Preamble
Menurut SP5, kedudukan motokar beliau adalah di belakang motokar Si Mati pada masa material. Motorsikal-motorsikal itu pula, ada yang cuba hendak memotong motorkar SP5. Ada motorsikal yang cuba hendak memotong motokar Si Mati di sebelah kiri dan ada yang cuba memotong di laluan kanan namun tidak sempat kerana telah berlaku perlanggaran di antara motokar Si Mati dengan motorkar OKT, di mana motorkar OKT telah melulu masuk ke laluan Si Mati lalu menghentam motorkar Si Mati dari arah hadapan. Apabila berlaku perlanggaran di antara motorkar Si Mati dengan motorkar OKT, motorkar telah berpusing terlebih dahulu. Selepas itu, motorsikal-motorsikal yang berada berdekatan dengan motorkar Si Mati kemudiannya menghentam motorkar Si Mati. Keterangan SP5 adalah seperti berikut: Tolong ceritakan satu per satu apa yang berlaku. Pada malam kejadian, saya baru habis meniaga di Klebang, saya hendak hantar satu staf saya di Kampung Lapang. Lepas itu saya melalui jalan dari Klebang Kecil menghala ke Limbongan. Selepas itu, apa yang berlaku, sewaktu saya bawa kenderaan saya, di sepanjang perjalanan itu, saya ternampak ada satu kemalangan berlaku, yang mana satu kereta Nissan berwarna putih, Teana, telah melulu masuk ke arah jalan bertentangan, yang mana kawasan itu berselekoh. Kereta Nissan itu telah menghentak kereta Wira di hadapan kereta saya. Dan apa yang berlaku, kereta Nissan dan Wira itu berpusing. Selepas itu, ada beberapa motorsikal telah melanggar Wira itu, dan apa yang saya nampak motorsikal tersebut terlalu dekat dengan kereta itu, tidak sempat memotong, tapi kereta itu sudah memusing, motorsikal itu telah menghentam Wira. Dan apa yang berlaku selepas itu, saya dan staf saya berhentikan kenderaan dan berlalu ke arah Wira itu untuk membantu mangsa yang tersepit akibat hentaman yang kuat. Apa yang berlaku selepas itu, saya lihat mangsa pemandu sudah tersepit, sukar untuk dikeluarkan, saya bantu keluarkan beberapa ahli keluarga dalam kereta itu. Selepas itu, saya terus ke kenderaan Teana itu, untuk lihat kenderaan mangsa, kereta itu kunci dan mangsa tidak sedarkan diri. Sewaktu saya berada di Nissan Teana itu, saya lihat beberapa orang awam cuba untuk keluarkan mangsa yang ada dalam keadaan pengsan. Sewaktu orang awam keluarkan mangsa Nissan Teana itu, saya lihat pemandu itu dalam keadaan tidak sedar diri, dalam keadaan mabuk. Saya menghidu bau alkohol. Dan sewaktu dikeluarkan, mangsa juga tidak sedarkan diri. Selepas itu saya cuba untuk menghubungi polis, dan selang beberapa minit kemudian, polis hantar pasukan bomba dan berada di tempat kejadian, dan melihat pemandu kereta Wira itu telah meninggal dunia di tempat kejadian. Sebelum kemalangan, kamu nampak motor tersebut? Ya, motor tersebut cuba untuk memotong saya. Selepas itu, motor itu juga ingin memotong Wira di selekoh. Ada beberapa buah motor yang lepas, ada yang ingin memotong di sebelah kiri. Dalam keadaan sama, Nissan Teana masuk ke arah bertentangan, lalu mengakibatkan motorsikal terpelosok di bawah kereta. Ada yang cuba memotong di laluan kanan pun tidak sempat, lalu menghentam di bahagian pintu pemandu Wira tersebut. Seterusnya, pemeriksaan utama SP5 adalah seperti berikut: Kamu cakap pemandu Wira tersepit. Bagaimana keadaan tersepit? Pada malam itu, Wira remuk di bahagian pemandu, bahagian depan sebelah pemandu disebabkan kereta yang memasuki jalan kereta Wira itu sudah hentam. Apa yang saya lihat, Nissan Teana itu laju sehingga pemandu itu tersepit. Apa yang saya lihat, mangsa dalam keadaan tersebit disebabkan hentaman dari sebelah depan, mengakibatkan mangsa tersepit terlebih dahulu, sebelum hentaman seterusnya daripada motorsikal berlaku. Walaupun pembelaan mempertikaikan keterangan SP3 yang mengatakan Si Mati telah tersepit selepas pertembungan dengan motorkar OKT, namun SP5 yang merupakan saksi bebas telah nampak sendiri bahawa Si Mati dalam keadaan tersepit akibat kemalangan tersebut. Saya juga telah meneliti keterangan SP3 ketika diperiksa balas oleh pembelaan, dan saya berpuas hati bahawa SP3 telah menjawab soalan-soalan oleh pihak pembelaan setakat pengetahuan beliau. Oleh itu, tidak ada sebab untuk saya tidak mempercayai versi kemalangan oleh SP3, apatah lagi versi SP3 disokong pula oleh keterangan SP5 yang merupakan seorang saksi bebas. Keterangan SP5 sebagai seorang saksi bebas sebenarnya telah membantu mahkamah untuk membuat suatu dapatan bahawa OKT telah melakukan pemanduan berbahaya. Keterangan SP5 adalah amat jelas, dan tidak dapat digoyahkan ketika pemeriksaan balas, dan ini menjadikan SP5 sebagai seorang saksi yang amat credible. Oleh sebab itu, saya menerima keterangan SP3 yang disokong oleh SP5. Keterangan SP3 dan SP5 berkenaan bagaimana kemalangan berlaku adalah memuaskan dan jelas menunjukkan bahawa OKT telah memandu secara berbahaya dan melulu. Seterusnya, bagi tujuan membuktikan kecuaian pemanduan OKT, pendakwaan telah memanggil SP6, iaitu salah seorang penunggang motorsikal pada waktu material. Diakui laporan polis yang dibuat oleh SP6 iaitu P8 adalah sedikit berbeza dengan keterangan SP6 di mahkamah. P8 menyatakan motorkar si mati berpusing dahulu baru melanggar motorsikal SP6. Namun ketika memberi keterangan, SP6 mengatakan motorkar Si Mati ke belakang dahulu akibat perlanggaran dengan motorkar OKT lalu terkena motorsikal SP6 dan motorkar kemudiannya berpusing. SP6 menyatakan keterangan di mahkamah adalah apa yang sebenarnya berlaku. Selain itu, terdapat percanggahan di antara versi SP5 dan SP6. SP6 menyatakan tidak pasti beliau ada memotong suatu kereta sebelum berlanggar dengan motorkar Si Mati. Selain itu, SP6 menafikan ada melanggar pintu pemandu motorkar Si Mati, sebaliknya, SP6 langgar bahagian bumper belakang motorkar Si Mati. SP6 juga menafikan ada bawa motorsikal dengan laju. SP7 yang juga merupakan salah seorang penunggang motorsikal pada waktu kejadian dipanggil memberi keterangan. SP7 menyatakan beliau rasa tidak ada kenderaan lain di belakang motorkar Si Mati. SP7 menyatakan tidak pasti ada memotong suatu kenderaan lain, namun tidak setuju dengan cadangan peguam yang menyatakan SP7 menjawab tidak pasti sebab SP7 tahu SP7 telah memotong kenderan tersebut di tempat yang tidak dibenarkan untuk berbuat demikian. SP7 mengakui melanggar bahagian pemandu motorkar Si Mati. Banyak soalan peguam dijawab “tidak pasti”. Apa yang dapat disimpulkan daripada keterangan SP7 adalah, SP6, SP7 dan SP8 ada melanggar motorkar Si Mati. SP7 cuba brek tapi motorkar Si Mati berpusing dan perlanggaran akhirnya tetap berlaku