Sama ada wujud pembelaan bernilai (meritorious defence). Isu 1: Penyampaian Writ Plaintif melalui Afidavit Penyampaian serta eksibit bergambar menunjukkan bahawa Writ dan Pernyataan Tuntutan telah diserahkan di premis perniagaan Defendan. Defendan menafikan pernah menerima dokumen tersebut dan mendakwa tandatangan pada akuan penerimaan bertarikh 25.11.2023 adalah palsu. Dalam hujahan, Defendan merujuk seksyen 73(1) Akta Keterangan 1950, iaitu peruntukan yang membolehkan Mahkamah membuat perbandingan tandatangan dengan contoh yang diakui tulen. Defendan berhujah bahawa tandatangan yang dikemukakan oleh Plaintif tidak menyerupai tandatangan sebenar Defendan, justeru serahan didakwa tidak sah. Mahkamah mengambil maklum hujahan ini. Memang benar Mahkamah mempunyai kuasa di bawah seksyen 73 Akta Keterangan 1950 untuk membuat perbandingan visual. Prinsip ini telah dihuraikan dalam kes Astana International Sdn Bhd & Ors v RHB Bank Bhd & Ors [2012] 3 MLJ 758, di mana Mahkamah membuat perbandingan specimen signatures dengan tandatangan yang dipertikai, disokong dengan laporan pakar grafologi, dan akhirnya mendapati wujud unsur forgery. Kes tersebut menunjukkan bahawa walaupun Mahkamah boleh membuat perbandingan visual, pembuktian forgery lazimnya perlu diperkukuh dengan specimen signatures dan laporan pakar. S/N fVNodSiJkuHmlNqFOqAfw Namun, dalam kes ini, Defendan tidak mengemukakan sebarang specimen signatures, laporan pakar grafologi atau bukti dokumentar lain. Penafian semata-mata tanpa bukti sokongan tidak mencukupi untuk menafikan kesahihan Afidavit Penyampaian. Prinsip ini selari dengan keputusan dalam Fredolin Penggo v Mohd Rizal Abdullah @ Raymund B Godfrey [2020] MLJU 1097, di mana Mahkamah menegaskan bahawa Afidavit Penyampaian yang disokong dengan bukti bergambar adalah keterangan prima facie yang sah, manakala bare denial tidak memadai untuk menimbulkan keraguan terhadap serahan. Selain itu, Mahkamah juga meneliti keputusan dalam kes Penghuni-Penghuni Lain Yang Menduduki Hartanah di bawah Unit No. A-22-09, Blok A, Metropolitan Square, No. 2 Jalan PJU 8/1, Bandar Damansara Perdana, 47820 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan v Public Bank Bhd [2023] MLJU 269. Dalam kes itu, penghuni mendakwa mereka tidak menerima notis serahan kosong selepas lelongan awam. Plaintif membuktikan bahawa notis telah dihantar melalui AR Registered Post bersama sijil pengeposan. Mahkamah menegaskan bahawa di bawah seksyen 12 Akta Tafsiran 1948 dan 1967, wujud presumption of service apabila dokumen dihantar melalui pos berdaftar. Oleh itu, penafian kosong oleh penghuni bahawa mereka tidak menerima notis tidak memadai untuk menimbulkan isu boleh bicara. Kes ini mengajar bahawa undang-undang mengiktiraf mekanisme presumption: apabila Plaintif telah menunjukkan bukti serahan secara sah (sama ada melalui Afidavit Penyampaian, bukti bergambar, atau sijil pengeposan), beban beralih kepada pihak yang menafikan untuk membawa bukti kukuh bagi menolak presumption tersebut. Jika tiada bukti tambahan dikemukakan, bare denial adalah tidak mencukupi. S/N fVNodSiJkuHmlNqFOqAfw Sehubungan itu, Mahkamah berpendapat Afidavit Penyampaian yang dikemukakan oleh Plaintif adalah sahih dan meyakinkan, manakala penafian Defendan tidak mempunyai asas probatif. Dengan itu, Mahkamah berpuas hati bahawa penyampaian Writ dan Pernyataan Tuntutan telah dilakukan dengan sah menurut Aturan 10 Kaedah 1(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Isu 2: Kelewatan Penghakiman Ingkar Kehadiran telah diperoleh pada 20.12.2023. Namun, Defendan hanya memfailkan permohonan untuk mengetepikan pada 20.2.2025, iaitu selepas lebih kurang 14 bulan. Tempoh kelewatan ini adalah amat ketara. Aturan 42 Kaedah 13 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 memperuntukkan bahawa permohonan untuk mengetepikan penghakiman hendaklah difailkan dalam masa 30 hari daripada tarikh pemohon menerima penghakiman tersebut. Jika difailkan di luar tempoh, pemohon wajib terlebih dahulu memohon lanjutan masa di bawah Aturan 3