sazali bin Abdullah mengalami kerugian yang besar. [12] Defendan Kedua dalam menjawab kepada afidavit sokongan Plaintif menyatakan seperti yang berikut: • saya menyatakan bahawa saya telah lama mengenali Defendan Pertama yang merupakan pemilik sebahagian daripada Hartanah tersebut melalui Zulkaply Bin Sani yang merupakan bapa saudara Defendan Pertama dan kenalan rapat keluarga saya. • sepanjang perkenalan tersebut, keluarga saya dan keluarga Defendan Pertama menjadi rapat kerana kami saling bantu membantu di antara satu sama lain termasuklah bantuan-bantuan kewangan yang saya berikan kepada Defendan Pertama apabila Defendan Pertama memerlukan bantuan sama ada dalam bentuk hutang ataupun sedekah (tanpa balasan). • saya percaya bahawa Defendan Pertama telah terhutang budi dengan saya dan keluarga saya dan telah menghadiahkan kepada saya sebidang tanah iaitu Hartanah tersebut. • sebagai membalas budi, saya seterusnya menyatakan kepada Defendan Pertama bahawa sekiranya saya mengusahakan Hartanah tersebut, Defendan Pertama boleh membantu saya menguruskan sebarang perniagaan atau perusahaan yang boleh saya jalankan di atas Hartanah tersebut untuk menjana pendapatan tambahan kepada Defendan Pertama, sekiranya keadaan memerlukan. • saya percaya bahawa Borang 14A yang dirujuk oleh Plaintif di Ekshibit LA-2 tersebut tiada sebarang kecacatan dan pindah milik secara imbuhan kasih sayang tanpa balasan wang tersebut adalah sah berikutan keakraban hubungan diantara saya dengan Defendan Pertama. • setelah dinasihati oleh peguam cara Defendan Kedua, saya seterusnya mengatakan bahawa Saman Pemula yang difailkan oleh Plaintif ini adalah satu penyalahgunaan prosiding yang mana ianya bertujuan untuk melengah-lengahkan dan atau menghalang prosiding Writ Saman saya ke atas Arif Sazali bin Abdullah No. Kes BK-A53-4-07/2022, di Mahkamah Sesyen Sepang. Kes BK-A53-4-07/2022, di Mahkamah Sesyen Sepang: [13] Defendan Kedua telah menyaman Arif Sazali bin Abdullah di Mahkamah Sesyen Sepang melalui Guaman No.: BK-A53-4-07/2022 untuk perintah agar Arif Sazali bin Abdullah mengosongkan bahagian Hartanah yang didudukinya dan menuntut milikan kosong bahagian 3/56 Hartanah tersebut. [14] Atas nasihat peguam cara Plaintif, Plaintif menyatakan dan percaya bahawa pindahmilik di bawah Borang 14A atas dasar imbuhan kasih sayang tanpa balasan hanya boleh dilakukan antara pihak-pihak yang mempunyai hubungan antara satu sama lain seperti ibu bapa, anak atau suami isteri. Oleh kerana tiada apa-apa hubungan darah ataupun hubungan perkahwinan, maka Defendan Kedua tidak layak menerima pindahmilik bahagian 3/56 daripada Defendan Pertama. [15] Dengan itu, atas nasihat peguam cara Plaintif, Plaintif menyatakan dan percaya bahawa pindahmilik di bawah Borang 14A tidak layak didaftarkan, hakmilik Defendan Kedua boleh disangkal dan pindahmilik itu perlu diketepikan. Keputusan Mahkamah pada 8-11-2023 [16] Selepas meneliti Lampiran 1, afidavit, dokumen dan hujahan bertulis oleh peguam-peguam, Mahkamah ini memutuskan untuk menolak Saman Pemula ini dan berdasarkan hujahan mengenai kos, Mahkamah ini mengawardkan kos sebanyak RM2000.00 dibayar oleh Plaintif kepada setiap Defendan. [17] Plaintif (Laili binti Abdullah) tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah ini dan merayu terhadap keputusan kepada Mahkamah Rayuan. [18] Alasan keputusan Mahkamah ini dinyatakan dalam alasan penghakiman ini. Dapatan dan Analisa Mahkamah [19] Mahkamah ini telah menyemak dengan pihak Mahkamah Sesyen Sepang mengenai kes yang difailkan oleh Nurul Ain binti Abdul Halim terhadap Arif Sazali bin Abdullah. Maklumat mengenai kes di Mahkamah Sesyen Sepang ialah kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Shah Alam ke Mahkamah Sesyen Sepang. Tarikh bicara belum ditetapkan dan kes ini masih di peringkat pengurusan kes. [20] Berdasarkan Saman Pemula ini adalah jelas bahawa Plaintif mempertikaikan mengenai pindahmilik bahagian 3/56 abang sulungnya kepada Defendan Kedua yang tiada apa-apa hubungan kekeluargaan dengan Plaintif. Tindakan perobohan sebagaimana dalam foto yang diekshibitkan oleh Plaintif membuktikan bahawa Plaintif dan/atau abang keduanya iaitu Arif Sazali bin Abdullah mengalami kerugian. [21] Mahkamah ini telah meneliti afidavit jawapan oleh Defendan Pertama (Faris Razali bin Abdullah), Defendan Kedua (Nurul Ain binti Abdul Halim), dan Defendan Ketiga (Pentadbir Tanah Daerah Hulu Langat) untuk mendapatkan fakta yang jelas mengenai permohonan Plaintif yang memohon deklarasi pindahmilik di bawah Borang 14A tidak layak didaftarkan, hakmilik Defendan Kedua boleh disangkal dan pindahmilik itu perlu diketepikan. Afidavit Defendan Pertama (Faris Razali bin Abdullah): [22] Dalam afidavit jawapan Defendan Pertama kepada afidavit sokongan Plaintif, Defendan Pertama menyatakan bahawa − • Arif Sazali bin Abdullah telah menduduki bahagian yang dipegang/dimilik oleh Defendan Pertama dan bukannya menduduki bahagian yang dipegang/dimilik oleh Plaintif. • Arif Sazali bin Abdullah telah menduduki bahagian yang dipegang/dimilik oleh Defendan Pertama tanpa kebenaran Defendan Pertama. Defendan Pertama telah membuat laporan polis pada 15-3-2017 terhadap Arif Sazali bin Abdullah. Namun, Arif Sazali bin Abdullah masih enggan keluar dari bahagian yang dipegang/dimilik oleh Defendan Pertama. • berkenaan dengan pindahmilik bahagian yang dipegang/dimilik oleh Defendan Pertama kepada Defendan Kedua, Defendan Pertama menyatakan bahawa pindahmilik itu dibuat secara sukarela tanpa paksaan, Defendan Pertama dalam keadaan waras, tanpa pengaruh daripada sesiapa dan dilakukan atas imbuhan kasih sayang kerana Defendan Pertama terhutang budi kepada Defendan Kedua dan suami Defendan Kedua yang banyak membantu Defendan Pertama sewaktu Defendan Pertama dalam kesempitan dan kesusahan. • Defendan Pertama mahu agar bahagian yang dipegang/dimilik oleh Defendan Pertama diusahakan oleh Defendan Kedua. • bapa saudara Defendan Pertama iaitu Zulkaply bin Sani telah mengupah juru ukur untuk menandakan bahagian-bahagian yang dimiliki oleh setiap pemilik berdaftar Hartanah tersebut. Berdasarkan ukuran itu, Defendan Pertama menyatakan bahawa Arif Sazali bin Abdullah telah menduduki dan membina struktur bangunan di bahagian yang dipegang/dimilik oleh Defendan Pertama tanpa izin Defendan Pertama. Bahagian yang dipegang/dimilik oleh Defendan Pertama telah dipindahmilik kepada Defendan Kedua. Afidavit Defendan Kedua (Nurul Ain binti Abdul Halim): [23] Dalam afidavit jawapan Defendan Kedua kepada afidavit sokongan Plaintif, Defendan Kedua menyatakan bahawa − • pada semua masa yang material, Plaintif mahupun Defendan Pertama bukanlah pemegang amanah yang memegang hakmilik Hartanah tersebut sebagai amanah untuk dipindahkan kepada Arif Sazali bin Abdullah. • Defendan Kedua tidak menceroboh mana-mana hartanah yang dimiliki oleh Plaintif atau Arif Sazali bin Abdullah. • Defendan Kedua hanya memasuki Petak 9 iaitu kawasan Hartanah tersebut yang dimiliki oleh saya (“Bahagian Hartanah saya”) sebagaimana yang ditetapkan menerusi ukuran dan penandaan petak sempadan yang telah dijalankan oleh juru ukur atas permintaan salah seorang pemilik sebahagian Hartanah tersebut iaitu Zulkaply bin Sani bertarikh 04.12.2021 