SKY IALAH PENGEDAR DADAH SEBENAR (Radhi Direction) [36] Peguam Perayu Pertama juga menghujahkan Sky adalah pengedar sebenar dadah yang dijumpai dalam bungkusan- bungkusan yang diikat pada kedua-dua peha dan betis Perayu Pertama semasa ditahan oleh pihak kastam di balai perlepasan antarabangsa Aras 3, KLIA2 pada 30.11.2018 jam lebih kurang 11.50 malam. Peguam Perayu Pertama menghujahkan prinsip undang-undang dalam kes Mohamad Radhi bin Yaakob v PP [1991] 3 MLJ 169 adalah terpakai. [37] Kami tidak bersetuju dengan hujahan peguam Perayu Pertama. Kewujudan Sky gagal dibuktikan oleh Perayu Pertama. Selain itu, Perayu Pertama tidak mengenali Sky dan tidak pernah berjumpa dengan Sky sebelum kejadian. Perayu Pertama hanya menerima mesej-mesej melalui aplikasi WeChat daripada seorang yang menggunakan nama Sky. Perayu Pertama tiada pengetahuan siapa sebenarnya Sky. [38] Pada hemat kami, keterangan pihak pendakwaan menunjukkan bungkusan-bungkusan yang mengandungi dadah yang diikat pada kedua-dua peha dan betis Perayu Pertama sentiasa berada dalam jagaan, kawalan dan pengetahuan Perayu Pertama. Kes pendakwaan terhadap Perayu Pertama bukan mengenai isu pemilikan bungkusan-bungkusan mengandungi dadah tersebut oleh Sky. Kes pendakwaan terhadap Perayu Pertama adalah berdasarkan Perayu Pertama mempunyai jagaan, kawalan dan pengetahuan ke atas bungkusan-bungkusan yang mengandungi dadah tersebut yang dalam hemat kami telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan. Berdasarkan berat dadah yang dimiliki oleh Perayu Pertama, Perayu Pertama dianggap mengedar dadah tersebut menurut seksyen 37(da) Akta Dadah Berbahaya 1952. ISU-ISU RAYUAN PERAYU KEDUA [39] Dalam hemat kami, pembelaan Perayu Kedua adalah mirip dengan pembelaan Perayu Pertama. Perayu Kedua menyatakan ubat tradisional yang diminta oleh Sky untuk dihantar ke Korea Selatan adalah serbuk badak berwarna putih. Perayu Kedua menyatakan bungkusan-bungkusan yang dikatakan mengandungi ubat tradisional tersebut diikat pada kedua-dua peha dan betis Perayu Kedua supaya mereka tidak ditangkap oleh pihak imigresen. Jika ditangkap, Sky akan menolong membayar saman yang dikenakan ke atas Perayu Kedua. [40] Perayu Kedua juga tidak mengenali Sky. Tetapi Perayu Kedua menganggap seorang lelaki cina yang datang ke bilik Hotel 99 tersebut adalah Sky. Sky yang datang mengikat kedua-dua peha dan betis Perayu Kedua dengan bungkusan-bungkusan yang dikatakan mengandungi ubat tradisional tersebut. Perayu Kedua juga mengakui selepas kedua-dua peha dan betis diikat, Perayu Kedua dan Perayu Pertama telah diberikan upah sebanyak RM2,000.00 setiap seorang. [41] Perayu Kedua telah mengemukakan rakaman percakapannya (D63) semasa memberi keterangan membela diri. Perayu Kedua mengakui kehadirannya bersama Perayu Pertama di bilik Hotel 99 tersebut. Perayu Kedua menyatakan ada seorang lelaki cina datang ke bilik hotel tersebut dan mengikat kedua-dua peha dan betis Perayu Kedua dan Perayu Pertama dengan bungkusan-bungkusan yang dikatakan mengandungi ubat tradisional. Tetapi Perayu Kedua tidak mengenali lelaki cina tersebut dan ianya kali pertama berjumpa dengan lelaki cina tersebut. [42] Perayu Kedua juga menyatakan telah pergi ke bilik hotel tersebut disebabkan Perayu Pertama telah memasukkan lokasi hotel tersebut dalam grup WeChat mereka. Walaupun dalam grup WeChat yang sama, Perayu Kedua tidak mengenali Perayu Pertama dan kali pertama berjumpa dengan Perayu Pertama di bilik hotel tersebut. Adalah sukar untuk kami menerima pembelaan Perayu Kedua bahawa beliau tidak mengenali Perayu Pertama dan kali pertama berjumpa dengan Perayu Pertama di bilik hotel tersebut. [43] Kami telah menimbangkan keseluruhan keterangan pihak pendakwaan dan kredibiliti saksi-saksi pendakwaan dan juga pembelaan Perayu Pertama dan Perayu Kedua dan memutuskan pembelaan kedua-dua perayu adalah sukar dipercayai dan tidak diterima oleh kami. Bungkusan-bungkusan yang mengandungi dadah telah diikat pada kedua-dua peha dan betis perayu-perayu. Bungkusan-bungkusan tersebut telah disorokkan dari penglihatan umum oleh kedua-dua perayu. Fakta yang tidak dapat dipertikaikan ialah kedua-dua perayu mempunyai jagaan, kawalan dan pengetahuan ke atas bungkusan-bungkusan yang mengandungi dadah tersebut. Justeru, kedua-dua perayu mempunyai milikan ke atas bungkusan-bungkusan yang mengandungi dadah tersebut. [44] Perbuatan kedua-dua perayu menyorokkan bungkusan-bungkusan yang mengandungi dadah tersebut pada kedua-dua peha dan betis perayu-perayu menunjukkan ianya dilakukan dengan pengetahuan terdapat dadah di dalam bungkusan-bungkusan tersebut. Kedua-dua perayu berada di dalam bilik hotel yang sama semasa bungkusan-bungkusan tersebut diikat pada kedua-dua peha dan betis perayu-perayu. Kedua-dua perayu mempunyai peluang dan masa untuk memeriksa kandungan bungkusan-bungkusan tersebut tetapi gagal berbuat sedemikian. [45] Kami juga sukar mempercayai dan tidak menerima pembelaan kedua-dua perayu bahawa lelaki cina yang datang ke bilik hotel tersebut adalah Sky. Kedua-dua perayu tidak mengenali Sky dan tiada pengetahuan mengenai nama dan identiti sebenar Sky. Perayu Kedua hanya membuat anggapan bahawa lelaki cina tersebut ialah Sky. Perayu Pertama langsung tidak mengenali Sky. [46] Kami juga sukar mempercayai dan tidak menerima pembelaan kedua-dua perayu bahawa mereka tidak mengenali satu sama lain dan kali pertama berjumpa di bilik hotel tersebut. Perayu Kedua menyatakan Perayu Pertama telah memasukkan lokasi hotel tersebut dalam kumpulan WeChat mereka. Perayu Pertama telah memberikan keterangan yang berbeza. Menurut Perayu Pertama, Sky telah menelefonnya dan menyuruhnya turun ke bawah Hotel tersebut untuk membawa Perayu Kedua ke bilik Hotel tersebut. Pada hemat kami, Perayu Pertama dan Perayu Kedua mengenali satu sama lain sebelum kejadian. [47] Pada hemat kami, hakim bicara telah menimbangkan pembelaan kedua-dua perayu dan telah mematuhi kehendak seksyen 182A KTJ yang memperuntukkan seperti berikut: Procedure at the conclusion of the trial