jua. SP7 tidak pasti sekiranya terdapat motorsikal lain yang turut melanggar motorkar Si Mati. Seterusnya, mahkamah meneliti keterangan SP8. SP8 tidak pasti ada kewujudan kenderaan motorkar lain selain motorkar Si Mati. SP8 menafikan ada melanggar di bahagian penumpang motorkar Si Mati. SP8 tidak pasti bagaimana motorsikalnya boleh berada di bawah motorkar Si Mati. Saya tidak cenderung untuk mempercayai sepenuhnya keterangan-keterangan SP6, SP7, dan SP8. Keterangan mereka kelihatan seolah-olah ingin “menyelamatkan” diri masing-masing. Memandangkan terdapat percanggahan cerita di antara mereka, maka adalah lebih selamat untuk saya tidak menerima sepenuhnya keterangan SP6, SP7 dan SP8. Keterangan SP5 lebih jelas berbanding keterangan SP6, SP7 dan SP8. Namun begitu, keterangan SP6, SP7 dan SP8 telah mengesahkan bahawa kemalangan di antara motorkar Si Mati dan motorkar OKT sememangnya berlaku di mana OKT telah memasuki laluan sah Si Mati. b) Pendakwaan tiada saksi yang boleh mengesahkan kelajuan sebenar motorkar OKT Pembelaan menghujahkan bahawa sekiranya betul sekalipun OKT memandu laju, saksi-saksi mata tidak dapat mengesahkan berapa kelajuan sebenar motorkar yang dipandu oleh OKT kerana keadaan jalan selekoh berbentuk “S” dan mereka tidak berada di belakang motorkar OKT. Oleh itu tiada saksi pendakwaan yang boleh memberikan keterangan sebenar kelajuan OKT. Saya percaya dalam suatu kes kemalangan, sememangnya tidak pernah berlaku wujudnya pakar atau pihak yang boleh mengesahkan kelajuan sebenar motorkar yang dipandu oleh seseorang. Sama ada sesuatu kenderaan itu laju atau tidak, ia boleh dinilai menerusi kesan kerosakan yang berlaku pada kenderaan-kenderaan yang terlibat, dan juga dengan merujuk kepada keterangan saksi-saksi yang menyaksikan sendiri kelajuan sesuatu kenderaan itu bergerak. Keterangan SP5 yang dirujuk tadi telah menyatakan bahawa motorkar OKT dipandu dengan laju sehingga membuatkan Si Mati tersepit. Selain itu, SP5 juga menegaskan lagi tentang kenyataan OKT memandu dengan laju menerusi pemeriksaan semula. Keterangan SP5 dirujuk: Yang kamu nampak, impak kemalangan antara apa dengan apa? Kereta dengan kereta sebab kereta yang menuju ke Wira tu, bukan bawa biasa sahaja, tapi dalam keadaan laju juga. Selain itu, saya merujuk kepada exhibit P1, gambar 7 dan 8. Melihat kepada tahap kerosakan dan kehancuran motorkar Si Mati di bahagian hadapan dan pintu pemandu, ia jelas akibat hentaman suatu kenderaan yang solid, yang dipandu dengan laju, seperti mana disaksikan sendiri oleh SP3 dan SP5. Saya juga merujuk kepada P12 iaitu laporan Puspakom bagi motorkar Si Mati di mana SP9 menyatakan motorkar Si Mati tidak dapat diuji kerana keseluruhan kenderaan remuk teruk keseluruhan. Seterusnya, peguam mencadangkan bahawa sewaktu motorkar OKT terbabas masuk ke laluan sah Si Mati, motorkar OKT seolah-olah hilang kawalan, cadangan ini dipersetujui oleh SP5. SP5 bersetuju kerana motorkar OKT dalam keadaan laju telah melulu masuk ke laluan Si Mati. Oleh itu, tanpa ada saksi yang dapat mengesahkan kelajuan sebenar OKT sekali pun, saya berpuas hati dengan keterangan SP3 dan SP5 serta dokumen-dokumen sokongan yang dikemukakan yang jelas menunjukkan bahawa OKT memandu dengan laju dan memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian Si Mati. c) Tayar dan rim motorkar OKT telah pecah sebelum kemalangan lagi. Oleh sebab itu motorkar OKT hilang kawalan dan masuk ke laluan Si Mati dan merempuh motorkar Si Mati Saya bersetuju dengan hujahan pembelaan bahawa tidak ada mana-mana saksi pendakwaan yang boleh mengesahkan sama ada tayar motorkar OKT itu pecah sebelum atau selepas kemalangan. Untuk mengukuhkan pembelaan OKT bahawa terdapat kemungkinan tayar motorkar OKT telah pecah sebelum kemalangan, pembelaan telah mengajukan soalan-soalan berikut kepada SP9 (Pegawai Puspakom): Soalan saya, sekiranya tayar pecah di kanan, sewaktu melalui selekoh. Setuju kereta boleh hilang kawalan? Setuju. Mana-mana orang pun akan hilang kawalan. Setuju? Setuju. Seseorang akan hilang kawalan lagi teruk sekiranya rim dia pun pecah juga. Setuju? Setuju. Namun begitu, adakah SP9 mempunyai kepakaran untuk memberi pendapat sedemikian? Ini kerana peranan Puspakom adalah untuk menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan. Pegawai Puspakom bukan saksi pakar berkaitan kejuruteraan automatif dan kenderaan yang mampu menjawab secara teori dan teknikal berkenaan isu kesan tayar pecah. Oleh sebab itu juga, apabila peguam bertanya kepada SP9 seperti soalan di bawah ini, SP9 tidak mampu memberi jawapan yang dapat membantu mahkamah. Keterangan SP9 ketika pemeriksaan balas dirujuk: Untuk lagi spesifik, saya lalu selekoh ke kiri, tayar saya pecah kanan, pecah rim, dan saya hilang kawalan, dan boleh saya ke kanan. Setuju? Secara teori. Tidak pasti Namun begitu, walaupun tidak ada mana-mana saksi pendakwaan yang boleh mengesahkan bahawa tayar dan rim tayar motorkar OKT telah pecah sebelum kemalangan, saya tidak bersama-sama dengan pihak pembelaan apabila pihak pembelaan menghujahkan bahawa tayar dan rim motorkar OKT yang pecah itulah yang merupakan “intervening cause” yang membuatkan OKT gagal mengawal motorkarnya sehingga mengakibatkan kemalangan dan kematian. Gambar tempat kemalangan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan dirujuk, iaitu D7: Sekiranya benar tayar dan rim OKT telah pecah sebelum kemalangan berlaku, dengan mengambil kira keadaan jalan yang berselekoh “S”, di mana pembelaan menghujahkan bahawa sekiranya OKT memandu laju, sudah pasti OKT tidak sempat melepasi selekoh S dan terus masuk ke laluan bertentangan; menurut pembelaan, OKT telah pun berjaya memperlahankan motorkarnya bagi tujuan melepasi selekoh bagi memasuki kawasan lurus jalan tersebut – sekiranya benar inilah yang berlaku, kenapa motorkar OKT masih laju walaupun melepasi jalan berbentuk selekoh? Bukankah apabila tayar sudah pecah, rim sudah pecah, kenderaan yang dikatakan tidak dipandu laju itu sepatutnya menjadi lebih berat? Walaupun OKT mungkin akan mengalami kesukaran mengawal motorkarnya, namun jika OKT memandu dengan perlahan seperti yang beliau nyatakan, dengan keadaan tayar dan rim pecah, OKT tidak akan merempuh motorkar Si Mati sehingga mengakibatkan kematian. Jawapan yang paling munasabah adalah disebabkan kadar alkohol yang begitu tinggi di dalam darah iaitu melebihi had yang ditetapkan undang-undang, OKT telah gagal mengawal motorkar OKT. Jika benar tayar pecah dan rim pecah sebelum kemalangan sekalipun, jika OKT tidak mempunyai kadar alkohol yang begitu tinggi di dalam darah iaitu melebihi had yang ditetapkan undang-undang, OKT masih mampu untuk mengawal motorkarnya, apatah lagi OKT sendiri mengakui tidak memandu laju. Namun, fakta yang dibentangkan di mahkamah ini adalah, saksi-saksi nampak motorkar OKT bergerak laju. Oleh itu sukar untuk saya mempercayai motorkar yang dalam keadaan rim dan tayar pecah boleh bergerak begitu laju sehingga mengakibatkan suatu rempuhan yang amat dahsyat lalu mengakibatkan kematian Si Mati. Setelah saya menilai keterangan saksi-saksi secara maksimum dan menyeluruh berserta exhibit-exhibit yang dikemukakan, saya berpuas hati bahawa terdapat sebegitu banyak kandungan alkohol dalam badan OKT melebihi had yang ditetapkan undang-undang dan pemanduan OKT telah menjadi punca kematian Si Mati. d) Kegagalan SP13 menyiasat tentang kesemua point of impact kenderaan yang terlibat dalam kes ini. Selain itu juga, pembelaan telah menyatakan terdapatnya “intervening cause” yang lain iaitu terdapat kemungkinan bahawa punca kematian Si Mati adalah juga disebabkan oleh impak daripada perlanggaran berkali-kali di bahagian kanan motorkar Si Mati oleh motorsikal yang terlibat, khususnya motorsikal SP7. Saya tidak bersama-sama pembelaan berkenaan isu ini kerana SP3 dan SP5 (terutamanya SP5) telah jelas menyatakan bahawa perlanggaran pertama adalah di antara motorkar OKT dengan motorkar Si Mati. Motorkar OKT bergerak dengan laju secara tiba-tiba masuk ke laluan sah Si Mati dari arah hadapan lalu merempuh motorkar Si Mati di bahagian pemandu. Akibatnya, Si Mati telah tersepit dan kemudiannya meninggal dunia di tempat kejadian. Setelah motorkar OKT berlanggar dengan motorkar Si Mati, motorkar Si Mati berpusing lalu berlaku perlanggaran pula dengan motorsikal-motorsikal yang berada berdekatan dengan motorkar Si Mati. Keterangan SP5 sewaktu pemeriksaan balas dirujuk: Kamu tidak tahu apa kesan impak pertama pelanggaran Nissan dan Wira tersebut? Saya lihat. Kamu nampaklah daripada kenderaan kamu, apa jadi pada pemandu itu? Yang saya perasan, perlanggaran pertama itu kereta, dan kereta berlaku dalam keadaan kuat, sehingga menyebabkan mangsa tersepit selepas itu baru motorsikal. Jarak masa antara pelanggaran pertama dan kedua itu? Dua hingga tiga saat. Seterusnya, SP5 disoal lagi berkenaan isu perlanggaran antara motorsikal-motorsikal dengan motorkar Si Mati pada sesi pemeriksaan balas yang disambung semula pada 7 September 2022. Rempuhan kedua ini jelas di hadapan mata kamu sendiri? Setuju. Saya katakan, dengan lima hingga enam biji motor dengan kelajuan 40 km/j, menyebabkan rempuhan yang dahsyat kepada pintu kereta Proton Wira itu? Tidak setuju. Setuju motor-motor dialihkan untuk menunjukkan hanya Teana dan Wira sahaja? Tidak. Motor-motor tu sepatutnya berada di tepi pintu kereta lah? Setuju. Bila dialihkan motor-motor ini, nampaklah kereta dengan kereta sahaja? Setuju. Saya juga merujuk kepada laporan post mortem iaitu exhibit P5 yang disediakan oleh SP4. Doktor cakap ada kecederaan C1-T8 itu tertolak ke belakang. Bagaimana kecederaan ini boleh berlaku? Berdasarkan sejarah yang saya dapati pada awalnya, ada perlanggaran kenderaan, juga berdasarkan pemeriksaan luaran yang ada banyak kecederaan, kecederaan ini boleh berlaku akibat daripada pergerakan yang dinamik, iaitu pergerakan yang terhenti secara mendadak dan juga kemungkinan pergerakan mangsa sewaktu kejadian berlaku. Ia juga boleh diakibatkan daripada hentakan yang kuat sewaktu kejadian. Keterangan SP4 ketika pemeriksaan semula dirujuk: Boleh Doktor jelaskan tentang kemungkinan-kemungkinan itu? Kecederaan boleh berlaku disebabkan hentakan dan berhenti secara mengejut. Itu lebih focus kepada kecederaan utama yang menyebabkan kematian. Namun tidak dinafikan banyak perkara boleh berlaku, pergeseran boleh berlaku, dan terkena pada objek-objek tumpul atau tajam dalam kereta, dan ada pelbagai lagi kemungkinan yang boleh berlaku yang tidak dapat dinyatakan secara spesifik. Soalan terakhir. Doktor setuju impak di sebalah kanan? Secara kesimpulannya, kematian atau sebab utama si mati mati kenapa? Disebabkan apa? Sebab utama ialah kecederaan di bahagian leher yang menyebabkan otak dan saraf tunjang terputus secara total. Untuk makluman mahkamah, itu bahagian yang kawal sistem pernafasan dan jantung. Jika bahagian itu terputus, maka jantung terhenti dan pernafasan terhenti dan ini menyebabkan kematian serta-merta kepada mangsa. Keterangan SP4 telah mengesahkan bahawa sebab utama adalah kecederaan di bahagian leher yang menyebabkan otak dan saraf tunjang terputus secara total dan mengakibatkan kematian serta-merta. Selain itu SP4 juga bersetuju impak semestinya di sebelah kanan. Keterangan SP4 ini selari dengan keterangan SP5 khususnya yang menyatakan pertembungan antara motorkar OKT dan motorkar Si Mati adalah di tulang tengah pintu pemandu, lalu Si Mati tersepit. Untuk menyatakan perlanggaran dengan motorsikal-motorsikal bersaiz kecil itu menjadi “intervening cause” yang menyumbang kepada kematian Si Mati adalah tidak tepat kerana C1-T8 yang tertolak ke belakang, saraf tunjang yang terputus secara total adalah lebih berkemungkinan disebabkan oleh pergerakan yang terhenti secara mendadak dan hentakan yang kuat sewaktu kejadian. Hentakan yang kuat itu sudah semestinya merujuk kepada suatu kenderaan yang solid seperti motorkar jenis Nissan Teana yang dipandu OKT, dan bukanlah motorsikal-motorsikal bersaiz kecil yang terlibat dalam kemalangan ini. Pembelaan telah menghujahkan bahawa siasatan SP13 tidak menyeluruh. Ini kerana SP13 gagal menyiasat tentang kesemua point of impact kenderaan yang terlibat dalam kes ini, iaitu termasuklah point of impact antara motorkar Si Mati dengan motorsikal-motorsikal yang terlibat. Akibat daripada siasatan SP13 yang dikatakan tidak menyeluruh ini, ia telah gagal menyisihkan kemungkinan terdapat kebarangkalian bahawa perlanggaran antara motorsikal-motorsikal dengan motorkar Si Mati itu turut menjadi punca perlanggaran sehingga mengakibatkan kematian Si Mati. Seperti yang telah dinyatakan dalam dapatan saya sebelum ini, saya telah meneliti keterangan SP3 dan SP5, dan saya berpuas hati dengan versi kemalangan oleh mereka. SP5 telah menjelaskan secara terperinci bahawa motorsikal-motorsikal itu hanya melanggar motorkar Si Mati setelah motorkar Si Mati berpusing akibat daripada perlanggaran dengan motorkar OKT. Selain itu, saya merujuk kepada keterangan SP13 yang menjelaskan tentang hasil siasatan beliau berkenaan point of impact ini: Peguam ada cadangkan bahawa sebenarnya kerosakan di bahagian pemandu adalah disebabkan perlanggaran yang disebabkan oleh motorsikal-motorsikal. Insp tidak setuju. Peguam juga tanyakan lagi, memandangkan perlanggaran antara Wira dan Nissan hanya berlaku sekali di bahagian hadapan, tetapi kerosakan teruk di bahagian pemandu Wira, jadi sebenarnya kerosakan di bahagian pemandu Wira ini adalah disebabkan perlanggaran yang dibuat oleh motorsikal, Insp tidak setuju. Apa penjelasan Insp? Saya tidak setuju sebab hasil siasatan saya, pelanggaran yang sangat kuat antara Nissan itu, kereta OKT dan kereta si mati. Perlanggaran yang cukup kuat menyebabkan kerosakan Wira ini teruk seperti dalam gambar. Akibat perlanggaran ini, menyebabkan pemandu, si mati, tersepit di antara stering dengan kerusi pemandu. Yang menyebabkan pemandu itu mati. Peguam cakap Insp tidak boleh tolak kemungkinan bahawa kerosakan pada Wira adalah disebabkan perlanggaran dengan motorsikal. Insp tidak setuju. Jelaskan. Saya tidak bersetuju sebabkan perlanggaran antara Wira dan kereta OKT ini dah menyebabkan kematian kepada si mati. Berkenaan soalan peguam tentang impak paling besar, peguam cadangkan impak paling besar adalah di bahagian pemandu. Insp jawab bahagian hadapan pemandu. Peguam juga cadangkan Insp tidak focus kepada tiga perlanggaran lain yang berlaku selepas itu. Insp jawab Insp focus punca utama kemalangan berlaku dan tidak setuju siasatan tidak dijalankan secara menyeluruh. Insp tidak setuju. Kenapa? Siasatan saya mendapati kedua-dua motorcar berlanggar dengan kuat. So impak pada kesan perlanggaran itu membuatkan kereta itu jadi remuk teruk macam ni, motor yang datang itu, motor itu bukan melanggar, dia orang mengelak. Tapi siasatan saya mendapati Wira ini yang melibas motor itu. Insp jawab kedua-dua motorkar belanggar dengan kuat? Betul. Kesan perlanggaran buat kereta remuk macam dalam gambar. Betul. Motorsikal itu? Selalunya bila terlibat dalam kemalangan, motorsikal cuba mengelak. Bila mengelak tidak akan ada rempuhan kuat macam ini. Kalau motorsikal rempuh, saya percaya penunggang motorsikal akan terpelanting di sebelah Wira itu. Peguam mencadangkan sebenarnya motorsikal itu tidak sempat elak sebab mereka bawa laju. Insp tidak setuju. Dan peguam cadangkan jika motorsikal itu dipandu secara perlahan, dan berada dalam keadaan jauh dari Wira, sepatutnya dapat elak dari Wira. Insp jawab tidak faham. Apa yang Insp tidak dapat jelaskan? Sebab pada saya, siasatan saya macam ni. Motor tengah bergerak, kereta pun gerak di depan. Secara tiba-tiba kereta pusing, patah balik ke belakang. Bukan disebabkan motor bawa laju dia tidak dapat elak. Sebabnya bila Wira ini berpusing, motorsikal itu sendiri tidak tahu ke mana arah kereta itu nak pergi sebab tu dia orang tak dapat nak elak, bukan sebab dia orang itu bawa laju. Sebab Wira itu berpusing, bila dia berpusing itu, motorsikal ini saya percaya dia orang tidak dapat elak bukan sebab bawa laju, disebabkan dia orang tidak tahu Wira itu arah dia ke mana. Seterusnya, SP13 menjelaskan lagi berkenaan isu point of impact: Berkenaan point of impact. Peguam mencadangkan bahawa dalam kes ini, sekurang-kurangnya ada empat perlanggaran, dengan Nissan, dengan motorsikal MCW 4730, dengan motorsikal JPG 6380, dan motorsikal MAB