bersama dengan Pelan Pra Hitungan yang ditandakan sebagai Ekshibit NAH-3. • pada ketika Defendan Kedua dan pekerja-pekerjanya memasuki Bahagian Hartanahnya itu, Defendan Kedua dan pekerja-pekerjanya mendapati terdapat binaan dan struktur yang telah dibina di atas Bahagian Hartanahnya itu dan seorang lelaki yang mengaku sebagai tuan punya binaan dan struktur tersebut telah menghalang kerja-kerja pembersihan yang hendak dijalankan. Pekerja Defendan Kedua telah membuat laporan polis pada 18.05.2022 dan Defendan Kedua sendiri membuat laporan polis pada 20.05.2022. • atas nasihat peguam cara Defendan Kedua, Defendan Kedua menyatakan bahawa pindahmilik atas dasar imbuhan kasih sayang tanpa balasan wang tidak terhad kepada pihak-pihak yang mempunyai hubungan darah (blood related). Dan, Saman Pemula yang difailkan oleh Plaintif ini adalah satu penyalahgunaan prosiding yang mana ianya bertujuan untuk melengah-lengahkan dan atau menghalang prosiding Writ Saman Defendan Kedua terhadap Arif Sazali bin Abdullah di Mahkamah Sesyen Sepang. Afidavit Defendan Ketiga (Pentadbir Tanah Daerah Hulu Langat): [24] En. Muhamad KamilRafizal bin Zainal Abiddin, Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat dalam afidavit jawapan Defendan Ketiga kepada afidavit sokongan Plaintif, Defendan Ketiga menyatakan bahawa – • berdasarkan rekod di Defendan Ketiga, Plaintif ialah salah seorang daripada pemilik berdaftar dengan syer 3/56 bahagian atas Hartanah tersebut. • Defendan Ketiga menafikan kenyataan Plaintif bahawa Defendan Pertama ialah salah seorang pemilik bersama Hartanah tersebut yang memiliki 3/56 bahagian. • Defendan Ketiga mengakui bahawa berdasarkan rekod, Defendan Pertama pernah didaftarkan bersekali dengan Plaintif sebagai salah seorang pemilik berdaftar Hartanah tersebut dengan syer masing-masing sebanyak 3/56 bahagian. Ini ialah atas transaksi turunmilik akibat kematian (Borang E) daripada Siti Zaleha binti Mohd Sani. • berkenaan dengan pindahmilik oleh Defendan Pertama kepada Defendan Kedua bagi bahagian 3/56 yang dipegang/dimiliki oleh Defendan Pertama, Defendan Ketiga mengakui bahawa berdasarkan rekod terdapat suatu transaksi pindahmilik tanah (Borang 14A) daripada Defendan Pertama kepada Defendan Kedua. Borang 14A itu ditandatangani oleh Defendan Pertama selaku pemberi pindahmilik, Defendan Kedua selaku penerima pindahmilik dan perserahan pindahmilik dibuat oleh Zulkaply bin Sani. • Defendan Ketiga mengakui bahawa Defendan kedua ialah salah seorang pemilik berdaftar Hartanah tersebut dengan syer 3/56 bahagian selaras dengan pendaftaran Borang 14A dengan Defendan Ketiga. • pendaftaran Borang 14A telah dibuat selaras dengan peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara 2020 [Akta 828] yang mana instrument pindahmilik tersebut layak untuk didaftarkan di mana pada masa material, Defendan Ketiga telah diserahkan dengan dokumen Borang 14A yang lengkap diisi dan ditandatangani; hakmilik asal Dokumen Hakmilik Keluaran; resit cukai tanah; dan bayaran fi pendaftaran pindahmilik. • Defendan Ketiga telah melaksanakan fungsi administratifnya selaras dengan Akta 828 dan dengan itu wajar dilindungi di bawah seksyen 22 Akta yang sama. • kategori bagi jenis penggunaan tanah bagi Hartanah tersebut ialah “Pertanian” dan apa-apa aktiviti yang dijalankan atas Hartanah tersebut perlu mematuhi peruntukan seksyen 115 Kanun Tanah Negara 2020 [Akta 828] mengenai syarat-syarat nyata dan tersirat yang menyentuh tanah tertakluk kepada kategori “Pertanian”. Isu untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh Mahkamah [25] Mahkamah mengenaipasti isu yang berikut: