When any person accused of any non-bailable offence is arrested or detained without warrant by a police officer or appears or is brought before a Court, he may be released on bail by the officer in charge of the police district or by that Court, but he shall not be so released if there appears reasonable grounds for believing that he has been guilty of an offence punishable with death or imprisonment for life: [9] Selain itu, mahkamah juga merujuk kepada “Mallal Criminal Procedure,” Edisi 4 di mukasurat 551 juga telah menyenaraikan faktor-faktor yang boleh dipertimbangkan dalam membenarkan atau tidak jaminan diberikan oleh mahkamah yang harus dilaksanakan secara budi bicara mahkamah. Antara lain adalah sifat atau keseriusan kesalahan yang dipertuduhkan, sifat atau keadaan keterangan yang menyokong pertuduhan, sebab yang munasabah untuk mempercayai tertuduh melakukan kesalahan tersebut, kemungkinan untuk tertuduh melarikan diri, kemungkinan untuk tertuduh mengulangi kesalahan yang sama dan kemungkinan untuk tertuduh menganggu saksi-saksi pendakwaan. [10] Hujah pihak pendakwaan adalah jelas akan kekhuatiran bahawa OKT berkemungkinan besar akan melarikan diri kerana OKT tidak dapat dikesan oleh pihak Polis selepas kejadian iaitu pada 29/1/2025. OKT hanya berjaya ditangkap pada 17/3/2025. “Kehilangan” OKT selama lebih kurang 1 bulan dan 16 hari selepas dari tarikh kejadian pd 29/1/2025 merupakan isyarat jelas wujud kemungkinan OKT akan melarikan diri selepas dari pertuduhan dikenakan. Persoalannya pada peringkat ini adalah, adakah benar OKT akan melarikan diri? [11] Pada peringkat ini, mahkamah ini bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa kecenderungan OKT melarikan diri adalah wujud dengan pertuduhan yang dikenakan. Walaupun OKT memberi kerjasama kepada pihak Polis ketika siasatan, namun adalah kebarangkalian OKT melarikan diri tetap wujud. [12] Mahkamah ini yang berhadapan dengan pelbagai kes pertuduhan jenayah menyaksikan sendiri bahawa sememangnya wujud trend OKT melarikan diri selepas jamin dibenarkan. Oleh yang demikian, Mahkamah ini melaksanakan inisiatif mengikut undang-undang dengan membuat persoalan ke atas OKT iaitu sama ada OKT ada membuat apa-apa aduan mengenai kemalangan jalanraya seperti di pertuduhan sama ada kepada pihak Polis mahupun pihak insurans. Jawapan yang diberikan oleh peguambela yang terpelajar ialah negatif. Justeru, Mahkamah melihat jawapan tersebut sebagai tidak wujud “kejujuran” walaupun OKT memberi kerjasama kepada pihak Polis semasa siasatan. [13] Malahan, Mahkamah ini mengambil perhatian akan trend yang berlaku di hadapan mata Mahkamah sendiri malahan adalah tidak salah jika Mahkamah mengatakan bahawa trend melarikan diri selepas pertuduhan dikenakan adalah satu bentuk pengiktirafan penghakiman ianya berlaku dan boleh berlaku. Tanpa “kejujuran” OKT yang gagal membuat apa-apa aduan mengenai kemalangan jalanraya seperti di pertuduhan samada kepada pihak Polis mahupun pihak insurans hanya menunjukkan wujudnya kecenderungan OKT melarikan diri. Maka, Mahkamah ini juga tidak dapat menimbangkan alasan-alasan lain OKT yang memohon agar jaminan dibenarkan. [13] Berdasarkan faktor-faktor tersebut, maka mahkamah dengan ini menolak pemberian jaminan kepada OKT kerana berpendirian bahawa keputusan tersebut adalah adil dan wajar. Bertarikh pada 28 haribulan April 2025, ..tt.. (MOHD ZAKI BIN MOHD SALLEH) Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 12 Mahkamah Kuala Lumpur Kaunsel: Bagi pihak OKT – Nishant A/L Thiruchelvam [Tetuan Mishant & Co], Peguambela dan Peguamcara (Klang, SELANGOR), Bagi pihak Pendakwa Raya – TPR Nidzuwan bin Abd Latip [Jabatan Peguam Negara, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur]