Schedule
Jadual 1 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Permohonan adalah untuk mendapatkan larangan dan/atau relief pengisytiharan; Dan Dalam perkara mengenai Seksyen 76 dan 78 Kanun Tanah Negara 1965; Dan Dalam perkara mengenai dengan Seksyen 44 dan 45 Akta Relief Spesifik 1950 ANTARA LEE YAU PENG (No. K/P: 810607-01-5327) …PEMOHON DAN 1. PENGARAH TANAH DAN GALIAN, JOHOR 2. PENTADBIR TANAH DAERAH JOHOR BAHRU 3. KERAJAAN NEGERI JOHOR …RESPONDEN-RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN (Lampiran 5) 1. Ini adalah permohonan Pemohon untuk membatalkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor Ringkasan Mesyuarat Bil. RM48/2017 bertarikh 4.1.2017 yang memutuskan tanah Lot 44952 dikurniakan sebagai Tanah Simpanan Melayu. 2. Permohonan Pemohon untuk tanah dikurniakan kepadanya atas namanya telah dibuat pada 19.3.2009 melalui Borang Jadual 1 Peraturan 2 untuk Permohonan Tanah Kerajaan, Peraturan-Peraturan Tanah Johor 1966 di ekshibit “LYP-3” (lihat lampiran 6 afidavit sokongan di muka surat 26 pdf). 3. Terdapat catatan oleh Pejabat Tanah Daerah Johor di ekshibit “LYP-3” ini seperti berikut: “Tanah kerajaan di kg Baru Masai. Telah ada permohonan awal (2 patah perkataan bertulis tidak dapat dipastikan) dalam fail (K)/61/77. Permohonan awal mencadangkan tapak dijadikan Rizab Melayu, tiada keputusan sehingga kini.” 4. Pada 12.12.2020, Pemohon telah menerima Notis Pengosongan Tanah tersebut daripada Tetuan Azam Aziz & Co yang mewakili tuan tanah/pemilik tanah tersebut iaitu Mohd Hatta bin Hamzah. 5. Pemohon memasukkan kaveat persendirian atas Lot44952 pada 20.1.2021. Satu carian tanah dibuat oleh Pemohon pada 17.3.2021 dan didapati satu kaveat Pendaftar telah didaftarkan di atas tanah tersebut. 6. Carian kaveat Pendaftar mendapati Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor melalui Ringkasan Meyuarat bertarikh 4.1.2017 telah memutuskan untuk merizabkan Lot44952 ini sebagai Tanah Rizab Melayu. 7. Pemohon dimaklumkan oleh Responden 2 pada 18.11.2024 bahawa permohonan kurniaan tanah tersebut telah ditolak. Pemohon mencabar keputusan Mesyuarat Kerajaan Johor ini atas alasan-alasan berikut: i. Menurut Pemohon, Pemohon dan keluarga telah menetap dan menduduki atas tanah ini iaitu suatu kampung cina, yang dikenali sebagai HSD 588785 Lot 44952 yang diberikan alamat No.19, Jalan Sungai Masai, Masai, Johor sejak dari tahun 1980 sehinggalah tarikh permohonan ini difailkan; ii. Malahan menurut Pemohon lagi, sekitar tahun 1990an, tasik yang terletak di hadapan rumah telah diratakan dengan batu bata atas persetujuan bersama jiran berbangsa cina untuk memastikan keselamatan tetangga; iii. Ruang tanah bekas tasik ini menjadi tanah kosong dan merupakan satu-satunya penyambung rumah-rumah Pemohon dan jiran tetangga juga bangsa Cina, kepada jalan raya utama; iv. Pemohon dan keluarga serta jiran membelanja masa dan kos untuk menaik taraf/memperbaiki Lot 44952 supaya kebersihan terjaga dan keselamatan terjamin. 8. Permohonan untuk Kebenaran Mengeluarkan Semakan Kehakiman ini telah diserahkan kepada Peguam Negara selain serahan ke atas Responden. Ini menurut A. 53, k.3(3) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 yang memperuntukkan seperti berikut: “(3) The applicant must give notice of the application for leave not later than three days before the hearing date to the Attorney General’s Chambers and must at the same time lodge in those Chambers copies of the statement and affidavits.” 9. Kuasa Peguam Negara untuk hadir telah diiktiraf melalui keputusan Mahkamah atasan (lihat kes: Messrs Tai Choi Yu & Co, Advocates (suing as firm and Tai Choi Yu as sole propreitor) v Arifin bin Zakaria & Anor [2020] 5MLJ 207, Kanagi a/l Seperumaniam v Dato’ Abdul Hamid bin Mohamad [2004] 5MLJ 495, Peguam Negara Malaysia v Nurul Izzah bt Anwar & Ors [2017] 4MLJ 656). 10. Tujuan kehadiran Peguam Negara ialah sebagai penjaga kepentingan awam. Ini berkait daripada pemakaian dan pelaksanaan undang-undang awam oleh badan awam, yang melahirkan aspek kepentingan awam ini (lihat: Messrs Tai Choi Yu & Co (supra). 11. Peguam Negara telah membangkitkan bantahan awal atas permohonan Kebenaran Semakan Kehakiman ini atas alasan ia difailkan di luar had masa yang dibenarkan oleh undang-undang. Ini sebagaimana yang diperuntukkan oleh A. 53, k. 3(6) KKM 2012 yang memperuntukkan seperti berikut: “(6) An application for judicial review shall be made promptly and in any event within three months form the date when the grounds of application first arose or when the decision is first communicated to the applicant.” Dapatan Mahkamah 12. Permohonan Kebenaran Mengeluarkan Semakan Kehakiman lampiran 1 difailkan pada 15.2.2025 tetapi Permohonan Terpinda lampiran 5 yang terkini (dengan memasukkan D3 Kerajaan Negeri Johor) ini difailkan pada 25.2.2025. 13. Daripada fakta-fakta yang dideposkan oleh Pemohon, ternyata permohonan ini difailkan melebihi tempoh 3 bulan daripada atarikh keputusan yang ingin dicabar dan dipertikaikan oleh Pemohon sampai kepada pengetahuan. Tarikh penting ini ialah tarikh 18.11.2024 dan kiraan 3 bulan sepatutnya Permohonan Memulakan Semakan Kehakiman perlulah difailkan pada 19.2.2025. 14. Ini adalah kerana keputusan yang ingin dicabar ialah keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor, manakala permohonan awal lampiran 1 yang menamakan Pengarah Tanah dan Galian serta Pentadbir Tanah Daerah masing-masing sebagai D1 dan D2 hanyalah pelaksana. 15. Menamakan Kerajaan Negeri Johor sebagai D3 adalah selari dengan permohonan Pemohon untuk membatalkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor dan ini hanya dibuat pada 25.2.2025. 16. Selain daripada itu, lampiran 5 juga memohon relief untuk mencabar pengurniaan lot tanah ini kepada Mohd Hatta bin Hamzah. Ini telahpun diketahui oleh Pemohon ketika notis pengosongan diterima sdan carian tanah dibuat pada ekitar Disember 2020 dan Jnauari 2021, apabila mendapati nama Mohd Hatta didaftarkan. 17. Sebagai tambahan, Mahkamah ini juga bersetuju dengan hujahan Peguam Negara bahawa pemohon tiada lokus untuk membuat permohonan ini kerana tanah ini belum diberi milik atau kurniaan kepada sesiapa. 18. Oleh itu, Pemohon tiada asas untuk menyatakan keputusan oleh Responden merizabkan lot ini sebagai Rizab Melayu dan mengurniakannya kepada Mohd Hatta adalah salah. Sebaliknya, Pemohon telah menceroboh tanah kerajaan negeri ini. 19. Atas alasan ini, Mahkamah memutuskan untuk menolak lampiran 5 kerana difailkan di luar tempoh yang dibenarkan. (NURULHUDA NUR’AINI BINTI MOHAMAD NOR) HAKIM MAHKAMAH TINGGI MALAYA JOHOR BAHRU Bertarikh 9 Jun 2025 Peguam pihak Pemohon : Saw Mei Kee Tetuan Teo, Saw & Partners Peguam pihak Responden : Suhana Binti Sabil Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor