[20]keping Wang Kertas Not USD 100/-, no siri : LE 81851791DE5 dengan mengetahui sebagai palsu dan dengan niat hendak' menggunakannya sebagai tulin. Oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan. [3] Bagi pertuduhan kedua, pihak pendakwaan telah menarik balik pertuduhan tersebut dan HMS telah memerintahkan bahawa perayu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada 27. 02. 2023. KES PENDAKWAAN [4] Pengadu dalam kes ini (SP1) adalah seorang akauntan yang telah berkenalan dengan seorang lelaki bernama Haruki melalui media sosial Instagram pada Februari 2020. Semenjak ini mereka sering berbual melalui Whatsapp. Pada masa itu, SP1 mengatakan dia tertekan dan hilang semangat kerana gajinya dipotong. Namun demikian, Haruki terus memberinya semangat sehinggalah pada suatu hari Haruki memberitahunya bahawa dia ingin membelikan hadiah untuk SP1 yang berupa beg mewah dan juga barang kemas. [5] Keesokan harinya seorang wanita menelefonnya berkenaan dengan suatu bungkusan. Walau bagaimanapun, wanita itu mengatakan bahawa SP1 perlu membayar RM4000 agar bungkusan itu boleh dlepaskan. SP1 telah membayar jumlah ini. Namun demikian, wanita tersebut berterusan menelefon SP1 meminta lebih wang daripada SP1 untuk melepaskan bungkusan yang dikatakan banyak wang di dalamnya. Jika gagal, wang yang telah dibayar itu dianggap sebagai kerugian. [6] SP1 mengatakan bahawa dia tidak mempunyai wang lagi dan hanya mempunyai RM4500. Wanita itu telah menyerahkan telefon kepada ketuanya bernama Chris iaitu perayu. Perayu telah memberikan nombor akaun kepada SP1 dimana SP1 telah memindahkan wang sebanyak RM4500 ke dalam akaun tersebut. Chris juga telah mengarahkannya mengisi beberapa borang berkaitan pengubahan wang haram. Dalam masa yang sama, SP1 masih berhubung dengan Haruki yang mengatakan bungkusan tersebut akan sampai tidak lama lagi. [7] Walaupun telah membuat pemindahan wang, perayu masih lagi meminta wang daripada SP1. Sebanyak RM100,000 telah dibayar sehingga SP1 tidak mempunyai wang lagi. Perayu kemudiannya telah mengajak SP1 berjumpa di Tropicana City Mall. [8] Pada 04.03.2020 selepas waktu makan tengahari, SP1 telah berjumpa dengan perayu di Tropicana City Mall. Pada masa ini SP1 telah memberikan perayu RM1000 lagi agar bungkusan tersebut boleh dilepaskan. Perayu telah mengarahkan SP1 pergi ke Restoran Starbuck sementara dia mengambil bungkusan tersebut. Berapa minit kemudian, perayu telah datang dengan membawa sebuah beg berwarna kelabu. Perayu kemudiannya telah mengarahkan SP1 pergi ke Eastin Hotel yang mana telah dituruti oleh SP1. [9] Sampai di Eastin Hotel, perayu telah mengarahkan SP1 untuk menempah bilik dengan menggunakan kadnya dan telah juga dituruti oleh SP1. Perayu kemudiannya telah membawa satu beg kelabu ke dalam bilik tersebut. Dia telah membuka beg tersebut dan mendapati di dalamnya terdapat peti keselamatan tanpa kunci kepada peti tersebut. Perayu telah membuat panggilan telefon kepada seseorang, bertanya berkenaan dengan kunci peti tersebut. Orang tersebut telah meminta wang lagi sebanyak RM3000 hingga RM5000. Walau bagaimanapun, SP1 hanya membayar RM1000 atau RM2000 dengan membuat pengeluaran di ATM terdekat. [10] Apabila mereka masuk semula ke bilik hotel, perayu telah membuka peti keselamatan tersebut. SP1 nampak dalam peti itu terdapat banyak kertas tisu dan kertas berwarna hijau dengan serbuk putih di dalamnya. Perayu kemudiannya telah membuat demonstrasi mencuci duit dengan menggunakan kertas hijau, sampul surat dan air panas. SP1 nampak terdapat 2 keping wang USD100 dan RM100. [11] Perayu telah mengarahkan SP1 untuk menukar USD100 itu di pengurup wang. Hasil tukaran tersebut, SP1 berjaya mendapatkan RM410. Perkara ini dimaklumkan kepada perayu dimana perayu mengatakan jika untuk mencuci wang yang terdapat dalam peti keselamatan itu, dia mahukan wang sebanyak RM600,000 dalam not RM100 untuk dijadikan USD5 juta. Oleh kerana SP1 tiada wang, perayu mengarahkan agar dia meminjam daripada sesiapa. [12] Justeru, SP1 telah memberitahu suami dan kawan-kawannya. Pada masa itu, mereka telah menyedari bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Suami SP1 telah membawanya ke Balai Polis Sri Petaling untuk membuat laporan polis. [13] Pihak polis telah mengarahkan agar SP1 menelefon perayu dengan mengatakan bahawa dia mempunyai RM400,000. Mereka telah bersetuju untuk berjumpa dai Tropicana City Mall. SP1 telah pergi ke Tropicana City Mall dengan membawa beg kelabu tersebut. Dia telah meletakkan kenderaannya di tempat letak kereta di aras B2. [14] Insp Tan Sie Guan (SP2) adalah pegawai serbuan dalam kes ini. Beliau dan pasukannya telah membuat pemerhatian di kawasan letak kereta berdekatan dengan kereta SP1. Beliau nampak perayu menghampiri kereta pengadu dan hendak membuka pintu kereta SP1. Tiba-tiba perayu telah melarikan diri dan dikejar oleh pihak polis sehingga merempuh salah seorang anggota pasukan (Kpl Razlan) sehingga jatuh ke lantai. Perayu juga bertindak agresif, memberontak cuba melepaskan diri dalam pergelutan yang berlaku dengan polis. Dengan gunakan kekerasan yang minimum pasukan polis berjaya menangkap perayu. SP2 juga telah membawa perayu kepada SP1 dan telah disahkan oleh SP1 bahawa perayu adalah Chris yang dia berurusan dengannya selama ini. [15] SP2 telah membuat pemeriksaan tubuh terhadap perayu tetapi tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang, SP2 telah menemubual perayu sama ada menyimpan apa-apa barang salah yang berkaitan dengan kes yang diadu oleh SP1. Perayu memberitahu, bahawa dia boleh membawa SP2 dan polis ke tempat dia menyimpan barang-barang salah. Pemeriksaan terhadap beg silang warna hitam yang dibawa oleh perayu mengandungi kunci kereta, kunci-kunci rumah dan dompet. Perayu juga telah membawa pasukan polis ke tempat letak kereta B2, Hotel Eastin. Sampai sahaja di tempat letak kereta tersebut, SP2 telah bertanyakan perayu dimanakah dia simpan barang salah. Dengan dipandu arah oleh perayu, SP2 dan pasukannya telah pergi ke sebuah kereta warna hitam, Perodua Myvi WRM 1277 (kereta Myvi tersebut). Kemudian perayu telah mengeluarkan kunci kereta dari beg silang hitam dan serahkan kepada SP2. Dengan disaksikan oleh perayu dan saksi polis, SP2 telah menekan kunci tersebut untuk membuka Myvi tersebut. [16] Dengan dipandu arah oleh perayu, SP2 telah ke bahagian pintu hadapan penumpang kereta (sebelah kiri). SP2 telah buka pintu kereta dan jumpa satu plastik hitam di atas karpet lantai kereta itu. SP2 telah bertanya kepada perayu, manakah barang salah itu dan telah ditunjukkan oleh perayu, barang salah itu ada dalam plastik beg hitam. SP2 telah membuat pemeriksaan dan mendapati di dalam beg plastik hitam itu terdapat wang RM100 sebanyak 1189 keping yang disyaki palsu. Wang itu dirampas oleh SP2 dan ditandakan. Wang rampasan ini telah diserahkan kepada pegawai penyiasat iaitu Insp. Hanif Imran Bin Mustafa Fauzi. (SP4) [17] Encik Rozaiman Bin Mansor (SP3), iaitu Pengurus Bahagian Perolehan dan Pemalsuan Mata Wang, Bank Negara Malaysia (BNM) telah memberikan keterangan bahawa beliau telah memeriksa 1189 not RM100 dan mendapati wang kertas tersebut tidak mempunyai ciri keselamatan tulen sepertimana wang kertas yang dikeluarkan oleh BNM dan beliau telah mengesahkan wang tersebut adalah palsu. KES PEMBELAAN [18] Perayu mengatakan dia adalah warganegara Guinea dan seorang pelajar PhD di Terengganu. Oleh kerana dia tidak mempunyai wang untuk membayar yuran pengajiannya, dia telah meminta pertolongan daripada rakan serumahnya bernama Ceasar Bongo, seorang pelajar di HELP. Ceasar mengatakan, untuk mendapatkan wang tersebut, perayu perlu menyerahkan sebuah beg kepada seorang wanita cina iaitu SP1. Ceasar telah memberinya kereta Myvi tersebut dan beg untuk diserahkan kepada SP1. [19] Perayu mengatakan pertama kali dia berjumpa dengan SP1 adalah pada 04.03.2020. Dia juga mengakui ada bercakap melalui telefon 1 atau 2 kali dengan SP1. Pada 05.03.2020, perayu mengatakan, SP1 ingin berjumpa dengannya di Tropicana City Mall dan meminta pertolongan daripadanya terhadap seorang bernama Sukri. SP1 juga memintanya membawa sebuah beg. Pada masa itu SP1 menangis. Perayu mengatakan bahawa dia tidak tahu bagaimana mahu menolong SP1. Perayu telah pergi berjumpa dengan SP1 tanpa mengetahui SP1 telah memanggil polis untuk menangkapnya. Perayu menafikan mengetahui mengapa dia ditangkap. KUASA MAHKAMAH UNTUK CAMPUR TANGAN [20] Undang-undang berkenaan kuasa mahkamah dalam bidang kuasa rayuannya untuk campur tangan berkenaan dapatan fakta hakim bicara adalah nyata dan matan. Mahkamah ini hanya boleh campur tangan sekiranya terdapat kekhilafan atau salah arah diri dari Hakim Bicara dalam menilai dan menentukan keterangan yang material setelah melalui perbicaraan penuh. Saya merujuk kepada kes Mahkamah Persekutuan PP v Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457 yang memutuskan:- "It is settled law that it is no part or function of an appellate Court in criminal case or indeed any case to make its own findings of fact. That is a function exclusively reserved by the law to the trial court. An appellate court necessarily fettered because it lacks the audio-visual advantage enjoyed by the trial court [21] Selanjutnya dalam kes Public Prosecutor v. Wan Razali Kassim [1970] CLJU 121; [1970] 1 LNS 121; [1970] 2 MLJ pula diputuskan: "An appellate court should be slow to interfere with the finding of fact by a lower court as an appellate court does not have the advantage of seeing and hearing the witnesses and therefore of assessing their credibility. [22] Di dalam kes Sivalingam a/l Periasamy v Periasamy & Anor[1996]4 CLJ 545 telah memutuskan berkenaan peranan Mahkamah ini dalam menjalankan bidang kuasa rayuannya seperti berikut: findings of fact arrived at by the Court of first instance to which the law entrusts the primary task of evaluation of the evidence. But we are under a duty to intervene in a case where, as here, the trial Court has so fundamentally misdirected itself, that one may safely say that no reasonable Court which had properly directed itself and asked the correct questions would [23] Berdasarkan kepada kes-kes yang telah diputuskan, dalam menjalankan bidang kuasa rayuannya, Mahkamah ini hendaklah bertindak perlahan dalam mengusik apa-apa dapatan fakta oleh HMS kecuali ia merekodkan dapatan bahawa pandangan yang diambil oleh mahkamah perbicaraan bukan pandangan yang munasabah terhadap keterangan atas rekod. HUJAHAN PERAYU [24] Perayu menghujahkan bahawa HMS telah terkhilaf apabila memutuskan bahawa milikan terhadap wang palsu itu telah dibuktikan, hanya dengan bergantung kepada jumpaan wang palsu di karpet penumpang hadapan kereta Myvi tersebut. Perayu tidak mempertikaikan bahawa dia memang memiliki kunci kereta Myvi tersebut tetapi fakta bahawa perayu berada berhampiran dengan beg berisi wang palsu itu semata-mata atau kawalan sementara ke atas kereta, tidak serta-merta membuktikan pemilikan. Ini adalah kerana, kereta tersebut tidak didaftarkan atas nama perayu dan pendakwaan tidak membuktikan bagamana kereta Myvi itu boleh berada dalam milikan perayu. [25] Perayu menghujahkan kegagalan mengemukakan geran kereta Myvi serta kegagalan memanggil saksi-saksi material bagi membuktikan pemilik kereta Myvi adalah fatal dan menarik inferen yang tidak memihak bawah seksyen 114 (g) Akta Keterangan 1950. Tanpa pemanggilan saksi-saksi material bagi membuktikan siapa pemilik kereta telah menyebabkan persoalan timbul, siapakah yang mempunyai akses terhadap kereta Myvi tersebut. [26] Perayu juga menghujahkan bahawa HMS telah bergantung kepada pengakuan (confession) perayu yang didakwa dibuat semasa dalam tahanan dan dalam jagaan polis, tanpa terlebih dahulu mengikuti langkah berjaga-jaga yang disyaratkan oleh seksyen 24 Akta Keterangan 1950 iaitu, ia mestilah dibuat secara sukarela. Perayu juga menghujahkan tiada keterangan yang menunjukkan bahawa amaran telah diberikan kepada perayu sebelum mendapatkan pengakuan perayu tersebut dimana voir dire adalah perlu dilakukan. Ini menyebabkan pengakuan perayu tidak boleh dterima. Perayu juga menghujahkan HMS telah khilaf apabila beliau bergantung kepada kenyataan dan tindakan perayu yang dikatakan boleh diterima bawah seksyen 27 Akta keterangan 1950. Ini adalah kerana, HMS telah gagal untuk mengenal pasti perkataan tepat perayu, atau membincangkan sama ada maklumat yang diperolehi itu selaras dengan seksyen 27. Perayu bergantung kepada kes Md. Desa v Public Prosecutor [1995] 4 CLJ 677 [27] Perayu juga menghujahkan bahawa intipati penting iaitu pengetahuan-not kertas wang palsu itu, tidak dibuktikan oleh pihak pendakwaan. HMS dikatakan telah terkhilaf apabila membuat kesimpulan bahawa perayu tahu berkenaan wang palsu itu hanya kerana perayu telah menyerahkan kunci kereta Myvi dan menunjukkan dimana kereta dan beg plastik itu berada. Ini mengabaikan perkara utama sama ada perayu menyedari sifat barang-barang yang berada di dalam beg plastik tersebut. Keterangan SP1 berkenaan demonstrasi oleh perayu bagaimana mencuci duit, tidak membuktikan pengetahuan perayu memandangkan ia melibatkan mata wang USD manakala wang palsu dalam beg plastik itu melibatkan mata wang RM. Tiada juga keterangan daripada SP1 yang mengatakan dia akan menerima wang yang banyak daripada perayu. [28] Perayu juga menghujahkan bahawa terdapat keraguan berkenaan identiti barang kes iaitu eksibit P8 A-L (wang palsu) kerana terdapat lompang dalam rantaian barang kes. Perkara ini telah tidak diambil kira oleh HMS. SP2 telah gagal untuk mengira, membuat penandaan dan meletakkan sil kepada wang palsu tersebut apabila rampasan dibuat. Terdapat juga kelengahan yang panjang sebelum sil dibuat apabila ia telah diletakkan dalam kabinet SP4 selama 4 hari. Apatah lagi, terdapat percanggahan berkenaan repot pembetulan (P15) yang dibuat oleh SP2. Menurut SP2, repot itu dibuat selepas pengiraan semula wang palsu tersebut pada 09.03.2020 sebelum wang itu dihantar ke BNM, manakala SP4 pula mengatakan kesilapan pengiraan disedari apabila membuat semakan dengan pagawai BNM. [29] Perayu juga menghujahkan bahawa penyiasatan yang dilakukan oleh SP4 adalah tidak lengkap apabila gagal menyiasat siapakah yang mempunyai akses terhadap kereta Myvi itu. SP4 juga gagal untuk menyiasat telefon yang dirampas daripada perayu dan menghantarnya ke forensik untuk dianalisa bagi menyiasat seorang bernama Ceasar. Disamping itu, keterangan SP1 yang mengatakan terdapat komunikasi antaranya dengan Chris melalui Whatsapp dan terdapat borang berkenaan pengubahan wang haram yang telah diisi olehnya gagal dikemukakan di mahkamah. Ini telah menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan. Malah, pindahan-pindahan wang sehingga RM100,000 yang dikatakan dibuat oleh SP1 gagal disiasat oleh SP4. Justeru, adalah dihujahkan tiada keterangan sokongan terhadap keterangan SP1. [30] Perayu juga menghujahkan identiti Chris tidak dibuktikan oleh pihak pendakwaan. Tiada juga kaitan antara keterangan SP1 dengan pertuduhan yang dihadapi oleh perayu. Pendakwaan dikatakan cuba mengatakan bahawa perayu berniat untuk menggunakan wang palsu itu sebagai tulen, namun keterangan SP1 adalah, Chris telah meminta mata wang Malaysia sebanyak RM600,000 untuk mencuci wang dan bukan perayu yang perlu memberikan wang RM kepada SP1. Justeru, perayu menghujahkan terdapat lompang dalam kes pendakwaan. [31] Perayu juga menghujahkan bahawa HMS telah gagal untuk membatalkan (expunge) keterangan berkaitan pertuduhan kedua dan HMS juga gagal menyatakan atas pertuduhan yang mana satu perayu dipanggil untuk membela diri. Ini telah memprejudiskan perayu. Di samping itu, dapatan HMS bahawa pembelaan perayu adalah penafian semata-mata dan pembelaan yang difikirkan kemudian adalah dihujahkan sebagai salah arah undang-undang HUJAHAN RESPONDEN [32] Responden menghujahkan bahawa kesemua elemen-elemen pertuduhan termasuklah bahawa perayu mempunyai milikan terhadap wang palsu tersebut telah berjaya dibuktikan apabila keterangan yang dikemukakan membuktikan bahawa wang tersebut ditemui dalam sebuah beg plastik hitam di ruang kaki tempat duduk penumpang hadapan kereta Myvi yang terletak di parking Hotel Eastin. Perayu sendiri yang telah memberi tunjuk arah kepada pihak polis di mana terletaknya kereta tersebut. Disamping itu, kunci kereta tersebut juga telah diserahkan oleh perayu kepada SP2 dengan kedudukan wang palsu itu telah dimaklumkan oleh perayu kepada SP2. Pengawalan perayu terhadap kunci kereta tersebut menunjukkan perayu mempunyai penguasaan dan milikan terhadap kereta itu dan milikan terhadap barang di dalam kereta itu. [33] Responden juga menghujahkan bahawa kesemua elemen bawah seksyen 489C KK juga telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan. Oleh kerana kes ini adalah kes pemilikan wang palsu, responden menghujahkan tiada keperluan untuk pihak pendakwaan membuktikan kewujudan Haruki dan seorang perempuan, pembuktikan akaun bank atau telefon yang digunakan. Responden juga menghujahkan bahawa identiti Chris telah dikenalpasti oleh SP1 dengan positif. [34] Responden juga menghujahkan bahawa penerimaan maklumat yang diberikan oleh perayu kepada polis telah diterima oleh HMS bawah seksyen 8 Akta Keterangan 1950. Apatah lagi, pada masa tersebut, kunci kepada kereta Myvi tersebut ada pada perayu. KEPUTUSAN MAHKAMAH [35] Mahkamah telah meneliti rekod rayuan, alasan penghakiman HMS dan hujahan pihak-pihak dan mahkamah memutuskan untuk menolak rayuan perayu. Justeru sabitan dan hukuman terhadap perayu adalah dikekalkan. [36] Di dalam kes ini, adalah jelas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan oleh HMS, adalah bagi kes BA-62K-313-09/2021 bagi pertuduhan pertama. Bagi pertuduhan kedua kes ini, ia telah pun di dibuat perintah oleh HMS terpelajar agar perayu dlepaskan tanpa dibebaskan atas permohonan TPR pada 27.2.2023. Sila rujuk nota keterangan pada muka surat 52 (Rekod Rayuan Jilid 2). Justeru tiada kekeliruan di pihak HMS apabila beliau memanggil perayu membela diri. Ia jelas bermaksud, perayu dipanggil membela diri bagi pertuduhan pertama BA-62K-313-09/2021. Perintah DNAA mahkamah pada 8.8.2023 adalah perintah yang bertindan hasil dari permohonan sekali lagi oleh pihak TPR. Namun demikian, tiada prejudis dipihak perayu kerana dia hadir di sepanjang perbicaraan dijalankan dan diwakili oleh peguam terpelajar dan perintah bahawa pertuduhan kedua telah diDNAA berada dalam rekod prosiding dan dalam pengetahuan peguam dan perayu semenjak 27.2.2023 lagi . [37] Saya juga mendapati sabitan terhadap perayu adalah selamat apabila semua intipati pertuduhan di bawah seksyen 489CKK telah dibuktikan. Intipati yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan bagi pertuduhan bawah seksyen 489C KK adalah seperti berikut:-