Malangnya, menurut pemohon, firma guaman tersebut telah gagal memberikan khidmat guaman sewajarnya sebagai peguam lantikan beliau untuk memberikan nasihat dan perwakilan berkaitan kes pemohon. Bantahan Peguam Negara [7] Pihak Peguam Negara telah membantah permohonan perlanjutan masa untuk memfailkan kebenaran untuk memfailkan semakan kehakiman ini. [8] Di antara alasan yang dikemukakan oleh Peguam Persekutuan di dalam membantah permohonan lanjutan masa ini ialah tidak ada keterangan untuk membuktikan bahawa Tetuan Nelson Wences telah benar-benar dilantik untuk mewakili pemohon. [9] Di dalam AIS-2, pemohon telah mengemukakan ekshibit tangkap layar tentang bayaran-bayaran yang dibuat kononnya kepada firma guaman tersebut. Tetapi tangkap layar tersebut yang dikemukakan di dalam Eksh LMF-1, hanya tertera nama “Nelson W Angang” dan bukannya di atas nama Tetuan Nelson Wences. [10] Tidak ada resit rasmi dikemukakan oleh pemohon sebagai ekshibit. [11] Oleh itu timbul persoalan samada Tetuan Nelson Wences benar-benar dilantik sebagai firma guaman yang mewakili pemohon. [12] Kedua, tidak juga diekshibitkan apa-apa dokumen yang menunjukkan “Warrant to Act” atau apa-apa dokumen lain yang ditandatangani oleh pemohon dan dialamatkan kepada Tetuan Nelson Wences yang menzahirkan perhubungan peguam-klien antara pihak-pihak. Ini juga menimbulkan persoalan, samada dari segi undang-undang tentang keabsahan perlantikan Tetuan Nelson Wences. [13] Di dalam kes Syarikat Kilang Kayu Hjah Bidah Bt Hj Deraman Sdn Bhd & 1 lagi lwn Mohd Zairol Azmi bin Deraman [2023] MLJU 1853, Mohamad Abazafree H mengatakan: Di dalam kes di hadapan Mahkamah, Plaintif langsung tidak mengemukakan [Warrant] to Act yang kononnya telah dikeluarkan oleh Plaintif Kedua. Oleh itu, ia menidakkan peluang Mahkamah untuk menilai sama ada satu Warrant to Act sebenarnya wujud [14] Di atas alasan tersebut, Mahkamah ini tidak mempunyai apa-apa material untuk melanjutkan masa di bawah A 53 k 3(7) KKM. [15] Walau bagaimana pun, andai kata perlantikan itu adalah sah, yang mana tiada dapatan dibuat di sini, ia bukan lah satu alasan bermerit untuk Mahkamah ini memberikan perlanjutan masa. [16] Di dalam kes Gurdev Kaur a/p Bhag Singh v BSN Commercial Bank (M) Bhd [2003] 1 CLJ 429 MR, Richard Malanjum HMR (kemudiannya KHN) di dalam menyampaikan penghakiman Mahkamah Rayuan mengatakan: In the first motion the explanation given for the delay in filing the proper notice of appeal against the order for sale is squarely put to the former solicitor of the Applicant in that it was alleged that he did not do his work and did not keep the Applicant informed of the status of the case. That is not a good reason for us to exercise our discretion and grant leave. The Applicant can always seek remedy elsewhere if she has any grievance against her former solicitor. It is settled law that mistake of one’s solicitor is not necessarily a good excuse. (See: Sinnathamby & Anor v Lee Chooi Ying; Brijkishore & Anor v Lee Chooi Ying [1987] 1 MLJ 110). [17] Pada hemat Mahkamah, laporan polis atau aduan terhadap peguam kepada Sabah Law Society tidak terjumlah kepada satu material untuk tujuan perlanjutan masa. Seperti yang dinyatakan di dalam kes Gurdev Kaur pemohon boleh mengambil tindakan untuk mendapatkan remedi di forum yang lain berhubung dengan keterkilanan beliau. [18] Oleh itu Mahkamah ini tidak mempunyai material untuk menggunakan budibicara bagi membenarkan perlanjutan masa ini. [19] Oleh kerana permohonan perlanjutan masa tidak dibenarkan, permohonan untuk kebenaran juga ditolak kerana mahkamah ini tidak lagi mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan ini walau apa pun meritnya. [20] Di dalam kes Wong Kin Hoong & Anor v. Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar & Anor [2013] 4 CLJ 193 MP, Mahkamah Persekutuan memutuskan, apabila hakim bicara menolak penjelasan untuk kelewatan bagi pelanjutan masa untuk memohon semakan kehakiman, mahkamah tidak lagi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan untuk kebenaran untuk semakan kehakiman. Sama ada permohonan mempunyai merit atau tidak adalah tidak relevan. [21] Bantahan awal pihak Peguam Negara diterima. [22] Oleh itu permohonan untuk kebenaran semakan kehakiman ini adalah ditolak. [23] Tiada perintah ke atas kos. Tarikh: 18 Oktober 2024 (WAN AHMAD FARID BIN WAN SALLEH) Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Pihak-pihak: Bagi Pihak Pemohon : Wan Zaleha Binti Abdul Wahab Tetuan K.L. Chee & Co. Bagi Pihak Responden : Nur Syafiqah Binti Mohamed Yusoff FC Pejabat Penasihat Undang-Undang, Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya