Suatu spesimen darah tidak boleh diambil kira melainkan jika spesimen darah itu telah diambil daripada tertuduh oleh seorang pegawai perubatan kerajaan; dan keterangan bahawa suatu spesimen darah telah diambil sedemikian boleh diberikan dengan mengemukakan suatu dokumen yang berupa sebagai memperakui fakta itu dan ditandatangani oleh seorang pegawai perubatan kerajaan. [107] Mahkamah merujuk kepada satu dokumen yang telah dikemukakan dan ditandakan sebagai P5 dimana dokumen tersebut mengandungi tandatangan SP5 sendiri iaitu Doktor Meena. SP5 juga telah hadir sendiri ke Mahkamah untuk memberikan keterangan dari kandang saksi dan telah mengesahkan bahawa beliau merupakan doktor yang bertugas pada tarikh dan masa kejadian tersebut dan telah mengambil sampel tersebut sendiri. Oleh yang demikian, Mahkamah dapati bahawa pengambilan sampel darah Tertuduh adalah dalam keadaan teratur dan keterangan Tertuduh berkenaan identiti tersebut tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes ini apatah lagi Tertuduh juga gagal mengenal pasti identiti yang sebenar untuk membuktikan sebaliknya. [108] Mahkamah sekali lagi merujuk kepada kes Olivia Chong Oi Yun v. PP [2020] 4 CLJ 246 dimana Mahkamah telah berpuas hati bahawa spesimen darah itu memang diambil daripada Perayu di hospital. Mahkamah dalam kes tersebut turut menyatakan bahawa keterangan SP9 berkenaan pengambilan spesimen darah daripada Perayu adalah keterangan yang terbaik kerana keterangan itu boleh diuji dan tertakluk kepada pemeriksaan lanjut oleh pihak pembelaan. [109] Keterangan doktor ini juga disokong oleh saksi SP1 yang menyatakan semasa saksi membawa Tertuduh ke HKL untuk tujuan pengambilan sampel, telah serahkan Tertuduh kepada seorang doktor perempuan India. [110] Bersangkutan dengan isu diatas, pihak pembelaan juga telah membangkitkan isu berkenaan pengendalian sampel milik Tertuduh. Pihak pendakwaan telah memanggil ahli Kimia SP10 dimana beliau manyatakan bahawa spesimen telah diterima dalam keadaan seal dan baik. Hasil analisa juga telah dikeluarkan dalam satu bentuk Laporan Kimia yang telah ditandakan sebagai P21. [111] Pada pendapat Mahkamah, sampel darah Tertuduh telah dikendalikan dengan baik kerana berdasarkan keterangan-keterangan saksi, ekshibit dan Tertuduh pada sepanjang masa berada di bawah kawalan pihak polis dari SP1 sehingga pegawai penyiasat SP17 dan Mahkamah dapati tiada rantaian keterangan yang terputus sepanjang kes ini. Keterangan- keterangan saksi juga adalah saling menyokong. Oleh yang demikian, pihak pembelaan gagal membangkitkan keraguan terhadap kes ini setakat ini. [112] Isu seterusnya adalah berkaitan slip EBA. SP13 telah menerima Tertuduh yang dibawa balik oleh SP1 serta menjalankan ujian pernafasan terhadapnya. SP13, sebagai pegawai hembusan telah memberikan keterangan bahawa beliau telah terangkan keputusan ujian hembusan tersebut kepada Tertuduh dan Tertuduh dikatakan hanya mengangguk faham. Tertuduh juga telah menurunkan tandatangan pada masa tersebut. [113] Pada pendapat Mahkamah, saksi pihak pendakwaan telah menjalankan ujian mengikut standard operating procedure atau SOP yang selalunya digunakan. Mahkamah percaya mesin EBA tersebut adalah dalam keadaan baik kerana jika tidak, mesin tersebut tidak akan mengeluarkan slip keputusan bagi ujian tersebut. Ini juga telah disahkan oleh pegawai SIRIM SP14 semasa memberikan keterangan. [114] Selain itu, pihak pembelaan melalui surat bertarikh 14/04/2025 telah maklumkan kepada Mahkamah bahawa Tertuduh telah membuat satu (1) laporan polis pada 06/03/2025 untuk menafikan tandatangan Tertuduh pada slip EBA berkenaan. Pihak pembelaan juga telah maklumkan kepada Mahkamah bahawa perkara tersebut masih dalam siasatan dan selanjutnya, memohon supaya kes ini ditangguhkan untuk keputusan. Mahkamah telah membenarkan lanjutan masa bagi pemfailan hujahan, namun tarikh keputusan bagi kes ini dikekalkan. [115] Mahkamah, dalam isu ini berpendapat bahawa tindakan Tertuduh untuk membuat laporan polis berkenaan tandatangan tersebut beberapa tahun selepas kejadian adalah satu alasan dan bertujuan untuk melengah-lengahkan perbicaraan kes ini. Tambahan pula, Tertuduh hanya sedar akan isu berkaitan tandatangan ini selepas TPR yang mengendalikan kes ini bertanyakan soalan terhadap Tertuduh semasa pemeriksaan semula. [116] Seterusnya, pihak pembelaan dalam hujahannya telah menyatakan bahawa Tertuduh tidak mabuk dan juga tiada keterangan daripada mana-mana saksi yang menyatakan sedemikian. Namun, setelah semakan semula keterangan dibuat, terdapat beberapa keterangan saksi yang boleh membuktikan keadaan Tertuduh pada malam kejadian. [117] SP16 yang merupakan seorang penolong pegawai perubatan di unit kecemasan telah memberikan keterangan bahawa Tertuduh dalam kes ini tidak berikan kerjasama. Semasa SP16 mahu berikan rawatan di tempat kejadian sejurus selepas kemalangan, Tertuduh tidak berikan respon untuk dirawat. [118] SP17 sebagai pegawai penyiasat juga maklumkan bahawa Tertuduh telah bertindak agresif dan terpaksa di gari di tempat kejadian. Pegawai penyiasat telah mengiringi Tertuduh sehingga ke balai dengan menaiki kenderaan lain. [119] Perkara yang sama turut disahkan oleh SP1 dimana SP1 menyatakan bahawa Tertuduh enggan berikan kerjasama semasa diminta keluar dari kenderaan selepas kemalangan berlaku. Mahkamah juga dapati tiada percanggahan keterangan oleh SP1 kerana pihak pendakwaan telah membuat permohonan untuk memanggil semula saksi SP1 berdasarkan peruntukan dibawah Seksyen 425. Mahkamah telah membenarkan permohonan tersebut tertakhluk kepada pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan. [120] Berdasarkan penelitian secara keseluruhannya, Mahkamah dapati bahawa pembelaan yang dibangkitkan oleh Tertuduh bukan satu pembelaan yang kukuh. Alasan yang dibangkitkan adalah untuk menimbulkan keraguan pada kes pendakwaan. Namun, Mahkamah berpendapat bahawa tiada keraguan yang timbul pada kes pendakwaan. Mahkamah dapati bahawa semua isu yang dibangkitkan telah dijawab dan keterangan saksi-saksi perlu dipandang secara menyeluruh. Mahkamah juga mendapati bahawa keterangan saksi-saksi pendakwaan adalah saling menyokong antara satu sama lain. [121] Tertuduh dalam kes ini telah mengaku ada mengambil minuman beralkohol sebelum kejadian. Namun, Tertuduh yang menyatakan dirinya tidak mabuk masih tetap memandu pada malam kejadian dan telah mengakibatkan kematian Mangsa. [122] Mahkamah telah meneliti dan mempertimbangkan semua keterangan secara menyeluruh termasuk circumstancial evidence. [123] Menurut keterangan SP8 dari PUSPAKOM, pemeriksaan terhadap kenderaan yang terlibat dalam kemalangan menunjukkan bahawa kenderaan tersebut tidak boleh dipandu dan kerosakan yang dialami adalah teruk dipercayai akibat impak kemalangan. [124] Mahkamah juga telah mendapati bahawa keterangan Tertuduh adalah tidak konsisten dimana Tertuduh maklumkan ada ternampak bayang dan cuba mengelak semasa memberikan keterangan. Namun, pada laporan polis Tertuduh yang telah ditandakan sebagai P43, Tertuduh telah maklumkan bahawa Tertuduh terlelap. Ini telah membuktikan semua pembelaan yang dikemukakan oleh Tertuduh adalah penafian dan fikiran terkemudian (afterthought). [125] Berdasarkan ekshibit yang dikemukakan, Mahkamah mendapati bahawa Tertuduh telah memandu dalam keadaan yang melulu dan laju dimana gambar kerosakan kenderaan adalah agak teruk dan kemalangan tersebut telah mengakibatkan Mangsa tercampak dari spot pelanggaran dan maut serta merta di tempat kejadian. [126] Seperti yang telah Mahkamah maklumkan di peringkat prima facie, fakta bahawa kejadian yang berlaku di garisan Chevron tidak membolehkan Tertuduh menyangkal pertuduhan yang dipertuduhkan terhadapnya kerana fungsi garisan tersebut adalah sebagai amaran untuk pembahagi jalan. [127] Setelah meneliti keterangan saksi pendakwaan, saksi pembelaan, ekshibit dan juga hujahan kedua-dua belah pihak serta menimbangkan keseluruhan kes, Mahkamah mendapati bahawa pihak pembelaan telah gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam kes pendakwaan dan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah. Oleh yang demikian, Tertuduh dalam kes ini didapati bersalah dan disabitkan di atas pertuduhan. [128] Sebelum Mahkamah menjatuhkan hukuman, Mahkamah telah membenarkan pihak pembelaan untuk membuat rayuan. [129] Rayuan mitigasi Tertuduh adalah seperti berikut: a) Berumur 43 tahun dan bekerja sebagai polis berpangkat Inspektor sejak 23 tahun lalu. Tertuduh sudah berumah tangga dan mempunyai 3 orang anak dimana dua daripada anak Tertuduh adalah OKU; b) Ini adalah kesalahan pertama; c) Kesal dan janji tidak akan mengulangi kesalahan; d) Tertuduh mempunyai rekod yang bersih dalam perkhidmatan polis. [130] Pihak pendakwaan memberikan hujahan pemberat seperti berikut: a) Pohon hukuman setimpal untuk pengajaran; b) Kes melibatkan perbicaraan penuh dimana pendakwaan telah memanggil saksi untuk memberikan keterangan; c) Mohon pertimbangan Mahkamah di dalam kes ini terdapat Mangsa yang telah meninggal dunia akibat pemanduan Tertuduh dalam kes ini dan tidak dapat diperbaiki dengan apa cara. [131] Setelah mendengar faktor mitigasi pihak Pembelaan dan hujahan pemberat oleh pihak Pendakwaan, Mahkamah dengan ini memutuskan OKT dijatuhi hukuman seperti berikut: i. Penjara selama tempoh 10 tahun dari tarikh sabitan; ii. Denda sebanyak RM 50,000.00 jika gagal bayar 6 bulan penjara; dan iii. Tertuduh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh 10 tahun dari tarikh sabitan. [132] Penggantungan perlaksanaan hukuman hanya diberikan bagi hukuman pemenjaraan sahaja dengan wang jaminan dikekalkan sebanyak RM 10,000.00. [133] Mahkamah, dalam mencapai keputusan ini telah mengambil kira beberapa faktor antaranya faktor latar belakang dan juga pekerjaan Tertuduh dalam kes ini. Selain itu, Mahkamah juga telah mempertimbangkan faktor bahawa Tertuduh merupakan pesalah kali pertama dan juga kepentingan awam. [134] Mahkamah ini telah merujuk kepada kes PP v Jafa bin Daud [1981] 1 MLJ 315, di mana Mahkamah, dalam kes tersebut telah memutuskan bahawa: the ambit of the punishable section, but it must also be assessed and passed in accordance with established judicial principles. In assessing sentence, one of the main factors to be considered is whether the convicted person is a first offender. It is for this purpose that before passing sentence, a Magistrate is required to call for evidence or information regarding the background, antecedent and character of [135] Dalam kes PP v. Chew Chee Wah [1995] 4 MLJ 26, Mahkamah telah memutuskan seperti berikut: with by the imposition of a fine or by placing him under bond or probation, but he should be kept away from prison unless there are, in the public interest, strong reasons for ordering a term of imprisonment, such as the gravity of the offence itself and the manner in which it was committed [136] Seterusnya, Mahkamah telah merujuk kepada kes Lim Yoon Fah v PP [1971] 1 MLJ 37 dimana Mahkamah telah memutuskan seperti berikut: "In deciding the appropriate sentence a court should always be guided by certain considerations. The first and foremost is the public interest. The criminal law is publicly enforced, not only with the object of punishing crime, but also in the hope [137] YA Hakim Mahkamah Tinggi dalam kes Olivia Chong Oi Yun v Public Prosecutor [2020] 10 MLJ 19 telah menyatakan bahawa: It is trite law that the correct approach in sentencing is to strike a balance, as far as possible, between the interests of the public and the appella The interest of justice also means the interest of the prisoners and in the present appeal, the mitigation raised by the appellant ought to be considered and be tampered with justice as well (see Lord Goddard LCJ in R v Marian Grondkowski and Henryk Malinowski [1946] 1 All ER 559) [138] Dalam kes yang sama, YA Hakim Mahkamah Tinggi telah memperuntukkan trend hukuman seperti berikut: [64] In Sundarshan Gopalkrishnan lwn Public Prosecutor [2015] 10 CLJ 831, the High Court affirmed the sentence of four years imprisonment and a fine of RM 10,000 meted out by the magistrate against the accused for an offence under s 44(1)(a) of the RTA for driving a car on the road under the influence of alcohol in such manner incapable of having proper control of her vehicle which had caused one person dead and injured another. The punishment for an offence under s 44(1)(a) is similar to s 44(1)(b) under the RTA. [65] In Johari bin Ibrahim v Public Prosecutor [2002] 6 MLJ 193, the High Court sentenced the accused (on app a fine of RM 8,000 for committing an offence under s 44(1) of the RTA ie driving a motor lorry under the influence of alcohol which caused the injury to one person. [139] Pindaan pada Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dibuat oleh Parlimen pada tahun 2020 khususnya pada kesalahan yang berkaitan dengan pemanduan di bawah pengaruh alkohol. Susulan beberapa insiden kemalangan maut yang melibatkan pemandu mabuk pada awal 2020, kerajaan ketika itu mengambil langkah tegas untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi menangani isu ini secara sistematik. [140] Pindaan pada Akta tersebut berkuat kuasa pada 23 Oktober 2020. Salah satu pindaan yang dibuat adalah pada bahagian hukumann dibawah Seksyen 44(1)(b) APJ yang memperuntukkan hukuman seperti berikut: Jika disabitkan kesalahan penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun dan denda tidak kurang RM 50,000 dan tidak lebih daripada RM 100,000 dan hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh disabitkan kesalahan. [141] Sehubungan itu, setelah mempertimbangkan hujahan mitigasi pihak pembelaan serta faktor-faktor latar belakang, kesalahan pertama dan faktor kepentingan awam, Mahkamah telah menjatuhkan hukuman paling minima terhadap Tertuduh dalam kes ini. [142] Mahkamah berpendapat bahawa hukuman yang diberikan oleh Mahkamah ini adalah wajar dan bersesuaian untuk Tertuduh dalam kes ini setelah mengambil kira kesemua faktor. [143] Mahkamah berpendapat bahawa hukuman minima bagi kesalahan ini selepas pindaan juga adalah berat terhadap Tertuduh mengambil kira Tertuduh merupakan seorang penjawat awam, mempunyai keluarga dibawah tanggungan dan ini juga merupakan kesalahan pertama Tertuduh. [144] Namun, Mahkamah tidak dapat mempertimbangkan hukuman alternatif lain terhadap Tertuduh kerana kes ini melibatkan Mangsa yang meninggal dunia akibat tindakan Tertuduh yang tidak bertanggungjawab dengan memandu dibawah pengaruh alkohol. [145] Mahkamah percaya hukuman yang diberikan adalah wajar dan sesuai serta mampu memberikan pengajaran kepada Tertuduh agar Tertuduh menjadi lebih bertanggungjawab serta tidak akan mengulangi kesalahan yang sama pada masa akan datang. Bertarikh pada 1 Oktober 2025. Bagi Pihak Pendakwaan : Tuan Harvind Raja Gopal [Timbalan Pendakwa Raya] Bagi Pihak Pembelaan : Encik V. Samynathan [Tetuan V. Samynathan & Co.]